Home Novel Seram/Misteri Destinasi
Destinasi
nurmazunie razif
11/7/2019 12:09:01
29,968
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 6

Sebaik sahaja keluar dari surau lama itu, Anita tidak melepaskan peluang untuk melihat  persekitaran surau tersebut. Tidak terdapat rumah mahupun kelibat manusia. Cuma pokok-pokok pisang dan hutan kecil yang memenuhi kawasan itu.

Anita mendongakkan kepalanya memandang langit. Matahari semakin galak menegak di atas kepala. Memancarkan sinar dan bahangnya yang terik bagi memberikan manfaat kepada alam serta penghuninya. Dia mengosok-gosok lengannya yang terdedah kerana berbaju lengan pendek. Terasa perit lengannya disimbah bahang kepanasan sang mentari. Cepat-cepat langkah kakinya dibawa ke arah kereta yang berada tidak jauh di hadapan. Dia tidak mahu sang mentari terus-terusan membakar tubuhnya. Mahu gelap kulit putih melepaknya nanti. Tidak! Dia mesti cepat-cepat menuju ke arah kereta.

Wani dan Nisa yang tadinya membontoti Anita, kini telah mendahului ke hadapan. Masing-masing berwajah masam mencuka. Tiada langsung kata-kata yang keluar dari mulut masing-masing. Hanya perasaan benci dan marah yang berputik di hati.

Sebaik sahaja Anita sampai ke kereta. Pintu kereta dibuka. Tubuh di bawa masuk di sebelah tempat duduk pemandu. Manakala Wani sudahpun berada di bahagian pemandu sambil memegang kunci kereta.

"Aku tumpang korang ye", tiba-tiba terdengar suara Nisa.

Tanpa mendapat keizinan dari Anita mahupun Wani, Nisa dengan wajah selambanya masuk ke dalam perut kereta di bahagian belakang. Dia sekadar melemparkan senyuman apabila Anita dan Wani memandangnya dengan mata mencerlung tajam.

"Eh, aku tak suka nak tumpang-tumpangkan kau lah! Pergilah cari jalan balik kau sendiri. Aku bukan nak balik ke bandar. Kau faham ke tak!", Wani meninggikan suara sambil memandang wajah Nisa dari cermin pandang belakang.

"Iye. Aku tahu. Aku ikut kau sampailah kau selesai melapor diri, lepas tu aku akan menghubungi daddy aku, suruh ambil aku kat sini. Lagipun telefon aku tiada line", balas Nisa. Tersenyum sinis.

"Ha! ha! ha! kau takut kan Nisa. Takut mati kering kat tempat berhantu ni!! Padanlah dengan perangai kau yang macam hantu tu! ", Jerit Wani. Rasa mahu didukunya kepala Nisa biar perempuan tu tahu bahawa kehadirannya tidak dialu-alukan. Malah semakin menambah sakit hati yang sedia sudah disakiti adalah.

"Eh! Eh! Cabul betul mulut kau kan. Kalau aku mati kering. Aku bersumpah akan jadi hantu. Lepas tu, kaulah manusia pertama yang akan aku cekik!", Nisa tidak mahu kalah dengan perbalahan di antara mereka.

"Sudahla tu Kak Wani! Kak Nisa! Jom gerak sekarang", saran Anita.

Kalaulah dilayan sengketa di antara mereka berdua. Sampai esok pagi pun belum tentu habis. Memang melampau betul. Tak habis-habis nak bertekak. Anita cuma mampu mengeleng kepala.

Tanpa banyak bicara Anita mengeluarkan sekeping peta dari dalam beg sandangnya. Peta yang berlipat-lipat itu dibuka. Maka terbentanglah sekeping kertas sebesar manila kad yang isi kandungannya berwarna warni. Dia mulai meragui destinasi Kampung Bukit Keramat yang mahu ditujui.

Nasib baiklah peta tersebut sempat dicapainya sebelum berangkat ke rumah Wani. Teringat juga jika tiba-tiba signal telefon tiada, maka semestinya GPS @ MAPS tidak dapat digunakan.

"Nak tunggu apa lagi ni Kak Wani jomlah kita gerak sekarang", nada percakapan Anita sedikit meninggi apabila dilihatnya Wani tetap tenang dan masih belum memainkan gear untuk memandu.

"Tetapi Anita, akak tak suka si Nisa ni ikut kita. Penyibuk!", marah Wani. Sugul.

"Dah la tu Kak Wani. Biarkan jelah Kak Nisa ni nak ikut kita. Anita rasa tak sedap hati ni tau. Entah di manalah destinasinya tempat kita nak tuju ni. Dalam peta yang Anita pegang ni pun tidak ditulis perkampungan yang kita nak pergi ni", bebel Anita. Berkerut dahinya memandang wajah Wani.

"Ha! Perkampungan kecil kot. Sebab tu tiada dalam peta. Entah-entah kampung orang asli, mana tahu kan", Nisa sengaja mahu mengusik Wani. Padahal dia terlebih dahulu tahu destinasi Wani akan ditukarkan. Tidak pula dia tahu sama ada kampung tersebut ada dalam peta atau tidak tetapi setahunya kampung tersebut begitu terkenal di mata masyarakat.

"Hei! Jangan menyibuk hal akulah!", marah Wani.

"Kak Wani, cukup! Jangan bergaduh lagi dengan kak Nisa. Anita risau jika kita tersesat ni tau. Biar je lah kak Nisa ikut kita, sekurang-kurangnya tidaklah kita terasa takut sangat. Lagi ramai lagi bagus kan", saran Anita.

Nisa tersenyum puas mendengar kata-kata Anita. Sebenarnya dia mulai berasa takut mahu memandu berseorangan. Dia mula was-was mahu mencari jalan keluar sendiri. Lagipun telefon bimbitnya tidak berfungsi untuk membantunya mencari jalan keluar. Ah. Mahu tidak mahu dia terpaksa juga bersama-sama Wani dan Anita. Bergantung harap pada mereka berdua.

Enjin dihidupkan. Kereta meluncur laju membelah jalan yang sunyi sepi. Tiada langsung walau sebiji kenderaan pun yang melalui jalan yang sedang mereka lalui. Papan tanda jalan juga tidak kelihatan.

Kereta diberhentikan di tepi jalan serta merta. Brek mengejut membuatkan Nisa terhentak kepalanya di kerusi hadapan. Lantas Wani ketawa terbahak-bahak.  Anita cuma mampu mengeleng melihat tingkah-laku di antara dua wanita yang amat dikenalinya itu. Rasa mahu sahaja dilagakannya kepala mereka berdua supaya berbaik semula seperti dahulu. Namun apa dayanya, dendam di antara mereka berdua seperti tidak pernah surut. Lagi-lagi Nisa telah merampas Fakry iaitu kekasih Wani sehinga menjadi tunangnya. Lagilah kuat dendam Wani terhadap Nisa. Namun dia masih tidak mengetahui apa sebenarnya yang terjadi di antara mereka berdua yang menyebabkan perbalahan bermula. Fakry bukanlah penyebab utamanya.

"Hoi! Dah gila ke?", Jerit Nisa. Kepalanya yang sakit diusap-usap.

"Sorry aku tak sengaja tadi", gelak Wani meleret-leret.

Nisa mengetap bibir. Tanda geram.

"Kenapa berhenti ni Kak Wani?", tanya Anita. Pelik.

"Akak rasa macam dah lama memandu tetapi papan tanda Kampung Bukit Keramat pun tak nampak. Kereta pun tidak ada yang lalu. Orang pun tak nampak. kau tak rasa pelik ke Anita? Akak rasa ada yang tak kena ni".

"Kan tadi dah Anita kata tak sedap hati".

Wani mengeluh. Buntu.

"Tadi akak nampak Anita ada pegang peta. Peta tu boleh bantu kita tak?", tanya Wani. Dia teringat peta yang dipegang Anita sebentar tadi.

"Sebenarnya Kak Wani dari tadi Anita belek-belek peta ni tapi tiada langsung nama Kampung Bukit Keramat kat dalam peta ni. Kan tadi Anita dah beritahu", Anita memandang wajah Wani lama  lantas lipatan kertas yang merupakan peta diserahkan kepada Wani.

"Kampung Bukit keramat?",  Nisa yang mendengar perbualan mereka dari belakang. Cepat-cepat memintas. Seperti ada yang tida kena apabila mereka berdua mempersoalkan kewujudan Kampung Bukit Keramat di dalam peta.

Wajah Nisa berkerut seribu. Sepertinya dia tidak pernah mendengar langsung nama kampung tersebut. Lagipun dialah orang pertama yang busybody apabila surat pertukaran Wani sampai ke bilik pengetua. Dia senyap-senyap menyusup masuk ke dalam bilik Encik Zaki dan membuka surat tersebut. Sah lagi sahih bukan Kampung Bukit Keramat destinasi Wani diarahkan bertukar. Sebab itulah dia merasa pelik mendengar nama destinasi yang belum pernah didengarnya.

"Ye lah! Kampung Bukit Keramat! Kau kan yang hantar aku kat kampung yang terpencil entah kat mana tempatnya ni!", marah Wani. Wajahnya dipalingkan menghadap Nisa di belakang.

"Amboi suka-suka hati je tuduh aku yang bukan-bukan. Aku rasa kau silap tengok ni. Tempat kau diarahkan bertukar adalah Kampung Rasa Sayang! Itukan kampung datuk dan nenek kau! Ataupun kau saja nak perangkap aku dan Anita ke tempat yang sepertinya berpuaka ini!", tempelak Nisa dengan mulut yang mencebik. Setelah itu, Kepalanya diteleng ke luar tingkap. Perutnya dipegang. Rasa lapar mula menghantui.

"Aik, macammana kau boleh tahu aku diarahkan bertukar kat mana? Semua ni rancangan jahat kau kan", tuduh Wani. Mahu rasanya saat itu juga dia menerkam Nisa yang duduk di belakang.

Anita mulai runsing dengan perangai tuduh-menuduh Wani dan Nisa. Jika keadaan sebegini berterusan jalan keluar tidak akan mereka temui.
Malah akan mengeruhkan lagi suasana.

"Kak Wani. Kan Nisa sudahlah, Anita rimas jika berterusan macam ni", rayu Anita dengan suara yang hampir-hampir mahu menangis. Sudahlah perutnya terasa lapar. Telinganya pula tak sudah-sudah mendengar pertengkaran di antara Wani dan Nisa. Sudahnya dia boleh jadi gila dan mati kering angkara mereka berdua.

"Kak Wani cuba tengok semula surat arahan pertukaran tu? Mana tahu kalau Kak Wani tersilap tengok kot?!", Anita menyambung kata. Hatinya mengelegak.

Wani mencapai beg tangan yang berada di bawah tempat duduknya. Sekeping surat berwarna putih yang mempunyai cop kementerian dikeluarkan.

Cepat-cepat Anita merampas surat tersebut dari tangan Wani manakala Nisa yang duduk di tempat duduk belakang cuma mengerling sepintas lalu. Dia mencuba sedaya upaya menahan rasa lapar yang mengasak-gasak perutnya.

Sekeping kertas dikeluarkan dari sampul surat, lantas dibuka. Hampir pitam Anita melihat surat yang berada di tangannya. Tiada langsung perkataan Kampung Bukit Keramat yang ditulis. Tempat sepatutnya untuk Wani melapor diri adalah Kampung Rasa Sayang.

"Betullah kata Kak Nisa. Kak Wani diarahkan bertukar di Kampung Rasa Sayang", ujar Anita perlahan.

Tiba-tiba, tidak semena-mena kertas yang dipegang Anita berterbangan ke luar tingkap seperti ditiup angin. Anita cepat-cepat membuka pintu kereta dan mengejar kertas tersebut. Nasibnya baik apabila kertas itu sempat diambil dan tidak diterbangkan angin lebih jauh.

Di sebalik pokok pisang berhampiran Anita berdiri, sesusuk tubuh wanita berambut panjang dan berbaju kurung putih memerhati. Namun, seusai Anita beredar dari situ kelibat tersebut menghilangkan diri. Kehadirannya tidak disedari oleh Anita.

"Jangan cuai lagi Anita, kalau hilang surat ni naya akak tau. Bak sini akak nak tengok surat tu", tegur Wani.

Tanpa membalas kata-kata Wani, Anita memberikan surat pertukaran  tersebut kepada Wani.

Sebaik sahaja surat bertukar tangan. Wani membaca kandungan surat tersebut satu-persatu. Dari awal sehinggalah ke perkataan yang terakhir. Wajah Wani berkerut dan nafasnya dihembus perlahan.

"Kenapa Kak Wani?", tanya Anita. Riak wajah Wani seperti terkejut besar gayanya.

"Tak mungkin Anita. Masa mula-mula akak baca surat ni, akak ditukarkan ke Kampung Bukit Keramat. Bukannya Kampung Rasa Sayang?! Macammana boleh jadi macam ni? Akak pasti akak tak salah baca", terang Wani sambil menatap wajah Anita cukup lama. Anita cuma mampu mengerutkan wajah.

"Tak mungkin apanya! Kau tu ada mata taknak guna! Entah-entah kau tu ada penyakit halusinasi tak? Orang gila memanglah macam tu", tempelak Nisa.

"Mulut kau macam puaka!", Wani membaling pewangi kereta ke arah Nisa yang sedang membelek telefon bimbit. Nyaris-nyaris tidak mengenai kepala. Nisa sempat mengelak.

"Okey. Macam ni. Apa kata kita isi perut dengan makanan ringan dulu, sambil tu kita fikir jalan penyelesaiannya", cadang Anita. Dia mahu menenangkan dirinya dengan berehat sebentar. Lagipun berbalahan antara Nisa dan Wani merimaskannya.

Wani mempersetujui cadangan Anita. Nisa cuma menggangguk. Perutnya semakin sakit apabila waktu makan tengahari sudah berganjak ke jam 3.00 petang.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurmazunie razif