Home Novel Seram/Misteri Destinasi
Destinasi
nurmazunie razif
11/7/2019 12:09:01
29,845
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 4

Anita masih lagi berdiri di tengah jalan. Dia mencari budak lelaki itu. Namun tiada. Cuma kesunyian yang menghimpit suasana. Keseraman mulai menjalar di seluruh tubuh. Bulu romanya mulai berdiri tegak. Dia berpeluk tubuh. Suasana betul-betul sejuk.

kabus tiba-tiba berarak perlahan mengelilingi Anita. Semakin lama semakin tebal. Penglihatannya menjadi terhad. Dia tidak dapat melihat apa-apa selain kabus yang memutih dan dirinya sendiri.

"He! He! He!", tiba-tiba Anita terdengar suara gelak ketawa kanak-kanak. Suara tersebut memantul-mantul di sekelilingnya. Tubuhnya menggigil.

"He! He! He!", suara ketawa kanak-kanak itu kembali berulang.

Anita meliarkan matanya melihat sekeliling tempatnya berdiri. Dia cuba mencari kelibat mahupun suara kanak-kanak yang didengarinya tadi. Tiada. Di sekelilingnya kosong. Suasana hening.

"He! He! He", suara gelak ketawa kanak-kanak kembali kedengaran. Anita pelik, suara gelak tawa kanak-kanak tersebut seperti berada betul-betul di belakang tubuhnya.

Anita mulai panik. Perasaannya berbelah-bahagi sama ada mahu memusingkan tubuh ataupun sebaliknya. Setelah beberapa minit mematukan diri, dia terasa seperti ada seseorang memegang tangannya dari belakang. Dia berpaling.

"Ya ALLAH", Anita menekup mulut.

Dia melihat seorang kanak-kanak lelaki berdiri memandangnya sambil menyeringai. Dari pemerhatian Anita kanak-kanak itulah yang mereka langgar tadi. Namun wajahnya terlalu pucat dari tadi. Sekeliling matanya kehitaman, yang begitu menyeramkannya apabila dari mata dan mulutnya keluar darah yang membuak-buak seperti air paip.

"Kau bukan manusia!kau bukan manusia! Lepaskan aku!", jerit Anita. Dia mengelengkan kepalanya berkali-kali. Dia cuba untuk melepaskan pegagan tangannya yang dipegang oleh kanak-kanak itu.

Sebaik sahaja pegangan terlepas, kanak-kanak itu mengagakan mulut seperti mahu membahamnya. Tanpa menunggu lama, Anita mengorak langkah seribu berlari ke arah kereta. Kabus yang mengelilinginya tadi dirempuh. Dia tidak lagi menoleh ke belakang.

Pintu kereta dibuka. Tubuhnya dihenyak agak kuat sehingga kereta tersebut bergegar . Ketika itu dadanya berombak kencang. Kepenatan yang dirasainya membuatkan dia sukar bernafas dengan lancar.

"Kak Wani, jom cepat! Cepat! Kita pergi dari sini?", arah Anita.

Tubuh Wani digoncang-goncang. Tiada respon. Wani kelihatan menggigil.

"Kenapa dengan Kak Wani ni! Cepatlah! Cepat! Jom kita pergi dari sini. Kak Wani!", panggil Anita berkali-kali.

Masih lagi tiada respon. Wani seperti patung bernyawa. Cuma matanya sahaja yang berkedip-kedip.

"Kak Wani!", Jerit Anita ke arah telinga Wani.

Apakah Wani juga melihat makhluk yang menyerupai kanak-kanak tersebut sehingga tubuhnya kaku tidak bergerak kerana terlalu takut. Fikir Anita.

Tanpa menunggu sebarang respon lagi Anita menampar pipi Wani semahunya. Wani tersentak. Kepalanya ditoleh ke arah Anita yang telah merah padam wajahnya menahan gelojak perasaan yang diselaputi rasa takut, panik dan terkejut yang bercampur-baur.

"Akak, nampak bu...bu...budak...", Wani berkata perlahan. Liurnya ditelan berkali-kali.

Dah agak dah. Sebab itulah tubuh Wani kaku seperti batu. Hati kecil Anita berbisik.

"Sudah Kak Wani, jom pergi dari sini! Sekarang!", arah Anita.

"Akak, takut......", tubuh Wani menggigil.

"Kak Wani! Tolong pandu kereta sekarang! Sekarang! Anita pun nampak apa yang Kak Wani nampak, jadi kita mesti pergi dari sini sekarang!", Anita berkata kasar sambil kepalanya menoleh ke arah belakang.

"O...okey...", balas Wani. Rasa gentarnya masih lagi menghantui diri.

Dengan tangan yang terketar-ketar Wani mengerakkan gear automatik dan menekan minyak selaju yang boleh meninggalkan destinasi puaka yang dilalui mereka.

Di kejauhan seorang kanak-kanak lelaki merangkak perlahan, seolah-olah merayu supaya tidak ditinggalkan. Esa tangis yang mendayu-dayu memenuhi kawasan tersebut. Namun tidak dapat didengari oleh Wani mahupun Anita kerana kedua-duanya telah hilang disebalik selekoh jalan dan kereta yang membawa kedua-duanya telah menjauh ditelan kegelapan malam yang berkabus.

...........................

"Aku sesat ke ni?", Nisa mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

Rasanya telah berkali-kali kereta yang dipandunya berpusing-pusing di tempat yang sama. Namun jalan keluar masih lagi tidak ditemuinya. Kali ini perjalanan balik dari menemui Dukun Siah dirasakannya terlalu lama dan panjang. Entah di mana silapnya sehingga jam 6.00 pagi dia masih lagi belum menemui jalan keluar.

"Mustahil aku boleh sesat, dah berkali-kali aku lalu jalan ni", rungut Nisa. Fikirannya buntu.

Akhirnya Nisa berhenti di persimpangan simpang empat. Dia berkira-kira mahu membelok di persimpangan yang mana satu kerana sebelum ini belum pernah lagi dia menemui persimpangan tersebut. Setelah berfikir sekian lama Nisa memilih untuk membelok di sebelah kiri. Sebenarnya dia cuma mengagak sahaja jalan yang patut dilalui. Dia tidak tahu sama sekali arah mana yang mesti diikuti.

Nisa yakin sekejap lagi dia pasti akan menemui penempatan mahupun pekan kecil yang terdapat pelbagai kemudahan. Lagipun hari hampir siang, kalau sesat pun masih senang untuknya mencari jalan keluar.

Sebaik sahaja berada beberapa kilometer dari persimpangan Nisa melihat sebuah kereta tersadai di sebelah kiri jalan. Kereta tersebut seperti dikenalnya. Nalurinya kuat mengatakan supaya singgah sahaja untuk melihat kereta itu.

Kereta diparkir di tepi jalan. Brek tangan ditarik. Enjin dimatikan. Nisa bergerak keluar dari perut kereta. Kakinya dibawa mendekati kereta yang tersadai. Sampai sahaja di sisi kereta yang tersadai dia melihat jam tangannya. Hari hampir siang mengangkat tirai malam yang dirasakannya terlalu panjang. Perlahan-lahan kabus yang menyelimuti kawasan tersebut berlalu pergi. Di kejauhan Nisa melihat jelas sebuah bangunan usang yang rekabentuknya seperti surau lama tersergam megah. Buat seketika Nisa kagum. Hilang seketika perasaan ingin tahunya untuk melihat isi kereta yang tersadai.

Surau tersebut kelihatan lama dan usang namun hasil seninya masih jelas kelihatan. Selain bumbung yang kasaunya berukir, Nisa juga melihat hasil seni lama pada pemegang tangga untuk ke atas. Terdapat corak bunga-bunga yang terukir indah. Buat pertama kali dalam kehidupannya dia amat mengagumi hasil seni yang belum pernah dilihatnya itu.

Kok! kok! kok!

Bunyi kokokan ayam mengejutkan Nisa. Baru disedarinya dia terlalu ralit dan asyik melihat hasil seni surau itu hingga terlupa akan tujuan sebenarnya bagi melihat siapakah gerangan yang empunya kereta. Bukannya apa, Nisa benar-benar mahukan pertolongan. Dia mahu keluar dari situasi sesat yang dilaluinya sekarang.

Tingkap kereta diketuk berkali-kali. Tiada jawapan.

"Hello! Hello! Ada sesiapa tak?" Panggil Nisa berkali-kali. Namun tiada balasan.

Tinted kereta yang begitu gelap sukar untuk Nisa memastikan sama ada terdapat manusia atau tidak di dalam kereta tersebut. Risau juga jika mayat yang ditemuinya dan bukannya manusia. Tak sanggup rasanya dia berhadap dengan mayat. Ah! Menakutkan.

Pintu kereta cuba dibuka.

Klik.

"Aik. Tak berkunci", Nisa tersenyum sendiri.

Nisa menguak luas pintu kereta. Kelihatan beg tangan berwarna hitam tersorok di bahagian bawah tempat duduk pemandu. Beg tersebut digeledah. Sebuah wallet wanita bersaiz panjang dicapai lantas dibuka.

"Nor Azwani binti Zahidi. Ini kan Wani", gumam Nisa.

"Aku dah agak ni mesti kereta dia. Aku kenal sangat kereta minah ni", omel Nisa lagi. Beg tangan berwarna hitam diletakkan semula di bawah seat kereta.

"Wani! Oh Wani", nama musunya itu dipanggil berkali-kali namun tiada sahutan. Hairan. Kereta ada tersadai malah tidak berkunci. Adakah tuan punya kereta ini telah dibaham harimau. Ish, ngeri pula. Dia masih lagi tidak berputus asa, musuhnya itu mesti dicari. Tidak boleh tidak. Dia kini tersesat jauh, bantuan seseorang harus diperolehinya. Tiada jalan keluar ditemuinya.

Nisa meninjau bahagian belakang kereta. Tiada apa yang kelihatan selain dari tempat duduk yang kosong. Dia berkalih kembali memandang surau lama yang dikaguminya tadi. Entah kenapa hatinya melonjak-lonjak untuk ke situ. Dengan langkah cepat dan perasaan yang penuh teruja dia mengorak langkah.

Sampai sahaja di kaki tangga, Nisa memandang ke atas. Tangga surau itu masih utuh. Kayunya masih elok. Tidak ada yang rosak.

"Assalamualaikum! Ada orang ke?", laung Nisa. Dadanya berdebar kuat.

"Naik je lah", gumam Nisa.

Keadaan sekeliling dan jalan raya diperhati. Sunyi. Sepi. Yang kedengaran cuma desiran angin sepoi-sepoi bahasa di pagi hari sahaja. Ah! Bagaimanalah aku boleh tersesat di tempat seperti ini. Semua ni kerja Dukun Siah ke? Semuanya gara-gara aku tidak sanggup memenuhi hajat yang dipintanya? Tak ke menempah bala namanya. Ada ke disuruhnya aku menjadi tuan baru kepada belaannya. Jahat sangat ke muka aku ni. Sejahat-jahat aku pun ,ish tak sanggup aku nak membela makhluk alam ghaib tu. Tak pasal-pasal kering pula darah aku ni nanti. Aku cuma suruh Dukun Siah tu buatkan si Wani tu jadi gila je. Nisa mengumam sendirian di dalam hati.

Sakit sungguh hatinya apabila niatnya untuk mengenakan rakan sekerjanya itu tidak kesampaian.

Perlahan-lahan tangga kayu dinaiki. Sampai sahaja di muka pintu surau. Nisa menolak pintu tersebut. Cuma dengan sekali tolak sahaja pintu terbuka luas. Tanpa teragak-agak Nisa mulai melangkah masuk. Keadaan di dalam surau sangat kusam dan bersawang di sana sini. Tiada yang menarik perhatian Nisa selain keseluruhan surau cuma terdapat kayu lama sebagai binaannya. Di satu sudut pula terdapat rak yang dipenuhi buku-buku lama. Pada firasatnya buku tersebut adalah kitab lama.

Tap! tap!

"Ada orang ke dalam surau ni?", gumam Nisa. Telinganya dipicingkan.

Bunyi seperti barang jatuh menujah pendengaran Nisa. Namun tiada susuk tubuh manusia yang kelihatan di mana-mana.

Nisa membuka salah satu jendela surau tersebut. Cahaya matahari menerobos masuk memenuhi anjung surau.

"Assalamualaikum", kedengaran suara seseorang memberi salam dari arah belakang Nisa.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurmazunie razif