Home Novel Komedi/Romantik Komedi ABANG CIK. COM.MY
ABANG CIK. COM.MY
Fida Rohani
17/6/2015 03:26:44
45,140
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 10

Semakin hari Abang Cik pergi kerja dengan hati yang berat. Bukan dia seorang. Fitri, Nikko. Aida dan Zakir pun ikut rasa hal yang sama.

Mereka geram dengan mulut Cik Noni yang tidak pernah berhenti berleter. Setiap hari ada saja yang tak kena di mata bos yang cantik itu. Lantai kotorlah. Meja berminyaklah. Ayam goreng terlampau garinglah.

“Agaknya Cik Noni ni beranak masa ayam tengah berketak nak bertelur,” bisik Nikko pada satu hari selepas ditegur oleh Cik Noni.

“Aku rasa dia ni tak ada teman lelaki,” balas Zakir pula.

“Ish! Pandai-pandai saja kau ni. Mana kau tahu? Entah-entah teman lelaki dia anak raja.” Abang Cik menyampuk.

“Raja kapor!” Fitri mencelah.

Ketawa mereka pecah. Hilang semua rasa geram dan marah kepada Cik Noni.

“Ikutkan hati, aku rasa macam nak berhenti.” Fitri membuka hajat pada satu hari yang lain.

“Ish, janganlah. Kita cuba bertahan selagi mampu. Ingat jasa Encik Puad kepada kita,” balas Abang Cik pula.

“Mana pengurus baru yang dia kata tu?”

“Dialah yang nak urus semuanya. Dari dapur hingga ke juruwang, semua dia nak buat.”

“Aku suka kalau dia duduk di meja juruwang. Jadi dia tak ada peluang nak merayap ke dapur,” kata Aida.

Begitulah hari-hari yang mereka lalui. Penuh dengan umpatan tak puas hati. Cik Noni semakin tidak dihormati.

“Buat apa nak hormat dia sedangkan dia sendiri tak pernah nak hormat kita,” kata Nikko ketika Abang Cik menegur sikapnya yang jarang mengucapkan selamat pagi kepada Cik Noni.

“Yang kau nak marah sangat dengan dia tu kenapa?”

“Sebab dia bos yang tak pandai jadi bos. Dia jadi bos sebab dia anak bos. Pengalaman dan kepandaian, kosong!” jawab Nikko mengetap bibir.

**

Tengah hari itu, Restoren Ayam Goreng Cinta sangat lengang. Hanya dua meja yang ada pelanggan. Itu pun minum air sahaja. Ayam goreng tidak dipesan.

“Kalau keadaan terus macam ni, habislah restoren ini. Baik kita cari kerja lain sebelum kita dibuang kerana Cik Noni tak mampu bayar gaji,” kata Fitri.

Semua diam merenung ke arah meja-meja yang kosong. Kalau dulu, suasana tidak pernah lengang seperti itu.

“Mungkin budak-budak remaja yang kena marah dengan Cik Noni tu dah sebarkan cerita. Mungkin mereka dah berpakat memboikot restoren ni,” kata Abang Cik pula.

“Mana bos kau, belum sampai lagi?” tanya Fitri kepada Abang Cik.

“Bos aku tu bukan buah hati kau ke? Bukan main lagi kau suka dia kan?” balas Abang Cik dengan ketawa.

Sebuah kereta berhenti di hadapan restoren. Seorang lelaki keluar dan berjalan ke arah pintu restoren.

“Nampak macam orang tu nak makan ayam goreng,” kata Nikko. Dia segera berjalan ke arah pintu dan membukanya sebagai menghormati pelanggan. Itu yang diajar oleh Encik Puad kepada mereka selama ini.

Yang lain-lain bersurai ke tempat masing-masing.

“Ya, encik. Sila masuk.” Nikko tunduk hormat.

“Oh! Cuaca sangat panas di luar sana,” kata lelaki itu sambil melilau mencari tempat duduk yang sesuai.

“Benar encik. Dah lama tak hujan. Cuaca panas dan berdebu,” kata Nikko dengan senyum basa basi.

Lelaki itu duduk dengan selesa. Matanya melihat gambar-gambar menu yang ada di dinding.

“Berikan saya set makan tengah hari tu. Ayamnya saya nak yang kurang pedas.” Lelaki itu membuat pesanan. Nikko mencatit pada sehelai kertas yang ditarik dari dalam poket bajunya.

“Minum apa, encik?”

“Eh, bukankah minuman dah ada dalam set itu?”

“Memang dah ada. Mana tahu encik nak buat pesanan lain,” jawab Nikko.

“Tak apa. Nanti saya pesan lagi kalau saya nak.”

Nikko menghantar kertas pesanan ke bahagian dapur. Dia menyiapkan minuman. Fitri berdiri di meja juruwang. Sejak Cik Noni ambil alih, semuanya memang berubah. Dulu, pelanggan datang ke meja dan membuat pesanan kemudian terus membayar. Sekarang, Cik Noni nak pelanggan duduk dan pelayan restoren yang pergi mengambil pesanan.

“Dah macam restoren mamak!” kata Zakir dengan ketawa.


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.