Home Novel Komedi/Romantik Komedi ABANG CIK. COM.MY
ABANG CIK. COM.MY
Fida Rohani
17/6/2015 03:26:44
45,146
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 12

Dengan berat hati Abang Cik berjalan ke arah meja Jojo.

“Najihah, ini kad saya. Saya tahu awak tak nak beritahu saya nombor telefon awak. Tak apalah, awak simpan kad saya ni. Mana tahu satu hari awak perlukan pertolongan saya, saya sedia membantu awak. Simpanlah,” hulur Jojo bersungguh-sungguh.

Abang Cik mengambil kad itu dengan hati yang cuak dan tidak gembira. Sebelum ini dia memang tidak pernah menerima kad nama dari seorang lelaki. Teman lelaki yang paling rapat ialah Fitri dan Nikko. Kalau pergi berjalan-jalan pun hanya dengan mereka berdua. Ibunya memang percayakan dua jejaka itu.

Jojo bangun. “Saya minta diri dulu. Kebetulan sebulan ini saya ada kerja di bandar ini. Jadi, dapatlah saya datang makan di sini setiap hari. Saya suka ayam goreng di sini dan saya suka nak jumpa awak, Abang Cik,” kata Jojo dengan ketawa perli.

Wajah Abang Cik merah padam. Hatinya berdenyut sakit. Ketawa Jojo sangat menyakitkan hatinya.

“Encik Jojo, ambil balik kad awak ni. Saya rasa tak perlu nak simpan kad ini. Saya pun tak kenal encik. Encik pun tak kenal saya,” kata Abang Cik sambil menghulurkan kad itu semula.

“Sekarang kita dah berkenalan, kan?”

Abang Cik menarik muka masam dan berjalan meninggalkan Jojo tanpa menoleh.

“Kenapa masam ni?” tanya Fitri.

“Tak ada apalah. Pergi buat kerja kau!” balas Abang Cik.

Fitri merenung wajah Abang Cik yang merah padam itu. Dia tahu mesti ada yang tak kena dengan Abang Cik.

“Apa yang lelaki tu buat pada kau? Dia raba kau?”

“Ish, apa kau merepek ni? Kau ingat tubuh aku ni tiang jamban yang boleh orang raba sesuka hati? Nak rasa penumbuk aku, rabalah!”

Fitri ingin ketawa. Tetapi dia menahannya. Dia tidak mahu membuatkan Abang Cik semakin marah.

“Heh! Nak kerja ke nak berbual-bual ni?” sergah Cik Noni dengan kasar.

Fitri dan Abang Cik menoleh.

“Saya bayar gaji awak bukan suruh awak duduk berbual santai macam ni.”

Mereka diam tidak menjawab. Hati Abang Cik yang memang tengah panas dengna Jojo kini dipanaskan lagi oleh Cik Noni.

“Ini saya kenalkan, Cik Inang Sari. Dia adalah pengurus baru di sini. Awak semua kena ikut semua arahan dia,” kata Cik Noni.

Fitri dan Abang Cik diam sahaja. Mereka tidak menunjukkan apa-apa reaksi selain mengangguk. Restoren Ayam Goreng Cinta sudah bertukar pengurusan. Sekarang sudah ada pengurus baru. Inang Sari! Nama yang dirasakan sangat purba.

“Saya buat kerja saya dulu,” kata Abang Cik sambil melangkah pergi.

“Nanti dulu! saya belum habis cakap. Siapa suruh awak pergi?” jerit Cik Noni.

Abang Cik berhenti melangkah. Dia berpaling semula ke arah Cik Noni dan Cik Inang Sari.

“Awak jangan nak besar kepala ya. Kalau tak suka dengan cara saya, awak boleh berhenti. Cik Najihah!” kata Cik Noni dengan suara separuh menjerit. Memang dia sengaja menguatkan suara ketika menyebut nama itu. Sebenarnya dia sedang memperli Abang Cik!

Hati Abang Cik semakin panas. Tadi lelaki yang bernama Jojo menyakitkan hatinya dengan ketawa sinis. Sekarang Cik Noni pula. Dia cuba memujuk hati agar bersabar.

“Saya dan Inang Sari dah fikirkan cara yang baik nak tarik minat orang ramai ke restoren ini. Kami perlukan kerjasama awak berdua.”

Fitri dan Abang Cik tidak memberikan apa-apa reaksi. Mereka hanya mendengar dengan mata yang terkelip-kelip.

“Saya bercakap dengan kamu!” jerit Cik Noni.

Suara jeritan itu sangat menyakitkan hati Fitri dan Abang Cik.

“Kami dengar. Apa yang Cik Noni nak ni?” Giliran Fitri pula menjawab dengan suara yang sedikit meninggi.

“Yang awak nak jerit kat saya ni, apa hal?” sergah Cik Noni sambil bercekak pinggang.

Fitri terkesima. Dia berpaling ke arah Abang Cik. Abang Cik menggelengkan kepala tanda jangan melawan.

“Maafkan saya,” kata Fitri perlahan. Ia tidak lahir dari hatinya. Sudah tentu ia tidak ikhlas.

“Inang, sila beritahu mereka apa yang awak rancang,” kata Cik Noni kepada pengurus baru, Cik Inang Sari.

“Begini, saya nampak restoren ini boleh maju kalau kita buat iklan dan promosi yang bersungguh-sungguh. Bila saya masuk ke sini tadi, saya dah tahu bahawa selama ini restoren ini memang tak pernah dipromosikan di mana-mana. Kita hanya berharap kepada pelanggan yang sudi singgah. Kita tak berusaha untuk mencari pelanggan dan menarik minat orang untuk datang ke sini,” kata Cik Inang Sari. Dia meneliti wajah Fitri dan Abang Cik silih berganti.

“Mulai esok, saya akan siapkan cara nak promosikan restoren ini kepada umum. Saya perlukan bantuan awak berdua.”

Fitri dan Abang Cik angguk lagi. Walaupun mereka tak tahu apakah rancangan untuk esok, namun kepala mereka ringan mengangguk. Itu lebih baik daripada ditengking lagi.

“Awak boleh pergi sambung kerja awak sekarang.”

Fitri dan Abang Cik dengan cepat melangkah meninggalkan dua wanita itu. Namun, beberapa langkah sahaja, mereka dipanggil lagi.

“Najihah, saya tak nak tengok awak menggatal dengan pelanggan macam tadi. Ini bukan panggung wayang, ini restoren saya!” kata Cik Noni dengan kasar.

Fitri ingin melangkah ke arah Cik Noni dengan genggaman penumbuk tetapi serta merta tangannya ditarik oleh Abang Cik. Dengan cepat mereka melangkah meninggalkan dua wanita itu.

“Sabarlah,” bisik Abang Cik.

“Aku tak boleh sabar lagi. Tak tahu sampai berapa lama aku boleh bertahan di sini.”

“Kau nak tinggalkan aku?” Abang Cik bertanya dengan gusar. Matanya merenung ke dalam mata Fitri.

“A... aku...” Fitri tergagap. Renungan mata Abang Cik membuatkan dia gugup.

“Yalah, aku ni siapa kan? Pergilah. Tinggalkan aku sorang di sini. Biarkan aku dibaham rimau tu setiap hari. Biarkan aku dicaci maki. Biarkan aku...”

“Cukuplah.” Fitri menutup mulut Abang Cik sebelum sempat Abang Cik meneruskan cakapnya.


Previous: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.