Home Novel Seram/Misteri Destinasi
Destinasi
nurmazunie razif
11/7/2019 12:09:01
29,809
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 10

Nisa terpinga-pinga. Sungguh tidak disangka Wani dan Anita begitu nekad untuk melalui denai tersebut bagi mencari suara wanita yang didengari mereka. 


"Adoii! Kenapalah korang nekad juga nak pergi", bentak Nisa. Dia betul-betul geram. 


"Kalaupun aku tidak bersetuju dengan keputusan dia orang, janganlah tinggalkan aku. Siapa lagi yang aku ada selain dari mereka berdua, ish menyusahkan betullah. Menyesal pula aku tumpang dia orang", bebel Nisa.


Mahu atau tidak terpaksa juga dia mencari Wani dan Anita. Dirinya sudah diselubungi rasa takut dan seram yang membuak-buak. Mana tidaknya, kini dia berada di pinggir hutan dan berseorangan. Seriau. Dia mesti mencari Wani dan Anita sebelum kelibat mereka benar-benar hilang di dalam hutan tersebut. Tak sanggup rasanya dia berada di hutan itu berseorangan. Nyamuk pula bukan main banyaknya. Begitu lahap dan tidak segan silu berebut-rebut menghisap darahnya. 


Sambil mengibas-gibas nyamuk dengan tangan, Nisa berlari-lari anak menuju ke arah denai. Dia mahu cepat-cepat menemui Wani dan Anita. Lagipun hari semakin gelap. Kawasan tersebut mulai diselubungi oleh kegelapan. Cuma cahaya kesuraman yang terpancar dan berbalam-balam sahaja yang dirasai.


"Hoi! Wani! Anita!", Nisa melaung sekuat hati di sepanjang denai tersebut.

Beberapa saat berjeda, telinga dipicingkan jika kedua-dua sahabatnya itu menyahut. Laungan Nisa sia-sia. Tiada sesiapapun yang menjawab. Kedengaran cuma suara unggas-unggas hutan yang entah di mana berada bernyanyi riang. Dia menghembus nafas berat.


Perjalanan diteruskan, setelah agak lama berjalan, Nisa berhenti di pertengahan denai. Dia merenung ke hadapan. Denai tersebut sepertinya tiada berpenghujung. Kepala didonggakkan ke langit, kelihatan awan putih tiada lagi. Itu tandanya langit mulai gelap dan hari mulai berganjak ke malam. Dirinya mulai seriau.


Ishh. Sepatutnya aku tidak berada di sini, tetapi di rumah. Menyesal sungguh aku ikut kau orang berdua, akhirnya aku sendiri yang hilang arah. Ah! Menyesal betul. Ini semua bala!. Bebel Nisa di dalam hati. Keringat yang hampir kering di wajahnya di sapu, dia buntu. 


Ditelengnya kepala ke kiri dan ke kanan untuk melihat keadaan persekitaran namun yang ada cuma pokok-pokok yang daunnya berjuntaian dan kegelapan sahaja. Tiada segaris cahaya pun yang boleh dijadikan petunjuk untuk dia mencari Wani dan Anita. Nasib baik ada lampu suluh yang dijumpainya di dalam beg air tadi. Jika tidak mahu dia pengsan berada di dalam keadaan yang benar-benar gelap itu.


Dipandangnya ke langit, Nisa melihat awan hitam menyelubungi langit seolah-olah mahu hujan.


Dia menunduk untuk menampar nyamuk yang hinggap di ibu jari kaki. Semasa itulah dia mendengar sesuatu yang pelik. 


"Shtttt....shtttt....shttt...".


Nisa mendengar susuatu berdesir di lantai hutan. Desiran tersebut kedengaran semakin kuat dan menghampirinya. Dia kaget.


"Apakah itu bunyi ular?", Nisa sekadar menduga. Tiba-tiba sahaja kakinya mengeletar. Mana tidaknya teringat sahaja rupa bentuk haiwan berbisa itu membuatkan dia berasa gerun dan geli-geleman. 


Liur ditelan berkali-kali. Buntu. Sama ada mahu meneruskan perjalanan atau berpusing semula menuju ke kereta yang ditinggalkan di tepi jalan. 


"Ah! Baik aku berpatah semula. Tunggu dia orang di dalam kereta", omel Nisa.


Pantas sahaja tubuh dipusingkan kembali menghadap bahagian belakang. 


"Arghhh", terbeliak biji mata Nisa menyaksikan makhluk yang sedang berada di hadapannya.  


Terdapat seekor ular tedung selar berwarna hitam setinggi semeter sedang berdiri dan mengembangkan kepalanya. Lidah haiwan tersebut terjelir. 


Nisa berundur beberapa tapak ke belakang. Dadanya berdebar-debar. Saat itu dia merasa seperti alterinya mahu pecah apabila menyaksikan ular yang begitu besar. Tidak seperti ular biasa yang pernah dilihatnya secara realiti mahupun di televisyen. Adakah Sang Ular yang sedang berada di hadapannya sekarang adalah realiti? Ataupun sebenarnya dia sedang bermimpi?. Dicubit-cubitnya lengan sebelah kiri beberapa kali. Ya ternyata segalanya benar belaka. Dia tidak bermimpi. 


"Apa aku nak buat ni?", Nisa bermonolog sendiri. Tubuhnya menggigil kuat. Rasa takut menyelubungi diri.


Ular yang masih lagi di dalam keadaan "berdiri" itu tidak bergerak langsung dan memandang tajam ke arah Nisa. Sepertinya ular tersebut mahu menerkam ke arah Nisa pada bila-bila masa sahaja. Nyawa Nisa  dalam bahaya.


Lampu suluh yang masih dipegang dimatikan cahayanya. Nisa sebenarnya mahu lari sekuat hati di dalam kegelapan. Dia tidak mahu ular tersebut mengesan pergerakannya melalui cahaya. Namun dia tidak mengetahui bahawa ular itu boleh mengesan kehadirannya melalui haba tubuh badan manusia.


Tanpa berfikir baik buruknya lagi, Nisa memusingkan tubuhnya lantas berlari sekuat hati menyusur denai tersebut. Segala rintangan yang bakal berada di hadapannya tidak lagi diendahkannya. Dia lebih memikirkan keselamatan dirinya sahaja di waktu itu. 


Berdetak kuat lantai hutan apabila hentakan kaki Nisa menerjah-nerjah tanah semasa berlari. Sekuat hati dikerahnya tenaga. Sesekali dia akan berhenti dan menoleh ke belakang.  Ucapan syukur dilafazkannya berulang-kali apabila mata merah milik ular tersebut tidak kelihatan. Perjalanan merentas denai diteruskan. Nisa sedar sekarang dia semakin jauh masuk ke dalam hutan tersebut.


Nisa berhenti berlari. Dia menoleh ke belakang dan disekitarnya, lega. Tiada lagi ular jadian bermata merah mengejarnya. Risau juga jikalau ular tersebut muncul dengan tiba-tiba, tetapi setelah 10 minit dia menunggu di situ. Tiada apa pun yang muncul. Desiran ular yang didengarnya juga tiada. Dia yakin, dirinya betul-betul selamat. Lafaz syukur diucapnya berulang-kali. Dia bagaikan mendapat nyawa buat kali kedua. 


"Aku nak ke mana pula ni? Sebuah rumah pun aku tak nampak, apatah lagi kelibat manusia. Di manakah aku sekarang ni." Nisa bermonolog sendiri. 


Langkah kaki diteruskan juga ke hadapan. Nisa masih lagi melalui denai yang sama. Entah kenapa denai itu dirasakannya begitu panjang masuk ke dalam hutan. Adakah ada perkampungan di penghujung denai itu. Nisa buntu. Gerak hatinya cuma mengatakan dia perlu mengikut arah denai sehingga ke penghujungnya. Nisa berserah segalanya kepada yang maha ESA.


Di kejauhan Nisa melihat ada cahaya kesuraman berkedip-kedip.


"Ah, benar tekaan aku, memang terdapat perkampungan di penghujung denai ini, alhamdulilah. Moga-moga ada manusia berhati luhur yang mahu menolong aku", sambil berkata-kata sendiri, bibir Nisa menguntum senyum.


Kini dia berdiri di penghujung denai. Beberapa meter di hadapannya dia boleh melihat cahaya api yang meliuk-liuk di tiup angin. Rumah- rumah kampung tersergam di merata-rata. Sebenarnya denai tersebut berakhir di sebuah bukit yang tidak begitu tinggi.


Nisa menuruni bukit perlahan-lahan. Sampai sahaja dia di kaki bukit. Bibirnya tersenyum lebar. 


Setelah lebih kurang 200 meter berjalan. Nisa melalui beberapa buah rumah kayu traditional. Terdapat cahaya suram dari dalam rumah. Maka dia menyimpulkan bahawa. Rumah tersebut mempunyai orang. Namun dia tidak tahu mahu meminta pertolongan dari rumah yang mana satu. Risau juga jika dia terjumpa manusia yang berniat jahat. Bukannya dia tahu pun hati manusia itu benar-benar ikhlas mahu menolongnya ataupun sebaliknya. Ah! Buntu.


"Hoi! Kak Nisa! Kak Nisa"!, jerit satu suara.


Sayup-sayup Nisa mendengar seseorang memanggil namanya. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Tiada. Cuma yang dilihatnya adalah tiang rumah yang berada di dalam kegelapan. 


"Kak Nisa, tengok atas", arah suara tersebut. 


Tanpa menunggu lama, Nisa melihat ke atas. Sebuah jendela kayu terbuka luas. Di dalam kesuraman dia dapat melihat sesusuk tubuh sedang tersenyum sambil merenungnya. 


"Kau siapa?", entah kenapa dia langsung tidak dapat mengecam wajah di jendela tersebut. Kelam malam dan ruangan dalam rumah papan itu yang ternyata begitu suram membuatkan dia tidak dapat melihat jelas wajah di hadapannya itu.


"Ni, Anita".


"Ha! Anita!", Nisa melihat wajah perempuan di hadapannya lama. Ya memang benar, itu Anita. Kenapalah susah sangat dia mahu mengecam wajah Anita. Ah, ternyata kegelapan, betul-betul membutakan penglihatannya.


"Ye lah, Anita ni. Mari Kak Nisa naik". Anita mempelawa Nisa. Setelah itu dia beredar ke beranda rumah mahu menyambut kedatangan tetamu yang tidak diundang itu.Tubuh Nisa dipeluk erat. 


"Jom masuk", tangan Nisa ditarik oleh Anita. Mereka berdua beiringan masuk ke dalam rumah. 


Anita mengunci pintu kayu. Dia menarik Nisa ke ruang anjung. Nisa sedikit terlopong kerana rumah tersebut tidak mempunyai lampu. Cuma yang ada adalah pelita sebagai sumber cahaya yang menerangi rumah tersebut.


"Ini rumah siapa?", Nisa memandang wajah Anita ragu-ragu. Perasaan sangsi tiba-tiba terdetik di hatinya. Mana tidaknya, tiba-tiba sahaja Anita muncul di dalam rumah kayu tersebut. Bukankah pada petang tadi Anita dan Wani tegar mahu mencari suara wanita yang menjerit sepertinya berada di dalam kesusahan. Alih-alih mereka berdua boleh berada di dalam rumah kayu ini. 


"Kak Nisa jangan risau. Sekejap lagi pasti tuan rumah ni datang jumpa kita. Mereka ada di dapur. Sedang menyediakan makan malam", kata Anita dengan senyuman meniti di bibir.


"Mereka? Siapa mereka", pertanyaan Nisa itu membuatkan Anita ketawa agak kuat. 


"Siapa lagi, Kak Wani dan tuan rumah inilah. Hai dah lupa pula ke?". 


Nisa cuma mencebik. Tempelak Anita kepadanya sebentar tadi, tidak dihiraukannya. Lantas kakinya melangkah ke arah sebuah kerusi rotan lusuh lalu duduk di situ. Dia mengosok-gosok sedikit pemegang kerusi tersebut apabila dirasakannya agak berhabuk. Isi keseluruhan rumah tersebut menjadi santapan matanya. Tiada apa yang menarik di dalam rumah tersebut melainkan pelita minyak tanah yang menerangi ruang anjung rumah.


"Dah zaman i-phone pun masih ada lagi yang menggunakan pelita minyak tanah ke? Ish", omel Nisa.


Anita yang mendengar omelan Nisa tidak mahu mempedulikan kata-kata wanita itu. Dia amat faham akan perangai Nisa yang kuat merungut dan cerewet.


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurmazunie razif