Home Novel Seram/Misteri PUJA -sekali mengambil selamanya bertuan...
PUJA -sekali mengambil selamanya bertuan...
Maria Kajiwa
3/9/2013 11:35:10
65,604
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 4

Bab 4

DI RUMAH Pak Salleh, Mamat riuh rendah bercerita. Pak Salleh, Mak Yan dan Mak Jiha yang mendengar tidak terkata apa pada mulanya. Walaupun hari sedang siang dan terang-benderang namun cerita yang dibawa Mamat sedikit sebanyak membuatkan mereka semua berasa seram sejuk.

“Sungguhlah, pak ngah. Saya tak tipu.” Mamat sekali lagi cuba meyakinkan semua yang ada di situ mengenai apa yang dilihat tengah malam tadi.

Mak Jiha termenung. Teringatkan apa yang berlaku di rumahnya juga. Ingin diceritakan kepada Pak Salleh dan Mak Yan tetapi belum sempat. Sejak tiba di rumah Pak Salleh tadi, dia sibuk menyediakan ayam dan daging yang hendak dimasak untuk kenduri tahlil petang nanti. Tidak sangka pula, Mamat datang ke situ membawa cerita yang juga mengejutkan.

Mendengarkan cerita Mamat, Pak Salleh tarik nafas. Dia susun sila dengan lebih kemas.

“Sebenarnya… bukan engkau aje yang dah jumpa benda tu,” katanya tanpa memandang sesiapa. Dia cuba mengingati beberapa cerita yang disampaikan kepada dia sebelum ini.

Lama Mamat tergamam. “Jadi… betullah apa yang saya nampak tu, pak ngah?” tanyanya kemudian.

Anak mata Mak Jiha beralih-alih antara muka Mamat ke muka Pak Salleh. Seingat dia, tidak pernah pula dia jumpa apa yang Mamat jumpa. Setakat ini, dia dan Bahiyah hanya pernah melihat lelaki tua dengan muka berulat. Itu sahaja. Tidak sangka pula ada hal lain. Dia semakin risau.

Pak Salleh angguk. “Dah ramai orang jumpa. Terutama di sebelah simpang hala ke Batu Silak tu. Tapi ada juga yang jumpa dalam kebun getah atau dekat perigi lama.”

“Benda apa tu, pak ngah?”

Kini semua yang berada di situ memandang ke arah Pak Salleh. Namun Pak Salleh tidak menjawab. Dia angkat punggung lalu turun ke tanah. Berat hatinya untuk bercerita di hadapan isterinya dan juga Mak Jiha. Dia bimbang ketakutan mereka bertambah-tambah maka berjayalah tujuan itu syaitan itu menampakkan diri dengan rupanya yang sebegitu di hadapan anak Adam.

Setelah turun ke bawah, dia duduk pula di atas pangkin yang menghadap ke arah jalan. Dilemparkan pandangan ke arah jalan bertar di hadapan rumah. Dia teringat satu kejadian sewaktu jalan itu masih bertanah merah…

****

PADA waktu itu dia berusia hampir 10 tahun. Selepas selesai berjemaah di masjid, dia berjalan kaki balik ke rumah beramai-ramai dengan ayah dan ibunya. Hanya dengan bersuluhkan dua buah pelita. Satu dipegang ibunya dan satu lagi dipegang oleh dia. Di pertengahan jalan, seorang demi seorang penduduk kampung berhenti dan balik ke rumah masing-masing.

Sehinggalah akhirnya hanya tinggal mereka bertiga sahaja yang masih berjalan kaki sambil berbual-bual mengenai kampung dan apa yang diajarkan tok imam di masjid tadi. Dia hanya mendengar sambil berjalan di hadapan sekali. Walaupun badannya sudah lesu dan mengantuk, dia gagahi juga menapak selaju-lajunya untuk cepat sampai ke rumah. Setibanya berdekatan sebatang pokok kekabu, dia seperti terlihat beberapa orang berjalan di hadapannya.

“Abah… siapa tu?” Dia bertanya. Pada fikirannya, ada orang kampung yang sedang hendak ke mana-mana.

“Entahlah,” balas ayahnya sambil ikut memandang ke hadapan. Begitu juga dengan ibunya yang masih lagi bertelekung litup. “Kenapa jalan tak bawa pelita?”

Dia sendiri ingin bertanyakan hal yang sama kerana malam itu sangat gelap. Anak bulan bersembunyi di balik awan. Udara pula panas dan lebih kering daripada biasa. Agak aneh melihat beberapa orang di hadapannya berjalan tanpa membawa apa-apa. Tetapi mungkin juga mereka sudah biasa berjalan di dalam gelap, fikirnya.

Seraya berfikir itu, mereka bertiga semakin dekat dengan kumpulan orang di hadapan mereka. Semena-mena, ayahnya menangkap tangannya.

Dia langsung berhenti dan menoleh. Dilihatnya wajah ayahnya berbeza benar. Ibunya juga sudah bergerak di belakang ayahnya. Tanpa berkata apa-apa, ayahnya memegang lengan dia agak kuat.

Pada mulanya dia kehairanan juga. Tetapi apabila melihatkan ayahnya berjalan menjauhi kumpulan itu sambil mulut terkumat-kamit membaca ayat suci, dia syak ada sesuatu yang tidak kena. Akhirnya dia juga menapak selaju yang mungkin bagi menyaingi langkah ibu bapanya yang berjalan bagaikan lipas kudung.

Entah bagaimana, tergerak hatinya untuk menoleh ke belakang bagi melihat apa yang tidak kena. Sebaik sahaja dia menoleh, barulah dia sedar. Orang yang dilihat tadi, kesemuanya tidak berkepala. Hanya jasad berjalan tanpa beralas apa-apa. Jalannya juga agak tidak jejak ke bumi. Bagaikan melayang kira-kira setengah kaki dari jalan.

Pada masa itulah, dia rasa hendak terkencing. Dan tanpa dapat ditahan, dia memang terkencing di dalam seluar. Dia pun tidak berfikir panjang lagi. Direntap pegangan tangan ayahnya lalu berlari selaju mungkin balik ke rumah tanpa mempedulikan ibu bapanya yang mengejar bagai tidak cukup tanah.

Selepas itu dia demam seminggu.

Pada suatu ketika, dia terdengar ayah dan ibunya berbual mengenai kejadian itu. Kata ayahnya, hal-hal seperti itu akan terus berlaku selagi ketua kampung yang baharu tidak dilantik. Puaka batu itu akan kembali mengganggu selagi tidak diberi makan oleh penjaganya dan mendapat tuan yang baharu.

Dia diam sahaja. Tetapi seingat dia, selepas kampung itu mendapat ketua yang baharu memang kampung itu kembali aman seperti sedia kala. Dia pun tidak ambil pusing lagi mengenai hal itu dan makin lama, dia sudah melupakan hal itu sama sekali. Apabila ketua kampung itu meninggal dan digantikan pula dengan Dr. Rafar, dia pula sudah merantau ke Negeri Sembilan kerana bekerja dan berkahwin. Dia tidak ada di situ semasa tempoh perlantikan ketua kampung baharu dijalankan. Dia tidak pasti sama ada kejadian itu berulang ataupun tidak.

Sekarang, Dr. Rafar pula sudah meninggal dan kejadian itu nampaknya berlaku lagi. Setiap hari ada sahaja yang bercerita mengenainya. Ada yang kata terjumpa orang tua seorang diri mandi di perigi lama pada waktu senja. Ada pula yang kata terjumpa sekumpulan orang yang tidak berkepala terjun ke dalam sungai sewaktu mereka sedang memancing. Dan nampaknya pada malam tadi, tiba pula giliran Mamat diganggu.

Semua itu membuatkan fikirannya runsing, kerana dia tahu itu semua hanyalah permulaan kepada kejadian yang lebih dahsyat lagi.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.