15
HANIMperhatikan mereka yang duduk
di atas pangkin bawah pokok rambutan di hujung halaman. Di sana Puan Maimun,
Hana, Khairil dan Fakrul sedang menjamu selera di petang hari. Fakrul tentulah
tunjuk manja pada Puan Maimun, buat Hanim tarik nafas entah apa rasa. Benci
tidak, cemburu pun tidak tetapi dia rasa macam kehilangan pula.
Punca utama kehilangan pastilah datang
daripada Aldir. Bila Aldir menghindar daripadanya tentulah Hanim rasa sangat kehilangan
dan tidak tentu rasa. Ditambah dengan kehadiran Khairil dan Fakrul dalam
keluarganya buat Hanim rasa diketepikan oleh emaknya pula. Demipun bagi Puan
Maimun tidak terfikirkan berbuat begitu kepada Hana dan Hanim.
Semenjak malam itu dia tidak lagi berani
untuk menyapa Aldir. Aldir sudah benci pada dirinya, samakan dirinya dengan
longkang dan tong sampah, buat hatinya sakit parah dan pilu berdarah. Facebook pun dia tidak buka. Aktiviti
hari cuti lebih kepada membaca novel dan novel sahaja. Memerap di dalam bilik. Tidak mahu keluar dan
tidak mahu terserempak dengan Khairil dan Fakrul.
Dia cuba tidak membenci mereka sebagaimana
yang dimahu oleh emaknya. Setiap hari sekolah dia akan membawa Fakrul sekali
tetapi masih tidak mampu beramah-tamah
dengan Khairil dan Fakrul. Di tadika, Fakrul diajar sama rata seperti
kanak-kanak lain. Bila pulang dibawa balik seperti biasa tanpa banyak bicara.
Setakat itu yang dia termampu. Untuk lebih mesra dan jinak dengan Fakrul belum
masa lagi.
“Hanim mana Hana?” tanya Puan Maimun
sambil meninjau ke arah rumah.
“Berkurung dalam bilik, baca novel ajelah dia
tu mak,” jawab Hana.
“Kenapa tak berkumpul sini sekali, minum
petang sama-sama di luar ni hah, seronok jugak dah ramai-ramai begini?” tingkah
Puan Maimun sambil mengopek rambutan untuk Fakrul.
“Entahlah, dah pandai tak campur orang
pulak dia mak,” keluh Hana.
“Kerana kami agaknya mak long, dia macam
tak suka kami,” sahut Khairil setelah meletak gelas sirap ke pangkin.
“Jangan ambil hati sangat dengan dia tu
Khairil,” pinta Puan Maimun mulus.
“Awak kerja di mana?” tanya Hana sambil
merenung Khairil yang duduk setentang dengannya.
“Saya kerja di restoran. Jadi tukang masak,” jelas Khairil cepat.
“Maknanya
awak pandailah masak,” sahut Hana teruja.
“Bolehlah sikit-sikit,” Khairil merendah
diri.
“Kalau begitu apa kata awak masak sesuatu
untuk Hanim, moga-moga dia suka kat awak,” cadang Hana buat Puan Maimun cerlungkan
mata kepadanya.
“Tak apa mak, asal semua jadi baik-baik
belaka, awak pandai masak laksa?” terus Hana melaksanakan niatnya.
“Boleh sahaja, di restoran saya tu
macam-macam laksa ada, satu daripadanya Laksa Johor,” jawab Khairil teruja.
“Hem, Laksa Johor kesukaan saya tu, nanti
awak masak untuk saya, ya?” pinta Hana pula teruja buat Puan Maimun geleng
kepala.
“Kalau suka, datanglah ke restoran saya
tu, ajak Hanim dan mak long sekali,” pelawa Khairil.
“Di mana?” tanya Hana.
“Tak jauh dari sini, kat Kota Kemuning
aje, baru buka.”
“Apa nama restoran tu?” tanya Hana dan
Puan Maimun hampir serentak.
“Restoran Siang Malam,” jawab Khairil.
Ketika itu Hana terlepas gelak. Lucu pula mendengar nama begitu.
“Hanim tentu hilang frustnya mak, bila makan Laksa Johor di Restoran Siang Malam Encik
Khairil kita ni,” kata Hana di hujung gelak.
Puan Maimun ikut gelak sekali.
“Laksa Johor aje ke yang ada? Si Hanim kan
ke suka Laksa Kedah atau Laksa Penang,” kata Puan Maimun pula.
“Segala laksa ada mak long, dari Perlis
sampailah ke Sabah,” jawab Khairil selamba.
Puan Maimun dan Hana berpandangan
mendengar penjelasan Khairil. Fakrul pula sudah pergi menyorong kereta di atas
halaman berturap batu halus yang berwarna cerah.
“Adik kau tu tak ada ke telefon bertanya
pasal anaknya tu Khairil?” soal Puan Maimun berkalih tajuk pula. Lama ingin
ditanya, baru hari ini berkesempatan.
Hana juga teruja untuk tahu. Fakrul
menjadi tanda tanya dia juga. Masakan anak itu begitu mudah dilupakan oleh
kedua orang tuanya. Harap Khairil mahu bercerita. Namun begitu, Khairil
kelihatan berkerut pula. Dia melihat langit bagaikan mencari wajah kedua orang
tua Fakrul. Hana dan Puan Maimun juga turut melihat ke langit. Di sana cuma ada
langit biru dan awan petang. Redup nyaman. Itu sahaja.
“Ceritalah Khairil. Lagipun kita ni dah
jadi satu keluarga,” pinta Puan Maimun lagi.
“Nantilah mak long,” putus Khairil sambil
tersenyum kecil minta dipersetujui.
Hana yang teruja untuk tahu menegakkan
duduk semula. Lalu capai sebiji rambutan.
“Payah sangat nak bercerita,” rungut Puan
Maimun.
Khairil senyum serba salah. Matanya
melihat Fakrul yang leka bermain kereta mainannya. Sesekali anak kecil itu
datang dan minta lagi buah pada mereka. Khairil pula minta diri untuk naik ke
rumah. Belum masanya untuk dia bercerita perihal Fakrul.
Sebaik menghampiri bilik Hanim Khairil
berhenti di sisi. Teruja untuk menyapa. Pintu bilik Hanim terkunci dari dalam.
Lalu diketuk berkali-kali.
“Siapa tu?” laung Hanim.
“Abang sepupu awak. Tak sihat ke?” laung
Khairil pula.
“Tiba-tiba nak ambil tahu, kenapa?” laung
Hanim pelik dengan tingkah Khairil petang itu.
“Kita sekeluarga termasuk awak pun
keluarga saya, jadi salahkah saya ambil tahu?” laung Khairil pula.
“Eh, saya peliklah, selalu tu awak dengan
hal awak aje, hari ni sibuk nak tahu hal saya, peliklah,” ejek Hanim.
“Tak payahlah asyik menghadap novel aje,
bawak-bawaklah keluar bercampur dengan orang,” laung Khairil pula.
“Eh, sibuk kenapa? Saya memang biasa aje
begini kalau dah membaca.”
“Boleh percaya ke?”
“Suka hatilah nak percaya ke tidak,”
tingkah Hanim, bosan.
“Kumbang tak seekor, kalau kumbang di sana
tak peduli kat awak, carilah kumbang kat sini,” kata Khairil menekan suara
pula.
Hanim naik geram. Kenapa Khairil tiba-tiba
sahaja buat hal? Selama ini baik sahaja. Tidak mengganggunya. Hari ini buat hal
pula. Adakah Khairil dipinta oleh emak atau kakaknya agar mengacaunya petang
ini? Tadi dilihatnya bukan main lagi mereka berkumpul atas panggkin bawah pokok
rambutan di hujung halaman sana.
“Tak payah, terima kasih sahajalah!” laung
Hanim kembali.
“Kalau hati awak ada sakit, mungkin saya
boleh tolong rawat,” laung Khairil pula.
“Tak payahlah! Jangan kacau saya, saya nak
bercinta dengan hero dalam novel ni!”
marah
Hanim lantas baling bantal ke dinding. Isyarat jangan ganggu dia lagi.
“Bercintalah, kut boleh bahagia, tapi
kalau perlu bantuan saya, saya tak kisah,” sindir Khairil. Suaranya sudah
menjauh ke dapur.
Hanim gigit bibir dengan geram. Sakit hati
pada Aldir bersambung pada Khairil pula.