Home Novel Komedi/Romantik Komedi ABANG CIK. COM.MY
ABANG CIK. COM.MY
Fida Rohani
17/6/2015 03:26:44
45,136
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 4

“Abang Cik! Akhirnya kau datang juga bersama rindumu!” laung Nikko dari dalam ketika Abang Cik menolak pintu Restoren Ayam Goreng Cinta.

“Banyaklah aku punya rindu. Kau orang memang tak boleh tengok aku nak bercuti dan bergembira dengan keluarga aku. Ada saja helah kau agar aku datang kerja. Kan?” Abang Cik berpura-pura marah.

“Aku minta maaf. Memang aku terpaksa panggil kau kerja. Zarith tak datang.” Fitri pula muncul membela diri.

“Abang Cik, kau tahu kuasa kau kat sini kan? Kalau kau tak ada, boleh tutup restoren ni.”Nikko membodek. Fitri ketawa berdekah.

“Sudahlah. Tak kuasa nak layan kau berdua. Baik aku mula kerja.” Abang Cik berjalan ke arah locker. Dia ingin menyimpan topi keledar dan jeketnya. Jalannya yang berdengkut-dengkut dengan lutut yang berbalut serta merta menarik perhatian Fitri dan Nikko.

“Abang Cik! Kau kenapa?” Nikko menjerit, terkejut.

“Kemalangan.” Abang Cik menjawab tanpa menoleh.

“Kemalangan ke accident?” tanya Nikko lagi.

“Heh, kau cakap apa ni? Samalah tu! Utamakan Bahasa Melayu. Kita ni orang Melayu.” Kali ini Abang Cik menoleh. Dia membeliakkan mata ke arah Nikko.

“Oh! Sama ek?” Nikko ketawa. Dia menutup mulut. Dia terlupa bahawa Abang Cik tidak suka kepada penggunaan bahasa orang lain. Lebih tepat dia tidak suka kepada bahasa rojak yang diamalkan oleh ramai anak muda sekarang.

“Siapa yang langgar kau?” tanya Fitri pula.

“Sebuah kereta. Salah aku juga, kelam kabut hingga tak tengok kiri kanan. Ini semua kau orang punya pasal.”

“Kenapa kami pulak?” tanya Nikko.

“Kau orang yang panggil aku kerja. Kalau aku cuti dan duduk di rumah hari ni, mungkin aku tak kemalangan dan tak jumpa mamat tu.”

“Mamat yang langgar kau? Nak kena Mamat ni!” Nikko menggenggam penumbuk. Dia mengacukan penumbuk itu ke arah dinding.

“Sudahlah Nik. Kau tu bukannya berani sangat. Jangan nak berlagak pahlawan dengan aku!” sergah Abang Cik dengan ketawa kecil.

“Pahlawan ke hero?” Nikko menyakat.

Abang Cik membalingkan sebatang pen yang dicapai dari kaunter. Riuh rendah suasana di situ. Nasib baik ketika itu tidak ada pelanggan.

“Abang Cik, doktor tak beri cuti ke?” tanya Fitri.

“Ada, 2 hari.”

“Habis tu, kau baliklah. Salah dari segi undang-undang buruh, diberi cuti sakit tetapi bekerja,” kata Fitri.

“Apa kau ni? Tadi suruh aku datang, sekarang suruh aku balik pulak? Kau ingat ini restoren ayah kau ke suka-suka nak buat arahan macam tu?” Abang Cik berpura-pura marah.

“Aku tak main-main Abang Cik. Lebih baik kau balik saja. Hal restoren ini, biarlah aku dan Nikko yang tanggung,” kata Fitri bersungguh-sungguh.

Nikko angguk setuju. Wajah masing-masing mula serius. Fitri tidak tersenyum. Nikko pula sudah berhenti melawak. Suasana menjadi sangat serius.

“Kau berdua jangan cakap macam tu. Aku tak apa-apa. Hanya kaki aku yang sakit sikit. Tapi kalau aku tak berjalan, tak apa-apa. Jadi, bolehkah aku buat kerja sambil duduk dua hari ni? Itupun kalau kau berdua nak aku tolong di sini,” kata Abang Cik.

“Aku setuju!” jerit Fitri dengan wajah ceria

“Aku terpaksa setuju,” kata Nikko perlahan.

“Kenapa?” tanya Abang Cik.

“Sebab aku kena kerja mengambil order, mengemas meja, melayan pelanggan. Sedangkan kau duduk goyang kaki di meja cashier. Tapi, apa boleh buat. Rupa aku tak secantik kau untuk buat Encik Fitri tergoda dan ikut saja cakap kau!” Nikko ketawa. Dengan cepat dia melarikan diri. Dia tahu penumbuk Fitri akan mengena di tubuhnya kalau dia masih tunggu di situ.

Fitri geram dengan kata-kata Nikko. Merah padam mukanya. Merah bukan kerana marah tetapi kerana malu. Dia ingin mengejar dan menumbuk Nikko. Tetapi dia ditahan oleh Abang Cik.

“Sudahlah. Dari tadi kita dok sembang dan bergurau. Kita datang untuk kerja bukan untuk sembang-sembang. Ayuh kerja!” Abang Cik berlalu ke kaunter.

Nikko dan Fitri berpandangan. Akhirnya mereka pun berpecah untuk menjalankan tugas masing-masing.


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.