Home Novel Seram/Misteri Destinasi
Destinasi
nurmazunie razif
11/7/2019 12:09:01
29,836
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Prolog

"Jadi betullah, selama ini semua yang terjadi di kampung ini kerja kamu Melati! Astaqfirullahhalazim," Deraman menghentak dinding kayu di sisi tubuhnya . Tudung saji yang tergantung di dinding melurut jatuh.


"Hahahahaha. Aku puas! Aku puas sekarang!," Melati menjegilkan matanya memandang wajah suaminya Deraman. Urat-urat hijau mulai timbul di wajah Melati.


"Ya ALLAH, Melati apa yang sudah merasuk tubuh kau!!".


Deraman berundur beberapa langkah ke belakang. Perlakuan isterinya itu diperhati. Perasaan takut dan risau mengusai diri. Mana tidaknya dia melihat jelas wajah cantik Melati berubah sedikit demi sedikit menjadi mengerutu malah bau tubuhnya juga begitu busuk. Bukan itu sahaja biji mata Melati juga sudah menjadi kehitaman keseluruhannya. Dia mulai panik. Belum pernah selama dia berkahwin mahupun mengenali Melati, isterinya itu berubah sedemikian rupa. Syaitan apakah yang merasuk Melati sebenarnya.


Melati mulai merangkak perlahan-lahan mendekati Deraman. Tubuh Deraman berpeluh lencun. Rasa takutnya benar-benar menghantui diri. Dengan semangat yang masih bersisa dia berlari sekuat hati menuju ke muka pintu . Dia turun ke halaman rumah lalu menarik tangan Chempaka dan Ramlee yang sedang bermain. Wajah Chempaka dan Ramlee masam mencuka. Tetapi tidak pula mereka menyoal mahupun membantah perlakuan Deraman. Arahan Deraman selaku bapa dituruti.


Tangan anak-anaknya dipegang kejap. Destinasi Deraman cuma satu iaitu ke rumah abang sulungnya, Jamil. Di sepanjang perjalanan menuju ke rumah Jamil, Dia asyik menoleh ke belakang. Dia risau jika Melati mengejarnya.


Sebaik sahaja salam dijawab mereka anak-beranak dipersilakan masuk.


"Kenapa dengan kamu Deraman, aku tengok pucat sahaja. Kamu tidak sihat?" ujar Jamil sambil meneguk secawan kopi yang telah terhidang di serambi rumah. 


Wajah Deraman dan anak saudaranya diperhati penuh khusyuk. Peluh masih lagi berbintil-bintil di wajah Deraman dan anak saudaranya itu.  Kehairanan menerajui perasaan Jamil. Mana tidaknya. Apa yang Deraman dan anak saudaranya buat sehingga mereka terpaksa  berlari untuk menuju ke rumahnya


Belum sempat untuk Deraman menjawab soalan yang diajukan kepadanya. Suara dengusan yang agak kuat dari luar rumah kedengaran. Deraman dan Jamil masing-masing mengerutkan wajah. 


"Biar aku tengok. Mungkin ada orang di luar", Jamil bangun. 


Deraman cuma melihat susuk tubuh Jamil beredar ke muka pintu. Jantungnya berdegup laju. Dia dapat merasakan kehadiran Melati di situ. 


"Bunyi apa itu?", Jamil berbisik sendiri, suasana di luar yang mulai berganjak ke senja diperhati. Telinganya dipicing ke setiap arah. Dia mahu memastikan dari manakah suara dengusan itu datang.


"Siapa tu?," jerit Jamil kuat. 


Beberapa saat berjeda, laungan berserta soalannya tidak dijawab.


"Erghhhhh!.Erghhhhh!".


Berkerut wajah Jamil apabila dia  mendengar dengusan seperti haiwan yang sedang mendengus marah di rumahnya.


"Erghh," bunyi dengusan bertambah kuat. 


Jantung Jamil berdebar hebat. Dia seperti dapat merasakan sesuatu yang tidak baik bakal berlaku. Lalu dia beristiqfar beberapa kali sambil mengurut dada. Perasaan tidak enak betul-betul mengganggunya. 


Sayup-sayup dari dalam rumah, Jamil mendengar jeritan Ramlee serta tangisannya.


"Ibu! Ibu! Jangan!," rayu Ramlee. 


Cepat-cepat Jamil berlari masuk ke dalam rumah. Alangkah terkejutnya dia apabila di lantai dapur kelihatan Melati sedang menjilat rakus darah yang mengalir dari luka di kaki Ramlee. Deraman pula terhenyak di sudut dinding dapur dengan dahi dan mulut yang berdarah. Adiknya itu sedang mengerang kesakitan.


Jamil terpempan. Kaget. Namun apa yang terhidang di hadapan matanya tidak boleh dibiarkan. Dia mesti menghentikan perbuatan ketidakperikemanusiaan Melati terhadap Deraman suaminya sendiri dan anak-anak. Entah apa yang berada di dalam tubuh Melati sehingga dirinya bukan lagi Melati iaitu adik ipar yang dikenalinya dulu.


"Hoi! Syaitan lahanat! Jangan apa-apakan anak saudara aku," tempik Jamil. Kuat.


Jamil menerpa ke arah Ramlee sebelum itu sempat dia mencapai sebuah pinggan kaca lantas membalingnya ke arah Melati. Melati yang sedang leka mengjilat darah berpaling ke arah pinggan yang telah pecah berderai.  Kesempatan itu digunakan sebaiknya oleh Jamil. Dia mengangkat tubuh Ramlee dan diletakkan jauh dari Melati. 


Deraman yang melihat segala yang terjadi cuma mampu berdiam. Dia masih lagi menahan kesakitan akibat dari perlakuan Melati yang menghentamnya sebentar tadi. 


Jamil terpana, paras rupa Melati yang dirasuk iblis diperhati. Jamil gerun. Wajah Melati tidak lagi berupa manusia. Wajahnya mengerutu, bertaring dan mulut yang mengeluarkan lendir busuk serta rambut mengerbang begitu mengerikan. Hampir-hampir Jamil tidak mampu melihatnya.


Melati yang bukan lagi Melati menyeringai. Air liurnya yang berbau busuk menjelejeh dari mulutnya. Berlendir dan berbau hanyir. Kukunya yang panjang dijilat-jilat. Darah Ramlee masih lagi bersisa melekat di celahan kukunya yang panjang. Dia langsung tidak menyedari yang disakitinya adalah anaknya sendiri.


"Hoi! Melati! Apa yang kau mahukan dari kami hah!", marah Jamil.


Meluat betul dia melihat kelakuan Melati yang bertopengkan syaitan lahanat tu.


"Darah dan korban", Melati memandang sinis wajah Jamil yang merah padam menahan amarah yang meluap-luap.


"Kau memang telah berubah menjadi syaitan lahanat Melati. Anak dan suamimu sendiri kau sanggup korbankan. Ilmu syaitan apa yang kau tuntut hah! Insaf Melati. Selagi pintu taubat terbuka untuk kau", Jamil begitu mengharap Melati akan berubah seperti sedia kala. 


"Ha! ha! ha! ha! ha!", tiba-tiba Melati ketawa mengilai dengan suara garau.


Sebaik sahaja berhenti ketawa, tubuh melati tiba-tiba mengejang, perlahan-lahan bentuk tubuhnya berubah. Tubuh Melati ditumbuhi bengkak-bengkak hitam seperti gelembung yang membulat. Begitu juga wajahnya. Malah lidah manusianya bertukar seperti lidah biawak. Keadaan Melati bertambah ngeri dari tadi. 


Berderau darah Jamil dan Deraman menyaksikan perubahan Melati sedemikian rupa. Mereka beristiqfar berulang-kali.


"Astaqfirullallahalazim... ilmu apa yang isteri kau ni tuntut Deraman! Adakah selama ini yang membunuh penduduk kampung seorang demi seorang angkara isteri kau!," Jamil memalingkan wajahnya kepada Deraman. 


Kata-kata Jamil tidak dibalas Deraman. Perlahan-lahan Deraman cuba untuk bangun. Setelah itu dia pantas berlari ke ruang tamu dan mengambil sebilah golok di bawah almari. Dia mahu membunuh Melati. Dia takkan membiarkan iblis itu membunuh penduduk-penduduk kampung lagi. 


Sebaik sahaja golok berada di tangan, Deraman meluru ke arah Melati. Tubuh Jamil ditolak ke tepi.


"Biar aku tentukan nasib kau Melati!", tempik Deraman sekuat hati. Dia rela nyawanya terpisah dari jasad demi keselamatan dan masa depan anak-anaknya.


Melati seakan-akan tahu apa yang Deraman ingin lakukan. Dengan wajah menbengis dan mata yang merah menyala Melati menerkam ke arah Deraman yang sudah bersiap-siaga dengan golok di tangan. Pergerakan Melati begitu pantas dan laju. Deraman langsung tidak menyedari pergerakan Melati. Tubuhnya ditindih oleh Melati sehingga menyukarkannya untuk bernafas. Perit dirasai. Darah mengalir keluar dari hidungnya. Pandangannya berpinar. Nafas  tersekat-sekat. Golok yang dipegang terlepas. 


Deraman tidak mampu menolak tubuh Melati dari menindihnya. Tubuh Melati dirasainya cukup berat. Tenaga Melati dirasainya amat kuat. Dia seperti ditindih oleh sepuluh orang lelaki yang berbadan sasa.


Zapppp! zappp!


Cuma dengan sekali kelaran sahaja leher Deraman terkulai layu. Darah segar memancut-mancut keluar dari tubuhnya. Melati menyeringai. Naluri kemanusiaannya sudah hilang sama sekali. Di pandangan matanya bukan lagi Deraman si suami yang dicintainya tetapi Deraman merupakan musuh dan mangsa yang patut dihabisi riwayatnya. Melati tersenyum puas.


Apabila melihat Deraman tidak lagi bernyawa Melati dengan rakusnya menghisap darah Deraman sehingga menghasilkan bunyi yang begitu menyeramkan.


Jamil yang melihat panik. Tragedi di hadapan matanya membuatkannya menggigil dan terpaku. Dia tiada kudrat langsung mahu melawan. Entah kenapa dia dapat merasakan nyawanya seperti telur di hujung tanduk, bila-bila masa sahaja bakal dirobek oleh makhluk di hadapannya itu.


Dengan langkah perlahan. Jamil memusingkan tubuhnya ke arah pintu dan bersedia untuk lari.


"Nanti!," terdengar suara garau di belakangnya. Langkah kaki Jamil terhenti. Darahnya berderau. 


"Tolong Melati, lepaskan aku! Apa salah aku?," Jamil menggigil. 


Di belakang Jamil, Melati ketawa terbahak-bahak sehingga mengegarkan seluruh rumah kayu itu. Jamil kaget. Matanya dipejam. Jantungnya berdebar kuat. Dia dapat mendengar tapak kaki Melati mendekati belakang badannya.


Entah kenapa Jamil merasakan kakinya seperti terpaku di tanah. Dia tidak mampu bergerak. Apabila dia mahu mengangkat kakinya, terasa amat berat. Tiba-tiba dia dikuasai perasaan takut yang amat sangat.


"Ha! Ha! Ha! Ha!," Melati ketawa.


"Manusia lemah! Mudah takut!", sindir Melati.


Jamil akui apa yang dikatakan oleh Melati itu adalah benar. Sebentar tadi sebaik sahaja melihat Deraman dibunuh hidup-hidup jiwanya diselubungi rasa takut dan gentar yang tidak terhingga.


Jamil merasa ada sesuatu yang amat tajam mencekak lehernya dari belakang. 


"Aduh! Tolong! Jangan Melati!," rintih Jamil. 


Tangan Melati mencekak erat leher Jamil dari belakang tubuh Jamil sehingga terangkat dan kakinya tidak mencecah lantai. 


"Aku takkan lepaskan kau!!," tempik Melati dengan mata yang membuntang.


Cekakkan di leher Jamil semakin dieratkan. Nafas Jamil tersekat-sekat. Bintil-bintil peluh mulai memenuhi wajah dan tubuh Jamil. 


Sepantas kilat tubuh Jamil dipusingkan oleh Melati.  Jamil menghadap wajah Melati yang hodoh lagi mengerunkan itu. Terketar-ketar  dia menahan kesakitan dan rasa sakit.


Mata Melati yang merah menyala menjadi semakin merah apabila dia mendengus. Matanya memandang tepat ke arah Jamil sambil menyeringai . Serayanya seperti dia mahu menelan Jamil hidup-hidup. 


"Jangan ibu. Lepaskan pakcik," Ramlee tiba-tiba bersuara dengan memegang kaki Melati. Tangisannya mendayu-dayu. Dia mahu ibunya melepaskan Jamil. 


Melati mendengus kasar dan memandang wajah anaknya itu seketika. Entah kenapa hati Melati sedekit terasa sayu melihat rayuan Ramlee. Hati manusianya masih ada namun amat sikit menguasai akal dan mindanya. Si iblis yang dipujanya lebih banyak menguasai Melati. Tiba-tiba Melati merasa kepalanya amat sakit. Seperti ada suara yang bergema-gema di dalam otaknya. Kepalanya dipegang dengan kedua-dua belah tangan. 


Tubuh Jamil terlepas. Kesempatan tersebut digunakan sepenuhnya oleh Jamil untuk melarikan diri. 


Sebenarnya semasa Melati sedang mencengkam leher Jamil tadi. Mulut Jamil tidak henti-henti membaca Ayatul Kursi berulang-kali. Hanya ayat dari surah Al-Baqarah itu sahaja yang terlintas di kepalanya. 


Tubuh Melati mengerekot di lantai rumah. Kepalanya yang sakit masih dipegang. Tidak semena-mena suatu bayangan makhluk menjelma di hadapan Melati. Figura tersebut seperti menyeru sesuatu. 


Wajah alam tiba-tiba bertukar rupa. Awan kehitaman menjelma memayungi seluruh kampung. Angin kuat seperti puting beliung berpusar-pusar memusnahkan segala tempat yang dilalui. Rumah banyak yang roboh. Bukan itu sahaja datang segerombolan serangga seperti belalang memusnahkan segala tanaman dan pokok-pokok. 


Penduduk kampung bertempiaran lagi untuk menyelamatkan diri. Hujan lebat turun mencurah-curah membuatkan keadaan semakin bertambah buruk.


Melati yang masih lagi mengerekot tiba-tiba berdiri dan menyeringai dengan matanya yang merah menyala. Sepantas kilat dia melompat turun dengan wajah tersenyum puas.


Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurmazunie razif