Home Novel Seram/Misteri PUJA -sekali mengambil selamanya bertuan...
PUJA -sekali mengambil selamanya bertuan...
Maria Kajiwa
3/9/2013 11:35:10
65,460
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 6

Kampung Silak Tua

SEBAIK sahaja keretanya masuk ke simpang yang menghala ke kampungnya, semena-mena dadanya terasa senak. Degupan jantung melaju tidak tentu hala. Nafas tertahan-tahan. Keretanya juga terasa berat bagaikan dihempap sesuatu. Dia mula rasa tidak sedap hati dan teragak-agak.

Jimmy menelan air liur. Berhadapan dengan samseng jalanan pun tidak secemas itu, fikirnya. Sedikit kalut. Minyak ditekan, keretanya masih bergerak perlahan. Namun akhirnya dia sampai juga di hadapan pagar rumahnya yang sudah tidak berpintu.

Dengan tarikan nafas yang berat dia teruskan pemanduan perlahan-lahan. Keretanya mula menyusuri jalan kecil yang tidak bertar menuju ke halaman rumahnya. Dari jarak sepuluh meter, dia dapat melihat semula rumah yang pernah ditinggalkan dahulu.

Rumah itu tidak jauh berubah. Bentuk masih sama. Cat masih sama. Sayangnya sewaktu dia tiba, pintu hadapan dan tingkap-tingkapnya bertutup rapat. Dia mula tertanya-tanya. Mungkinkah ibu dan adik-adiknya memang benar telah meninggalkan tempat itu?

Enjin kereta dimatikan. Dia buka pintu kereta dan melangkah keluar dengan perlahan. Tapak kasutnya terus disambut tanah becak. Melihatkan tanah basah di serata tempat, dia percaya hujan telah turun di situ beberapa waktu yang lalu. Walaupun pada waktu itu langit sedang terang.

“Assalamualaikum!” Dia melaung di hadapan pintu rumah yang masih bertutup. Manalah tahu kalau-kalau ibu dan adik-adiknya sedang berada di dapur. “Assalamualaikum!”

Sesaat demi sesaat berlalu. Masih tiada sebarang bunyi mahupun jawapan yang didengarinya. Dia menarik nafas panjang, kemudian mengambil keputusan untuk menjenguk pintu dapur yang berada di sebelah kiri rumah. Baru sahaja memulakan langkah, terasa bulu tengkuknya meremang.

Dia menoleh ke belakang. Terasa seperti ada sesuatu menyentuh lehernya pula. Dia menepis tetapi tidak ada apa-apa. Aneh. Sedang terfikir-fikir apa yang harus dibuat, dia terdengar bunyi deruman enjin motorsikal menuju ke arah rumahnya. Dia terus menoleh.

*****

TIDAK JAUH jauh dari jalan masuk rumahnya, dia terlihat seorang pemuda sedang membonceng seorang perempuan tua. Kedua-duanya juga terpinga-pinga melihat dia dan keretanya yang diparkir di tengah halaman. Jantungnya makin laju. Sesekali terasa hendak pitam.

Untuk beberapa detik, Jimmy dan dua orang yang berdiri di hadapannya sama-sama terdiam dan tidak bergerak. Masing-masing terpaku dengan mata yang tidak berkelip.

“Mak!”

Jimmy meluru ke arah ibunya, Mak Jiha. Diraihkan kedua belah tangan, dicium dan dipeluk tubuh tua itu dengan sepenuh perasaan rindu dan sedih. Lama dia begitu, larut dalam perasaan yang berbaur. Mengalah kepada sebuah kerinduan yang lebur.

“Aazim? Ya, ALLAH….” Mak Jiha mengetatkan pelukannya dan akhirnya dia tersedu-sedu di bahu anaknya.

Mata Jimmy terpejam.

“Ke mana Aazim pergi selama ni…” Mak Jiha bertanya, bersulam esak yang belum reda. Kemudian melepaskan pelukannya. Diraih pula muka Jimmy dengan kedua belah tangannya, ditatap sekejap sebelum dicium kedua belah pipi Jimmy.

Bagaikan terkena renjatan elektrik, tubuh Jimmy sejuk tidak bernafas. Sentuhan, tatapan dan ciuman penuh kasih itu seperti telah memadamkan sebahagian hidupnya yang kotor dan hitam. Betapa selama 15 tahun dia telah kehilangan kasih sayang seorang ibu yang murni. Hari itu, dia terasa bagaikan menemui semula sebahagian daripada dirinya yang telah hilang.

“Mak dan adik-adik sihat tak?” Jimmy tidak mahu menjawab pertanyaan ibunya. Biarlah perkara itu ditolak ke tepi dahulu. Dia belum bersedia walaupun dia tahu itulah yang ingin sangat diketahui oleh ahli keluarganya.

“Macam nilah.” Mak Jiha juga seperti keberatan. Kemudian mata Mak Jiha melilau bagaikan mencari sesuatu. “Marilah naik. Aazim balik sorang aje ke?”

Jimmy tersenyum. Dia faham apa yang dimaksudkan oleh ibunya. Ya, dia tahu dia sudah berumur hampir 31 tahun, secara logiknya dia sepatutnya sudah berkeluarga. Namun orang seperti dia, perkara itu tidak sesuai untuk difikirkan.

“Sorang aje, mak.” Jimmy melangkah ke hadapan sambil memegang lengan ibunya. Entah kenapa, dia seperti tidak mahu lagi melepaskan tangan tua itu. Terlalu sayang.

“Abang…” tegur pemuda yang ralit memerhati Jimmy sejak tadi. Di matanya bersinar rasa kekaguman.

“Johan…,” bisik Jimmy. Perasaannya sukar diungkap apabila melihat Johan yang sudah besar panjang, menjadi seorang pemuda yang tenang. Mengikut kiraannya, Johan sudah berusia dalam lingkungan 18 tahun.

Tanpa diduga, Johan memeluk tubuhnya. Jimmy agak kaget tetapi tetap membalas pelukan adiknya yang pernah ditimang dan didukung sewaktu kecil. Sekali lagi dia dihambat rasa sayu dan bersalah.

“Mari naik.” Mak Jiha tepuk bahu Johan beberapa kali sebelum menaiki tangga batu menuju ke pintu. Pintu rumah dibuka lebar.

“Jom, bang!” Johan juga menarik lengan Jimmy.

“Johan dengan mak, ke mana tadi?” Jimmy cuba memecahkan kejanggalan antara dia dan Johan. Mungkin menerusi adiknya, situasi di situ tidaklah seteruk mana.

“Ke kubur abah,” balas Johan sebelum melepaskan tangan Jimmy.

Jimmy terdiam. Terus dihukum rasa bersalah.

*****

SECANGKIR air teh kosong sudah terhidang di atas meja kopi. Jimmy duduk di atas kerusi kayu yang sama, di tempat di mana dia pernah diherdik dan dimarahi ayahnya dahulu. Dia jadi sedar bahawa dalam tempoh yang begitu lama, kehidupan ibu bapanya tidak banyak berubah kecuali tangga di hadapan rumah yang sudah berganti dari tangga kayu kepada tangga batu. Dan pelantar yang tidak siap. Itu sahaja.

“Minum, bang,” tegur Johan. Dituangnya secawan teh kosong untuk Jimmy lalu cawan itu dihulur dengan sedikit rasa bersalah. “Air... air kosong aje.”

“Tak apalah,” balas Jimmy.

Tekaknya tidak berasa haus dalam keadaan yang serba janggal itu. Semua keadaan menunjukkan keluarganya sedang berada dalam kesempitan namun tetap pasrah. Sejujurnya dia tidak dapat lari dari rasa malu dan bersalah.

“Johan dah habis sekolah, kan? Johan buat apa sekarang?” Diteguk air teh yang manisnya sekadar ada rasa. Sekali lagi, rasa pilu menghambat dada. Mungkinkah di rumah itu tidak ada gula?

“Buat sementara ni… saya kerja di kedai runcit tepi simpang kampung kita tu. Sementara menunggu keputusan masuk universiti.” Johan menoleh sekilas.

Jimmy angguk perlahan. Berpura-pura faham. Namun sejujurnya dia takut untuk bertanya lagi. Makin ditanya makin berat tanggungan perasaannya. Itu pun pada bila-bila masa sahaja dia akan dihukum lagi oleh seribu persoalan.

“Maafkan abang sebab lambat tahu…” Dia tidak berani memandang muka Johan. Namun hal itu perlu dibincangkan juga kerana itulah tujuan dia balik ke situ.

Johan diam sahaja. Mungkin tidak tahu apa yang harus dijawab.

“Abah sakit apa?” Kali ini Jimmy menjeling wajah Johan yang makin muram. Dia rasa kesal tetapi semuanya sudah berlaku.

“Abah… abah tak sakit.”

“Habis tu?” Jimmy tidak faham. Mustahil abahnya jatuh pokok pula, fikirnya.

“Kena tembak.”

Kening Jimmy terangkat tinggi. Kena tembak? Pertanyaan itu bergema dalam hati. Betul ke ni? Dahinya berkerut. Bibirnya bergetar tetapi tidak ada suara yang keluar. Rasa terkilan dan rasa tidak percaya mula berbaur.

“Abah kena tembak dua das dekat kebun getah. Selepas dua hari… baru kami jumpa.” Suara Johan bergetar.

“Selepas dua hari?”

Johan angguk. “Sebelum tu kami dah cari merata. Cuma tak ada siapa terfikir hendak ke kebun berdekatan bukit sebab tempat tu jauh. Mujurlah ada orang luar yang masuk ke situ untuk mencari rotan kerai. Dialah yang jumpa mayat abah.”

Cerita Johan membuatkan hati Jimmy terasa sakit bukan kepalang. Selama ini dia mengambil nyawa orang tanpa perasaan tetapi sekarang seolah-olah semua perasaan sakit itu merempuh dadanya serentak. Rasa marahnya memuncak sehingga terasa otaknya menggelegak. Tidak sedar dia berpeluh.

“Abang tak baca surat khabar? Ada masuk dalam surat khabar dua minggu lepas.” Johan pandang mukanya. “Ada gambar abah.”

Air liur pun tidak tertelan kali ini. Dengan lemah dia menggeleng sambil menyapu peluh di sekitar hidung dan mulut.

Johan angguk. “Polis sedang siasat.”

“Mungkin tersalah orang,” kata Jimmy kemudian. Apabila difikirkan semula, tidak ada sebab kenapa ayahnya perlu ditembak. Ayahnya hanya seorang penduduk kampung, seorang penoreh getah dan pekerja kilang papan. Lagipun kes tersalah tembak bukan perkara aneh. Dia juga pernah begitu.

“Entahlah. Polis pun masih tak jumpa motif.”

“Bahiyah mana? Tak nampak pun dari tadi.” Jimmy menukar topik. Bagi dia hal serumit itu tidak akan tercapai dek akal Johan tetapi dia tidak akan duduk diam begitu sahaja. Sia-sia sahaja dia menjadi anak jantan kalau kematian ayahnya tidak terbela. Dia akan cari puncanya sampai dapat. Itu janji dia.

“Dia di rumah pak ngah. Malam ni ada kenduri. Tadi kami pun ke sana tolong apa yang patut sebelum mak ajak ke kubur. Malam nanti abang pergi sekali ya.” Johan tersenyum.

Kali ini rasa tekaknya kesat. Dia terbatuk-batuk kecil.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.