5. SEDIH OH SEDIHNYA!.

5

AWAL-AWAL pagi lagi Hanim sudah sampai ke PWTC. Pesta buku sedang rancak dan meriah di situ. Dia tidak mahu melepaskan peluang membeli sekian banyak novel-novel kegilaannya. Ramai benar penulis yang diminatinya. Banyak pula buku-buku mahu diborongnya. Jadi, sebelum penuh sesak dia telah lebih awal sampai ke situ. Pendek kata beberapa pekerja di situ tersengih pelik kepadanya. Apa dia peduli. Asal cepat sampai mudah kerjanya nanti.

Mereka yang terlibat dengan pesta buku masih berjalan santai-santai ke situ. Sedangkan dia laju sahaja pergi ke booth yang dihajatinya. Malah berazam akan kunjungi ke semua booth di situ biarlah sampai ke malam sekalipun.

Paling menariknya dia mahu dapatkan tandatangan daripada penulis buku yang bakal dibelinya. Barulah terangkat, nanti akan ditayang kepada kakaknya Hana yang tidak dapat pergi tadi. Bukan kakaknya tidak mahu pergi, maklumlah jadi cikgu sekolah yang sangat sibuk dengan urusan sekolah tidak sudah-sudah. Jadi kakaknya kirim sahaja berserta wang sekali dikepilkan pada Hanim.

Paling menarik bila ada tawaran hebat daripada kakaknya Hana, kalau dapat tanda tangan dari semua penulis buku-buku yang dibeli terutama bagi novel kegemaran kakaknya, dia akan dihadiahkan dengan telefon canggih konon, Samsung Galaxy II. Siapa yang akan tolak.

Lagipun dia mana mampu membeli banyak buku dalam satu masa. Maklumlah, kerja cikgu tadika. Gaji kecil. Lainlah kakaknya Hana. Cikgu di sekolah besar. Murid pun ramai. Gaji kakaknya pun meriah juga. Membara semangat Hanim untuk membeli dan mencari penulis buku itu semua.

Ketika sibuk memilih novel, terlihat seseorang sedang leka menilik buku di booth lain pula. Di situ menjual buku-buku agama. Jiwanya melonjak riang. Segera dia ke sana. Ingin mengejut orang tersebut tetapi teringat kesilapan lalu, lantas dia undurkan niat. Namun, kerana teruja ingin jumpa lantas tertolak bahu lelaki itu sehingga lelaki itu terkejut. Spontan terdorong ke depan. Lagipun tadi dia dirempuh sedikit oleh seorang pelanggan yang ingin ke hadapan.

Hanim genggam kedua tangannya. Rasa bersalah dan gerun melihat mata lelaki itu tajam dan geleng kepala tanda tidak senang akan tindakan Hanim tadi.

Sorry…” pinta Hanim sambil pamerkan wajah minta belas kasihan.

“You ni,” desis lelaki itu.

Siapa lagi kalau bukan Aldir yang dirindunya selama ini.

“Beli buku?” tanya Hanim serba salah.

“Hem,” balas Aldir diiringi senyuman nipis.

“Ke mana aje awak pergi? Saya telefon, di FB tak jawab juga…” ngongoi Hanim mula terlepas rasa ralat di hati tanpa sedar dia baru berazam untuk berhati-hati.

“I sibuk, maaf,” kata Aldir sambil tangan mengangkat sebuah buku agama yang tebal.

“Awak suka baca buku agama aje ke? Awak tak baca novel?” tanya Hanim.

“I tak biasa baca novel, I biasa baca al-Quran dan yang berkaitan agama sahaja,” kata Aldir serius sambil mengerling Hanim.

Hanim rasa terenjat. Beg berisi novel di jari perlahan disorok ke belakang bila dilihat mata Aldir terkerling ke situ. Terasa dia tersindir kerana banyak membeli novel sahaja. Buku agama satu pun dia belum beli.

“Oh… yelah, betul jugak kan… saya nak beli buku agama jugaklah,” kata Hanim dan segera memegang buku agama yang lagi tebal daripada yang Aldir pegang.

Aldir senyum terpaksa melihat telatah Hanim. Sambil gelak terpaksa, Aldir bawa buku tebal ke kaunter bayar. Hanim ikut ke kaunter juga. Buku agama di tangan Hanim lagi tebal daripada buku agama di tangan Aldir. Mujur ada potongan harga. Jika tidak letih juga Hanim mahu membayar. Buku agama itu boleh dapat sekurang-kurangnya tiga buah novel yang telah siap potongan harga.

“Saya tak peduli, awak marah saya atau awak benci saya, saya nak awak jelaskan kenapa tiba-tiba awak lari daripada saya,” bisik Hanim di tepi telinga Aldir.

Aldir menarik nafas. Hanim nantikan jawapan Aldir tanpa kerlipkan mata. Jarinya masih memegang buku tebal.

“I sibuk,” jawab Aldir ringkas.

“Dulu tak sibuk ke?” tingkah Hanim. Teringat dulu-dulu banyak masa Aldir untuk bersembang dengannya di Facebook.

“Dulu I cuti, kini dah mula kerja semula,” kata Aldir memberi alasan acuh tak acuh.

“Awak kerja langsung tak balik ke rumah ke?” tingkah Hanim lagi. Bertanya tahap geram.

Aldir terdiam sambil merenung wajah kiut Hanim. Jurujual di kaunter kerutkan mata, tangannya terhala minta buku yang Hanim mahu beli. Aldir segera perasan dan isyarat kepada Hanim. Hanim senyum sengih. Comel wajahnya kalau senyum. Lesung pipit membekam di kedua belah pipi montoknya. Sebenarnya Hanim cantik juga. Kurang pada badan sahaja tapi masalah besarkah bagi Aldir?

“I balik rumah dulu,” pinta Aldir.

“Saya pun ada rumah untuk dibaliki,” Hanim senyum sinis.

Aldir berkerut keliru mendengar ayat Hanim. Hanim renung mata tajam Aldir dengan tikaman tajam juga. Dia tidak mahu kalah beradu renungan.

“Dan lagi saya ada hutang nak bayar kat awak, sebelum awak pergi,” tahan Hanim ketika Aldir melangkah.

Mujur ketika itu di bahagian kaunter tiada pembeli lain di situ. Jadi tiada siapa perasan adengan tolak tarik ayat itu. Kening Aldir berkerut mendengar ayat Hanim.

“I sibuk sekarang ni, tak ada masa untuk chatting FB… I kerja sendiri, tak boleh main-main,” ujar Aldir sebaik dia menyedut minuman di sebuah gerai dalam PWTC itu.

“Awak kerja apa? Sampai tiba-tiba lupa kawan?” soal Hanim masih belum puas hati kenapa Aldir menjauhkan diri daripadanya semenjak akhir-akhir ini.

“Adalah,” sahut Aldir nada malas.

Hanim tarik nafas sebal. Ralat sungguh dia dengan sikap Aldir. Kalau dia tahu beginilah watak Aldir atau lebih kepada sikap Aldir selepas dapat mengenalinya secara nyata, memang sampai kiamat pun dia tidak ingin perkenalkan dirinya kepada Aldir. secara nyata. Sungguh rasa terhina dengan sikap Aldir itu. Setelah jumpa lantas dirinya dipinggirkan macam sampah! Pilu hati Hanim.

“Ada apa-apa lagi you nak cakapkan kat I, sebab selepas ini I memang kena tumpu pada kerja I… tak ada masa untuk sembang telefon dan sebagainya,” pinta Aldir membuat Hanim yang tidak minum lagi itu menelan air liur sahaja.

“Cakap penting tu tak adalah tapi cakap yang teramat penting tu adalah,” ujar Hanim dengan selamba.

“Apa dia? Cepatlah,” desak Aldir seakan ada musuh perang sedang mensasarkan senjata ke arahnya. Kelihatan begitu ingin pergi dengan segera.

“Asal kejadian kita ni daripada Adam dan Hawa tau… kemudian jadi ramai-ramai pada wajah yang lain-lain pula. Soalnya jangan rasa hina berkawan dengan orang kurang jelita macam saya… dan jangan pernah sakit jiwa bila ingat kenangan indah kita.” Lantas Hanim bangun dari situ.

Tinggal Aldir terdiam seketika. Hanim pergi dengan perasaan hilang minat pada semua alam di sekelilingnya. Segala buku-buku yang dibeli tadi pun dia sudah lupa dan tertinggal di tepi meja beralas kain ala-ala putih itu.

Sebak sungguh perasaan Hanim. Kenapa kejamnya Aldir terhadap dirinya. Hina sangatkah dirinya sehingga Aldir tidak sudi lagi berteman baik dengannya. Dia faham, Aldir luahkan ayat begitu kerana lelaki itu memang mahu mengelak diri daripada dirinya. Soalnya salahkah berkawan walaupun mukanya macam monyet sekalipun. Air mata pilu sayu Hanim tidak dapat dikawal lagi. Lalu meluncur ke pipi montoknya sampai kelam pandangan mata.

Aldir pula menarik nafas. Matanya tajam melihat longgokan buku Hanim yang

banyak di tepi kaki meja. Dia geleng kepala. Rambutnya diusap ke belakang. Dia mengerti kini, Hanim sudah mengerti bahawa dia tidak menjadi minat Aldir lagi. Harap Hanim mengerti dan pandai membawa diri dalam apa jua keadaan dan status mereka kini.

*****

HANIM terlanggar seseorang ketika menuruni eskulator secara tergesa-gesa. Habis novel dan handbag tercampak. Novel yang tercampak itu merupakan novel yang dibawa bersama. Novel terakhir dibeli sebelum melangkah keluar tadi.

Segala beg berisi novel-novel yang diborong tadi langsung dia lupa. Gara-gara hati rasa tidak keruan atas sikap Aldir yang dingin semacam terhadapnya, lantas lupa pada barang kesayangan yang dikumpul sejak awal pagi tadi. Semua gara-gara hati yang ribut dan sedih kerana Aldir.

Cepat-cepat novel itu dicapai, sebelum disepak oleh mereka yang ramai di persekitaran eskulator itu. Silap gaya mahu saling jatuh bertindih-tindih kalau salah seorang yang terjatuh sekiranya salah langkah. Lega dapat disambar sebelum sempat dia dilanggar oleh mereka yang turun eskulator. Sebaik dia berdiri semula, laju dia marahkan orang yang melanggarnya.

“Awak ni!” marah Hanim kepada lelaki yang kelihatan serba salah cuba membantu mengangkat handbag Hanim.

“Minta maaf,” pinta lelaki itu.

“Kalau berkurang ayat dalam novel ni siap awak!” marah Hanim penuh ugut.

Lelaki itu terkerut. Pelik di telinganya. Masakan novel jatuh ayat jadi kurang.

Hanim segera membuka novel itu. Belek sana sini. Lihat sana sini. Macamlah boleh ayat terus hilang bila buku jatuh, buat lelaki itu tunduk intai muka Hanim.

“Tak ada kurang apa-apa, kan?” tanya lelaki itu antara senyum dan gelak pelik.

“Ini…” Hanim tunjukkan muka surat yang kosong di belakang sekali.

Kemudian Hanim pergi tanpa memberi komen apa-apa lagi. Lelaki itu mendesis pelik. Hairan dia dengan sikap perempuan yang telah melanggarnya tadi.

“Orang macam itu pun ada… taksub sungguh… ayat boleh kurang kalau buku jatuh? Cikgu manalah ajar?” rungut lelaki itu dan agak senget bahu bila dilanggar salah seorang yang turun lagi dari eskulator. Segera dia berlalu dari situ.

Hanim pula pergi dengan perasaan yang sangat terganggu. Hatinya telah diisi dengan rasa yang begitu mendongkol kecewa atas sikap Aldir terhadapnya tadi. Tidak dapat digambarkan dengan kemera perasaannya kini. Tidak juga dapat dilukiskan jiwanya kini. Sedih pilu dan terhina sangat dengan sikap Aldir.

Dia segera memandu keluar dari kawasan PWTC dengan semangat ceria yang telah lari. Hingga saat ini dia masih lupa mengenai sekian banyak novel yang telah tertinggal. Ingatannya cuma diisi dengan rasa amat kecewa atas sikap Aldir yang sangat dingin terhadapanya. Sangat merusuhkan jiwa Hanim.

Mengingati saat-saat indah mereka di Facebook dan di telefon buat air mata Hanim mengalir pilu. Kenapa begitu mendadak Aldir menyingkirkan dirinya dari jiwa lelaki itu? Kini, jika Hanim sapa Aldir di Facebook, memang Aldir tidak pernah membalas. Telefon juga begitu. Tadi bila jumpa terus beri alasan sibuk semacam. Macam tiada orang lain lagi tersibuk dalam dunia ini.

Mata Hanim terlihat di seberang jalan sana, seorang peminta sedekah meraih simpati. Buat hati Hanim kian terhiris. Terasa dia juga begitu. Sekarang macam peminta sedekah untuk meraih perhatian Aldir. Air matanya mengalir laju dan laju lagi. Hampir sahaja tersondol kereta hadapan, buat Hanim beristighfar dan insaf.

Segera diseka air mata dengan rakus dan sedayanya memfokuskan pada pemanduannya kembali. Cuba tidak mahu melayan rasa pilu di hati. Jika mahu pilu nantilah balik ke rumah. Akan dilepaskan di kamar. Itu lebih selamat. Lebih baik daripada berperang rasa di jalan raya yang tinggi resikonya. Fikir Hanim spontan.

Hanim pasang azam untuk melupakan segala yang berkaitan dengan Aldir. Lagipun tadi dia telah membeli banyak novel termasuk buku agama. Bila telah masuk ke alam membaca nanti, pasti segalanya jadi lupa dan terleka.

Dia toleh tempat duduk di belakang. Biasanya dia akan humban barang yang dibeli ke situ sahaja tanpa mengisi ke dalam bonet kereta. Matanya terbulat. Baru dia sedar. Baru dia ingat. Tadi kerana geram dan emosi pada Aldir dia terus pergi. Di kerusi itu hanya ada sebuah novel. Oh tidak! Pekik hati Hanim.

Dia mesti menurut ke PWTC kembali. Dia ingat. Segala beg berisi novel dan bahan bacaan tadi diletakkan di kaki meja. Harap masih ada di situ. Haraplah sesangat. Banyak duit habis untuk segala bahan bacaan yang dibeli tadi. Kalau lesap begitu sahaja, bukan sahaja dia akan marah dirinya sendiri, pasti balik nanti akan dileter oleh Hana kakaknya yang kadang-kadang ala-ala mulut murai hilang ingatan.

Semoga masih ada. Janganlah ada yang panjang tangan. Itu bukan tongkolan emas, semua novel dan buku-buku sahaja. Tetapi kalau dijual denga harga rendah siapa yang tidak sudi? Ugut fikiran Hanim menambah rasa risau di hatinya.

“Jangan nak mengada-ngada pulak ya! Tak siapa boleh jual aku punya barang!” sergah Hanim geram entah kepada siapa.

Hanim terkocoh-kocoh menuju ke meja makan bersama Aldir tadi. Sah dan masih ingat betul, dia letak di kaki meja. Kini segala beg sudah hilang. Berderau darah Hanim. Habislah dia dimarah oleh kakaknya. Habislah juga peluang dia untuk membaca semua novel yang dibeli. Hadiah telefon? Aduhai… Hanim garu kepala yang siap bertudung terkini itu. Memang tidak semua ada tanda tangan penulis gara-gara terserempak dengan Aldir tadi. Kini semua novel hilang pula… gemuruh jiwanya.

“Kenapalah korang ambil barang aku!” marah Hanim campur sedih sambil menghempas tubuh ke kerusi kosong.

Kemudian dia segera bertanya pada jurujual di situ. Makin sakit jiwa bila mereka tidak tahu. Dengan langkah lemah gemalai, dia berjalan semula ke parking kereta. Untuk membeli lagi, memang duit sudah habis.

“Apalah malang nasib hari ni? Dah sah-sah jadi milik aku, hilang pulak. Senasib hubungan dengan dia tu. Dulu sah-sah dia suka aku, kini hilang juga…” ngongoi Hanim sambil memandu dengan mood yang melayang.

Air mata Hanim memang sah tidak dapat ditahan lagi. Dalam kereta dia menangis lagi. Kali ini bukan menangis kecewa pasal Aldir tetapi menangis kecewa, sedih atas kehilangan semua buku-buku yang baru dibelinya. Tambah kecut hati tentu akan dimarah oleh Hana nanti.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh