Home Novel Komedi/Romantik Komedi ABANG CIK. COM.MY
ABANG CIK. COM.MY
Fida Rohani
17/6/2015 03:26:44
45,143
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 1

Hari itu hari minggu. Biasanya hari minggu, restoren makanan segera menjadi sasaran remaja melepak. Ada yang bawa geng untuk belajar. Ada juga yang saja-saja nak bersembang-sembang di internet dengan Wifi percuma. Ada yang sengaja nak tumpang sejuk penghawa dingin. Duduk tiga empat jam, minum air segelas sahaja!

Restoren Ayam Goreng Cinta (AGR) juga begitu. Sentiasa dipenuhi kalau hari minggu. Fitri memang sudah lali dengan keadaan begitu. Sudah dua tahun dia bekerja di situ. Daripada pelayan biasa, dia sudah naik pangkat menjadi ketua.

“Fit, Zarith tak datang hari ni. Dia baru call aku, mak dia nak bersalin,” kata Nikko, ketika Fitri sedang menyemak jadual bertugas untuk hari itu.

“Alamak! Kalau macam tu, kita tak cukup crew hari ni. Hari minggu pulak tu. Zarith ni pun satu. Kalau pun nak cuti, hari lainlah. Hari minggu pergi cuti, teruklah aku!” rungut Fitri.

“Hoi bro!, kalau orang nak beranak, mana kira hari tu kau sibuk ke tidak!” jerit Nikko sambil menyusun kerusi meja.

Fitri menggaru kepala.

“Siapa nak ganti ni? Kita dah lah kurang orang. Kalau sorang tak datang, susah nak jaga.”

“Apa susahnya, kau call saja abang cik kau tu. Dia tu bila-bila masa saja suka nak kerja.”

Fitri termenung. Wajah orang yang dipanggil abang cik terbayang di ruang mata.

“Tapi dia belum ambil off dah tiga minggu,” kata Fitri.

“Alah, dia kan tamak kerja. Dia mesti datang kalau kau panggil. Dia sibuk cari duit nak kahwin tu!”

“Hah? Biar betul ni?” Fitri ternganga.

“Aku gurau je. Kau ni, lurus bendul betul. Abang cik kau tu, mana ada boy friend. Mungkin dia tunggu kau kot!” Nikko mengekek.

“Jangan nak buat lawak hal macam ni, Nik. Kalau orang dengar, malu aku.” Fitri berwajah serius. Geram hatinya dengan gurauan Nikko itu.

“Malu kenapa? Kalau benar apa salahnya?”

“Heh! Dahlah. Malas aku nak layan kau ni!” Fitri kembali menatap jadual kerja yang ada di tangannya.

Fikirannya ligat berputar. Kalau tak cukup pekerja, suasana akan lintang pukang.

“Nik! Kau call abang cik suruh datang kerja!” laung Fitri kepada Nikko yang sedang menyusun kerusi meja.

“Alright bro!” balas Nikko. Tanpa membuang masa Nikko keluarkan telefonnya dari poket. Dia menekan nombor, kemudian menunggu. Dua tiga kali, panggilannya tidak berjawab.

“Bro! Tak dapat. Dia tak jawab!” laung Nikko.

“Alamak! Macam mana ni? Cubalah lagi sampai dapat!” balas Fitri.

Nikko akur. Dia menekan lagi. Tunggu lagi. Tetap tidak ada jawapan.

“Malaslah aku. Budak ni tidur ke pergi makan angin agaknya!” jerit Nikko.

Wajah Fitri muram. Dia tiba-tiba rasa bimbang. Selalunya kalau hari minggu, memang hari off abang cik. Tetapi, dia jarang ambil off. Abang cik akan datang bekerja bersama Nikko, Zarith, Dila dan Jimmy. Dia sendiri akan menjaga kaunter bayaran. Itupun, kelam kabut dan lintang pukang restoren itu.

Dia berjalan semula ke arah Nikko.

“Selalu berlima. Hari ini hanya empat,” rungut Fitri.

“Berlima dah kelam kabut, berempat akan terlungkup!” balas Nikko pula dengan gelak.

“Apa nak buat ni?” tanya Fitri, sangat gusar.

“Bro, kau suruhlah bos ambil pekerja lagi. Kita dah tak mampu bertahan kalau macam ni. Restoren kita makin maju. Sales kita makin naik tapi pekerja tetap macam ni juga.”

“Aku dah cakap. Dia pun dah suruh ambil aja kalau ada yang datang minta kerja. Masalahnya, tak ada yang datang. Langsung tak ada. Yang pekak dan yang bisu pun tak ada yang datang,” balas Fitri.

Nikko ikut termenung. Dia dan Fitri sama-sama masuk kerja di situ. Sudah dua tahun, sejak restoren itu dibuka. Namun prestasi Fitri cemerlang dan dia mendapat kepercayaan taukeh. Fitri diberikan pangkat Pengurus dan dia pula diberikan pangkat Penolong Pengurus.

Sedang mereka diam berkira-kira itu, telefon Nikko berdering.

“Abang cik!” beritahu Nikko selepas melihat skrin telefonnya. Dia kemudian menekan butang ‘loud speaker’ untuk memberi peluang Fitri ikut mendengar perbualan itu.

“Abang cik! Kau gi mana? Penat tangan aku tekan nombor kau tau!” kata Nikko.

“Tadi aku kat dapur, mengemas. Apa hal cari aku ni?”

“Abang cik, kau boleh datang kerja tak? Zarith cuti. Kita tak cukup orang ni. Tolonglah...” Fitri terus merayu. Tidak mahu dia membuang masa.

“Tapi, aku dah janji dengan adik-adik aku nak bawa mereka keluar. Dah berpuluh kali aku janji, tak pernah aku tunaikan.”

“Kau janjilah lain kali, abang cik. Hari ni, kau tak boleh keluar jalan-jalan. Cuaca panas. Nanti adik-adik kau demam.” Nikko mencelah.

“Otak kau! Kau ingat aku nak berjalan tengah panas. Aku nak bawa mereka tengok wayang, main bowling dan shopping. Tempat tu semua kan ada air-cond!” Terjerit suara abang cik di hujung talian.

Nikko ketawa berdekah-dekah. Dia tahu kata-katanya memang tidak logik langsung.

“Tolonglah abang cik...” rayu Fitri lagi.

“Huh! Kau orang ni kan, tak boleh tengok aku senang langsung!” rengus abang cik.

“Kau pun tak sanggup nak tengok kami susah kan?” balas Nikko pula.

Diam.

“Baiklah. Tapi, boleh tak aku datang lambat sikit. Aku bawa adik-adik aku makan-makan dulu. Sekurang-kurangnya aku tutup satu lubang janji yang aku buat tu.”

“Apa kata, kau bawa adik-adik kau makan kat restoren kita. Ayam Goreng Cinta menawarkan pakej promosi untuk keluarga,” kata Nikko.

“Bila? Semalam masa aku balik, tak ada pun dengar promosi tu?”

Nikko mencuit bahu Fitri dan mengenyitkan mata.

“Promosi tu untuk kau sekeluarga je. Kau bawa adik-adik kau makan di sini. Sambil tu kau boleh tolong-tolong kami di sini. Aku bagi kau separuh harga!” kata Fitri bersungguh-sungguh.

“Banyaklah kau orang punya promosi! Hoi, kau ingat AGC tu milik bapak kau ke?” suara abang cik mendadak tinggi.

“Bapak jangan sebut! Ini hal kita je. Tak ada kena mengena dengan mak bapak. Kau jangan melampau, abang cik!” kata Fitri pula. Dia tersenyum-senyum. Seronok mendengar suara abang cik marah.

“Abang cik, suara kau kalau marah memang lunak!” kata Nikko dengan gelak.

“Poyolah kau!”

“Abang cik, kau datang ya. Kami tunggu dengan karpet merah,” kata Fitri lagi.

“Yalah. Aku datang. Tapi lambat sikit. Aku bawa adik-adik aku makan dulu.”

“Kau tak nak bawa mereka makan kat sini?” tanya Nikko.

“Aku tak akan masuk dalam perangkap kau tu bro! Kau beri aku umpan, supaya aku masuk dalam perangkap. Oho...lebih baik aku bersantai dengan adik-adik aku kat kedai mamak.”

Nikko dan Fitri berpandangan. Akhirnya mereka angkat ibu jari.

“Suka hati kaulah. Tapi jangan tak datang pulak. Kalau kau tak datang, aku cari kau sampai ke lubang cacing tau!” kata Nikko.

“Boleh blah!”

Abang cik matikan talian.

“Huh! Nasib baik dia nak.”

Fitri angguk. Dia rasa senang hati. Walaupun lambat, tidak mengapa. Sebab masa yang sibuk adalah sebelah petang hingga ke malam. Sebelah pagi, tidak sesak sangat.

“Aku ke dapur. Nak tengok stok.” Fitri berlalu sambil bersiul-siul senang hati.

Nikko meneruskan kerjanya. Selepas membetulkan kerusi meja, dia ke kaunter. Masih ada masa sepuluh minit sebelum restoren dibuka. Masih ada masa untuk mengemas-ngemas kaunter dan menyiapkan wang petty cash.


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.