Bab 4

Suri ke pejabat seperti biasa.  Hal yang berlaku dirumah tidak dicampur adukkan dengan kerja.  Tambahan pula kerjanya yang sibuk setiap hari sedikit sebanyak membantunya melupakan kejadian tersebut.

Sejak tadi Suri menahan diri untuk ke tandas.  Setelah rakannya kembali, barulah dia berpeluang untuk ke bilik air.    Terlunas sudah hajat yang terpendam. Suri ingin melangkah bendul untuk turun membuka pintu.   Badannya seperti ditolak dengan kuat oleh seseorang dari belakang.  Dia jatuh terduduk diatas lantai sambil menahan sakit.  Kepalanya terhantuk kedinding lalu pandangannya beransur kelam dan gelap.

Suri pengsan dan tidak sedarkan diri entah berapa lama.  Dia terjaga apabila namanya dipanggil dari luar.

"Suri!  Cik Suri ke tu?  Ni Kak Murni.  Cik Suri buat apa lama sangat kat dalam tu?  Keluar ya?  Kak Murni mau cuci tandasnya."  Pintu diketuk bertalu-talu oleh Kak Murni yang berasal dari Medan itu dan merupakan cleaner dibangunan tersebut.

Kesakitan yang dialaminya tidak tertahan dan dia memutar kunci dari dalam.

"Ya ampun Cik Suri. Ngapain jadi begini? Kok jatuh ya?" Kak Murni memapah Suri keluar dari situ.

"Saya jatuh kak.  Sakitnya!."

"Mari akak bantu sama kamu.  Lantainya licin enggak?  Sampei jatuh begini sekali?"

"Takde la kak.  Saya tergelincir je."

Kak Murni memapah Suri hingga ke pejabatnya.  Kemudian, dengan terkocoh-kocoh Kak Murni mengetuk bilik aku sambil tercungap-cungap.

"Kenapa ni kak sampai tercungap-cungap ni?  Meh duduk dulu, tarik nafas dalam-dalam"

Kak Murni melabuhkan punggungnya dikerusi didepanku.  Dia mengelap peluh yang merenik didahi dengan tuala 'good morning' yang tersangkut dibahu.

"Suri..Cik Suri terjatuh dalam bilik air tadi Cik Ruby" ujarnya.

"Hah?  Suri terjatuh dalam bilik air?  Sekarang ni dia kat mana kak?"

"Ada dipejabatnya.  Ayuh!  Kita tengok dia Ruby" ajak Kak Murni sambil menarik tanganku.

Cepat-cepat aku menghayunkan langkah padahal jarak antara bilik kami tidaklah terlalu jauh.  Melihatkan reaksi Kak Murni tadi membuatkan aku risau  jika kecederaan yang dialami Suri agak teruk.

Aku melihat Suri duduk dikerusinya dikelilingi oleh rakan-rakan kami yang lain.

"Kau tak pergi klinik Suri?  Macam mana boleh jatuh?" soalku.

"Entahlah Ruby.  Semuanya berlaku dalam sekelip mata je.  Tup tup aku dah jatuh terduduk tak sedarkan diri"

"Aku rasa baik kau pergi urut dulu Suri.  Kau duduk pun tak betul tu," cadang Noly.

"Betul kata Puan.  Ada baiknya Cik Suri pergi urut.  Jangan dibiarkan urat tu dimasuki angin, lagi nanti sakit" Kak Murni menyokong cadangan Noly.

"Sakit ni.  Macamana nak urut? Huhuhu."

Suri menangis kesakitan.  Gadis setabah dia akhirnya menangis juga.  Hehehehe. 

"Pergi urut dulu tempat yang sakit tu.  Lepas tu baru kau pergi klinik.  Boleh rehat kat rumah," kata aku.

"Aku boleh temankan kau pergi urut tu Suri.  Lepas tu aku akan hantar kau balik rumah."  Aini menawarkan dirinya.

Air muka Suri berubah tatkala perkataan 'rumah' disebut.  Dalam keterpaksaan dia mengikut juga cadangan kami untuk berurut dan seterusnya ke klinik.  Aini memapah Suri untuk berjalan kerana dia tidak boleh berdiri tegak.  Jalannya terbongkok-bongkok kerana pinggang dan pergelangan kakinya terseliuh.

Klakkk..

Tombol pintu dipulas.  Waktu begini memang terasa sunyi kerana kebanyakan penghuni tiada dirumah kerana berkerja.  Suri masuk kebilik dan badan direbahkan ke atas katil.  Ubat penahan sakit yang diambil mula memberikan kesan.  Rentak jantungnya semakin perlahan dan kelopak mata semakin memberat.  Tidak lama kemudian Suri pun terlena.

Suri terjaga ketika azan Maghrib berkumandang.  Biliknya gelap gelita tanpa cahaya.  Dia membuka flashlight dari telefon pintar dan menyuluh ke arah suis lampu.  Bilik mulai terang benderang.  Dia melilit badannya dengan tuala untuk mandi.  Bau minyak ubat kuat melekat dibaju dan kulitnya.  Terhincut-hincut Suri berjalan menahan sakit.  Bisanya terasa hingga ke kepala.  Suis lampu ruang tamu dipetik lalu diatur langkah ke bilik air.

Usai membersihkan diri Suri keluar dari bilik air dan hidungnya menangkap bau kemenyan yang teramat kuat.  Hidungnya ditutup dengan tangan dan terus ke bilik tidur.  Ketika sedang solat, kedengaran guruh dilangit.  Petir berdentum dentam.  Langsir berkibaran kerana ditiup angin kencang membawa tempias hujan kedalam bilik.

"Ahh...lupa pulak nak tutup tingkap."

Tingkap bilik lantas ditutup dan Suri menggagahkan diri ke dapur kerana lapar.  Dia hanya memasak mee segera kerana tidak sempat membeli barang-barang basah.  Ketika melalui pintu dapur sekali lagi hidungnya menangkap bau kemenyan.

"Apa kuat sangat bau ni?  Apa tak kena dengan rumah ni?  Kak Diba.  Ye, aku kena tanya Kak Diba."

Mee segera dibawa keruang tamu.  Ketika sedang menikmati makan malam, guruh dan petir sabung menyabung dengan teramat kuat.  Bekalan elektrik terputus akibat dentuman tadi.

"Alahaii..dia blackout pulak.  Mana nak cari lilin ni."

Suri meraba-raba dalam laci rak tv mencari lilin dan pemetik api.  Sebatang lilin diambil dan cuba dinyalakan. Guruh masih lagi sabung menyabung dan kilat memancarkan cahayanya.  Dalam jaluran cahaya kilat, Suri terpandangkan sesusuk tubuh manusia terbaring meniarap diantara ruang tamu dan pintu dapur.  Lilin terlepas dari tangan dan Suri tidak betah berlama-lama lagi disitu. 

Kesakitan yang dirasai sebentar tadi hilang sekelip mata kerana perasaan takut lebih menguasai diri.  Dia berlari kedalam bilik lalu menutup pintu dengan rapat.  Badan Suri menggigil didalam selimut.  Air mata sudah merembes ke pipi.  Tidak sampai dua minggu dia menetap disitu, pelbagai kejadian misteri telah menimpa dirinya.

Telefon bimbit dicapai lalu dia membuka aplikasi Al Quran dan memasang bacaan ayat-ayat suci.  Seketika kemudian, pintu bilik sebelah dihempas dengan kuat sekali.  Bunyi kaca pecah dan barang jatuh ke lantai silih berganti.  Suri merapatkan badannya kedinding dan menekup kedua belah telinganya dengan bantal kerana tidak tahan lagi diganggu.

******************************************

Hari berikutnya Suri nekad untuk bertanyakan Kak Diba berhubung perkara tersebut.  Setidak-tidaknya dia dapat meluahkan apa yang telah dialaminya sepanjang berada disitu.

📲 |1/5, 11:17|

'Assalamualaikum' - Suri

'Waalaikumsalam' - Kak Diba

'Kak Diba, boleh kita berjumpa?' - Suri

'Kenapa ye Suri?' - Kak Diba

'Ada beberapa perkara saya nak tanya Kak Diba berkenaan dengan rumah ni' - Suri

'Ohh...Errr...akak tak free la Suri.  Akak outstation ni' - Kak Diba

'Takpe kak.  Kalau macam tu saya tanya melalui telefon je la ye.  Siapa penyewa sebelum ni kak? - Suri

"Penyewa dulu lelaki.  Dia duduk berdua dengan abang dia.  Lepas habis kontrak dia pindah kat tempat lain pulak' - Kak Diba

'Akak, saya ni bukan nak percaya seratus peratus benda ni.  Tapi sejak saya duduk sini banyak perkara misteri terjadi pada saya.  Sebab tu saya nak tau penyewa dulu siapa dan kenapa dia pindah?' - Suri

'Macam akak cakap tadi.  Dia pindah lepas habis kontrak kerja.  Bukan sebab lain.  Suri duduk sorang kan?  Mungkin Suri kesunyian sampai terfikir bukan-bukan.  Rumah tu takde masalah.  Percaya la cakap akak.  Kalau Suri rasa sunyi, ajaklah kawan ke temankan.  Banyakkan mengaji.  Akak pun selalu kena tinggalkan oleh suami akak kalau dia outstation.  Bila tinggal sorang camtu, memang akan terfikir bukan-bukan.  Jangan risau ye.  Apa-apa masalah call akak.  Ok lah.  Akak ada kerja ni.  Assalamualaikum' - Kak Diba

"Tapi kak..hello..hello!! Waalaikumsalam.  Dia letak macam tu je?  Eiiii..!!" Suri mendengus marah.

"Tapi kenapa macam nak mengelak je Kak Diba ni?  Lain aku tanya lain pulak dijawabnya.  Musykil ni."

"Sejak bila kau cakap sorang-sorang ni Suri?" sergah aku yang sejak tadi memerhatikan gelagat Suri di telefon.

"Aku call Kak Diba, tuan rumah baru ni.  Diletaknya telefon macam tu je."

"Laaa..ye ke?  Kenapa macam tu pulak?"

"Entahlah Ruby.  Hati aku kuat mengatakan ada sesuatu yang tak kena dengan rumah yang aku duduk sekarang ni.  Jiran-jiran pun pandang semacam je kat aku" keluh Suri.

"Yang kau ceritakan pada aku hari tu kan?  Gangguan tu semua?  Apa Kak Diba cakap?"

"Dia macam nak mengelak.  Aku ajak jumpa dia tak nak.  Aku tanya siapa penyewa sebelum aku?  Dia jawab sebelum ni lelaki.  Adik beradik.  Mereka pindah lepas kontrak kerja habis.  Lepas tu Kak Diba melalut pulak ke lain.  Hmmm."

"Jadi apa kau nak buat lepas ni?"

"Aku terpaksa stay.  Nak cari rumah sewa lain nak kena bayar deposit lagi.  Mana nak cari.  Kalau pindah awal gerenti deposit aku dengan Kak Diba hangus."

"Betul tu Suri.  Penat sebab pindah pun tak hilang lagi.  Ni kan pulak nak pindah lagi sekali.  Oh ye, Kak Murni dah bagi alamat kawan dia, tukang urut kat Gombak tu.  Kak Yam nama dia.
Sabtu ni aku bawak kau pergi sana.  Kena tiga kali urut baru baik sakit kau tu."

"Tak pasal-pasal aku kena menyusahkan kau kan?"

"Heyy..kau kawan baik aku la Suri.  Sebelum ni pun kau banyak tolong aku.  Tak payah nak dramatik sangat la!  Hehehehe."

"Terima kasih Ruby.  Sayang kau"

"Sayang kau jugak.  Hehehe.  Ni fail yang kau mintak tadi.  Bos aku dah minitkan arahan dalam tu.  Nanti kau tengok eh?  Jumpa lunch nanti kalau takde hal." 

Aku berlalu setelah meletakkan fail diatas meja Suri.

***************************************

Hari:  Sabtu
Masa:  09:30 pagi

Aku mengambil Suri distesen LRT Setiawangsa.  Oleh kerana Suri kurang fasih akan jalan disekitar Setiawangsa/Wangsa Maju/Gombak, sebab itulah dia lebih selesa menggunakan kenderaan awam seperti LRT. 

Jarak dari stesen LRT tidaklah terlalu jauh.  Tetapi apabila ditambah dengan kesesakan jalan raya dan kesukaran mencari alamat rumah yang agak terperosok kedalam, kami lambat sampai daripada masa yang dijanjikan.

Rumah Kak Yam terletak ditingkat atas.  Rumah kedai yang disewa oleh Kak Yam dan anak saudaranya berdekatan dengan kejiranan cina. 

"Tak jumpa rumahnya ya?," tanya Kak Yam.

"Ye kak.  Rupanya kat kawasan ni.  Kami lalu depan sana tu je" jelasku.

"Oo..Rumah Kak Yam ni jauh kedalam sikit.  Tu susah nak jumpa.  Jemput masuk.  Anak buah Kak Yam takde.  Dia pergi kerja."

Kami menaiki tangga ke tingkat atas.  Pintu ditolak dari luar dan rumah kedai sederhana besar itu kelihatan redup dan nyaman.

"Siapa yang mau diurut?," tanya Kak Yam kepada kami.  Kak Yam juga berasal dari Medan, Indonesia.

"Saya kak" beritahu Suri.

"Ambil kain ni.  Salin ya.  Sebentar lagi Kak Yam datang."

Suri menyambut huluran kain batik lalu masuk kedalam bilik yang dimaksudkan.  Kak Yam pergi kedapur dan beberapa minit kemudian dia keluar sambil menatang sebuah dulang berisi minuman lalu diletakkan didepanku.

"Minum dik ya.  Siapa nama?"

"Nama saya Ruby, Kak Yam.  Susah- susah je buatkan saya minuman"

"Enggak apa-apa.  Bukannya susah.  Sesi mengurut tu lama.  Kamu nonton tv saja ya sambil-sambil makan kerepek.  Kerepek malinja tu dari Indonesia" pelawa Kak Yam.

Satu bekas besar berisi kerepek  diletakkan disebelah dulang berisi minuman.  

"Kak Yam mintak diri dulu ya.  Sekejap lagi ada kawan datang mau diurutin juga."

"Silakan kak.  Saya kat sini je.  Hehehe."

Pintu bilik ditutup dan dikunci dari dalam meninggalkan aku keseorangan diruang tamu.  Aku mencuba kerepek malinja yang dimaksudkan.  Rasanya pahit-pahit lemak.  Dekat separuh bekas jugak aku baham.

Sesi mengurut berlangsung hampir satu jam.  Dari posisi duduk aku berkalih ke posisi berlunjur.  Kemudian baring.  Buat macam rumah sendiri.  Ketika hampir terlelap, Suri menggamitku agar masuk ke dalam bilik.  Suri masih dalam keadaan berkemban dengan kain batik.

"Ruby, kau tengok ni?," arah Suri.

Dia melucutkan sedikit kain yang dipakai hingga ke paras pinggang.  Terdapat kesan lebam berbekas tapak tangan manusia dipinggangnya.  Jelas kelihatan kesan tapak tangan berserta jari.  Aku terlopong.

"Apa tu Suri?" soalku kehairanan.

"Jelaskan Kak Yam."

Kak Yam memandang ke arahku dengan wajah serius.

"Suri jatuh bersebab.  Dia ditolak dengan kuat dari belakang.  Bukan disebabkan kemalangan"

"Tapi, siapa yang tolak?" tanyaku.

"Sesuatu yang ghaib.  Yang kita tak nampak dengan mata kasar.  Ada sesuatu yang ingin berdampingan dengan Suri.  Kamu kena hati-hati ye Suri.  Banyakkan mengaji" pesan Kak Yam.

Setelah bersalaman kami bergerak pulang.  Roman wajah Suri kelihatan muram.  Berat mata yang memandang berat lagi bahu yang memikul.

"Sabar Suri.  Kita mintak pendapat dengan orang yang lebih arif.  Aku cadangkan kau pergi ke pusat rawatan Islam."

"Kenapa aku Ruby?"

"Aku takde jawapan Suri.  Kebetulan pulak mak dan ayah aku datang ke sini.  Kalau tak, boleh kau tinggal kat rumah aku dulu."

"Jangan risau Ruby.  Hari ni Yaya datang ke rumah untuk temankan aku.  Terima kasih tau bantu aku tadi."

"Sama-sama.  Jaga diri kau baik-baik Suri" pesanku sebelum Suri keluar kearah stesen LRT.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh