Bab 2

Lima hari telah berlalu. Suri berjaya mengaturkan janji temu dengan beberapa orang pemilik rumah sewa. Seperti yang dijanjikan, aku dan Suri akan pergi ke lokasi yang dinyatakan seperti didalam iklan.

Seperti selalu, Suri akan singgah ke pejabatku sebelum balik.

"Ruby, esok jadi tak?"

"Mestilah jadi. Esok aku free. Lagipun dah janji kan nak tolong kau cari rumah sewa"

"Hehehehe. Ok. Aku tolong ingatkan je tadi. Tapi kan, aku tak biasa la area Wangsa Maju dan Sri Rampai tu"

"Ooo...tak jadi masalah. Esok aku bawakkan. Tak jauh pun dari rumah aku tu. Jam 9:30 macam tu boleh la kita gerak"

"Settt..jumpa esok Ruby"

"Alrite. Jumpa esok ok? Aku balik lambat sikit ni bos aku ada kes urgent"

"Baiklah. Hati-hati memandu. Bye Ruby"

"Kau pun sama Suri. Bye."

****************

Tibalah hari yang dijanjikan. Kami menuju ke lokasi seperti yang dicatatkan pada buku Suri. Beberapa buah rumah telah kami lawati. Tetapi setelah mengambil kira jarak, kos serta harga sewa rumah Suri terpaksa menolak semua pilihan yamg ada. Waktu berlalu dengan pantas sehingga kami lupa untuk makan tengah hari.

Usai menunaikan solat Zohor, kami singgah di Jaya Jusco Setiawangsa untuk makan dan membeli sedikit barang keperluan. Dalam beberapa minit makanan yang kami pesan tiba dimeja.

"Ruby, aku buntu ni. Masa dah makin suntuk. Sebijik rumah pun aku tak berkenan. Aku takde la cerewet sangat asalkan senang aku nak pergi kerja je. Kau pun tengok kan tadi macam mana keadaannya?"

"Aku faham Suri. Bukan senang nak cari rumah dalam masa terdekat. Tapi kita usaha dulu. Mana tau ada rezeki. Ada satu tempat lagi kan kita belum tengok lagi? Dekat je tu. Lepas habis makan kita pergi ye?" aku memujuk Suri.

Bukan tidak simpati ke atas nasib yang menimpa ke atas Suri, apakan daya aku hanya dapat membantu sedaya yang termampu. Setelah makan dan membeli sedikit barang kami bertolak ke lokasi seterusnya yang hanya beberapa minit dari situ. Sebuah rumah kedai yang terletak di atas bangunan kedai 7-11 di Keramat. Kami memanjat anak tangga satu persatu lalu mengetuk pintu dan memberi salam.

Beberapa saat kemudian terdengar derapan tapak kaki yang menuju ke pintu utama.

Klakkkk..

"Waalaikumsalam. Kak Suri ye?" soal seorang gadis yang berbadan gempal.

"Ye saya. Ni kawan akak, Kak Ruby."

Setelah bersalaman kami dibawa masuk untuk meninjau kawasan. Seorang lagi gadis yang baru keluar dari bilik mandi dan menutup kepalanya dengan tuala melemparkan senyuman ke arah kami berdua.

"Ni Linda. Salah seorang housemate. Errr...Kak Suri ni dah kerja kan?" soalnya lagi.

"Ye dik."

"Ohh..kami berdua baru habis SPM. Jemputlah tengok keadaan rumah ni."

Kami memeriksa keadaan rumah tersebut. Dari raut wajah Suri, aku tahu dia kurang berkenan dengan rumah tersebut. Sementelah lagi, ruang letak kereta pula terhad dan risiko berlakunya jenayah adalah tinggi. Itulah kami, sentiasa fikirkan kemungkinan negatif yamg mungkin terjadi.

"Terima kasih dik. Apa-apa hal akak akan hubungi adik kemudian ye. Kami mintak diri dulu. Assalamualaikum" Suri melangkah menuruni anak tangga.

Suri masuk kedalam kereta dengan kehampaan. Simpatiku semakin menggunung.

"Sabar Suri. Ada lagi beberapa hari. Insya Allah sempat" pujukku sambil mengusap lengannya.

"Entahlah Ruby. Aku tak yakin la. Tengok je la nanti macam mana kesudahannya."

Tiba-tiba ada mesej masuk melalui telefon bimbit Suri. Dia membaca mesej tersebut sambil tersenyum.

"Ada seoramg lagi ni. Tapi kat Jalan Klang Lama. Tuan rumah baru je mesej."

"Tapi dah hampir Maghrib ni. Tak sesuai kalau kita nak tengok sekarang. Hari pun dah nak hujan," kata aku.

"Ye tak ye. Kau hantar aku ke stesen LRT la. Aku parking kereta kat Nu Sentral," kata Suri.

"Eh, takpe la. Aku hantar je kau ke sana. Bukan jauh sangat pun."

Suri tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kepada aku. Setelah menghantar Suri ke Nu Sentral, aku meredah jalan Tun Sambanthan dan Brickfields untuk pulang ke rumah.

*********

Besoknya semasa di pejabat, wajah Suri kelihatan sangat ceria. Aku tidak sempat bertanya kerana bos menggamitku untuk berjumpa dengannya didalam bilik.

Tiba waktu makan tengah hari, seperti biasa kami berjanji akan bertemu digerai Along. Kedai yang bertentangan dengan Menara Celcom itu sentiasa penuh kerana makanannya yang sedap dan terkenal dengan goreng pisangnya yang paling sedap di KL!

"Ruby, aku dah jumpa rumah baru," kata Suri sebelum sempat aku melabuhkan punggung dikerusi."

"Iya? Yang kau cakap semalam tu ke? Kau dah pergi tengok?"

Suri menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Aikk..dah tu, kau setuju ke?"

"Ye. Aku setuju je. Lagipun sewa memang murah. RM550 untuk tiga bilik. Mana nak cari semurah tu kat KL ni" ceritanya teruja.

Suri menunjukkan gambar rumah tersebut kepadaku. Tak dinafikan, ruang rumah kelihatan selesa walaupun sederhana besar. Tambahan pula tuan rumah tersebut baru saja selesai membuat pengubahsuaian pada rumahnya.

"Hmm..boleh tahan. Kira jadi la ni?" soalku meminta kepastian.

"Jadi la kot. Aku dah bayar deposit. Sebulan je tau termasuk air dan elektrik. Lori angkat barang semua pun aku dah uruskan."

Aku tidak dapat berkata apa-apa lagi. Sebagai rakan aku tumpang gembira walaupun aku berasa tidak sedap hati dengan keputusan terburu-buru oleh Suri.

"Bila kau nak pindah?"

"Sabtu ni. Aku dah deal dengan En. Osman tentang lori tu."

"Sabtu ni? Emm...aku mintak maaf Suri. Aku tak dapat nak tolong kau. Aku terpaksa ikut bos ke Perak. Ada meeting. Kau tau la kan turn aku pulak pergi sana," jelasku sedih.

"Eh, takpe. Kau tak payah risau Ruby. Adik aku si Yaya tu tak lama lagi nak cuti semester. Kebetulan Sabtu ni dia lapang. Jadi boleh la dia datang tolong."

"Aku doakan semuanya berjalan lancar ok?"

"Terima kasih Ruby."

"Sama-sama."

Ralat juga sebenarnya tak dapat sumbangkan tenaga disaat-saat seorang rakan baik memerlukan kita. Tetapi tuntutan tugas membataskan segala-galanya. Nasib baiklah bidang kami sama dan masing-masing saling memahami.

*******************************************

Kerja-kerja mengangkut barang berjalan dengan lancar. Jarak dari Kerinchi ke Jalan Klang Lama tidaklah mengambil masa yang agak lama. Ini merupakan kali pertama Suri melihat rumah barunya. Manakala dari Kuala Lumpur ke Perak, jantungku tak henti berdegup kencang. Hati selau teringatkan Suri. Aku cuba berfikir positif kerana perlu memfokuskan kepada pemanduan.

Rumah sewa baru Suri berada ditingkat enam, pintu nombor 21. Senang cerita pintu 621. Barang diangkut menggunakan lif barang yang terletak dibahagian belakang. Walaupun masih bujang, barang-barang Suri agak banyak. Sesi perpindahan berlangsung pada waktu pagi.

Tingkat tersebut terasa sunyi seperti tiada penghuni. Sedangkan banyak pakaian dijemuran. Suri tidak menghiraukan perasaan tersebut dan mengarahkan barang-barangnya disusun disudut tertentu.

"Terima kasih Encik Osman. Ni bayarannya" Suri menghulurkan sejumlah bayaran seperti yang telah dipersetujui dan disambut dengan senyuman lebar oleh lelaki berusia itu.

"Yaya, jangan nak rehat sangat. Tolong akak susun semua barang ni," arahnya.

Selesai menyusun barang diruang tamu, perut mereka berbunyi kerana kelaparan. Mereka berdua bercadang untuk makan diluar saja. Dapur masih belum lengkap dikemas.

Satu jam kemudian mereka balik ke rumah baru. Jam menunjukkan tepat pukul 10:00 malam. Ketika berjalan menuju ke rumah, mereka terserempak dengan seorang jiran wanita yang baru saja keluar membuang sampah. Suri dan Yaya bercadang untuk bertegur sapa dengan jiran baru mereka.

Sebaik saja melintasi rumah itu, Suri yang sedang melemparkan senyuman manis, serta merta berubah air mukanya apabila wanita itu mencerlung tajam ke arah mereka lalu menghempaskan pintu rumah sekuat hati.

Suri dan Yaya tersentak.

"Kenapa tu kak?," tanya Yaya.

"Entah! Tak payah masuk campur la hal orang. Dia bad mood kot."

"Pelik la kak. Gerun Yaya"

"Biarkan. Kita baru je kat sini. Tak baik judge orang macam tu. Lain kali kita sapa lagi."

"Huh..tak ingin Yaya!."

Suri cuma mampu bersabar. 'Orang muda anginnya lain macam,' bisik hatinya.

Pintu dikunci dari dalam sebaik saja memasuki rumah. Yaya yang masuk kebiliknya menjerit memanggil nama Suri.

"Kak Suri, sini kejap!"

"Kenapa Yaya" Suri tersembul dimuka pintu selepas namanya dipanggil.

"Akak ada usik ke barang Yaya tadi?"

"Ni baru akak masuk bilik Yaya. Kenapa Yaya tanya?"

"Ni ha..cermin Yaya pecah. Nukan cermin tu je, tengok cermin bedak compact Yaya pun pecah."

Dahi Suri berkerut. Dia membelek-belek beberapa barang yang didakwa rosak oleh Yaya.

"Hmmm...terjatuh kot" Suri bersangka baik.

"Yaya tak sempat gantung lagi kak cermin ni. Tadi Yaya letak kat lain tau. Ni beralih tempat pulak. Jangan-jangan rumah ni...." kata-kata Yaya terhenti.

"Jangan mengarut la Yaya. Buang je cermin tu. Esok kita beli baru" Suri berlalu selepas berkata begitu.

Dia menapak ke bilik tidur. Nak menonton tv pun badan terasa terlalu penat. Kesudahannya dia merebahkan badan kekatil. Segala urat saraf dibetulkan. Tiba-tiba Suri terasa dirinya diperhatikan. Badannya terasa seram sejuk dan gelisah.

"Ni aku tak suka ni. Masa-masa ni pulak rasa lain macam. Jangan ganggu boleh tak? Aku nak tidur. Penat" omel Suri.

Dia terpaksa memberanikan diri. Lampu tidur disisi katil pula berkelip-kelip. Beberapa saat kemudian terdengar mentol pecah lalu lampu tersebut terpadam. Suasana bilik gelap gelita. Tanpa membuang masa Suri bangun dan mengetuk pintu bilik Yaya.

"Akak ni dah kenapa? Tadi cakap nak tidur?"

Akak nak tidur sini malam ni. Tilam akak ada pijat. Tak boleh nak tidur," Suri berdalih.

"Hmm..masuklah." Yaya membuka pintu luas sedikit memberi ruang kepada Suri untuk masuk.

"Thanks Yaya"

"Emmmm."

Sebelum dapat melelapkan mata, Suri terpandangkan satu kelibat yang sedang memerhatikan mereka disebalik langsir ditingkap bilik Yaya. Kelibat tersebut tidak berapa jelas tetapi berjaya membuatkan bulu romanya meremang hebat. Persoalannya, mereka berada ditingkat enam, siapa yang dapat berdiri diluar sebegitu pada waktu-waktu begini?

Suri berkalih mengadap Yaya yang sedang lena tidur. Dia amat mencemburui Yaya yang dapat tidur tanpa sebarang gangguan. Dia membaca doa tidur dan surah-surah lazim lalu menutup kelopak matanya rapat. Seketika kemudian, dengkuran mereka bersatu tetapi berlainan mimpi.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh