Home Novel Seram/Misteri Fitrah
Fitrah
Hana Mizari
3/3/2018 23:49:01
105,780
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 5

ALIEN?

Layla yang memerhatikan gelagat Ilya sedari tadi terus menghampiri rakannya itu. Ilya masih terpaku di tempatnya. Mulutnya melopong. Matanya terbeliak. Layla tidak pernah melihat ekspresi seperti itu pada wajah Ilya. Sungguh, ini adalah kali pertama Layla melihat Ilya mempunyai ekspresi seperti itu.

"Ilya! Ilya! Ilya!" panggil Layla sambil melalukan tangannya di hadapan muka Ilya.

Tiada reaksi daripada Ilya.

"Ilya!" Layla masih tidak berputus asa untuk memanggil rakannya. Ilya masih tidak memberi sebarang reaksi. Dia berdiri tegak seperti patung mannequin. Wajahnya yang comel persis anak patung menambahkan lagi kemiripannya dengan anak patung.

"Ilya Harissa!" panggil Layla lagi. Saat ini, barulah Ilya menunjukkan sebarang reaksi. Dia menoleh memandang Layla yang telah pun berada di sebelahnya. Layla tersenyum simpul melihat reaksi Layla seperti itu. Kemudian dia menahan gelak.

"Amboi, Ilya! Awak pandang siapa tu? Puas saya panggil awak dari tadi tapi awak tak jawab," usik Layla sambil menolak bahu Ilya. Ilya tidak menunjukkan sebarang ekspresi.

"Layla, awak kenal dia tak?" tanya Ilya selamba.

"Siapa?" tanya Layla teruja.

"Budak lelaki yang baru pergi tadi," bagitahu Ilya sambil menuding jari ke arah lelaki yang sedang berjalan meninggalkan mereka berdua.

"O ... h," kata Layla sambil matanya tertinjau-tinjau lelaki yang menjauhkan diri daripada mereka berdua. Layla menoleh memandang Ilya semula dengan pandangan nakal.

Ilya berpusing semula ke arah rak buku novel fantasi di sebelahnya dan memulakan pencariannya. Dia membuka satu-persatu buku yang ada di hadapannya. Kata kunci seperti Dark Arts, spirit, sukker, dan ahli magis menjadi perhatiannya. Nampak sahaja perkataan itu, dia terus menjadikan buku itu senarai yang bakal menjadi koleksinya. Dia mencari, mencari dan terus mencari.

Sementara itu, Layla kembali semula ke seksyen yang menawarkan novel cinta untuk mencari novel yang menjadi pilihan hatinya.

Setelah selesai memilih buku-buku yang berkenan di hati masing-masing, mereka berdua berjalan ke kaunter bayaran untuk membuat bayaran. Ilya meletakkan buku-buku yang dibelinya di kaunter pembayaran. Buku-buku yang dibeli itu menimbun tingginya seperti menara.

"Wah, banyaknya buku awak beli, Ilya!" Membuntang mata Layla ketika dia melontarkan ayat-ayat ini kepada Ilya. Ilya tidak menunjukkan sebarang reaksi.

"Hmmm...."

Selepas masing-masing membuat bayaran, Ilya dan Layla berhasrat untuk pulang ke rumah masing-masing. Masing-masing membawa buku yang dibeli. Layla membeli beberapa buah novel cinta.

"Novel apa yang awak beli, Layla?" tanya Ilya semasa dalam perjalanan.

"Ah, saya? Saya ada beli tiga buah novel," balas Ilya dengan nada teruja.

"Tajuknya?"

"Suamiku Mr. Coconut, Doktor Pujaan Hatiku dan Spirit itu Suami Aku," jawab Layla selamba.

"Ah, klise," kata Ilya sambil menyepetkan matanya. Dia bercakap dengan nada perlahan supaya tidak didengari Layla.

"Awak pula?" tanya Layla masih teruja.

"Aku rasa bosan duduk dalam dunia ini. Suatu hari aku dilanggar trak ketika aku melintas jalan. Sedar sahaja aku sudah berada di dunia lain yang mengamalkan magis dan berlatar belakangkan Eropah Zaman Pertengahan," jawab Ilya dengan nada selamba. Entah kenapa dia seperti mendapat ilham itu di kotak fikirannya untuk menjawab seperti itu kepada soalan Layla. Dia sendiri pun tidak tahu di mana Eropah itu dan apakah yang dimaksudkan sebagai zaman pertengahan.

"Wah, panjangnya! Ada ke tajuk novel panjang macam tu?" Membuntang mata Layla mendengar tajuk novel sepanjang itu. Seumur hidup Layla, dia tidak pernah berjumpa dengan tajuk novel sepanjang itu.

"Pelik," gumam Ilya sendirian kerana berasa hairan dengan kata-kata yang terpacul keluar dari mulutnya sebentar tadi.

"Kenapa, Ilya?" tanya Layla apabila mendapati Ilya tiba-tiba sahaja berhenti di tengah jalan.

"Takda apa," balas Ilya sebelum meneruskan perjalanannya.

***

Ilya melihat timbunan novel yang baru dibelinya tadi. Kesemuanya genre fantasi. Dia membuka satu-persatu novel yang baru dibelinya. Dia memulakan projeknya untuk membaca novel-novel itu semua secara marathon.

Ilya bukannya berminat sangat pun untuk membaca novel-novel itu tetapi apa yang menjadi perhatiannya adalah Dark Arts, spirit, dan ahli magis. Dia ingin mengetahui apakah yang didefinisikan ketiga-tiga istilah itu oleh para penulis novel genre fantasi.

"Dark Arts, spirit, ahli magis, hmmm...."

"Apa yang aku nampak di sini segolongan manusia yang dipanggil sebagai ahli magis akan meminta bantuan golongan spirit untuk membuat perkara luar biasa. Ilmu yang mempelajari cara-cara buat perkara luar biasa itu semua yang sudah tentulah dengan bantuan spirit tu dipanggil sebagai Dark Arts," kata Ilya sambil mundar-mandir di dalam biliknya.

"Perkara luar biasa tu pula, bila aku baca, aku pun naik pening dengan logik yang ahli magis ni gunakan. Tak, maksud aku ahli magis ni macam melanggar segala hukum alam macam tu je. Tak logik langsung. Okey, sejak bila pula genre fantasi ni ada logik di dalamnya? Apalah aku ni," sambung Ilya lagi sambil menepuk dahinya.

Tiba-tiba timbunan buku-buku di bilik Ilya terbang tidak tentu arah di sekitar bilik Ilya. Kemudian, buku-buku itu tersusun satu demi satu membentuk sebuah struktur seperti seekor raksasa iaitu mempunyai badan, tangan, kaki dan kepala. Susunan itu kelihatan luar biasa sekali. Ia kelihatan tidak logik bagaimana struktur itu boleh begitu kukuh dengan susunan sebegitu. Sepatutnya ia runtuh cukup hanya disentuh dengan sebatang jari.

Raksasa buku itu kemudiannya bergerak seperti berjalan ke arah Ilya. Ilya tidak menunjukkan sebarang reaksi takut terhadap raksasa buku itu. Dia hanya merenung dengan pandangan kosong.

"Hahahahaha!" Tiba-tiba ada suara garau yang menyeramkan seperti keluar daripada raksasa buku itu.

"Hei manusia! Aku ini spirit yang terperangkap dalam buku-buku ini. Aku bangkit daripada mentera magis yang ada dalam buku ini. Sekarang aku baru bangkit aku lapar. Kau bertuah kerana bakal menjadi mangsaku yang pertama. Hahahaha!" kata suara garau itu lagi.

Ilya memandang makhluk itu tanpa perasaan. Riak wajahnya masih tidak menunjukkan sebarang ekspresi.

"Manusia? Kau tak rasa takut dengan aku?" Setelah melihat Ilya yang tidak menunjukkan sebarang reaksi, raksasa buku itu bertanyakan soalan. Ilya hanya menggeleng perlahan.

Tiba-tiba sahaja raksasa buku itu runtuh sedikit demi sedikit. Timbunan buku yang membentuk struktur itu habis bertaburan di lantai. Serentak dengan itu, kedengaran suara garau itu menjerit kesakitan. Kemudian, secara tiba-tiba sahaja muncul Zaf dengan rupa kanak-kanaknya itu. Ada riak wajah kecewa yang terpapar padanya.

"Alah, kakak ni bosan betullah. Baru je nak takut-takutkan kakak," ujar Zaf.

"Dah agak dah, ni mesti kerja Zaf," kata Ilya dengan nada mendatar. "Ada apa kamu datang ni Zaf? Kalau datang nak ajak main atau buat kacau baik kamu balik je. Kakak sibuk ni," kata Ilya dengan suara dingin.

"O ... h, sabar dulu kakak. Zaf datang ni nak tolong kakak bukannya nak ajak main. Kakak tengah cari maklumat pasal Dark Arts kan?" ujar Zaf panik. Dia mendepakan kedua-dua tangannya ke hadapan menafikan perbuatannya sebentar tadi.

"Hmmm," balas Ilya ringkas yang sudah mula mengumpul semula buku-buku yang bertaburan di atas lantai itu.

"Okeylah Zaf akan bagitahu kakak apa yang saya tahu tentang Dark Arts. Dark Arts ni sebenarnya suatu ilmu menguasai alam spiritual, fizikal malah mental manusia sekali pada keadaan-keadaan tertentu. Manusia akan membuat satu perjanjian bersama golongan spirit untuk membolehkan mereka menguasai ketiga-tiga alam itu." Ilya mendengar dengan tekun walaupun matanya masih ditumpukan kepada buku-buku yang berselerakan di sekelilingnya.

"Kejap, Zaf. Kenapa manusia nak buat macam tu in the first place?" celah Ilya.

"Kenapa kakak tanya? Hehehe...," kata Zaf yang sudah menyeringai menampakkan sebaris giginya yang tajam menjadikan wajahnya kelihatan menakutkan.

"Sebab manusia mahu menjadi lebih hebat daripada yang sepatutnya. Sebab manusia mahukan lebih daripada apa yang mereka ada sepatutnya. Sebab manusia mahu mengatasi kekurangan yang ada pada mereka. Sebab manusia mahu dipandang tinggi," terang Zaf dengan nada yang serius tetapi menakutkan.

"Kenapa manusia mahu menjadi seperti itu?" tanya Ilya semula.

"Sebab manusia ni secara fitrahnya memang lemah! Manusia memang dijadikan lemah! Sebab tulah manusia meminta bantuan daripada kami golongan spirit untuk dapat apa yang mereka inginkan," balas Zaf masih dengan nada menakutkan.

"Jadi, kalau manusia ni lemah kenapa mesti minta bantuan golongan spirit?" Ilya masih tidak berpuas hati dengan penjelasan Zaf.

Zaf menyeringai semula mendengar pertanyaan Ilya. Wajahnya menjadi semakin menakutkan. Dia memulakan bicaranya, "Sebab kami golongan spirit ni superior dari manusia. Kami secara fitrahnya mampu menguasai alam fizikal dan spiritual. Tak macam manusia. Itu memang hakikat."

"Superior? Hmmmh, perasan! Superior-lah sangat kalau kerjanya asyik takut-takutkan orang semata-mata nak buktikan kewujudan mereka. Superior-lah sangat bila dah bosan je mula pergi kacau orang untuk takut-takutkan. Superior-lah sangat kerja asyik menumpang rumah orang je. Apa rumah sendiri takda ke?" Ilya membantah kenyataan Zaf yang meremehkan golongan manusia dengan kata-kata sindiran yang tidak kurang pedasnya.

Zaf merasakan seperti ada anak panah yang menikam dadanya setiap kali kata-kata sindiran yang pedas lagi berbisa itu menyinggah di telinganya.

"Wu ... u ... u, kakak janganlah macam ni. Kakak janganlah halau saya. Kalau kakak tak benarkan saya menumpang di rumah ni, kat mana lagi saya nak duduk? Wu ... u ... u, kakak maaflah kerana terlampau mengikut perasaan sebelum ni. Kakak maafkan ya?" Zaf berubah daripada nadanya seperti meninggi diri kepada nada merayu.

"Yalah, yalah kakak maafkan. Kakak tak kisah pun kalau Zaf nak kutuk golongan manusia. Mereka pun sama tak guna juga macam perangai sesetengah golongan spirit, tapi bukan kamulah. Sampai kakak pun dah malas nak mengaku manusia dah," balas Ilya. Matanya dilirikkan ke siling sebelum memandang semula Zaf kerana berasa menyampah dengan golongan manusia.

"Hehe, habis kalau kakak taknak mengaku manusia, kakak ni apa? Alien ke?" usik Zaf sambil menyeringai seperti kanak-kanak riang.

"Hmmm ... alien. Alien?" soal Ilya sambil mengusap dagunya dan memandang lantai.

"Ohoho, jadi kakak ni memang alien-lah? Alien dari planet mana kak? Planet Maris ke? Hahaha," usik Zaf dengan nada berseloroh. Planet Maris yang dimaksudkan Zaf ialah sebuah planet kontang tidak berpenghuni yang terletak di sebelah Planet Boomi iaitu planet yang dihuni mereka sekarang di dalam dunia itu.

Ilya tidak mempedulikan Zaf yang mengusiknya sebaliknya dia pergi ke arah mejanya untuk mengambil tablet. Dia membuka tablet itu untuk melayari Internet. Dia menaip perkataan alien di enjin carian Googel. Dalam masa beberapa minit sahaja, skrin tablet itu memaparkan beberapa buah pautan artikel mengenai makhluk asing iaitu makhluk yang menghuni planet lain.

Artikel yang dipaparkan di skrin itu terdiri daripada pelbagai jenis. Ada yang menceritakan makhluk asing daripada perspektif genre fiksyen sains dan ada pula yang menerangkan mengenai kemungkinan wujudnya makhluk yang menghuni planet lain. Tidak kurang juga yang menerangkan kewujudan makhluk asing daripada perspektif teori konspirasi.

Ilya melarikan tangannya di atas skrin itu untuk membuka satu demi satu pautan yang dipaparkan. Zaf yang memerhatikan tingkah Ilya terus terbang menuju ke arah gadis itu.

"Kakak tengok apa tu?" tanya Zaf yang sudah terjongol mukanya betu-betul di hadapan Ilya. Matanya turut memerhatikan skrin tablet itu bersama Ilya.

"Hmmm...." Ilya tidak mempedulikan pertanyaan Zaf sebaliknya matanya masih lagi ralit memerhatikan susunan aksara di atas skrin tablet itu. Ilya membaca satu demi satu perkataan yang dipaparkan di atas skrin tablet itu.

Setelah puas melakukan sedikit pembacaan mengenai makhluk asing, dia meletakkan semula tablet itu di atas meja. Dia kemudian bersandar di meja yang berhampiran sambil mengusap dagunya. Matanya pula ralit memerhatikan lantai tetapi mindanya tiada di situ. Kotak fikirannya menjana beberapa persoalan. Persoalan tentang makhluk asing dan spirit. Zaf pula terus berada berhampiran Ilya sambil memerhatikan gadis berambut hitam pekat itu.

"Kakak baca apa tadi tu, kak? Kenapa dengan alien?" Zaf bersuara setelah lama suasana di bilik itu menjadi senyap-sunyi. Zaf masih tidak faham kenapa Ilya tiba-tiba ingin mencari mengenai makhluk asing secara tiba-tiba.

"Zaf!" panggil Ilya secara tiba-tiba setelah lama mendiamkan diri.

"Ya, kak!" sahut Zaf setia menunggu arahan seterusnya.

"Kamu percaya dengan kewujudan alien tak?" tanya Ilya. Zaf menunjukkan riak wajah pelik mendengar pertanyaan itu daripada Ilya.

"Hmmm, Zaf percaya pun sebab golongan manusia percaya akan kewujudan mereka. Kenapa kakak tanya?" Zaf masih tidak mengerti apa yang cuba disampaikan Ilya.

"Jadi, sebenarnya manusia sendirilahkan yang mewujudkan kepercayaan terhadap kewujudan golongan alien. Okey, alien yang belum tentu ada tu mereka percaya pula. Spirit depan mata aku ni mereka tak percaya pula," kata Ilya sambil melihat Zaf yang sudah tersengih di hadapannya.

"Sama je spirit dengan alien. Dua-dua manusia tak nampak dan tak pernah dibuktikan kewujudan mereka secara saintifik. Alien tu sendiri tak pernah munculkan diri di depan mata mereka. Selama ni mereka cuma percaya je. Tapi kenapa tidak spirit?" Ilya mengerutkan dahinya.

"Fuh, tak fahamlah!" rungut Ilya sambil memandang siling biliknya. Kipas di bilik itu berpusing seperti biasa, tidak mempedulikan kekusutan yang menimpa dirinya.

"Okeylah, Zaf. Kita sambung balik perbincangan kita tadi," kata Ilya sebelum mula berjalan ke tengah biliknya semula.

"Aiai, kapten!" balas Zaf sambil tabik hormat seperti tentera dengan nada teruja. Gayanya persis kanak-kanak riang.

"Okey, tadi kamu kata spirit ni mampu menguasai alam fizikal dan spiritual, kan? Untuk apa manusia perlu menguasai benda-benda tu semua? Tak boleh ke kalau nak jadi lebih hebat dengan cara lain? Kakak hairanlah?" Ilya mula mengajukan beberapa soalan.

"Sebenarnya manusia mahu menguasai alam fizikal terutamanya untuk tolong mereka selesaikan masalah dalam kehidupan. Tak semestinya untuk jadi lebih hebat, tapi kebanyakannya macam tulah, " Zaf dengan terujanya menjawab pertanyaan Ilya. Ilya terus mendengar dengan khusyuk.

"Tapi, kalau kakak nak tahu kenapa mesti dengan spirit tu, hmmh ... tu rumit sikitlah nak jawab kak. Kakak mungkin kena tanya orang-orang lama." Zaf menyambung penerangannya.

"Orang-orang lama? Siapa?" Ilya mengerutkan dahinya.

"Bidasari. Moyang kakak," jawab Zaf ringkas.

"Moyang kakak? Tapi kenapa dia?" Ilya tidak mengerti kenapa Zaf mesti memilih moyangnya yang berusia hampir 100 tahun itu sebagai pilihannya.

"Eh, moyang kakak hebatlah! Dia tahu banyak pasal dunia Dark Arts, spirit, magis semua tu. Kakak tak tahu ke?" soal Zaf semula kepada Ilya. Ilya hanya menggeleng.


Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.