TAJUK:
I NAK YOU, YOU NAK I?/CINTA BATU GILING.
PENULIS: AINON ZAINI
ZAKARIA.
1
I merajuk dengan you…
Begitu ayat terakhir yang Aldir tulis di
kotak chatting. Pada mulanya Hanim
fikir Aldir main-main tetapi bila Aldir terus menyepi baru Hanim yakin Aldir
memang merajuk padanya.
Apa yang boleh Hanim buat? Hingga ke hari
ini Aldir masih menunjukkan rajuk.
Betulkah dia merajuk? Lelaki pun pandai merajuk? Bisik Hanim masih
tertanya-tanya walaupun sudah yakin Aldir memang merajuk.
Udara di luar sejuk. Sesejuk perasaan
Hanim yang sepi. Merajuk? Mudahnya lelaki merajuk. Bagaimana untuk memujuk lelaki yang mudah
merajuk? Dia jeling seketika skrin lapetop. Berharap ada tanda isyarat dia dihubungi
semula. Namun hampa. Kosong dan sepi di situ.
Hanim dapat bernafas segar semula bila
ingat tulisan Aldir dulu. I nak you, you
nak I? ketika itu Hanim rasa indahnya dunia ini.
Mereka memang sering berbicara indah di Facebook. Aldir sering kata sayang pada
Hanim dan Hanim juga akan balas begitu. Indahnya saat mengatur ayat di Facebook. Lupa alam sekeliling dan lupa
rasa ngantuk tika chatting jauh
malam. Berbalas ayat cinta di Facebook,
buat Hanim sering tersenyum-senyum di alam nyata.
Hanim rasa betapa indahnya hidup ini.
Betapa beruntungnya dia dipertemukan dengan Aldir di alam maya sana. Biarpun
belum pernah bersua tetapi Hanim sudah merasakan lazatnya dunia cinta bersama
Aldir.
Aldir sering curahkan ayat memancing hati
Hanim, antaranya…
I
betul-betul dah sayang pada you, I nak you, harap you pun nak kat I. Tulis
Aldir di Facebook buat nyawa Hanim
jadi mamai dan gila bayang melayang-layang.
“Percayalah, I sudah betul-betul cinta kat
you, I janji akan berkahwin dengan you,” yakin Aldir bersambung di telefon pula buat Hanim
benar-benar yakin, Aldir berkata benar.
“Awak tak kenal saya betul-betul, macam
mana boleh kata sayang dan cinta?” balas Hanim di telefon, pura-pura tidak rasa
apa-apa. Sedangkan setaman bahagia mekar di dada.
“I tak kisah, hati I dah kata suka kat
you, I betul-betul suka dan sayang kat you, cinta suci dah berkembang dalam
dada I ni, cinta I untuk you dah penuh satu dunia… percayalah,” jawab Aldir di
sana penuh nada romantik teramat.
Cinta Aldir penuh satu dunia untuk Hanim.
Hanim terlompat bahagia tidak terkata, bagai dapat syurga, indahnya dunia bila
diri disayang dan dicintai. Nilai cinta Aldir satu dunia. Hanim yakin Aldirlah
calon tepat teman hidupnya. Ya, tidak
diragu lagi, pasti dia mahu jumpa dengan Aldir kekasih Facebooknya itu.
Punca Aldir merajuk mungkin kerana alasan
begini. Lama mereka bercatting
sehinggalah Aldir mahu bertemu dengan Hanim. Hanim kata malu. Mahu nombor
telefon, Hanim kata nanti dulu. Nantilah, malulah dan sebagainya.
Lama-lama bila Hanim sering mengelak
begitu, Aldir kata dia merajuk. Ketika itu Hanim fikir Aldir sekadar bergurau
tetapi bila Aldir tunjukkan sikap merajuk tanpa mahu menyapanya seperti selalu
baru Hanim sedar. Aldir memang sedang merajuk.
Ketika itu barulah Hanim beri nombor
telefonnya. Setelah sering berbual di telefon Aldir tetap ingin jumpa. Bila
Hanim kata malu dan sering mengelak lagi, sekali lagi Aldir merajuk tanpa mahu
telefon Hanim dan tidak mahu chatting
di Facebook. Ketika itulah sekali
lagi Hanim terpaksa beralah dan setuju bertemu. Apakah hasil pertemuan
mereka?
I nak you, you nak I? Sekali lagi Hanim
ingat ayat keramat Aldir itu, buat Hanim yakinkan diri untuk bertemu Aldir.
Pasti Aldir lelaki baik dan tidak akan permainkan atau ambil kesempatan pada
perempuan sepertinya. Sepanjang mereka berkawan di Facebookdan di telefon ternyata ayat dan kata-kata Aldir penuh
ikhlas dan jujur.
‘Ya, nak… saya nak awak,’ bisik Hanim
dengan perasaan mekar berbunga. Mereka akan berjumpa… tetapi sebelum itu Hanim
mahu buat Aldir teruja dahulu…
*****
“ADA
ke patut aku ni nak berkahwin dengan dia. Aku yang masih muda dan bujang trang
tang tang, tentulah aku nak yang muda jugak, masih gadis dan yang pentingnya cantik. Kalau dia tu apa ke
hal? Kenal pun tidak,” begitu sadis ayat
Aldir mengeluarkan perasaan hatinya kepada
Fahrin di sebelahnya.
Fahrin ketawa terkekeh-kekeh. Wajah sahabatnya itu dilihat begitu serius.
“Apa salahnya kalau itu takdir kau,” giat
Fahrin kemudian ketawa terkekek lagi.
“Errrr…” kepala dan bibir Aldir menggeletar
sama nada menandakan tidak rela. Hampir
terbalik gelas di mejanya ketika tangannya sama berputar.
“Kalau cakap jujur dari awal tak apalah
jugak, ini berbulan aku layan kerenah dia… tau-tau dah ada anak satu. Suami dah tak ada,” Aldir
terhenti menarik nafas geram.
“Aku rasa tertipu dan diperbodohkan. Aku ingatkan anak dara tujuh belas, ayat
sikit punya jiwang karat, sengal kepala otak aku ni membaca tiap kali dia tulis
ayat. Sampai aku naik tak faham walau
baca berulang-ulang,” komen Aldir sambil mengerlipkan mata tanda sungguh-sunguh
kecewa.
“Berapa umur dia?” tanya Fahrin sambil
bibir terkulum-kulum menahan geli hati
mendengar
nasib sahabat yang seorang ini.
“Dalam 25 tahun, begitulah ikut maklumat
kat FB dia tu… kot ya la tu… entah-entah
umur dah cecah 50, bukan betul perempuan sekarang ni, muka nampak muda sebab
botok sana sini, check IC dah 60
tahun,” gumam Aldir penuh kecewa memberat di dada.
“Macam mana kau confirm sangat yang dia tu dah ada anak?” tanya Fahrin sambil
angkat kening. Wajah Fahrin pula tak
kurang kacak seiras Fahrin Ahmad.
“Dia cerita kat akulah tadi… kat Facebook,” Aldir usap kepalanya sambil
mengeluh berat bagai orang punya masalah business
berjuta-juta.
“Kau dah jumpa dia?” korek Fahrin lagi.
“Nak jumpa macam mana, dulu minta no phone pun tak bagi, apa tah lagi nak
jumpa. Kusut betul aku dibuatnya. Kini dah dapat no phone dan biasa sembang tapi tiba-tiba dia buka rahsia siapa
dirinya pulak, eh aku naik entahlah, eh kat FB tu banyak perangkap tikuslah…”
keluh Aldir akhirnya, pamerkan wajah kusut kecewa.
Fahrin ketawa berdekah-dekah bila Aldir
katakan ruang Facebook banyak perangkap tikus.
Tikus apa pun tak pastilah. Sama
ada tikus kampung atau tikus mondok.
“Kenapa dia boleh cerita yang dia tu ibu
tunggal anak sorang?” Fahrin makin berminat untuk tahu setelah usai gelak yang
berdekah-dekah tadi.
“Entah, tetiba aje dia cerita kat aku… aku
pun tak faham kenapa tiba-tiba dia buka
cerita
begitu pulak,” keluh Aldir lagi.
“Kau pujuklah dia baik-baik, suruh dia
cerita hal sebenarnya. Aku rasa, dia nak
uji kau aje… takkan itu pun kau tak tau, kau kan dah biasa dengan kerenah
macam-macam perempuan… sampai kini tak kahwin-kahwin kerana terlampau memilih miss
perfect…”
nasihat Fahrin diakhiri sindiran.
“Eeee… cakap baik-baik sikit ha, bab kahwin
lambat tu betul, tapi bab macam-macam perempuan tu yang salah, ya!” marah Aldir
sambil bulatkan matanya kepada Fahrin.
“Ya
ke?” Fahrin gelak kuat-kuat lagi.
“Kau pun sama nak naikkan darah aku?”
marah Aldir. Mukanya mula naik merah.
“Itulah masalahnya kau, cepat marah, mana
perempuan nak lekat… seram dia orang. Kau tengok macam aku… cool and romantic…” Fahrin gelak
terkulum-kulum mengundang mata bulat Aldir semula.
Teh tarik yang tinggal separuh dihirup
sampai habis. Itulah minuman kegemaran
Aldir. Kalau tak dapat teh tarik sehari
memang rasa hidup tak cukup syarat.
Kawan kepada teh tarik pastilah roti canai.
Sambil mengunyah roti canai matanya
melirik ke wajah Fahrin yang telah beristeri empat. Lalu terfikir-fikir, apa ilmu Fahrin pakai
sampai empat isterinya? Fahrin bukan lelaki
jutawan, sekadar berniaga direct selling
tetapi dapat isteri semuanya berjawatan tinggi dan cantik-cantik belaka. Dia pula untuk cari seorang isteri pun
terkial-kial hingga kini. Ada-ada sahaja masalah yang mengganggu usahanya.
“Umur kau dah 35, aku dah empat pintu… kau
tu usahakanlah cepat,” nasihat Fahrin agak serius pula.
“Ingat aku tak usaha?” angin lagi
Aldir. Terasa sahabatnya itu
merendah-rendahkan usahanya selama ini.
“Tak tahulah pulak kau nak sedekah salah
sorang isteri kau tu kat aku?” terjah Aldir membedil geram kepada Fahrin.
Kelihatan Fahrin terkedu. Matanya bulat
merenung Aldir. Terkaku untuk mengeluarkan bicara. Bukan main-main sengatan
berbisa Aldir itu. Adakah patut isterinya yang cantik-cantik jelita diminta oleh sahabatnya itu? Err…
“Yang kau pergi mengurat kat Facebook, apa hal? Kalau nak mengurat
carilah yang betul tempat, ini ha… boleh turun ilmu nak mengurat perempuan,”
tepuk Fahrin ke dadanya berkali-kali kemudian ketawa lagi. Cuba mengelak sengatan kawannya tadi.
“Aku bukan mengurat, aku sekadar nak
kenal-kenal aje dulu,” elak Aldir sambil toleh ke luar restorannya.
“Kalau dah pening-pening buatlah
sembahyang istikharah, minta Tuhan beri petunjuk… yang kau minta petunjuk dari Facebook tu apa ke hal? Nak mengurat kat
situ pulak,” sengat Fahrin pula.
“Eh, kau nampak tak buku lima aku ni? Cuba
kau bilang. Kau nak rasa ke?” Aldir
melenting pula.
“Dalam FB
aku tu ramai kawan-kawan, saudara-mara, adalah sorang dua orang luar yang
tersesat kat situ… termasuklah si Hanim sesat tu!” tambah Aldir sambil
kerlipkan matanya penuh geram dengan dakwaan kawannya itu.
“Yalah tu, saudara-mara dan rakan kau dah
beribu tu, hahahah!” melantun lagi gelak besar sakat Fahrin di malam itu.
Aldir hanya tarik nafas geram. Sabar… sabar.
Kalau ikut hati. Kalau bukan
kerana
dia
orang yang kuat sembahyang, pasti si Fahrin kena buku limanya malam itu. Ada-ada sahaja kata-kata Fahrin yang menyakitkan
hatinya.
“Yelah, betul aku cakap apa? Bila namanya
Islam, bermakna saudara aku jugaklah,” tingkah Aldir kembali.
“Benarlah tu…” usik Fahrin kemudian ketawa
meleret pula.
“Aku tak ada masa nak buat kerja
sia-sia. Kau pun tahu kerja aku sibuk
selalu,” tekan Aldir dengan nada serius.
“Yalah, tokeh restoran turun-temurun… aku
sedia maklum, tapi dalam bab teman hidup jangan kau yang mulakan turun-temurun
pulak?” sakat Fahrin dalam getar gelak.
“Aku tak faham maksud kau tu,” mata Aldir
kincup melihat anak mata Fahrin.
“Maksud aku, jangan kau yang pertama
memulakan kahwin lambat atau tak kahwin-kahwin langsung,” serius pula bicara
Fahrin.
“Aku dah usaha tapi tak pernah menjadi. Jodoh
belum sampai, nak buat macam mana lagi?” tempelak Aldir pula. Sengal hatinya
bila ingat hal jodoh.
“Teruskan usaha, adalah nanti… jangan putus
asa, kau bukan tua mana pun,” Fahrin tepuk bahu Aldir memberi semangat penuh ikhlas.
“Tahu takpe, ingat aku manusia putus asa
ke?” tingkah Aldir pula dengan serius tahap bangga.
Fahrin tadah tangan tanda isyarat menyerahkan segala
keputusan kepada sahabatnya itu. Malam pun kian meningkat usia dan bintang
penuh di dada alam.