Home Novel Komedi/Romantik Komedi ABANG CIK. COM.MY
ABANG CIK. COM.MY
Fida Rohani
17/6/2015 03:26:44
45,132
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 6

Acik rasa macam nak demam. Apa tidaknya, selepas kemalangan terus pergi kerja. Badan yang sakit langsung tidak direhatkan. Semua urat masuk angin dan mengkal.

“Minum ubat ni, acik.” Syaida menghulurkan ubat yang diambil dari beg galas acik. Mak Cik Hasiah hanya memerhati acik yang terbaring lemah. Tiba-tiba hatinya belas melihat keadaan anaknya.

“Dah tahu sakit, buat apa tak balik dan rehat saja. Kalau acik demam, kan susah jadinya,” kata Mak Cik Hasiah.

“Entah acik ni. Tak payahlah nak tunjuk rajin dan bodek syarikat. Yang kaya mereka juga. Acik sampai bila pun tetap jadi kuli,” tambah Nana.

“Acik tak apa-apa. Cuma letih saja. Nanti kalau dah tidur, esok pagi baiklah ni,” balas acik, mengerat kebimbangan di hati ibu dan adik-adiknya.

Selepas seketika, Acik tertidur. Samada kerana ubat yang dimakannya atau kerana dia memang benar-benar letih. Dengkurnya halus dan teratur.

“Kamu semua kena ingat jasa acik pada kamu. Belajar rajin-rajin. Kalau mak dah tak ada, ingat semua susah payah dia ni. Dia sanggup tak sambung belajar kerana kamu. Walhal dia bukan tak pandai. Dia pelajar cemerlang. Sayangnya...”

“Mak, kami tak akan sia-siakan jasa acik pada kami.” Nana segera memotong cakap Mak Cik Hasiah. Dia tidak mahu ibunya terus rasa sedih.

Awal subuh, acik dah terjaga. Dia rasa kepalanya berat. Namun dia gagahi untuk bangun. Dia tidak mahu manjakan diri sangat. Dengan cepat dia mencapai tuala dan terus ke bilik mandi.

“Acik dah bangun? Macam mana rasanya?” tegur Mak Cik Hasiah yang sudah siap berwuduk.

“Alhamdulillah, ringan sikit rasanya mak. Mak jangan risaulah. Acik tak apa-apa.”

“Luka di lutut tu?”

“Ni yang tengah fikir ni. Pedih kalau kena air. Tak boleh nak lipat. Kenalah solat kat kerusi saja,” jawab acik menunjukkan luka pada lututnya. Kain pembalut dibuka. Kering. Tidak ada darah lagi. Hatinya rasa senang.

“Lain kali naik motor tu hati-hatilah sikit. Jangan nak kelam kabut sangat.” Mak Cik Hasiah masuk ke bilik. Dia membentangkan sejadah dan mula mengerjakan solat subuh.

Acik mula mandi. Ketika membasuh rambutnya yang pendek itu, dia teringatkan peristiwa dilanggar lelaki berkereta mewah itu.

‘Kacak juga mamat tu.’

Tiba-tiba pula dia berkhayal berjalan berpegangan tangan dengan lelaki itu. Sangat mesra.

“Ish! Apa aku ni. Kalau dia kacak macam Brad Pitt pun, takkan dia nak pandang aku.’ Acik menepuk dahinya dan dia tersenyum sendiri. Sungguh nakal fikirannya pagi itu.

Usai solat subuh. Dia berbaring seketika sementara menunggu masa untuk pergi kerja. Dia teringat kepada kata-kata Encik Puad. Hari ini Restoren Ayam Goreng Cinta akan diuruskan oleh bos baru, Cik Noni.

‘Entah macam mana rupanya? Baikkah dia?’ Soalan itu memenuhi fikirannya. Encik Puad, bos yang baik. Tidak lokek dan sangat bertimbang rasa terhadap pekerja. Apakah anak perempuannya memiliki sikap yang sama?

“Acik fikir apa ni? Dari tadi mak tengok acik termenung, terkelip-kelip,” tegur Mak Cik Hasiah menepuk bahu acik.

“Tak ada apa mak. Acik tengah fikirkan pasal bos baru kami. Cik Noni, anak perempuan Encik Puad yang ambil alih restoren hari ni. Acik bimbang kalau dia tak sebaik ayahnya.”

Mak Cik Hasiah termenung sejenak.

“Berdoa yang baik-baik. Jangan difikir benda yang belum jadi.”

Acik angguk. Benar kata ibunya. Kenapa nak fikir sangat. Kalau dia baik, alhamdulillah. Kalau dia tak seperti ayahnya, buat keputusan berhenti. Berhenti? Alamak, itu satu-satunya yang sangat dibimbangi.

“Acik, jom sarapan!” panggil Nana dari dapur. Suara itu melantun kuat.

Acik bangun dan berjalan ke arah meja makan. Meja itu sangat lama usianya. Modelnya pun model lama tetapi kayunya masih kuat. Jadi, Nana dan Syaida yang memang kreatif telah menjahit alas meja beropol. Jadi ia nampak cantik dan kemas.

“Kuat ke? Nana rasa macam perlahan je Nana panggil acik!” Nana menyeringai.

“Yalah, rumah kita ni bukannya besar acik. Kiri kanan dinding. Bercakap perlahan pun bunyi kuat. Apa lagi waktu pagi macam ni.” Mak Cik Hasiah pula menyebelahi Nana.

“Anak gadis tak baik cakap kuat dan memekik. Tak sopan. Nanti tak ada orang nak pinang Nana. Nanti Nana jadi anak dara tua.” Acik menyuap mihun goreng dengan bismillah.

Syaida ketawa mendengar kata-kata acik. Munirah juga.

“Ni kenapa semua orang ketawa ni? Acik cakap salah ke?”

“Acik cakap betul. Kami tak boleh cakap kuat nanti tak ada orang pinang. Nanti jadi anak dara tua, macam...” Nana terhenti. Dia menutup mulut dan wajahnya mula kesal.

“Macam acik?” Acik menjengilkan matanya ke arah ketiga-tiga adiknya. Wajah mereka berubah pucat.

Tidak lama, acik ketawa santai. Dalam hati dia sedang membenarkan kata-kata Nana. Umurnya sudah hampir dua puluh lapan tahun. Usia yang sangat sesuai untuk berumah tangga dan ada anak. Tetapi, dalam seumur hidupnya dia belum pernah jatuh cinta. Dia tidak pernah ada teman lelaki. Tidak pernah ingat pun untuk mencari teman lelaki. Akalnya hanya sibuk mengatur strategi mencari duit untuk ibu dan adik-adiknya.

“Kamu ingat acik tak nak kahwin ke? Acik nak kahwin, tapi sebab acik ni tak lawa siapa yang nak. Sekolah pun tak tinggi. Setakat kerja goreng ayam di restoren tu, siapa yang nak?”

“Acik, maafkan Nana.” Nana menghampiri acik dan memeluk bahu acik. Dia tidak berniat untuk melukakan hati acik. Dia sekadar bergurau.

“Tak apa. Kenyataan kan? Memang acik dah anak dara tua. Mungkin kamu semua akan kahwin dulu dari acik.”

“Kenapa pula?” tanya Syaida.

“Sebab kamu semua cantik. Kalau kamu belajar dengan rajin, kamu akan jadi orang terpelajar. Mungkin akan kerja bagus. Tak macam acik ni...” jawab acik dengan nada merajuk.

“Acik, mak tak suka acik cakap macam tu. Anak-anak mak semua cantik. Acik juga pandai. Cuma keadaan yang tak mengizinkan acik belajar tinggi. Hari ini mungkin acik tukang goreng ayam di restoren orang. Mana tahu, dengan izin ALLAH acik akan jadi taukeh restoren yang mengarahkan orang lain goreng ayam. Tak mustahil kan? Mak akan doakan acik,” kata Mak Cik Hasiah pula. Dia memang tidak rela kalau acik rasa macam tu.

Acik ketawa.

“Mak doakan juga acik jumpa putera raja atau anak hartawan sebagai suami acik. Jadi taklah acik nanti jadi anak dara tua. Boleh?” Acik kerdipkan mata kepada Mak Cik Hasiah.

“InsyaALLAH... satu hari anak nak akan jumpa lelaki yang kacak, kaya dan ada semuanya.”

Ketawa acik semakin kuat.

“Kenapa ketawa pulak?” tanya Mak Cik Hasiah.

“Acik teringat cerita Cinderelella. Seorang gadis miskin yang berkahwin dengan putera raja. Dongeng kan?”

“Tak ada yang dongeng. Semua dengan izin ALLAH,” balas Mak Cik Hasiah dengan penuh yakin.

Acik mengunyah dengan tersenyum-senyum. Terbayang dia bersanding dengan seorang lelaki kacak dalam majlis yang mewah. Sangat gilang gemilang.

“Acik, tumpah mi tu!” tegur Munirah ketika melihat acik hanya memegang sudu tetapi tidak menyuapnya ke mulut.

Acik tersedar. Malunya melata ke seluruh tubuh!


Previous: Bab 5
Next: bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.