7. MEREKA.

7


“MAK, rajinnya mak…” sapa Hanim.

Pagi itu cuaca redup dan nyaman. Banyak awan di angkasa tetapi tiada awan mendung. Semua awan putih nan indah, merawak dan mengepak ke sana ke mari. Sesekali bayu lembut menyapa dari arah sana sini lantas membelai mereka yang duduk menghadap kuali panas di bangsal belakang rumah Hanim.

“Kalau tak rajin, macam mana nak besarkan korang?” balas emaknya.

“Sekarang kami dah besar, mak tak payah hadap kuali panas lagilah,” komen Hanim.

“Mana boleh, ini sudah masuk dalam hobi mak, cari duit hobi mak,” tingkah Puan Maimun. Kemudian tersenyum senang.

“Ada-ada sahajalah mak ni, tak pandai letih pulak,” rungut Hanim sambil mengacau gorengan dalam kuali.

“Tak boleh letih-letih Nim, selagi hidup kena kerja keras untuk cari rezeki halal,” tingkah Puan Maimun.

“Yalah…” Hanim mengalah. Sambil mengacau gorengan sambil dia pasang angan-angan.

‘Kalau kaya jual kerepek, boleh buka restoran pula, restoran dalam hotel… biar

Aldir buka mata, dia bukan sebarang orang. Dengar khabar dari curi-curi maklumat di

Facebook Aldir, lelaki itu tokeh restoran.’

‘Kalau sudah buka sebuah, dia akan buka berbuah-buah di seluruh negara. Dialah saingan Aldir yang utama. Dia mana ada restoran Aldir, dia akan pacak restorannya juga. Soal masak tak jadi masalah, mak memang pandai memasak…’ Hanim sudah tersengih-sengih sambil kacau pisang di kuali. Mata Puan Maimun bulat melihat anaknya tersengih-sengih.

“Hah, teringat mambang mana pulak tu?” kejut Puan Maimun sambil melepuk bahu Hanim.

“Mak ni kacaulah, tengah pasang cita-cita ni,” sahut Hanim terkalut-kalut.

“Cita-cita apa? Termenung jauh, tersengih-sengih, macam kena sampuk jembalang jiwang karat,” sengat Puan Maimun.

“Mak tak baik tau, perlekehkan cita-cita Nim,” gumam Hanim.

“Bukan perlekehlah Nim, kuat berangan tak elok, buang masa, tengok tu ha hah… hangus kerepek aku!” kelam-kabut Puan Maimun merampas sudip dari tangan Hanim, dan segera mengangkat kerepek yang sudah begitu garing.

“Pergi kupas keladi tu hah, mana si Hana ni,” bebel Puan Maimun pula.

“Mak ni pun, kut ya pun ambillah pekerja yang pro ke… harap kita orang memanglah lambat sikit, maklum kita orang ni cikgu sekolah, bukan cikgu kerepek,” gumam Hanim.

“Heh baru cikgu tadika dah eksen bukan main lagi dia…” Puan Maimun getap bibir geram.

“Taklah begitu, setidak-tidaknya mak sentiasa ada pembantu,” jelas Hanim dengan ikhlas pula.

“Semuanya mak boleh buat sendiri, bukan banyak sangat pun, hujung minggu aje buat ni semua, lagipun korang kan ada,” tingkah Puan Maimun.

“Kalau mak ada pembantu, maksud Nim pekerja, tentu usaha mak lagi besar berkembang, jualan boleh merata Malaysia, ni harap kat kampung sekitar je, apa kes?” komen Hanim pula.

“Sudahlah Nim, banyak cerita pulak dia, nak buat yang ada ni pun tak menang tangan.”

“Itulah, kalau ramai buat, memang mak akan menang tempat pertama,” tingkah Hanim lagi buat Puan Maimun kecutkan hidung merenung anaknya yang sihat montel itu.

Hanim sudah selamba meratah kerepek yang baru diangkat oleh emaknya tadi. Laju sahaja dia mengunyap. Puan Maimun tarik nafas dan geleng kepala.

“Kalau dah gaya itu, tinggal bekas ajelah jawabnya…” sindir Puan Maimun.

“Nim sedang check kualiti ni, untuk di QC kan… kalau okay, boleh kita pasarkan ke luar negara produk mak ni,” sahut Hanim.

“Jangan tak menjawab,” desis Puan Maimun.

Hanim tersengih pula. Kelihatan lesung pipit comel menghias pipi gebunya. Mata Hanim bersinar telus melihat emaknya. Jarinya terus menarik kepingan kerepek pisang dan disuap ke mulut lagi.

“Nim, ni mak nak cakap, nasihat first class tau, jangan asyik mengunyap aje, cuba

belajar disiplinkan makan tu… lihat badan kau tu… kau dah anak dara besar dah… kalau makin mengembang nanti, bimbang orang gayat nak masuk meminang,” nasihat campur leter keluar dari bibir Puan Maimun.

“Budak ni tak makan saman mak,” sahut pula Hana yang baru sampai ke bangsal.

“Kalau mak nak tahu, tadi tu kan, pakwe dia… tapi bila lihat dia yang comel ala-ala hipo tu… tu yang budak tu tinggalkan dia,” laju Hana menceritakan segalanya buat Hanim terhenti mengunyap.

Mata Puan Maimun tajam ke arah Hanim. Begitu punya sopan si Aldir tadi, alangkah ralatnya hati. Semua gara-gara Hanim yang montel sihat. Semasa lahir Hanim bukan besar mana pun, tidak sampai tiga kilogram. Cuma tebiat kuat menyusu dan terus terbawa sampai besar kuat makan menjadikan tubuh Hanim tidak dapat dikontrol lagi. Sentiasa montel sepanjang zaman.

“Salahkah jadi montel begini?” tingkah Hanim geram. Matanya kincup menikam Hana.

“Bagi kau tak salah tapi bagi setengah orang rasa tak selesa… menguruskan badan boleh diusahakan Nim, lagipun untuk kesihatan juga. Jangan amalkan makan tak betul cara,” komen berupa nasihat daripada Hana pula.

“Lagipun sekarang ni banyak cara nak kuruskan diri. Itu set senaman akak tu, tak pernah akak lihat kau guna, jeling pun tidak,” bebel Hana.

“Biarlah, bukan Nim minta siapa-siapa suapkan makan, tak siapa mahu pun tak kisah,” juih Hanim.

“Sampai bila?” tempelak Hana.

“Kak Hana yang cantik langsing tu dah ada yang tergoda ke?” tempelak Hanim.

Hana terdiam. Betul juga. Setakat ini dia masih single.Semasa belajar di U dulu adalah pakwe. Kini terpisah, gara-gara bertugas jauh. Dengar khabar pakwenya sudah berkahwin. Hana tunduk beralah.

“Sudah-sudah… jangan berperang pulak di sini, mari cepat tolong mak siapkan kerja ni,” Puan Maimun masuk campur. Tidak mahu anak-anaknya berperang mulut pula. Hanya membuang masa.

Hanim sudah bersila menghadap keladi. Laju sahaja dia mengupas kulit keladi. Kerja yang telah biasa dilakukan sejak kecil lagi. Malas untuk memandang kakaknya Hana yang sudah menghadap ubi kayu. Laju juga Cikgu Hana mengupas ubi kayu. Selaju merait buku sekolah muridnya juga.

Puan Maimun menarik nafas lega. Elok mereka diam daripada bercakap. Kerja boleh laju dilakukan. Dua orang itulah harta yang dia ada. Hana anak pertama. Hanim anak keempat. Anak kedua dan ketiga sudah meninggal dunia bersama suaminya kerana kemalangan motorsikal ketika mengambil mereka pulang dari sekolah sepuluh tahun yang lalu. Buat hati Puan Maimun sayu pilu tiba-tiba.

Bayu pagi bertiup lembut, membuatkan daun nyiur yang berbaris di pinggir halaman melambai-lambai. Seakan cuba memujuk anak-beranak yang punya kisah suka duka masing-masing dalam melalui kehidupan mereka dari dulu hingga ke hari ini. Bunga raya beraneka warna yang berbaris di tepi halaman hingga ke jalan besar kampung juga menari-nari ceria di pagi itu.

Previous: 6. CEMBURUKAH?

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh