16. HADIAH.

16

HARI minggu masih pagi. Tinggal Hanim seorang di rumah. Puan Maimun dan Hana pergi ke pasar. Khairil dan Fakrul pula sudah keluar pagi-pagi lagi. Entah ke mana Hanim tidak mahu ambil tahu. Dia sibukkan diri mengemas rumah dan menyidai kain cucian di ampaian.

Ketika sidaian terakhir siap, sebuah kereta masuk ke halaman dan berhenti berhampiran Hanim. Hanim menoleh dan berkerut. Dia capai sesuatu dari bakul. Tiada apa yang boleh dicapai. Niat untuk menyibukkan diri punah. Apa patut dia buat kini? Patutkah beramah-tamah dengan lelaki yang sudah terpacak berhampirannya?

“Assalamualaikum,” sapa lelaki itu.

“Waalaikumussalam,” jawab Hanim perlahan. Entah kenapa tiada rasa indah bila lelaki yang sebenarnya Aldir datang ke rumahnya di pagi itu.

Bila diingat-ingat ayat kejam Aldir buat Hanim mahu lari terus. Tidak ingin berjumpa dengan orang yang sangat disayangnya pada satu ketika dulu. Rasa sakit dan pedih masih berbekas di dasar hati. Kata-kata mulut macam longkang penuh tong sampah benar-benar buat hatinya luka berdarah.

“Tinggal sorang? Sunyi aje,” komen Aldir.

“Semua dah keluar,” jelas Hanim bernada malas.

“You tak keluar?” tanya Aldir.

Baik pula ayat lelaki itu di pendengaran Hanim. Meluat Hanim mendengar. Rasa mahu berlari ke atas dan tunjukkan apa Aldir telah tulis yang sangat menyakitkan hatinya semalam. Aldir jangan buat-buat lupa pula apa dia sudah buat pada Hanim.

“Hari cuti duduk rumah aje?” tanya Aldir lagi.

Hanim terus diam, mukanya masih dipalingkan menghadap penyidai. Segala gantungan baju ada di situ. Termasuk yang tidak sepatut Aldir lihat buat Hanim bulatkan mata lantas sentap kain batik lalu sidai segera ke atas segala pakaian kecil di situ. Bagai kena elektrik bila terdengar Aldir gelak penuh makna. Malunya!

“Bila jumpa tak mahu cakap, tak jumpa kata rindu,” usik Aldir diiringi gelak bergetar, buat jantung Hanim berdetup-detap pula.

Heh! Tiada makna mahu dap dip dup lagi pada lelaki bernama Aldir. Dalam Facebook macam bercakap dengan hantu sahaja. Di sini mahu tunjuk romantik. Baik tak payah! Cemuh hati Hanim berazam terus membenci Aldir.

“Hem, lama lagi agaknya mak you akan balik?” tanya Aldir pula.

Hanim hanya angkat bahu.

“Oh selama ini I chat dengan makwe bisu rupanya…” usik Aldir pula sedaya upaya mahu pancing Hanim agar bersuara.

Hanim tercebik. Bukan Aldir tidak pernah dengar suaranya. Baru tadi bercakap. Dulu Aldir pernah datang ke rumah. Selalu juga bercakap di telefon. Bisu? Bisu apalah? Lainlah Aldir, bisu perasaan. Sanggup melukakan hati perempuan sesedap jari dia sahaja. Cemuh hati Hanim.

“Biar bisu mulut, jangan bisu hati!” sindir Hanim, geram.

“Eh heheh…” Aldir gelak pula.

“Ada pulak begitu… kenapa nak tukar jadi bisu pulak?” tambah Aldir di hujung gelak.

Hanim kembangkan sedikit mulutnya. Geram mendengar ayat Aldir. Masih buat-buat tidak faham. Sedangkan semalam sesedap rasa sahaja memakinya. Bukan tahu minta maaf. Beginikah orang yang dulunya bukan main romantik lagi di chatting? Dan ketika itu kalau ada sedikit silap laju sahaja mohon maaf, kini? Hampeh!

“Hanim, ini saya bawa sesuatu untuk you,” kata Aldir pula menarik perhatian Hanim untuk menoleh.

Benar, di tangan Aldir terhulur sebuah beg kertas. Hanim jadi serba salah. Mimpikah Aldir hari ini. Datang tanpa diundang dan membawa hadiah untuknya pula di pagi hari.

“Ambillah,” pinta Aldir lagi.

Hanim lihat ada keikhlasan pada wajah Aldir. Lalu dicapai beg tersebut tanpa sengaja.

“Ada tiga barang di situ. Berilah pada yang tertulis nama,” kata Aldir pula buat Hanim tersentap rasa semula.

Dari arah jalan sana kelihatan kereta Hana masuk ke halaman. Hanim segera masuk tanpa mohon permisi pada Aldir. Rasanya, kedatangan Aldir bukan untuk bertemu dirinya. Kalau bukan bertemu Puan Maimun pastilah mahu bertemu Hana. Tanpa pedulikan Aldir Hanim terus naik ke rumah.

Biarlah Aldir termanggu-manggu di situ. Sekejap lagi boleh beramah mesra dengan emak dan kakaknya. Kalau Aldir mahu lebih dipandang berbudi jadilah kaki ampu sedikit. Banyak bunga raya berkembangan aneka warna di halaman. Pujilah di hadapan Puan Maimun, pasti Puan Maimun senyum tak sudah dan Hana pula tentu tumpang riang.

Bunga raya merupakan bunga kesukaan Hana. Malahan, Hana yang rajin menguruskan bunga-bunga itu. Hanim lebih suka lihat sahaja. Kalau dileter oleh emaknya barulah dia siram bunga-bunga itu dan pokok-pokok lain.

Hanim terus campak beg kertas ke atas katil sebaik dia masuk ke biliknya. Moodcuti di hari minggu lari entah ke mana diusir oleh Aldir yang sudah kedengaran ramah menyapa emaknya di bawah sana. Sakit hati Hanim mendengar suara ramah Aldir.

*****

HANIM belek-belek tudung pemberian Aldir malam itu. Hanim tergugat untuk membenci Aldir. Pemberian hadiah daripada Aldir buat Hanim tertanya-tanya, kenapa beri hadiah padanya? Dan kenapa juga beri hadiah kepada emak dan kakaknya juga? Pelik sungguh watak Aldir. Romantik, baik hati, tiba-tiba boleh bertukar garang dan baran. Kini pemurah pula. Tiba-tiba beri mereka hadiah. Pelik sungguh.

“Biru tanda apa Cikgu Hanim?” kejut kakaknya yang masuk seperti menghendap.

“Biru tanda haru,” sahut Hanim cepat dan kuis tudung itu ke tepi.

“Ada pulak? Apa lagi, tak percaya lagi dia suka kat kau?” cuit Hana.

“Kat akak pun dia bagi juga kan? Makna dia suka akaklah juga, kan?” tingkah Hanim menyindir.

“Jangan ambil hati pada semua perkara yang pada dasarnya nampak menyakitkan tapi cuba fikir kenapa perkara itu berlaku pada kita,” komen Hana pula.

“Akak dapat apa?” tanya Hanim malas melayan falsafah kakaknya.

“Tudung cantik begitu jugak, tapi warna purple…” jawab Hana sambil angkat kening.

Hanim diam. Ungu memang minatnya. Kenapa Aldir tidak beri ungu kepadanya. Kakaknya pula suka warna biru. Nampaknya Aldir belum kenal apa minat mereka. Emak pula dapat warna apa agaknya?

“Mak, warna maroon…” beritahu Hana tanpa Hanim perlu bertanya secara lisan.

Maroon juga jadi kegemarannya. Bagaimana pula fesyen yang emaknya dapat? Adakah sama macam mereka dapat? Tanya Hanim tanpa suara juga.

“Mak lain sikitlah, sesuai dengan usia mak,” jelas Hana juga tanpa perlu dengar apa Hanim tanya.

“Kenapalah dia bagi hadiah pulak ya?” tanya Hanim dalam nada hairan tanpa melihat Hana yang duduk di birai katilnya.

“Suka hati dialah nak memberi dan bersedekah, tanda buah tangan ketika datang ke rumah bakal mak mentua” sahut Hana kemudian angkat-angkat kening tanda mengusik Hanim.

“Sukalah hati akak, dia sebenarnya suka kat akak,” balas Hanim walaupun pedih di hati menyebut ayat begitu.

Hana ketawa kecil. Kemudian Hanim terjerit bila Hana tarik cuping telinganya.

“Sakitlah!” terus Hanim cubit kakaknya. Mereka bergelut seketika.

“Akak dah kata dulu, akak tak akan rampas hak orang, kan?” tekan Hana sambil tarik telinga Hanim lagi.

Tangan Hanim menepis-nepis tangan Hana.“Kalau tak rampas tapi dia tak suka pada Nim pun tak ada makna juga wahai Cikgu Hana…”

“Jadi pandai-pandailah jaga harta awak tu,” tingkah Hana pula.

“Harta apa?” Hanim bulatkan mata.

“Dia yang datang tadi, kenapa kau tak layan baik, dia kata kat akak kau tak hiraukan dia,” luah kakaknya membuka rahsia hal Aldir datang di pagi buta tadi.

“Eloklah Nim tutup mulut dan akak buka mulut, dia suka akak, elok akak yang sembang dengannya,” sahut Hanim perlahan lebih kepada berjauh hati.

“Akak kata dah, akak tak akan menyambar hak oranglah,” terus bantal peluk melepuk paha Hanim.

“Bukan soal sambar atau tidak, soalnya dia suka akak, terpulang akak nak suka dia, yang pentingnya dia tak suka Nim, jadi Nim kena tahu diri,” tekan Hanim, bulatkan mata merenung kakaknya.

“Kalau dia tak suka kau, takkan dia beri hadiah kat kau?” tempelak Hana.

“Dia juga beri hadiah kat akak dan mak,” tempelak Hanim.

“Sebagai ambil hati aje, takkan itu pun kau tak boleh baca?” tepis Hana.

“Dia nak ambil hati Kak Hana, itu mungkin,” sindir Hanim dan senyum hambar.

“Masalahnya, bila dah jumpa, kau tak mahu berdepan, bincang baik-baik kenapa hubungan kalian jadi hambar macam masakan tanpa perasa. Kau meradang sendiri apa dia tahu?” tempelak Hana. Geram pula dengan sikap Hanim yang tidak percaya padanya.

“Biarlah, rasanya dia dah tak minat nak bincang apa-apa pun,” sahut Hanim nada sedih dan berlalu pergi.

Pedih hati Hanim bila teringat Aldir maki dia semalam. Bagaimana mahu diajak berbincang? Tadi pun Aldir tidak menunjukkan ada perkara penting mahu berbincang dengannya. Sekadar ayat usik-usik sahaja. Beri hadiah tetapi bukan istimewa untuk dirinya sahaja. Malah emak dan kakaknya juga dapat. Berat perasaan Hanim bila memikirkan hal itu.

Hanim tidak mahu ceritakan pasal Aldir yang berkata buruk padanya di Facebook kepada Hana. Biarlah menjadi rahsia dirinya. Rasanya kalau Aldir dapat chatting dengan kakaknya tidak mungkin ayat jahat dan kejam dilemparkan kepada kakaknya. Begitu juga di awal perkenalan mereka di Facebook dulu. Ayat Aldir sentiasa baik dan sopan.

Tinggal Hana terkedu seketika. Kemudian Hana belek tudung Hanim, sama fesyen macam dia dapat. Tertanya-tanya juga, kenapa Aldir beri hadiah kepadanya pula? Kalau setakat emak mereka itu logik juga. Ini beri kepadanya juga? Hana hanya boleh mendesis sendiri tanpa jawapan pasti.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh