Home Novel Seram/Misteri PUJA -sekali mengambil selamanya bertuan...
PUJA -sekali mengambil selamanya bertuan...
Maria Kajiwa
3/9/2013 11:35:10
65,467
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 7

Bab 7

SETELAH berbual lebih kurang, Johan meminta diri. Jimmy tinggal seorang diri di ruang tamu. Sedaya upaya dia cuba bersikap biasa namun tidak berjaya. Setiap ruang yang dipandang, dinding, lantai, dan atap terasa menyindir dirinya. Terdengar-dengar juga suara ayahnya, bagaikan bergema dari dinding ke dinding memarahi dirinya. Makin lama makin dia terasa tidak selesa. Rimas.

“Johan mana?” Mak Jiha masuk ke ruang tamu sambil membetulkan hujung baju yang tersinsing ke siku sebelum itu.

“Entah,” balas Jimmy perlahan. “Tidur kut.”

Mak Jiha berhenti di hadapan pintu bilik, menyelak sedikit kain langsir sebelum meneruskan langkah mendekati Jimmy.

“Johan solat. Kalau Aazim nak solat, masuklah ke bilik. Nak gunakan bilik Aazim dulu pun boleh. Tapi kenalah kemas dulu. Nanti ada pulak ular sawa tidur sekali.” Mak Jiha tersenyum. “Kalau bagitahu dulu nak balik, boleh mak kemaskan bilik tu. Ni balik mengejut aje.”

“Tak apalah, sekejap lagi.”

Makin berserabut fikiran dia. Sungguh dia terasa amat malu berbohong begitu. Solat? Bila kali terakhir dia bersolat pun, dia sudah lupa. Sejadah pun dia sudah lama tidak punya. Kiblat arah ke mana pun dia sudah lama tidak ambil tahu. Dia sepatutnya lebih bersedia sebelum pulang ke situ. Sekurang-kurangnya baca buku panduan solat. Dia menggerutu dalam hati. Menyesali diri.

“Kalau tak bawa kain pelikat, pinjam aje Johan punya,” tambah Mak Jiha sambil tersenyum tenang.

“Nantilah,” balasnya dengan rasa serba salah sekali lagi.

“Aazim… tidur sini malam ni, kan?”

Jimmy terkulat-kulat. Sebenarnya dia ingin pulang petang nanti tetapi….

“Malam ni mak buat kenduri tahlil untuk arwah abah. Mak tumpang kenduri pak ngah,” kata Mak Jiha lagi sambil merenung mata Jimmy.

Ah! Jiwa Jimmy makin berperang. Dia ingin balik. Dia tidak ingin lagi berada di situ. Dia mahu pergi jauh-jauh. Dia ingin lupakan semua itu. Tetapi akhirnya renungan mata ibunya menewaskan segala-galanya. Dia angguk.

Mak Jiha tersenyum manis.

“Kalau macam tu, marilah kita makan dulu. Mak ada bawa lauk dari rumah pak ngah tadi. Aazim tentu dah lama tak makan masakan kampung kan? Ada umbut kabung masak lemak, gulai labu kerisik yang Aazim suka dulu pun ada… marilah.” Mak Jiha bangkit semula sambil beria-ia mengajak Jimmy.

Untuk tidak menggores hati ibunya, Jimmy ikutkan sahaja. Namun apabila kakinya melangkah ke dapur dia tergamam di muka pintu. Kakinya terasa tidak jejak ke lantai. Tidak dapat dielak, air matanya bergenang melihat keadaan dapurnya rumah ibunya yang sudah hampir runtuh atapnya. Bahkan ada lubang yang terlopong besar akibat dinding yang telah tumbang.

“Dinding tu reput, makan dek anai-anai,” kata Mak Jiha apabila menyedari yang langkah Jimmy terhenti.

Jimmy tidak berdaya untuk bersuara. Sewaktu dia menyuap nasi ke mulut, air matanya hampir sahaja menitik. Betapa dia sedar, dia tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang anak.

Dia malu hatta untuk mengangkat muka.

*****

SELEPAS makan tengah hari, Jimmy mengambil keputusan untuk berjalan-jalan di sekitar rumah. Apa yang dilihatnya, pokok-pokok buah yang dahulunya baru ditanam kini sudah tumbuh merimbun dan boleh dipanjat. Pokok-pokok yang dahulunya berbuah, ada yang sudah mati atau sekah dahannya. Semua itu menyedarkan dia betapa lama dia telah meninggalkan tempat itu.

Sedang dia memijak laluan denai yang hampir tertutup dek daun-daun lalang, dia tercium bau busuk. Makin jauh dia berjalan menghala ke sebuah kebun getah yang sudah dipenuhi semak, makin kuat bau itu. Mungkin ada haiwan yang mati, fikirnya. Dia terus berjalan sehinggalah masuk ke kawasan kebun getah.

Dilihatnya ada pokok-pokok yang masih ditoreh. Sesetengah cawan masih berisi getah skrap. Mungkin belum dikutip ibunya. Dari situ dia tahu, keluarganya masih mengerjakan kebun getah itu yang sewaktu dahulu begitu terang dan bersih sehingga boleh nampak paya di belakang kebun itu pada waktu siang. Sayangnya sekarang kebun itu terlalu semak sehinggakan menutup pandangan. Dia tidak pasti apa yang telah berlaku.

Namun, dia terus mengikut denai yang ada di situ. Masih tercium bau haruman tanah yang subur dan lembap. Daun-daun pokok getah yang berguguran, membentuk satu lapisan tanah yang lembut. Dia teringat sewaktu kecilnya dia selalu menggali tanah di situ untuk mencari cacing buat umpan mengail haruan dan keli di paya. Di situ juga tempat dia bermain sorok-sorok dan tembak-tembak dengan bedil buluh berpelurukan buah cenderai. Bagaikan terdengar-dengar suara kawan-kawanya ketawa dan mengejek.

Sedang leka mengenang kisah lama, semena-menanya, pokok-pokok di sekitarnya bergoyang bagaikan diranduk angin keras. Lamunannya terus mati. Pokok cenderai, pokok balik angin terus meliuk-liuk tanpa henti. Mahu hujan? Ribut? Didongak ke langit, yang dilihat hanya langit gelap bagaikan mahu hujan lebat.

Entah kenapa, hatinya jadi gementar. Bulu romanya berdiri. Serentak dengan itu juga bau busuk menujah keras. Dia terasa seperti ada sesuatu di situ.

Dia menoleh ke sisi kiri. Di celah-celah daun pokok kapal terbang dia melihat sesusuk manusia sedang berdiri tegak tidak bergerak. Dia hairan. Lalu dia cuba mejenguk. Dikuaknya daun-daun pokok yang ada, kemudian langkahnya terus mati.

Dia terpempan. Tidak boleh bergerak.

“Bang!”

Panggilan itu membuatkan tubuhnya hilang pertimbangan. Punggungnya terus terhentak ke atas akar pokok getah. Dia terduduk. Kebingungan.

“Kenapa, bang?” Johan bertanya. Tubuh Jimmy dipaut supaya bangun.

Jimmy terpinga-pinga apabila menyedari siapa di sisinya. Dia menoleh semula ke arah tadi tetapi susuk yang menggerunkan itu telah hilang. Lantas dia meraup mukanya yang kini sejuk bagaikan air batu. Apa yang dia lihat tadi? Manusia? Syaitan? Hantu?

“Abang, kenapa ni?” tegur Johan sekali lagi.

“Tak ada apa.” Jimmy hanya mampu menggeleng. Hendak diceritakan dia bimbang, Johan tidak percaya. “Johan buat apa di sini?”

“Mak suruh cari abang. Dah rembang ni,” kata Johan.

“Marilah kita balik. Hari nak hujan ni.” Jimmy terus melangkah pergi. Denai yang membawanya ke situ, dijejak semula. Cuma kali ini lebih pantas. Sepantas debar di dadanya juga. Cuma apabila dia sampai ke luar kebun getah, dia dapati cuaca cukup panas. Langit terang-benderang.

Apa yang berlaku tadi terus menjadi persoalan. Namun wajah lelaki tua yang dilihatnya tadi masih jelas di ruang mata. Penuh ulat. Bergelora pula perutnya.

*****

“AAZIM ke mana tadi?” tegur Mak Jiha sebaik sahaja melihat Jimmy pulang bersama Johan. Resah hatinya melihatkan muka Jimmy agak pucat.

“Ke belakang tu aje.”

Kini Jimmy duduk di muka pintu hadapan rumah sambil berjuntai kaki ke atas pelantar. Rasa seram sejuk di badannya masih ada. Malah bulu romanya sehingga saat itu masih tegak mencanak. Hendak diceritakan kepada sesiapa, dia bukan seorang yang cengeng. Mungkin semua itu hanyalah bayangan sahaja.

“Kebun di belakang tu dah semak sangat. Tak payahlah pergi,” balas Mak Jiha. Sejujurnya dia rasa kurang selesa. Banyak perkara itu di situ yang membuatkan dia rasa segan kalau dilihat orang. Lagipun mungkin sahaja tempat itu akan mengundang bahaya.

Jimmy angguk sahaja. Cadangnya tadi hendak juga melihat kawasan paya di belakang kebun itu. Tempat dia pernah memasang tajur dan berperahu kalau musim tengkujuh. Sayangnya semua itu tinggal angan-angan. Membayangkan tempat itu semula pun sudah membuatkan bulu romanya naik semula.

Terasa juga tempat itu sudah tidak sama lagi. Banyak yang sudah berubah. Mungkin elok juga kalau dia ikut sahaja nasihat ibunya, fikirnya.

*****

“TAKKAN abang nak pergi rumah pak ngah pakai baju tu?” Johan menegur sewaktu Jimmy mahu melangkah keluar dari bilik dengan hanya berbaju-T nipis. “Abang tak bawa baju Melayu?”

Dengan berat hati, Jimmy menggeleng. Manalah dia ada baju Melayu lagi? Dia sudah tinggalkan semua tradisi yang boleh ditinggalkan. Kehidupan barunya tidak memerlukan baju Melayu, kain pelikat, sejadah, songkok dan segala apa yang dia pernah ada. Kehidupan baharunya mengajar dia tentang pistol, pisau dan segala jenis kesakitan. Namun untuk menjelaskan perkara itu tidak mungkin.

“Abang pakai baju sayalah.” Johan berpatah balik menuju almari bajunya. Dikeluarkan sehelai baju Melayu yang agak baharu. Yang masih tergantung pada penyangkut baju. Dihulurkan kepada Jimmy.

“Lawa sangat ni. Baju raya ke?” Jimmy cuba berseloroh walau agak kekok.

“Tak apa, pakai ajelah. Saya dan mak pergi dulu. Nanti abang nak keluar tu, jangan lupa kunci pintu. Lampu kat depan ni, abang biar aje terpasang sebab jalan masuk tu gelap sangat. Abang ingat lagi rumah pak ngah kat mana, kan?”

“Nak pergi dah ke?” Jimmy benar-benar terkejut. “Kita pergi samalah. Naik kereta abang.”

“Mak nak pergi awal. Mak nak tolong apa yang patut dulu. Lagipun pak ngah tak ada kat rumah. Tinggal Mak Yan, Bahiyah dan Aisha aje.”

Jawapan Johan tidak begitu meninggalkan kesan dalam hati Jimmy. Apa yang pentingnya dia mahu ikut sekali sebab yang sebenarnya dia sudah lupa di mana rumah pak ngah. Hendak mengaku dia malu.

“Tak apalah, kita pergi sekali.” Jimmy buat keputusan.

Johan tersenyum.

Setibanya mereka di rumah pak ngah, mereka disambut dengan riuh rendah. Bahiyah menerkam dan memeluk Jimmy apabila mengetahui abangnya sudah pulang. Mak Yan tersengih-sengih di atas tangga. Manakala seorang gadis manis pula terintai-intai dari tepi tingkap. Sekali lagi Jimmy dihimpit rasa bersalah.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.