Home Novel Seram/Misteri PUJA -sekali mengambil selamanya bertuan...
PUJA -sekali mengambil selamanya bertuan...
Maria Kajiwa
3/9/2013 11:35:10
65,507
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 11

BEBERAPA minit kemudian, mereka berempat selamat sampai ke rumah semula. Setelah mengunci kereta, Johan memimpin Jimmy naik ke atas rumah sementara Mak Jiha membentang tikar di ruang tamu.

“Ambilkan bantal untuk abang,” pinta Mak Jiha kepada Bahiyah. Di tangannya sudah ada sebotol minyak urut.

Bahiyah segera menghilang sebelum datang semula bersama sebiji bantal kekabu. Diserahkan kepada ibunya.

Setelah Jimmy duduk selesa di atas tikar, Mak Jiha mula menyapu minyak pada kaki Jimmy yang mula membengkak. Risau hatinya dengan apa yang telah berlaku. Sudahlah balik sekali-sekala, sakit pula.

“Kalau mak letih, tak payahlah urut dulu. Esoklah urut,” tegur Jimmy. Pilu hatinya melihat ibunya begitu bersungguh-sungguh menyapu minyak pada buku lalinya. Terasa dia hanya menambahkan beban.

“Tak apalah. Bukannya letih sangat. Sapu minyak aje. Nak urut sangat pun tak boleh lagi, tengah bengkak,” balas Mak Jiha dengan tenang. Dia masih asyik melumurkan minyak. Sendu hatinya melihat keadaan Jimmy.

“Mak,” panggil Jimmy. Apabila ibunya mengangkat muka, dia bertanya, “Kenapa yang datang kenduri tadi sikit sangat orangnya? Yang datang solat di masjid tadi pun dah tak ramai macam dulu. Ke mana orang kampung ni pergi?”

Sehabis berkata-kata, Jimmy mula perasan. Sejak dia memasuki kawasan Kampung Silak Tua, jalan rayanya agak lengang. Tidak seperti dahulu, jalan raya sentiasa sibuk. Ada sahaja kenderaan di situ. Malam itu, hendak mendengar bunyi motorsikal pun payah.

Pertanyaan Jimmy tidak terus dijawab. Mak Jiha mengeluh pendek.

“Saya dengar… orang kampung kita ni dah ramai berpindah. Betul ke, mak?” Dia bertanya lagi apabila teringatkan kata-kata pak cik yang menjual cendul pulut di bandar. Mungkinkah khabar itu benar?

Kali ini pertanyaannya berjaya membuatkan ibunya mengangkat muka. “Dari mana kamu dengar?”

“Sebelum balik ke sini, saya singgah minum di bandar. Ada yang beritahu kononnya orang kampung ni dah ramai yang jual tanah dan berpindah,” jawabnya.

Mak Jiha tutup botol minyak urut lalu diletakkan di tepi dinding. Kemudian menarik nafas dengan tenang. Mungkin Jimmy harus tahu keadaan yang sebenar.

“Kampung ni dah tak macam dulu lagi,” katanya perlahan. “Dah ramai yang pindah. Dah ramai yang jual tanah. Sebab itulah masjid makin kosong. Kalau ada kenduri kendara pun, mereka lebih suka buat di bandar. Guna dewan.”

“Kenapa sampai macam tu sekali? Dulu kampung ni okey aje,” Jimmy pandang muka ibunya lama-lama. Walaupun muka itu sudah berkedut halus namun wajahnya tetap sama. Setiap kali matanya memandang, hatinya tenang.

“Macam-macam hal,” balas Mak Jiha sebelum termenung jauh.

“Contohnya?”

“Tidurlah dulu. Kamu tu pun mesti letih berjalan jauh,” balas Mak Jiha sebelum mengangkat punggung.

Jimmy tercengang. Tidak disangka ibunya tidak mahu menjawab persoalan itu. Dia mula rasa tidak puas hati dan marah. Hendak bertanya ibunya sudah menjauh. Lagipun ibunya mungkin penat.

“Aazim,” panggil ibunya yang semena-mena berpaling semula ke arahnya.

“Ya, mak?”

“Kalau… kalau dengar bunyi apa-apa… jangan buka pintu ya? Buat tak tahu aje.” Sehabis meninggalkan pesan Mak Jiha terus beredar.

Bunyi? Bunyi apa? Jimmy tinggal tertanya-tanya. Namun kerana keletihan, dia terlelap juga sehinggalah dia terdengar bunyi sesuatu di luar rumah.

*****

MATA Jimmy terbuka luas. Latihan keras yang diterimanya selama ini menjadikan dia peka kepada bunyi dan pergerakan. Nafasnya ditahan. Bunyi yang didengar itu makin lama makin kuat dan jelas. Seolah-olah di tepi kepalanya sahaja.

Dia memasang telinga lagi. Terdengar seperti ada sesuatu memijak tanah di sekeliling rumahnya. Bunyi nafas yang termengah-mengah. Bunyi seperti haiwan yang menderam marah. Akhirnya terdengar bunyi cakaran pada dinding rumahnya. Panjang dan menyakitkan telinga.

Jimmy mengeraskan diri. Anak matanya membesar dalam cahaya yang samar-samar. Pendengarannya ditajamkan. Dia mengamati. Ada pergerakan di luar pintu rumahnya. Semena-mena…

Krak! Krik! Krak! Seperti ada sesuatu yang sedang memijak atap rumah.

Matanya terus melotot ke atas. Semena-mena juga bunyi itu hilang. Diganti bunyi cakaran pada dinding dekat dengan tempat tidurnya. Dadanya berdebar kuat. Sedang leka mengamati, dia terlihat sesusuk tubuh berjalan ke arahnya. Tinggi dan hitam.

Tanpa berfikir panjang, satu libasan dihayunkan dengan kaki kiri tepat ke lutut. Tubuh itu jatuh tersungkur ke lantai bersama bunyi yang bising dan jeritan yang nyaring.

“Johan!” balas Jimmy. Langsung dia duduk. Sungguh dia tidak menyangka yang dilibasnya itu adalah adiknya, Johan. “Maafkan, abang. Abang tak sengaja.”

“Aduh….” Johan merengek sambil memegang lutut.

Lantas, kekecohan di situ mengejutkan seisi rumah. Mak Jiha dan Bahiyah berkejar ke situ.

****

RUANG tamu kini diterangi simbahan cahaya dari lampu dapur yang sampai ke situ. Walaupun tidak terang namun cukup untuk Jimmy melihat wajah ibu dan adik-adiknya yang sedang duduk rapat-rapat. Mujurlah pada waktu itu, bunyi yang mengganggu tadi sudah berhenti. Tinggal bunyi ayam-ayam di atas pokok yang mengelepar bagai diterkam sesuatu. Jimmy makin keliru.

“Itulah sebabnya kenapa ramai yang berpindah.” Semena-menanya Mak Jiha bersuara. Lutut Johan disapu minyak dan diurut-urut. Nampaknya dia tidak dapat menyorokkan lagi hal itu daripada Jimmy.

“Aduh!” Johan berkerut muka menahan sakit.

Mata Jimmy terkelip-kelip. Otaknya belum dapat memahami apa-apa. Sesekali menjeling Johan dengan rasa penuh simpati. Dia tahu libasan kakinya kuat dan padu tetapi dia tidak sengaja. Dia benar-benar terperanjat tadi.

“Sudah lama perkara ni berlaku. Arwah abah kamu pun dah tak tahu nak buat apa,” sambung Mak Jiha. “Tapi sekarang makin teruk. Setiap malam pulak benda tu datang ke sini.”

Johan berkerut dahi. Bahiyah pula memeluk rapat lengan Mak Jiha.

Anak mata Jimmy melirik ke arah ketiga-tiga orang yang sedang berada di hadapannya. Wajah muram ibunya, Johan dan Bahiyah seperti menyatakan keresahan hati yang dalam. Ketakutan dan kebimbangan. Tetapi apa yang berlaku di situ?

“Sejak bila?”

“Sejak Dr. Rafar meninggal. Tapi sebelum tu pun selalu dengar cuma tidak seteruk sekarang.”

“Benda apa tu, mak?” Jimmy masih kurang jelas.

“Entahlah benda apa. Tapi rasanya pak ngah dan arwah abah kamu tahu pasal tu. Cuma mereka tak nak berkongsi dengan kami. Mungkin tak nak kami takut. Tapi sekarang… nampaknya tak boleh dibiarkan lagi. Makin menjadi-jadi.”

“Makin menjadi-jadi?”

“Selepas arwah abah meninggal,” jawab Johan. “Sebelum ni kami hanya dengar cerita orang kampung. Tapi selepas abah tak ada ni, hampir setiap malam benda tu datang ke sini. Entah apa yang dicarinya.”

“Kenapa mak tak berpindah aje dari sini? Jual tanah ni, beli rumah baru,” kata Jimmy. Baru dia sedar kampungnya yang dahulu permai kini sudah berubah wajah. Keluarganya sahaja yang tidak mahu menyesuaikan diri dengan perubahan.

“Arwah abah tak benarkan.” Johan menjawab laju. Bahiyah di sisinya mengangguk. Mak Jiha pula tertunduk menekur lantai.

“Tapi abah dah tak ada,” balas Jimmy. Dia rasa keputusan ayahnya itu tidak adil. Sangat mementingkan diri.

“Memang abah dah tak ada tapi…” Johan menjawab lagi.

“Tapi apa?” Jimmy tidak puas hati.

“Sebab abah kata… mungkin satu hari nanti abang akan balik.” Johan pandang lama muka Jimmy. Kini, suasana dini hari itu menjadi begitu hening. Semua orang terdiam. Hatta cicak di atas para pun tidak lagi berbunyi.

Jimmy pula rasa terpukul. Lama dia tergamam. Berat untuk mengangkat muka. “Tiap-tiap malam ke macam ni?”

Hati yang tersentuh dipujuk cepat. Kesedihan yang dirasa cuba dikuis jauh. Apa pun kata ayahnya, dia masih belum dapat memaafkan orang tua itu. Kerana orang tua itulah, dia terpaksa merantau dan menjalani kehidupan yang perit selama bertahun-tahun.

Dia pernah meminta sedekah. Dia pernah mencuri. Dia pernah makan nasi basi. Semua kerana ayahnya. Malah dia menyertai Kumpulan Wuntai hanyalah kerana untuk menyelamatkan diri.

Tanpa sokongan sesiapa, dia mungkin sudah lama tidak bernyawa. Kota batu itu ada sisinya yang liar. Yang hitam. Yang kejam. Yang tidak pernah dilihat sesetengah orang kecuali manusia seperti dia.

“Setiap malam selepas arwah abah kamu tak ada.” Mak Jiha yang menjawab pertanyaan Jimmy. Lega sedikit jiwanya kerana telah dapat berkongsi masalah itu. Walau sejujurnya dia tidak mengharapkan apa-apa.

“Kalau abang nak tahu lebih lanjut, cuba abang tanya pak ngah esok,” kata Johan pula sambil memandang wajah Jimmy.

Jimmy tersenyum kelat.

“Marilah kita tidur dulu. Dah nak pagi ni. Esok Bahiyah sekolah, kan?” balasnya. Dia tidak mahu menjanjikan apa-apa. Kepalanya juga sudah pening dengan pelbagai masalah di situ. Lepas satu, satu pula yang keluar.

“Kita tidur ajelah di sini ramai-ramai,” balas Johan.

Jimmy tidak menolak. Lalu pada malam itu, mereka berempat tidur berdekatan setelah 15 tahun terpisah. Sayangnya sehinggalah ayam jantan mula berkokok, Jimmy masih terkelip-kelip. Sedikit demi sedikit perasaannya tewas. Wajah ayahnya terbayang di ruang mata. Sejujurnya dia tidak sangka, ayahnya menunggu dia pulang. Sedang dia leka melayan perasaan, dia terasa tubuhnya dihimpit sesuatu.

Bahagian belakangnya terasa lebih hangat. Tengkuknya terasa disentuh sesuatu yang lembut dan dingin. Terdengar juga bunyi orang tua yang sedang payah menarik nafas. Hidungnya terus mencium bau busuk, masam dan bau darah yang hanyir.

Dia bingkas menoleh. Dalam samar-samar, dia melihat seorang lelaki tua yang tidak berwajah, sedang berbaring di sebelahnya.

Spontan dia bangun lalu terlanggar ibunya.

“Kenapa Aazim?” Mak Jiha bingkas duduk dengan mata yang kuyu.

Jimmy menjeling ke tempat tidurnya namun lelaki aneh itu telah hilang. Tegak bulu romanya. Seram sejuk rasa badannya.

“Tak ada apa, mak,” balasnya sambil tersenyum pahit. Selepas itu dia tidur duduk bersandarkan dinding di sebelah Bahiyah. Sekarang dia mengakui, keadaan di kampung itu sudah berbeza.

******

SEMENTARA itu Ijam baru sampai ke jalan masuk ke Kampung Silak Tua. Disebabkan keretanya tiba-tiba sahaja naik suhunya di lebuh raya terpaksalah, dia berhenti agak lama. Mujurlah di hentian tol, ada mekanik yang datang membantu membetulkan kipas radiator yang tidak berfungsi. Akibatnya dia terlewat sampai ke kampung walaupun malam itu dia sepatutnya ke rumah Pak Salleh.

Jam dikerling sekilas. Mata sudah terasa kesat. Namun tempat yang dituju masih belum dilihat. Sesekali dia menghempas nafas yang berat. Namun sempat juga dia melontar pandangan ke arah rumah Pak Salleh yang sudah pun bertutup rapat.

Dia percaya kenduri tahlil sudah lama selesai. Tidak ada rezeki dia malam itu untuk menjamah hidangan Mak Yan dan menatap wajah Aisha yang manis. Sedang leka membayangkan wajah Aisha, dia terasa keretanya bergegar sedikit. Kemudian mula terasa berat. Bergerak pun agak perlahan walau minyak ditekan seperti biasa.

“Rosak apa pulak ni?”

Nafasnya mula sesak memikirkan pelbagai kemungkinan. Tetapi yang anehnya dia tidak mendengar bunyi-bunyi yang pelik atau melihat apa-apa tanda kerosakan yang nyata. Cuma terasa seperti membawa beban yang bertan beratnya. Keretanya seperti merangkak-rangkak di atas jalan raya.

Oleh kerana tidak ada pilihan, dia teruskan juga pemanduan tanpa ada keberanian untuk berhenti dan memeriksa. Apa-apa pun biarlah di rumah nanti, fikirnya. Dia pun teruslah memandu perlahan-lahan sehingga sampai ke halaman rumah.

Setelah mematikan enjin, dia mengambil beg baju yang diletakkan di atas kerusi penumpang di sebelahnya. Entah bagaimana dia terpandang ke cermin pandang belakang, barulah dia sedar apa yang berlaku. Sejuk mukanya.

Tanpa menunggu lagi, dia buka pintu kereta dan berlari ke muka pintu rumah. Diketuk bertalu-talu sambil tercungap-cungap mengatur nafas. Sebaik sahaja pintu rumahnya dibuka ibunya, dia terus menerpa masuk.

“Kenapa? Macam dikejar hantu aje?” Ibunya terkulat-kulat melihat Ijam yang ketakutan.

Ijam tidak menjawab apa. Dia berharap walau apa benda pun yang begitu ramai menumpang di atas keretanya tadi sudah pergi jauh. Sekarang baru dia tahu kenapa keretanya berat. Rupa-rupanya ada penumpang tidak berkepala.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.