Bab 5

"Yaya tidur dengan akak ye malam ni?," pinta Suri.

"Tapi kenapa kak?  Yaya kan ada bilik sendiri?"

"Tolong dengar cakap akak.  Tidur je dalam bilik akak malam ni".

Yaya memuncungkan mulutnya.  Dia inginkan privacy jika duduk dibiliknya sendiri.  Sebaliknya ditegah oleh Suri.

"Cakap sikit merajuk.  Dah! Akak belanja tengok wayang.  Tu pun kalau nak la"

"Eh..nak la.  Lagi mau tanya ka?."

Mereka berdua ketawa serentak.  Suri dan Yaya memang rapat antara satu sama lain kerana mempunyai minat yang sama iaitu menonton wayang dan bermain bowling.

Mereka sampai dirumah hampir jam 9:00 malam.  Seperti biasa, suasana di apartment tersebut memang sunyi.  Mungkin masing-masing lebih selesa berada didalam rumah.  Lif yang dinaiki tiba ditingkat enam.  Lampu koridor yang terletak diberhampiran pintu rumahnya berkelip-kelip.  Sebaik saja pintu bernombor 621 dibuka, lampu diluar koridor tersebut terus terpadam. 

Oh ye, pintu yang bertentangan dengan rumah Suri sebenarnya diduduki oleh sepasang warga emas.  Tetapi Suri belum berkesempatan untuk bertemu dengan mereka kerana sedang berada di negeri lain menziarahi anak-anak.

Bulu tengkuk Suri sudahpun meremang hebat.  Tetapi dia berlagak biasa agar Yaya tidak mengesyaki apa-apa.  Sebelum memasuki kedalam rumah, Suri memberi salam terlebih dahulu.  Suis lampu dipetik dan Yaya terus menapak kebiliknya.  Suri menggelengkan kepala melihat kedegilan Yaya.

"Kalaulah kau tahu apa sebenarnya yang berlaku Yaya" gumamnya.

Suri mengekori langkah Yaya.  Sekalipun dia takkan benarkan Yaya tidur dibiliknya sendirian.  Bilik Yaya seperti memiliki satu aura negatif yang menyebabkan Suri tidak selesa berada disitu lebih lama. 

"Eh, cermin Yaya pecah lagi?"

"Ha ah..akak tak sengaja terjatuhkan cermin tu semalam.  Nanti akak ganti balik."

"Cuai jugak akak ni.  Kali ni beli yang lagi besar tau"

"Ye lah.  Bab tengok cermin nombor satu kan."

"Emmm..Yaya nak mandi dulu la.  Dah berpeluh satu badan."  Yaya mengeluarkan tualanya dari beg.

"Tunggu dulu.  Ingat tak pesan akak tadi?  Malam ni Yaya tidur dengan akak"

"Ala, biar je la Yaya tidur sini.  Sejak bila akak jadi penakut ni?," bentak Yaya.

"Akak bukan takut.  Susah akak nak jelaskan.  Nanti Yaya akan tahu sendiri.  Pergilah mandi dulu.  Beg Yaya ni akak bawak masuk kebilik sebelah."

Yaya menghentakkan kakinya dilantai.  Sangkanya Suri hanya main-main.  Sengaja dia melanggar bahu Suri tanda protes.

"Macamlah aku tak tau.  Nak skype dengan pakwe la tu malam-malam.  Haishh..Jangan cari pasal Yaya."

Mereka berdua menonton tv diruang tamu.  Yaya masih tidak bertegur sapa dengan Suri.  Marah benar nampaknya.  Suri telahpun beberapa kali menguap.  Baru terasa penatnya yang banyak kesana kemari siang tadi bersama Yaya.

"Yaya tak nak tidur lagi ke?  Akak dah mengantuk ni"

"Belum.  Nak habiskan movie ni dulu"

"Kalau macam tu baiklah.  Jangan lupa, tidur bilik akak.  Jangan tidur lewat sangat tau.  Pastikan pintu tu berkunci."

"Yaya taulah kak.  Pergilah masuk tidur."

Yaya menjeling Suri dengan ekor matanya.  Dalam kelembutan, Suri juga tegas orangnya.  Ketika berseorangan diruang tamu, Yaya terasa diperhatikan.  Namun perasaan tersebut tidak diendahkan  dan tetap menonton tv sehingga tamat.  Jam 11:30 malam, Yaya memasuki bilik tidur Suri.  Lampu tidur dibiarkan terpasang kerana Suri takut untuk tidur didalam gelap. 

Yaya merebahkan badannya disebelah Suri yang telahpun lena.  Sebelum tidur, dia membelek-belek telefon pintar memeriksa aplikasi yang telah dimuat turun.  Tanpa disedari, setengah jam telahpun berlalu.  Jarum jam tepat menunjukkan ke angka 12:00 tengah malam.  Dia membaca doa tidur dan berselawat sebelum melelapkan mata.

Baru saja dia hampir terlena, hidungnya kembang kempis apabila terbau satu bauan yang membuatkan dia tidak senang duduk.  Bau kemenyan.  Sesak nafasnya kerana bauan tersebut tidak hilang sejak tadi.  Spontan perasaan takut mula menyerbu dirinya.  Dia menarik selimut dihujung kaki dan bertukar posisi mengiring mengadap Suri.  Tidak lama kemudian terdengar pula curahan air hujan dibilik air seperti seseorang yang sedang mandi.

Bibirnya mengalunkan ayat Qursi dan tiga Qul walaupun secara lintang pukang.  Dalam situasi tersebut dia hanya dapat berdoa agar dirinya dilindungi dan walau apapun yang sedang mengganggunya tidak memunculkan diri didepan mata.  Malangnya, usikan tersebut tidak habis setakat itu sahaja. Derapan tapak kaki seseorang yang sedang melangkah keluar dari bilik air menjadikan Yaya tidak senang duduk. 

Bau kemenyan semakin kuat menusuk lubang hidungnya.  Derapan semakin hampir dengan bilik Suri.  Pintu bilik sebelah pula dibuka dan dihempas dengan kuat.  Satu persatu bunyi kaca pecah dan barang-barang lain dilemparkan ke lantai.

Barulah Yaya sedar, mengapa Suri bersungguh-sungguh melarangnya daripada tidur sendiran disana.  Yaya menangis tanpa disedari.  Hendak mengejutkan Suri dia tidak berani kerana takut akan dimarahi.  Bunyi kaca yang dipecahkan dan barang-barang lain yang berantakkan senyap dengan tiba-tiba. 

Yaya mengucapkan syukur kerana gangguan tersebut berakhir.  Jantungnya yang tadi berdegup laju mulai seirama rentaknya.  Rupa-rupanya itu hanyalah sementara.  Suara rintihan daripada seorang lelaki seperti sedang menahan kesakitan menyerbu gegendang telinganya.  Terasa amat dekat dengannya.  Dia tidak berani berpaling.  Yaya lebih rela  membatukan diri didalam selimut biarpun panas membahang.

Menyesal pula rasanya kerana membantah kata-kata Suri sebentar tadi.  Jika tahu begini jadinya, dia tidak sekali-kali mempersoalkan tindakan kakaknya itu.

Suri terjaga apabila alarm telefonnya berbunyi.  Dia bangun dan menyandar di kepala katil.  Suri berpaling ke sebelah 
tatkala melihat seseorang sedang berbungkus didalam selimut.

"Bangun Yaya.  Dah subuh."

Yaya langsung tidak berkutik.  Ini membuatkan Suri menepuk-nepuk lengan Yaya yang sedang lena tidur.

"Yaya, bangun.  Dah subuh ni.  Nanti terlajak pulak.  Eh, panasnya!."

Suri meletakkan belakang tangannya ke dahi Yaya.  Panas.  Yaya demam.   Dia keluar lalu membawa satu bekas kecil berisi air dan juga tuala.  Tuala tersebut direndam kedalam air dan diperah sedikit lalu dilekapkan kedahi Yaya.  Dia melakukan perkara yang sama berulang-ulang kali agar kepanasannya berkurangan.  Yaya meracau-racau sesuatu yang tidak jelas butirannya walhal matanya masih terpejam.

Kepalanya terteleng kekiri dan kekanan dengan dahi yang berkerut seribu.  Tangannya tergawang-gawang seperti menepis sesuatu.  Teruk benar nampaknya igauan Yaya kali ini.

"Arghhhhhh..."

Yaya menjerit kuat.  Dia tersedar dan terasa lega apabila melihat Suri disisinya.  Lantas dia memeluk erat tubuh Suri yang sedang terpinga-pinga.  Bahang tubuh Yaya dapat dirasai oleh Suri.

"Kau demam ni Yaya.  Semalam elok je akak tengok?"

Yaya menangis teresak-esak.  Pelukannya dikemaskan.

"Yaya nak keluar dari sini kak.  Rumah ni berpuaka!."

Bagaikan halilintar yang menyambar apabila terdengar perkataan yang keluar dari mulut Yaya.  Nampaknya Yaya telahpun tahu rahsia yang sebenarnya.  Dia menggosok-gosok belakang badan Yaya untuk menangkan emosi adiknya itu.

"Apa Yaya cakap ni?  Takde apa la," Suri memujuk Yaya yang masih lagi menangis.

"Yaya nak balik kolej.  Hantarkan Yaya kesana kak. "

"Emmm..akak akan bawak Yaya pergi klinik dulu.  Lepas tu Yaya balik ke kolej ye" Suri terpaksa akur dengan kehendak Yaya.  Risau jika dipaksa lain pula jadinya.

'Nampaknya perkara ni semakin parah!'

Yaya masih trauma dengan kejadian semalam.  Dia duduk disofa dengan memeluk kedua-dua belah lututnya.  Walaupun masih disiang hari, rumah yang diduduki oleh Suri terasa menyeramkan.  Anak matanya bergerak-gerak memerhatikan setiap sudut didalam rumah tersebut. 

"Yaya, kita makan dulu.  Akak dah siapkan sarapan ni."

Yaya takut-takut untuk turun dari sofa.  Setiap sudut rumah yang diperhatikan dirasakan tidak selamat untuknya.  Dia tertanya-tanya bagaimanakah Suri mengharungi hari-harinya sepanjang berada disini.

"Lepas sarapan akak bawak Yaya pergi klinik.  Teruk benar demam Yaya tu.  Suhu tak jugak turun-turun lepas makan ubat tadi."

Yaya mendiamkan dirinya.  Roti bakar disuap kedalam mulut dan terasa kesat bila ditelan.  Suri memerhatikan tingkah laku Yaya dengan penuh simpati.

Yaya tetap mendiamkan diri disepanjang perjalanan pulang ke kolejnya.  Semangatnya seolah-olah telah dibawa pergi.  Suri merasa bersalah kerana tidak berterus-terang dengan Yaya.

"Yaya, akak mintak maaf ye.  Sebab akak Yaya jadi macam ni."

"Sampai bila akak nak hadap benda macam tu?"

"Entah la Yaya.  Akak kena tunggu sebulan lagi untuk dapatkan deposit untuk bayar rumah sewa baru.  Nak tak nak akak terpaksa bertahan," jelas Suri.

"Teruk puakanya tu kak.  Silap-silap boleh membahayakan akak."

"Insya Allah.  Akak yakin dengan kuasa Allah.  Mana-mana pun ada gangguan asalkan kita tidak terlalu takut dengannya melebihi pencipta kita sendiri Yaya," kata Suri.

"Selagi akak tak pindah Yaya takkan ke rumah tu lagi"

"Akak faham Yaya.  Yaya jawab exam elok-elok ye esok."

Setelah bersalaman Suri bergerak tanpa tahu arah dan tujuannya.  Hendak pulang ke rumah walaupun diwaktu siang hari begini, hatinya masih kecut tatkala teringatkan kejadian yang menimpa Yaya Terasa segala gerak-gerinya diperhatikan terutamanya apabila dia berada diruang tamu dan dapur.

Bilik Yaya langsung tidak dibuka semenjak kejadian semalam.  Marahnya kepada Kak Diba meluap-luap.  Sanggup Kak Diba menganiaya dirinya tanpa menjelaskan apa-apa.  Terasa dirinya bodoh dibohongi mentah-mentah.

Suri berpusing-pusing disekitar bandaraya Kuala Lumpur sehingga tangki minyaknya hampir kosong.  Dia mengambil keputusan untuk berjumpa dengan bekas housmatenya dulu untuk bertanya khabar dan memandu keretanya menghala ke arah Bangsar lalu menyelusuri ke jalan Kerinchi.

*******************************************

Sebelum Maghrib Suri bergerak pulang.  Peristiwa semalam diusir jauh-jauh dari ingatan.  Namun begitu, segalanya masih tetap menghantui Suri apabila melihat keadaan rumahnya yang berselerak.

Segala hiasan diatas rak beralih kedudukannya.  Barang-barang seperti pasu kecil dan bingkai gambar retak dan pecah.  Majalah dan buku-buku yang disusun bertaburan diatas lantai.  Kesabaran Suri menipis.  Sudahlah ketenteramannya diganggu kini semakin bertindak berani.  Dari perasaan takut, Suri berubah menjadi marah.

"Aku tak peduli kau siapa!  Aku nak kau jangan ganggu hidup aku lagi!  Aku tak takut la dengan kau!."

Dada Suri turun naik menahan marah.  Setitis manik jernih terbit disudut kelopak matanya.  Sakit matanya melihat keadaan rumah yang diselerakkan.  Sakit lagi hatinya apabila berterusan diganggu.

Dummmm..!

Pintu bilik Yaya dihempas kuat dari dalam.  Bau kemenyan memenuhi disegenap ruang rumahnya.  Seperti dijangka, pelbagai bunyi barangan yang dilemparkan ke lantai dan pecahan kaca berterusan mengganggu deria pendengarannya.  Rintihan suara dari suara seorang lelaki sayup-sayup kedengaran.

Dum..! Dummm..!  Dumm...!

Rempuhan dipintu bilik Yaya dari dalam sama kuat bunyinya dengan rintihan tersebut.  Keberanian yang singgah sebentar tadi terbang melayang.  Keringat mulai membasahi pelipis dan dahi.  Suri mencapai beg tangan dan keluar dari situ tanpa menoleh lagi.  Langkah dihayun selaju mungkin.  Dia menyeka airmata yang berjuraian dipipinya.

Apa yang diperlukan pada saat-saat itu adalah ketenangan.  Dengan sehelai sepinggang Suri lari dari rumahnya sendiri dan mencari hotel berdekatan untuk berehat.  Dia sudah lelah dengan permainan mistik tersebut.  Dalam masa yang sama dia juga tidak akan sekali-kali tersungkur dengan  apa jua bentuk ancaman yang diberikan.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh