Home Novel Seram/Misteri Destinasi
Destinasi
nurmazunie razif
11/7/2019 12:09:01
29,904
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 1

Wani termenung di birai katil memikirkan tempat baru yang akan menjadi tempat untuknya membina masa depan. Bercelaru fikirannya ketika ini. Mana tidaknya dia masih berada di tengah-tengah persimpangan, sama ada mahu mengikut perintah mahupun ingkar perintah.

"Ah, otak aku tak boleh fikir ni," gumam Wani. Tubuhnya dibawa ke meja tulis kecil yang terletak di sudut bilik. Komputer riba yang tidak di ON ditenung. Kosong. Pelbagai perkara bermain di mindanya ketika ini.

Sehelai kertas putih yang terletak elok di sebelah komputer riba diambil. Tulisan di atas kertas tersebut dibaca berulang-kali. Berkali-kali jugalah keluhan dilemparkan. Wani memandang surat arahan pertukaran kerjanya itu dengan pelbagai perasaan.

Surat pertukaran tersebut merupakan surat arahan rasmi pertukaran kerjanya sebagai guru sekolah ke luar daerah. Arahan pertukaran itu betul-betul mencabar perasaannya. Kalau ikutkan hati kecilnya yang memberontak dia memang tidak akan menerima pertukaran tersebut. Namun apa alasannya untuk dia menolak? Sah-sah dia terpaksa rela menerima arahan itu.

"Arghh", Wani menjerit kecil sebagai tanda melepaskan perasaan geram. Jeritan itu bergema di ruang bilik kecil tersebut.

"Ah, apa yang nak disusahkan. Itu kan minat kau dari dulu", gumam suara hati Wani. Kata-kata yang lebih kepada memujuk hati yang lara.

Dia juga yang memilih kerjaya guru sebagai cita-citanya sejak dari kecil, jadi dia mesti bersedia dari segi fizikal dan mental. Taklah begitu teruk manapun jika ditukarkan ke luar daerah. Lagi teruk jika ditukarkan menyeberang Laut China Selatan iaitu Sabah dan Sarawak. Ini setakat ditukarkan cuma beberapa ratus kilometer dari kediamannya sekarang, tidaklah menjadi masalah sangat. Naik kereta sahaja. Sampailah tempat yang dituju.

Sebenarnya, bukan itu yang dibebalkan. Ada persoalan lain yang lebih menyakitkan hati dan menyebalkan perasaannya. Dia pasti kerana sebab itulah dia ditukarkan.

"Memang sebab kau!", omel Wani. Perasaan geram dan marah mulai beraja di hati.

Kejadian sebulan yang lepas mula menerawang dan berlegar-legar di minda. Wani menjadi bertambah geram apabila wajah sinis Nisa  menjelma secara tiba-tiba. Dialah penyebab utama pertukarannya.

Kejadian sebulan yang lepas

"Ibu! Ibu!" Wani tergesa-gesa menuruni anak tangga sambil mulutnya tidak henti-henti memanggil Zubaidah ibunya.

"Ibu! Wani panggil dari tadi. Buat bodoh je," Wani menjuitkan mulut menghadap Zubaidah yang sedang mengoreng nasi di dapur.

"Manalah ibu dengar Wani panggil. Sudah tu jangan nak mengada-ngada. Jom kita sarapan pagi sama-sama".

Seusai memasukkan nasi goreng ke dalam mangkuk kaca, langkah kaki Zubaidah dihala ke arah ruang tengah rumah banglo dua tingkat itu menuju ke meja makan. Wani membontoti  ibunya.  Wajah tidak puas hati dipamerkan.

Sebenarnya ada sesuatu yang mahu dia tanyakan kepada ibunya pagi ini. Berita tergembar yang diketahui pagi tadi membuatkan perasaannya gusar sama sekali. Bukan itu sahaja, gambar seseorang yang amat dicintainya begitu merenjatkan jantungnya seawal pagi lagi.

Wani akan bertanyakan perihal itu kepada ibunya sebentar lagi.

"Hah! Yang Wani tercegat macam tiang elektrik tu kenapa? Duduklah, temankan ibu makan. Lagipun lambat lagikan nak masuk kerja", tegur Zubaidah seraya memandang tepat ke arah Wani yang berdiri tegak di sisi meja bagaikan patung bernyawa.

Wani tersenyum memandang wajah tua ibunya yang sudah mula menyenduk nasi goreng ke dalam pinggan. Setelah itu Zubaidah menuang kopi pula ke dalam cawan. Wani mulai melabuhkan punggungnya ke atas kerusi dan menghadap rezeki yang terhidang. Aroma nasi goreng dan kopi o begitu wangi menusuk hidung. Namun seleranya tidak benar-benar terbit. Perut dan tekaknya lebih kepada rasa sebu.

"Ibu! Wani nak tanya ni? Betul ke Fakry anak Makcik Zumi tu dah bertunang dengan Nisa?", satu persoalan yang teramat berat untuk diluahkan namun dia terpaksa. Dia mahukan kepastian. Sebuah kepastian yang pastinya menjerut rasa. Rasa kecewa dan sedih yang bertimpa-timpa.

Tersentak Zubaidah mendengar pertanyaan Wani yang tidak dijangkanya itu. Serta-merta sudu yang dipegang untuk dihalakan ke mulutnya terlepas. Wajah Wani dipandangnya buat beberapa saat. Setelah itu satu keluhan keras dilepaskan.

"Lupakan dia Wani! Ibu boleh carikan Wani lelaki lain yang layak untuk Wani miliki".

Beberapa saat Wani merasakan darahnya menyirap sehingga ke kepala. Jantungnya berdegup laju. Jika itulah jawapan ibunya maka tahulah dia bahawa rasa kekecewaanlah yang bakal dia harungi.

Dia dapat merasakan ada sesuatu yang mulai bergenang di kelopak matanya saat ini. Cepat-cepat dia bangun dari meja makan tersebut. Tidak sanggup rasanya dia berhadapan lebih lama menghadap wajah ibunya yang sudah mempamerkan riak simpati. Dia pasti sebentar lagi mutiara jernih bakal luruh dari matanya.

"Wani pergi kerja dulu ibu".

Wani bangun lantas menuju ke arah muka pintu. Alat kawalan jauh kereta ditekan lantas tubuh kecil moleknya dibawa masuk ke dalam kereta Honda Sivik berwarna hitam itu.

Zubaidah hanya mampu melihat riak kekecewaan di wajah anak tunggalnya itu. Dia tidak mampu berbuat apa-apa. Semuanya adalah kehendak takdir. Namun Zubaidah yakin, patah tumbuh hilang berganti. Hati yang kecewa pasti akan ada yang mengubatnya. Cuma masa dan waktu yang bakal menentukannya.

.........

Brek tangan ditarik. Kereta diparkir elok ditempat letak parkir yang disediakan khas untuknya. Tubuh Wani terasa longlai. Berita mengenai Fakry yang didengarnya pagi tadi melalui Zunita, sahabat karibnya itu betul- betul membuatkan hatinya diamuk resah. Zubaidah sendiri mengesahkan berita yang didengarnya dari Zunita.

Nafas ditarik dalam-dalam. Setitis air mata yang hampir-hampir menitis dari takung air matanya diseka. Wajah keruh yang dipamernya sejak tadi sehabis daya cuba dimaniskan. Wani tidak mahu wajahnya cemberut dan masam mencuka di hadapan rakan-rakan sekerjanya.

Dari jauh sebuah kereta Satria Neo berwarna kelabu meluncur laju, hampir-hampir melanggar tubuh Wani.

Brek kereta yang berbunyi agak kuat mengejutkan Wani yang berada di tengah jalan dan beberapa orang guru serta pelajar juga tersentak. Ada yang mengerling sekilas ke arah Satria Neo tersebut sambil menggeleng-gelengkan kepala. Kereta tersebut berhenti betul-betul di tengah jalan

Seorang wanita bertubuh langsing. Berbaju kurung moden sendat. Berkasut tumit tinggi merah yang digayakan sedondong dengan warna baju, keluar dari kereta. Wajah jelita itu menjeling tajam ke arah Wani dengan riak muka marah. Tiada segaris senyuman di wajahnya.

Wanita itu melangkah angkuh ke arah Wani yang masih berdiri tegak di hadapan keretanya. Wani sengaja menunggu wanita itu mendekatinya.

"Hoi, nak bunuh diri ke?", Jerit wanita itu.

Wani mengetap bibir. Dia menahan geram. Tohmahan wanita itu baginya keterlaluan.

"Kau kenapa Nisa. Selalu tak puas hati dengan aku?!", jerkah Wani.

Suaranya yang agak kuat mulai mendapat perhatian beberapa orang guru yang melalui kawasan itu.

Nisa tersenyum sinis sambil berpeluk tubuh.

"Sekarang aku puas! Fakry! Kekasih hati kau tu dah jadi hak aku dan kami dah bertunang. Opsss...mesti kau dah tahu kan. Aku dah upload gambar-gambar romantik aku dah Fakry dalam facebook", Nisa berbicara dalam nada sinis sambil bibirnya melakar senyuman yang menyakitkan hati.

Entah kenapa, Wani seperti melihat ramai manusia di sekelilingnya mengejek dan bertepuk tangan meraikan kekecewaan hatinya pada pagi itu. Dia terasa seperti diperkotak-katikkan. Perasaan marahnya datang meluap-luap. Seperti mahu ditelannya Nisa hidup-hidup supaya perempuan itu tahu hatinya bagaikan dihiris-hiris saat itu. Hatinya juga mendidih apabila mengingati gambar Nisa dan Fakry yang begitu mesra.

Pangggg!!

Satu tamparan hinggap di wajah Nisa. Nisa terkedu. Beberapa orang guru dan pelajar yang masih berada berdekatan mereka berdua memandang aksi yang langsung tidak disangka itu.

"Hoi, kau dah gila ke?", jerit Nisa. Pipi kanannya dipegang dan digosok-gosok. Tamparan Wani dirasainya begitu pedih dan perit.

"Ya, memang aku dah gila. Perempuan perampas macam kau ni memang patut kena tampar dan sepatutnya lebih dari itu", kini giliran Wani pula tersenyum sinis.

"Perempuan gila! Perempuan gila", ejek Nisa sambil menolak kasar bahu Wani.

Wani yang sejak dari tadi menahan rasa marahnya terus sahaja meluru dan menolak kasar tubuh Nisa. Sanggul Nisa ditarik sekuat hati sehingga terlerai dari ikatannya. Tubuh Nisa ditolak sekali lagi, kali ini amat kasar sehingga wanita itu terdorong ke belakang. Tolakan Wani menyebabkan Nisa jatuh terduduk dan pinggulnya terasa amat sakit.

"Kurang ajar kau perempuan", jerit Nisa sambil bangun.

Dek kerana rasa marah diperlakukan sedemikian rupa, Nisa membalas semula perlakuan Wani dengan menampar semula tubuh Wani secara bertubi-tubi. Mereka berdua tolak-menolak. Tampar-menampar. Masing-masing mahu melampiaskan amarah di hati masing-masing. Tiada lagi rasa malu sebagai seorang guru yang berdedikasi.

Puan Fatimah selaku guru matematik yang kebetulan berada di situ dan melihat situasi tidak terkawal itu, cepat-cepat mencari telefon bimbit di dalam beg tangan. Nombor Encik Zaki selaku pengetua di sekolah itu didail.

Beberapa minit kemudian Encik Zaki sampai dengan wajah yang merah padam.

"Nisa! Wani! Cukup", marah Encik Zaki.

Belum pernah dalam sejarah kerjayanya bertempik di klayak ramai memarahi pekerja bawahannya. Namun pergelutan di antara Wani dan Nisa betul-betul mencabar kewibawaannnya sebagai seorang pengetua.

Suara lantang Encik Zaki tidak membawa apa-apa kesan kepada Wani mahupun Nisa. Kedua-duanya kusyuk menikmati pergaduhan di antara mereka.

"Nisa! Wani!", jerit Encik Zaki sekali lagi. Kali ini lebih kuat.

Apabila melihat tegurannya tidak dihiraukan oleh mereka berdua Encik Zaki menarik tangan Wani yang mula mahu memukul Nisa menggunakan beg tangan yang sempat dicapai di atas jalan tar.

"Wani! Cukup tu! Puan Fatimah tolong saya leraikan mereka ni", arah Encik Zaki kepada Puan Fatimah.

Terkocoh-kocoh Puan Fatimah memeluk tubuh Nisa. Dia semakin rancak mahu memukul Wani. Beberapa orang guru yang mulai perasan akan pergaduhan itu mendekati mereka dan menolong meleraikan pergaduhan itu.

"Kenapa dengan kamu berdua ni? Tak malu ke bergaduh di khalayak umum", tengking Encik Zaki dengan wajah menyinga.

Dia bercekak pinggang menghadap wajah Wani dan Nisa yang merah padam menahan amarah dan rasa malu yang silih berganti.

"Salah Nisa ni hah! Dia yang cari gaduh dengan saya dulu, mulut cabul!", Wani menunding jari ke arah Nisa yang sedang mengelap bibirnya yang luka.

"Masuk bilik saya sekarang! Cerita semuanya kat dalam bilik saya nanti", arah Encik Zaki.

Dia mulai beredar dengan hembusan nafas keras. Tingkah laku bekerja bawahannya itu begitu melampau. Tindakan akan diambil ke atas mereka berdua.

Seusai Encik Zaki beredar. Wani mendengus kasar. Beg galas yang terdapat komputer riba dan buku yang berterabur dikutip. Sebaik sahaja mahu melangkah, tubuhnya ditahan dari arah belakang.

"Aku akan pastikan kau takkan berada lama di sekolah ni!", ugut Nisa.

Kata-kata ugutan itu dibisik ke telinga Wani. Tanpa mengendahkan kata-kata Nisa, dia melangkah dengan hati yang penuh dendam ke arah bilik guru di tingkat dua bangunan.

Dummmm!

Dentuman pintu bilik air yang tertutup sendiri mengejutkan lamunan Wani. Wajah sinis Nisa serta merta hilang dari ingatannya.

Jam dinding dipandang sekilas. Waktu hampir menunjukkan ke angka 12.00 tengah malam. Langsir yang terbuai-buai ditiup angin menarik perhatian Wani. Baru disedarinya, dia masih belum menutup jendela itu.

Mindanya yang asyik memikirkan peristiwa pergaduhannya dengan Nisa dan pertukaran tempat bertugas benar-benar menganggu perasaannya. Entah kenapa dia berasa tidak sedap hati untuk bertugas di tempat baru dan di sekolah baru. Terasa lemah longlai semangatnya memikirkan perasaan tidak sedap hatinya itu.

Angin yang tiba-tiba menderu masuk ke bilik menyebabkan tubuh Wani kesejukan. Dia bingkas bangun dan menutup jendela tersebut. Tubuh di bawa ke arah katil. Selimut ditarik separas dada. Terasa amat selesa sebaik sahaja tubuhnya menikmati keenakkan baring di tilam empuk.

Perlahan-lahan Wani cuba melelapkan mata bersama rasa amarah dan sesal yang bercampur-baur. 

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurmazunie razif