Bab 6

Semakin hari aku melihat keadaan Suri semakin kusut.  Aku faham, mungkin hidupnya kacau bilau dengan gangguan yang dihadapinya dengan terpaksa.  Kebanyakkan rakan-rakannya yang lain telahpun berumahtangga.  Sukar untuknya meminta bantuan bagi menemaninya dirumah.  Siapa yang sanggup ye dok?

Tumpuan Suri terhadap kerja juga berkurangan.  Aku dan Suri pula agak jarang berjumpa kerana sibuk dengan tugasan masing-masing.  Jika ada masa lapang, aku menjenguknya sebentar dipejabat.

Tokk..Tokkkk..

Suri mendongak.  "Kau Ruby.  Terkejut aku tadi"

"Kusyuk sangat tu buat kerja sampai aku berdiri lama depan kau pun kau tak nampak," aku ketawa mengekek.

"Bukanlah.  Aku tengah serabut ni Ruby.  Dah semakin menjadi-jadi gangguan kat rumah tu.  Nak balik pun dah takde semangat.  Kau tahu tak, setiapkali masuk je waktu Mahgrib, mula la bau kemenyan tu penuh satu rumah.  Jam 12:00 malam pun sama.  Entahlah."

"Kau cuba bincang lagi dengan Kak Diba.  Beritahu dia kau nak pindah sebab dia dah bohong kau.  Sebenarnya ada sesuatu yang dia sembunyikan dari kau.  Patutlah harga sewa rumah tu lebih murah dari yang lain.  Rupanya berhantu," kataku.

"Dia dah cakap.  Kalau aku keluar dari rumah tu tak cukup lagi sebulan, deposit aku burn.  Terpaksalah aku bertahan Ruby."

"Jadi buat sementara waktu ni kau kena la kuatkan hati."

"Ye Ruby.  Macam tulah nampak gayanya."
Perbualan kami terhenti apabila telefon pejabat berbunyi minta diangkat.  Aku membuat isyarat untuk balik semula ke pejabat.

Tepat jam 5:30 petang Suri menegurku sebelum balik.  Tak dapat aku bayangkan apa yang akan terjadi jika aku berada ditempat Suri.  Aku doakan agar Suri kuat melalui hari-hari yang mendatang.

Jalanraya daripada Mahameru ke Bangsar agak sesak pada petang itu.  Tambahan pula setiap petang hujan akan turun membasahi bumi.  Suasana diluar gelap dengan awan tebal dan hiruk pikuk kenderaan yang bertali arus.  Masing-masing tidak mahu mengalah kerana ingin cepat sampai ke rumah.

Suri memandu dengan berhati-hati.  Mujurlah kenderaanya bertransmisi automatik jadi tidak sukar untuk Suri mengendalikannya.  Lampu isyarat bertukar hijau.  Suri menekan pedal minyak dan meluncur perlahan dilaluannya.  Tiba-tiba satu kelibat melintas didepannya menyerupai wajah lelaki yang sering menghantuinya dirumah.

Suri tersentak lalu tertekan pedal brek secara mengejut.  Natijahnya, dia terlanggar sebuah motor yang ditunggangi oleh seorang lelaki berbangsa India.  Lelaki tersebut jatuh diatas jalan raya dan pantas dikelilingi  oleh orang ramai.

Tanpa membuang masa, Suri keluar dari kereta untuk melihat keadaan penunggang motosikal terbabit.

"Ayyoo...ammaa..ayyoyoo."  Lelaki yang agak berusia tersebut mengaduh didalam bahasa tamil.

Suri melihat keadaan motor lelaki tersebut yang hanya mengalami kerosakan yang sedikit.  Dia memeriksa kenderaannya pula lantas menepuk dahinya sendiri.  Bonet depan kereta terkopak sedikit.  Lampu depan disebelah kiri pecah.

Lelaki India masih lagi terlantar diatas jalan.  Suri meminta maaf diatas kecuaiannya sebentar tadi.  Dia berjanji akan menanggung segala kos kerosakan dan juga perubatan lelaki itu.  Jalanraya bertambah sesak apabila ramai pemandu kenderaan yang lalu lalang menjadi penonton dengan memperlahankan kenderaan masing-masing untuk menyaksikan kemalangan tersebut.

Pada hemat Suri, lelaki India itu tidaklah mengalami kecederaan yang terlalu parah.  Dia hanya mengalami calar-calar dan luka kecil sahaja tetapi kesakitan yang digambarkan olehnya tidak masuk dek akal.  Lelaki tersebut dibawa ke HUKM untuk rawatan setengah jam kemudian.

Suri sampai juga kerumah tetapi agak lewat.  Dia memberi salam selepas pintu rumah dibuka.  Segera dia membersihkan diri untuk menunaikan solat Maghrib.  Badannya terlalu letih dengan urusan duniawi yang tidak pernah habis.
Dia bercadang untuk terus tidur selepas menunaikan solat Isyak.

Jam 2:30 pagi perut Suri terasa memulas dan sakit.  Mungkin dia tidak mengambil sebarang makanan sejak pulang dari kerja.  Tidak dihiraukan rasa takut kerana kesakitan lebih menguasai dirinya.  Suri bergegas kebilik air kerana sudah tidak tertahan lagi hendak muntah.  Lembik kedua-dua belah lututnya kerana termuntah dengan banyak. 

Dia mengeluarkan susu segar daripada peti ais.  Cecair berwarna putih itu laju mengalir apabila dituangkan kedalam sebiji gelas kaca.  Suri meneguknya sedikit demi sedikit sehingga habis.    Susu dapat melegakan kesakitan akibat gastrik yang dialaminya ketika itu.

Langkah diatur ke biliknya semula untuk menyambung tidur.  Bulu romanya menegak apabila terlihat satu kelibat yang bergerak sepintas lalu disebelahnya.  Pintu bilik Yaya terkuak sedikit.  Seolah-olah ada seseorang yang mengintainya disebalik pintu bilik. 

Suri sudah lali dengan usikan tersebut.  Dia berlagak biasa dan terus mengunci pintu sebaik saja memasuki bilik.  Seperti dijangka, bau kemenyan datang lagi memenuhi ruang bilik.  Kali ini, tiada lagi bunyi kaca pecah dan barang-barang yang terhempas ke lantai.  Sebaliknya digantikan dengan bunyi cakaran dan dengusan nafas yang kuat.

Hembusan nafas tersebut terasa dingin dan dekat dengannya.  Perkara itu berjaya membuatkan bulu roma Suri merinding.  Nampaknya permainan makhluk tersebut semakin hebat.  Segala surah yang dihafalnya dibaca.  Usikan tersebut hilang begitu saja.  Tiba-tiba terdengar kekecohan diluar.  Seperti dua orang manusia sedang bergelut.  Seorang adalah mangsa yang cuba mempertahankan dirinya, dan seorang lagi yang bertindak lebih agresif.

Tempikan dan laungan suara lelaki bergema diluar bilik.  Kemudian diikuti dengan tangisan yang mendayu-dayu.
Suri menekup telinganya dengan bantal selepas membuka aplikasi Al-Quran.  Pembesar suara dikuatkan dan dia turut sama mengalunkan ayat-ayat tersebut sehingga tertidur.

*****************************************

Keesokan harinya Suri terpaksa meminta cuti bagi menguruskan keretanya yang akan dibaikpulih.  Suri telah menghubungi pihak HUKM bertanyakan keadaan lelaki India yang dilanggarnya semalam. Mujurlah lelaki tersebut hanya mengalami kecederaan ringan dan akan dibenarkan pulang hari itu juga.  Kos kerosakan motosikal akan ditanggung oleh Suri sebagaimana yang dijanjikan.

Suri cuba merayu kepada Kak Diba dan memberikannya pilihan sama ada menceritakan misteri disebalik rumah sewa tersebut, ataupun memulangkan semula depositnya agar dia dapat menyewa rumah yang lain.  Sebaliknya apa yang dilakukan oleh Kak Diba adalah mengelak, mengelak, dan mengelak sehinggalah kesatu tahap Suri mula hilang kesabarannya.

Apabila panggilan telefon Suri tidak berjawab, Suri menghubunginya melalui aplikasi Whatsapp.  Satu-satunya cara untuk dia berkomunikasi dengan Kak Diba agar rintihannya didengari.

📩 |1/25, 18:50|

'Assalamualaikum Kak Diba.  Memandangkan akak dah tutup semua saluran rundingan, saya terpaksa menggunakan Whatsapp sebagai medium.  Saya rayu pada akak untuk ceritakan hal yang sebenarnya berhubung rumah sewa yang saya duduki sekarang ini.  Teruk saya diganggu kak.  Boleh dikatakan hampir setiap hari saya diganggu.  Kalau akak tak percaya, akak boleh datang dan alami sendiri apa yang saya sedang alami.

Saya bukan mereka cerita sebab saya takde kepentingan langsung untuk diri saya mereka cerita macam ni.  Siapa lelaki yang selalu menghantui rumah tu?  Kalau akak tak nak jelaskan hal yang sebenar.  Sila pulangkan deposit saya semula!  Persetankan perjanjian yang kita dah buat sebelum ni sebab dalam kes ni akak didapati telah menganiaya saya.  Membenarkan saya tinggal dirumah puaka!

Saya harap akak dapat buat pilihan dengan bijak.  Apa pun tindakan yang akak akan buat cuma untuk memudahkan kerja kedua-dua belah pihak.  Jika permintaan saya diabaikan, saya tidak akan teragak-agak untuk ke peringkat seterusnya.  Akak jangan lupa saya bekerja dengan siapa.  Atau akak nak rumah akak ni takkan disewakan sampai bila-bila?  Paling tidak pun tolonglah cari inisiatif untuk mengatasi daripada saya berterusan diganggu..' - Suri

Butang send ditekan tetapi status penghantaran masih lagi pending.

"Lantaklah.  Yang penting aku dah luahkan apa yang aku rasa."

*******************************************

Entah mengapa gangguan tersebut hilang untuk tempoh beberapa hari.  Mungkin Suri banyak mengisi masa terluangnya dirumah dengan mengaji dan memasang rakaman ayat-ayat ruqyah didalam rumahnya.  Sedikit sebanyak membuatkan hati Suri tenang dan dia kelihatan lebih ceria. 

Walau bagaimanapun, Suri tetap dengan pendiriannya untuk keluar dari situ walaupun keadaan semakin pulih.  Pada suatu hari iaitu cuti umum, Suri mengambil keputusan untuk menjenguk bilik Yaya setelah sekian lama terbiar.

Kedudukan perabot dan barang-barang masih tidak berganjak.  Suri menyelak langsir lalu membuka tingkap bilik agar udara segar dapat masuk.  Tidak dinafikan bilik itu masih ada sedikit bau kemenyan tetapi semakin berkurangan dan hilang setelah tingkap dibuka.

Suri membersihkan bilik tersebut dan mengelap lantai dan habuk yang telah menebal.  Suri tersenyum sendirian tatkala melihat bilik tersebut kembali bersih.  Dia menatap dirinya kedalam sebuah cermin kecil yang terletak disisi katil sambil membetulkan ikatan rambutnya.  Tidak semena-mena cermin tersebut memantulkan bayangan lembaga hitam yang berwajah pucat dan berulat.  Cermin tersebut juga beralih daripada kedudukan asalnya lalu pecah berderai setelah terjatuh.

Suri beristighfar didalam hati kerana terkejut.  Segera dia menyapu serpihan tersebut lalu dibuang kedalam tong sampah.  Tanpa menunggu lebih lama, Suri keluar dari bilik itu dan menutup pintunya rapat.  Kerana kepenatan, Suri tertidur diruang tamu dengan siaran tv yang masih terpasang. 

Jam menunjukkan pukul 6:15 petang.  Suasana didalam rumah gelap gelita kerana cuaca diluar begitu mendung dan dijangka hujan lebat akan turun.  Angin kencang yang bertiup menyebabkan langsir diruang tamunya berkibaran.

Tikk..

Suis lampu dipetik.  Cahaya lampu kalimantang yang terpasang menerangi isi rumah.  Suri bersiap-siap untuk mandi sebelum masuknya waktu Maghrib.  Pili air ditutup sebaik saja telinganya menangkap bunyi orang sedang bertukang.

'Orang atas kot,' getus hatinya.

Dia menyambung membersihkan diri dan mengambil wudhuk.  Telekung dan sejadah dilipat dan disangkut dirak usai solat.  Surah Yasin pula diletakkan diatas meja kecil disudut bilik.  Terus saja Suri kedapur bagi menyiapkan makan malam.  Walaupun hanya berlaukkan sambal tumis sotong sudah cukup mengenyangkan perut bujangnya yang kelaparan.

Dia melipat baju sambil menonton tv.  Guruh juga sudah berbunyi menandakan hujan akan turun.  Angin yang kuat bertiup menyebabkan siarannya tergendala. 

Gedegung...gedegungg...

Daun tingkap terhempas ditiup angin sehingga bingit.  Otak Suri mula mengingati sesuatu.

"Allah!  Aku lupa tutup tingkap bilik Yaya!."

Suri berbelah bagi untuk memasuki semula ke bilik itu.  Tidak sanggup rasanya untuk menghadapi sekali lagi situasi yang tidak diingini. 

"Tapi, kalau dibiarkan mau banjir bah itu bilik," keluar loghat Sabah Suri.

Suri masih tercegat diluar pintu bilik Yaya.  Dengan lafaz Bismillah dia menolak daun pintu perlahan-lahan dan melihat ke dalam bilik.  Masih sama seperti kali terakhir ditinggalkan tadi.  Tangannya pantas menarik daun tingkap dan menguncinya dengan cermat.  Tanpa diduga, petir dan kilat sambar menyambar.  Tidak lama kemudian, rintik-rintik hujan bertukar lebat jatuh membasahi bumi.

Suasana malam semakin sunyi dan dingin.  Suri mengambil keputusan untuk duduk didalam bilik.  Akibat petir dan kilat yang berterusan, sekali lagi rumahnya mengalami blackout.

"Dia buat lagi..!!!  Hujan sikit je mesti blackout.  Ishh..!!."

Ketika kilat sedang memancar, satu lembaga yang tidak begitu jelas rupanya dilihat sedang berdiri mengadap Suri dihujung kakinya.  Suri bungkam.  Terlalu dekat jarak antara mereka berdua.  Bau kemenyan kembali menusuk rongga pernafasan sehingga menyesakkan dadanya.  Suri cuba mengawal diri sambil kelopak matanya dipejam rapat.  Dia hanya membatukan diri dikatil tetapi tidak henti-henti membaca ayat-ayat suci Al-Quran. 

Tangisan sayu dan sedih daripada suara seorang lelaki bermula lagi.  Sungguh Suri teramat takut!  Hendak menjerit pun tiada suara.  Segalanya seperti tersekat dikerongkong.  Esakannya semakin kuat.  Tiba-tiba tangisan tersebut bertukar menjadi satu dengusan kasar.  Bilik Yaya bising dengan bunyian kaca dan barang-barang yamg terhempas ke lantai.  Cakaran disiling dan dinding berterusan. 

Suri mengengsot tubuhnya kedinding dan bantal golek dipeluk erat kebadan.  Malang sungguh nasibnya menerima dugaan sebegitu rupa.  Dikuatkan juga semangatnya dan berdoa agar gangguan tersebut berakhir. 

Krekkkk....krekkkkk..

Tiba-tiba tombol pintunya dipulas dari luar.  Peluh merenik didahi.  Suri tetap mematungkan dirinya dan diam membisu.  Hanya Allah saja tempat meminta pertolongan.  Tidak putus-putus dia memanjatkan doa.

Zrassss...zrasssss...huhuhuhuhu

Pintu bilik Suri pula menjadi mangsa cakaran diikuti dengan bunyi tangisan.  Jika ditoreh wajah Suri ketika itu, semestinya tidak akan mengalir setitis darah pun.  Bayangkan dia hanya keseorangan didalam sebuah bilik yang bergelap.  Hanya cahaya kilat yang memancar melalui celahan langsir.  Segalanya menjadi lebih jelas kerana  suasananya teramatlah sunyi.  Malamnya terasa lebih panjang dari biasa. 

Jika anda ditempat Suri, bagaimanakah perasaan anda ketika itu??  Apakah yang akan anda lakukan? 


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh