Home Novel Komedi/Romantik Komedi ABANG CIK. COM.MY
ABANG CIK. COM.MY
Fida Rohani
17/6/2015 03:26:44
45,137
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 11

Abang Cik menghantar pesanan ke meja lelaki itu. Hidangan ayam goreng yang panas berasap itu menusuk hidungnya. Namun seleranya langsung tidak terbuka. Sudah dua tahun menghidu bau ayam goreng itu. Sudah muak. 

“Silakan makan encik,” kata Abang Cik ketika meletakkan hidangan itu.

Lelaki itu mendongak. Mata mereka bertembung.

“E... encik?”

“Awak? Jadi awak kerja di sini?”

Abang Cik angguk dengan senyuman. Dia berpusing dan cuba melangkah pergi. 

“Er... Cik Najihah, tunggu sebentar,” kata lelaki itu sambil bangun, cuba menahan.

Langkah Abang Cik terhenti. Dia berpaling semula dengan rasa terharu kerana lelaki itu masih ingat namanya.

“Maafkan saya. Saya tak sangka kita boleh jumpa di sini. Bagaimana dengan kaki dan luka-luka awak?”

“Dah sembuh. Kan dah lama. Encik...”

“Jailani. Panggil saya Jojo,” kata Jojo sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.

“Maaflah, kita bukan muhrim.” Abang Cik menolak huluran itu dengan lembut. Jojo terpinga-pinga malu. Mungkin itu pertama kali tangannya ditolak oleh seorang gadis.

“Encok Jojo masih ingat nama saya?” tanya Abang Cik, cuba meredakan perasaan Jojo.

“Ya. Saya tak pernah lupa. Nama awak melekat di hati saya.” Jojo berkata dengan senyuman, Senyuman itu membuatkan dada Abang Cik berdebar. Dia segera meninggalkan meja itu. Tidak baik berlama-lama di situ.

“Kau kenal dia?” tanya Fitri ketika Abang Cik sampai di kaunter.

“Dia yang langgar aku hari tu,” balas Abang Cik.

“Dia? Mari aku ajar dia!” kata Fitri sambil menggenggam penumbuk.

“Heh! Tak usah nak tunjuk sado kau dengan aku. Aku tak heran. Jangan nak cari pasal. Ini restoren bukan pentas tinju. Karang muka kau yang aku tumbuk!” Abang Cik menarik tangan Fitri. Kemudian dia mengacukan penumbuknya ke muka Fitri.

“Tumbuklah. Aku memang rela muka aku kau tumbuk.”

“Kenapa?”

“Sebab penumbuk kau tu penumbuk manja!” Fitri ketawa mengekek. Dia segera menjauh. Bimbang juga hatinya kalau penumbuk Abang Cik jatuh ke tubuhnya.

Abang Cik mengejar. Sebiji penumbuk mengena tubuh Fitri.

“Hah! Kan dah kena!” kata Abang Cik dengan ketawa.

“Bos dah datang!” jerit Nikko dari arah pintu. Abang Cik dan Fitri segera berpecah dan meneruskan kerja masing-masing.

Cik Noni masuk ke restoren bersama seorang wanita. Dia terus ke pejabatnya tanpa menoleh. Tidak ada yang menyapanya kerana dia sendiri tidak pernah menyapa sesiapa.

“Mak tiri kau bawa mak mertua dia pulak!” kata Abang Cik kepada Fitri pula. Mereka ketawa dengan suara yang ditahan.

“Bro! Tolong kira!” laung Jojo ke arah Fitri dan Abang Cik.

“Kau pergilah. Aku malas nak layan Mamat tu,” kata Abang Cik.

“Bukan kau rindukan dia ke?” Fitri masih ingin bergurau dengan Abang Cik.

“Eh, tadi bukan kau yang kata nak tumbuk dia. Sekarang, aku beri kau peluang tu. Pergi ambil duit dia dan tumbuk mukanya sekali!” suruh Abang Cik sambil menolak Fitri ke arah lelaki yang bernama Jojo itu.

Fitri akur. Dia berjalan ke arah meja Jojo dengan buku kecil dan pen di tangan.

“Bro, boleh panggilkan kawan awak tu tak?” kata Jojo ketika Fitri sampai di mejanya.

“Siapa?” tanya Fitri pula.

“Tu!” Jojo menunjukkan ke arah Abang Cik yang masih berdiri di kaunter.

“Abang Cik?”

“Hah? Abang Cik?” Mata Jojo terbuka luas. Kemudian dia tersenyum-senyum. Penampilan gadis itu ala-ala tomboi menyebabkan panggilannya menjadi kontra dengan jantinanya.

Fitri mengira jumlah yang perlu dibayar oleh Jojo. Kemudian dia menerima bayaran itu sebelum melangkah ke kaunter.

“Mamat tu nak jumpa kau. Pergilah.” Fitri menyuruh tanpa menoleh dan memandang muka Abang Cik.

“Ada apa?”

“Mana aku tahu. Pergi je lah. Jangan sampai Cik Noni si mulut merah itu nampak!” sergah Fitri. Wajahnya gusar. Hatinya tiba-tiba geram. Kenapa?


Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.