Bab 3

Hal semalam segera dilupakan oleh Suri. Tidak mahu mengusutkan fikiran dengan sesuatu yang tidak pasti dan sememangnya perlu dirahsiakan daripada pengetahuan Yaya. Hari itu hari Ahad. Masa yang ada digunakan sepenuhnya oleh mereka untuk mengemas barang-barang rumah. Apabila kerja dilakukan oleh dua orang, segalanya menjadi cepat. Hampir separuh mereka bertungkus lumus memgemas, segalanya hampir siap. Hanya tinggal barang-barang kecil saja untuk disusun.

Petang itu Suri perlu menghantar Yaya pulang ke kampus yang terletak di Shah Alam. Ini bermakna, Suri akan tinggal berseorangan sehinggalah cuti semester Yaya bermula dalam dua minggu lagi. Jam 6:00 petang Suri sampai dirumahnya. Kawasan apartment barunya tidaklah terlalu besar. Hanya mempunyai dua blok bangunan saja. Tempat letak kereta pun masih belum penuh dan mereka tidak perlu berebut-rebut.

Selalunya pada masa-masa begitu, ramai kanak-kanak akan bermain-main diluar rumah. Tetapi tidak di situ. Suasana hanya sunyi sepi. Sekali sekala ada terdengar tangisan bayi yang sayup sayup berteriak.

"Lif rosak pulak. Alamak!."

Dengan keluhan, Suri menaiki anak tangga dari aras bawah ke tingkat enam. Suasana dibahagian tangga suram dan kelam. Lampu-lampu tangga begitu malap dan ada juga yang telah terpadam. Basah bajunya dek peluh yang mencurah-curah keluar. Digagahi jua sehingga ke tingkat enam walaupun kelelahan dan tercungap-cungap. Dia berhenti sejenak mengambil nafas ditangga yang paling akhir.

Suri merasakan ada sesuatu yang melintas dibelakangnya. Apabila berpaling, hanya dia saja yang berada disitu. Jantungnya berdegup laju tetapi masih dapat dikawal. Dari bawah, terdengar daun pintu dikuak dari luar.

Kreokkkkk....

Tap..tap...tap...

Hati Suri berasa lega menyedari ada seseorang yang sedang memanjat tangga sama sepertinya. Bunyi tapak kasut semakin lama semakin kuat dan dekat. Suri tertunggu-tunggu siapakah gerangan yang menaiki tangga tersebut. Tiba-tiba bunyi tapak kasut tersebut hilang dari pendengarannya. Walau bagaimanapun, rambutnya menggerbang bagaikan ditiup angin dan bulu tengkuknya berdiri tanpa dipinta. Bunyi tapak kasut yang hilang tadi kedengaran dibahagian atas pula.

Menyedari ada sesuatu yang tidak kena, Suri segera melangkah keluar dari ruang tangga berkenaan. Koridor diaras apartmentnya juga kelihatan suram. Dihujung sana, terdapat satu kumpulan wanita sedang bersembang. Apabila dia semakin dekat menghampiri kumpulan tersebut, mereka berbisik-bisik sesama sendiri. Suri tiada mood untuk menegur setelah teringat kejadian yang berlaku sebentar tadi. Dia hanya menghadiahkan sebuah senyuman tawar kepada mereka.

Daun pintu dikuak dari luar setelah kuncinya dibuka. Diluar sana, sudah kedengaran suara orang mengaji dari masjid berdekatan. Suri segera membersihkan diri dan mengambil wudhuk. Setelah menunaikan solat Maghrib dia makan berseorangan dan makanan telah dibungkus siap-siap selepas menghantar adiknya tadi.

Suri membuka televisyen untuk mengatasi rasa sunyi. Baru teringat kainnya masih belum disidai. Dia menapak ke bahagian balkoni dapur lalu menyidai pakainnya yang dibasuh siang tadi. Apabila melangkah ke ruang tamu semula, tv yang dipasang tadi terpadam dengan sendirinya.

"Hmmm...patutlah sunyi. Rosak ke tv aku ni?" Suri bermonolog sendirian.

Malas berfikir yang bukan-bukan dia cuba membuka semula siaran tv yang ada. Namun masih tidak berfungsi. Skrin tv tetap bergelap. Dia mengetuk-ngetuk remote tv dan memeriksa bateri. Apabila ditekan semula, siaran tv kembali seperti sediakala. Memandangkan esok waktu berkerja akan bermula, Suri ke bilik ketiga yang dijadikan 'laundry room' untuk menggosok baju.

Lima helai pakaian dipilih dan kesemuanya digosok lalu digantung didalam almari. Rumahnya yang riuh dengan suara tv kembali senyap dan sunyi. Setelah selesai kerjanya, Suri ke ruang tamu semula. Tepat seperti dijangka, tvnya kembali terpadam. Dengan membuat kesimpulan mungkin tvnya rosak, dia masuk saja ke bilik dan menggodek telefon pintarnya sambil terbaring. Tidak sampai setengah jam Suri terlelap.

Dia tersedar entah jam berapa. Terjaga apabila terdengar bunyi air yang berjatuhan dari air hujan bilik mandi dibahagian dapur. Seperti seseorang sedang mandi tetapi persoalannya siapa? Bulu romanya kembali meremang. Dia membaca ayat-ayat suci yang dihafal. Jelas sekali bunyi pintu bilik air ditolak kasar. Maklumlah, apabila malam yang sunyi sepi bunyi jarum jatuh pun dapat didengari.

Setelah itu, derapan tapak kaki kuat sekali menghentak lantai dan sekali lagi bunyi pintu dibilik Yaya dihempas kuat. Suri menarik selimutnya hingga ke paras leher. Tidak peduli dengan peluh yang membasahi tubuhnya asalkan dapat menghilangkan rasa gementar. Ingatkan situasi mendebarkan tersebut habis disitu saja. Ketakutan kembali menyerang Suri apabila bunyi kaca pecah yang sangat kuat datangnya dari bilik Yaya. Serentak dengan itu, cuping telinganya menangkap bunyi tangisan seseorang lelaki! Sungguh sayu dan pilu mendengarkan suara tangisan tersebut!

Suri kembali membaca ayat-ayat suci Al Quran. Bilah-bilah kipas siling semakin perlahan berpusing dan akhirnya terhenti. Terpaksalah Suri menahan kepanasan seperti berada didalam sebuah oven. Akhirnya dia tertidur juga walaupun dalam ketakutan.

*******************************************

Aku terserempak dengan Suri ketika menaiki lif. Jelas riak muram terpancar dari matanya. Hatiku meronta untuk bertanya dengan lebih lanjut, tetapi perbualan kami terbatas kerana ramai orang didalamnya. Aku memberi isyarat supaya dia menelefonku apabila ada masa lapang ataupun semasa rehat nanti.

Seperti kebiasaan, apabila tiba waktu rehat kami berpakat untuk makan dimana. Itupun jika semua dapat menikmati masa rehat. Jika tidak, biskut kering dipantry saja menjadi santapan kami yang dicicah dengan teh o.

Kami memilih kedai makan yang agak jauh dari orang ramai. Kedai sup tulang Mak Bedah juga terletak sederet dengan kedai makan Along. Kami melintasi jalanraya Tun Razak yang begitu sesak dengan kenderaan yamg bertali arus. Setelah mengambil makanan dan minuman yang dipesan pun tiba, aku tidak sabar-sabar lagi untuk bertanya sesuatu kepada Suri.

"Suri, macam mana rumah baru?"

"Bolehlah"

"Bolehlah? Meaning?"

"Rumah tu baru renovate, jadi nampak baru. Sewa pun murah walaupun bilik ada tiga."

Jawapan Suri tidak memuaskan hati aku. Aku tahu ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Suri. Bab tu memang Suri mengalah apabila aku mendesaknya berkali-kali.

"Ok..aku cerita. Kau ni Ruby kalau bab memujuk surrender aku jadinya."

Aku cuma tersengih sambil menyuap makanan. Lapar beb.

"Keadaan rumah tu memang ok sangat-sangat. Yang tak oknya, bila aku rasa bukan aku saja yang duduk kat situ"

"Erkk..maksud kau?." Aini menyampuk setelah sekian lama menjadi pendengar.

"Tu aku tak pasti. Semalam selepas aku hantar Yaya ke Shah Alam, tv yang aku pasang tertutup dengan sendiri. Lepas tu aku terjaga tengah-tengah malam sebab bunyi macam ada orang tengah mandi," Suri sambung bercerita sehinggalah ke bahagian kipas silingnya juga terpadam.

"Perasaan kau je kot. Rumah apartment ni kalau orang sebelah mandi pun kita dengar macam dekat je. Malam kan sunyi," Kak Noly memberi pendapatnya.

"Malam-malam kau bacalah surah Yasin. Jiran-jiran kat sana ok tak," tanya aku.

"Hmmm..ni pun satu hal. Aku tak tahu la mereka ni ada masalah ke apa. Asal nampak muka aku je tutup pintu. Aku lalu je mereka pandang aku semacam. Pening aku."

"Sabar eh. Mungkin ambik masa sikit kot. Esok lusa ok la tu," balas aku.

Suri memang terkenal sebagai seorang yang peramah. Dia suka menegur orang terlebih dulu dan melayannya sama rata tanpa mengira status. Satu sikap yang membuatkan kami berdua menjadi kawan baik sehingga kini walaupun aku telah berpindah ke tempat baru kami tetap berhubung seperti biasa.

"Tengoklah macam mana. Aku cuba lagi lepas ni," kata Suri.

Setelah waktu rehat tamat, kami kembali ke pejabat masing-masing yang terletak di aras yang berbeza. Cuma aku dan Suri saja berkerja di aras yang sama.

******************************************

Tepat jam 5:00 petang Suri akan pulang ke rumah. Rutin seperti kebiasaannya dia akan menyinggah dipejabat aku sekejap sebelum balik.

"Ruby, aku nak balik dulu. Lambat-lambat kang makan jem aku"

"Baiklah Suri. Hati-hati tau. Jumpa lagi esok ye"

"Kau pun sama. Assalamualaikum"

"Waalaikumsalam."

Suri berlalu dan aku sempat menitipkan pesan agar sentiasa mengaji atau memasang ayat-ayat ruqyah didalam rumah.

Suri singgah di warung berdekatan untuk membungkus makan malamnya. Deruman enjin kereta dimatikan setelah memasuki ruang tempat kereta. Lif telah dapat beroperasi seperti biasa. Butang tertera nombor enam ditekan dan lif bergerak perlahan-lahan ke tingkat yang berkenaan.

Terdengar suara riuh rendah sekumpulan wanita sedang berbual disuatu sudut. Suri melemparkan senyuman seraya melintasi kumpulan tersebut sambil memperkenalkan diri.

"Assalamualaikum. Saya Suri, penghuni baru disini. Selamat berkenalan dengan akak-akak semua" Suri menghulurkan tangan untuk bersalaman.

"Walaikumsalam. Ohh, kamu la penghuni baru tu. Nama akak Maya, ni Kak Loma dan ni Kak Umi. Kamu duduk sorang je ke?"

"Buat masa ni saya duduk sorang je kak. Tak lama lagi adik saya akan cuti semester dan dia akan duduk sekali kat sini"

"Ok ke rumah tu dik?," tanya Kak Loma.

"Errrr...ok je kak. Takde masalah." Suri berasa pelik dengan soalan Kak Loma.

"Baguslah. Jaga diri baik-baik tau. Kalau ada apa-apa bagitahu je kami. Jangan tinggal solat ye. Mengaji tu kena selalu," pesan Kak Umi pula.

Suri semakin gelisah. Dia meminta diri ketika azan Maghrib baru saja berkumandang. Tergesa-gesa dia membuka pintu dan memetik suis lampu. Entah cuma ilusinya saja ataupun bukan, dia ternampak kelibat seorang lelaki tidak berpakaian sedang berdiri dimuka pintu dapur. Suri beristghfar panjang sambil mengurut-ngurut dadanya.

Dia mencapai tuala yang tersangkut dirak untuk membersihkan diri dan mengambil wudhuk. Usai solat Suri mengambil surah Yasin untuk dibaca. Baru saja kalimah Bismillahirohmanirrahim dibaca, rongga pernafasan Suri menangkap satu bau kemenyan yang menyesakkan dada.

Tersekat-sekat pernafasannya apabila bauan tersebut menyerbu lubang hidungnya. Dia tidak menghiraukan gangguan tersebut dan menumpukan perhatian kepada bacaan ayat-ayat suci Al-Quran itu.

Dummm..!

Suri tersentak apabila pintu biliknya terhempas dengan kuat tanpa sebab. Terketar-ketar tubuhnya dan perasaan takut mula menguasai diri. Bacaannya semakin dipenghujungnya. Dia mencium surah Yasin tersebut lalu diketakkan ke tempat asal. Telekung dan sejadah dilipat dan diletakkan ke atas rak. Bau kemenyan yang menusuk hidung sudahpun hilang.

Pintu yang terkatup rapat dibuka perlahan-lahan. Kepalanya dijengukkan keluar umtuk memerhatikan suasana keliling.

"Dugaan apa lagi ni? Cukup-cukuplah tu" Suri berkata sendirian.

Dia menggagahkan diri untuk duduk diruang tamu. Remote tv ditekan dan skrin tv mula menayangkan siarannya. Dia kedapur untuk mengambil pinggan dan sudu lalu meletakkan makanan ke dalam pinggan.

Prangggg...pranggg..

Suapan Suri terhenti apabila bunyi kaca yang pecah berderai datangnya dari bilik Yaya. Dia meletakkan pinggan ke tepi. Langkah diayunkan menuju ke bilik Yaya. Perasaan ingin tahu yang membuak-membuak membuatkan perasaan takutnya hilang entah kemana. Tombol pintu dipulas dan suis lampu dipetik.

Klikk..

Ruang bilik menjadi terang benderang dalam sekelip mata. Dicari-carinya cermin yang pecah tadi tetapi tidak dijumpai. Suri berpusing untuk keluar dari situ. Hampir saja kakinya terpijak akan kepingan kaca yang yang pecah. Dahinya berkerut seribu.

"Eh, tadi takde pun kat sini? Mana datangnya pulak?

Suri mengambil tong sampah lalu duduk mencangkung untuk mengutip kepingan kaca yang pecah. Tidak semena-mena jarinya terhiris oleh kepingan kaca yang tajam. Menitis-nitis darah ke atas kaca yang berderaian. Tidak dihiraukan dengan darah tersebut dia cuba mengutip kepingan yang terakhir.

Terduduk Suri apabila terlihat imej seorang lelaki yang berwajah pucat dipantulkan dari kepingan terakhir itu. Tanpa membuang masa, dia terus saja keluar tanpa menutup lampu. Nafasnya turun naik apabila teringatkan wajah yang menakutkan itu.

"Tak boleh jadi. Aku kena tanya Kak Diba!," nekad Suri.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh