Home Novel Komedi/Romantik Komedi SAKITNYA HATI
BAB 8 : Rindu

QISHA Mirza merenung telefon bimbit selepas habis mengajar. Ramai anak muridnya sudah dibawa pulang oleh ibu bapa masing-masing menandakan waktu persekolahan sudah tamat dan kini tibalah masanya untuk Qisha Mirza berehat sebentar.

Entah kenapa, matanya tertumpu pada nama Fulshan. Namun, berat sungguh jari-jemarinya hendak mendail nombor itu mahupun menghantar mesej. Makin lama direnung makin goyah hatinya.

Hisy, macam mana ni? Nak hantar mesej ke tak? Kalau aku hantar, nampak sangat aku rindu kat dia. Tapi kalau tak hantar, jiwa aku yang sakit menanggung segunung kerinduan yang membanjiri lubuk hati aku. Ceh! Bermadah pujangga pulak. Sejak bila kau pandai bermadah-madah, Qisha? Qisha Mirza tersenyum tiba-tiba. Untuk apa sengihan itu, hanya dia sahaja yang tahu.

Kenapalah rindu ni boleh membuak-buak terhadap dirinya? Kenapa dia? Mungkinkah dia ditakdirkan untuk aku? Qisha Mirza mengeluh. Namun matanya masih terlekap pada sebaris nama di dalam telefon bimbitnya.

Egolah kau ni, Qisha. Kalau dah rindu tu hantar ajelah. Terdengar suara hatinya mendesak.

Tapi macam mana kalau dia tak balas? Malulah aku. Tak boleh. Tak boleh! Aku tak boleh terhegeh-hegeh. Sabarlah wahai hati. Qisha Mirza masih menolak kemahuan hatinya untuk menghubungi Fulshan. Dia tidak tahu kenapa jari-jemarinya berat hendak menekan teks walaupun hanya bertanya khabar.

Aku tak boleh terburu-buru, nanti aku jugak yang akan kehilangan semuanya. Wahai hati, sabarlah kau dalam menanggung rindu yang terlalu mendalam, pujuk hati Qisha Mirza sambil menarik nafas dalam-dalam.

Pada waktu yang sama, Fulshan juga sedang merenung nama Qisha Mirza di dalam telefon bimbitnya. Dia ingin sekali mendengar suara Qisha Mirza yang cukup menawan kalbunya namun ego lelakinya melarang keras dia menghubungi gadis itu. Dia amat mengharap agar Qisha Mirza menghubunginya terlebih dahulu. Adakah penantiannya akan berakhir? Hanya ALLAH sahaja yang tahu.

Hisy, kenapa berat sangat aku nak callatau WhatsApp Mirza? Walhal aku lelaki dan tak perlu ada perasaan tu. Dah rindu sangat nak dengar suara dia ni. Hati Fulshan berbolak-balik.

Macam mana kalau aku calltapi dia tak layan? Malulah aku. Aku pun ada maruah jugak. Mirza tu bukan gadis sembarangan. Silap-silap hari bulan aku yang akan ditendangnya. Habis macam mana dengan perasaan aku? Tak boleh! Tak boleh! Aku kena sabar, bisik hati Fulshan, memujuk diri sendiri. Dia yakin sedikit waktu lagi, Qisha Mirza pasti akan jatuh ke dalam pelukan asmaranya.

Wah, bercita-cita tinggi rupa-rupanya Fulshan ini. Hebat. Namun persoalannya, dapatkah dia menawan hati Qisha Mirza yang akan berubah anginnya pada bila-bila masa sahaja? Hanya ALLAH yang Maha Berkuasa sahaja yang tahu apa yang telah direncanakan buat mereka berdua.

Aduh! Sakit betul kepala aku menanggung semua perasaan yang membara dalam hati ni. Kenapalah aku yang terpilih untuk merasakan semua ni? Seksa tahu tak nak menanggungnya, getus Qisha Mirza, masih merenung nama Fulshan di skrin telefon bimbit.

Hisy, astaghfirullahalazim. Tak baik aku merungut macam tu. ALLAH dah bagi aku perasaan ni, sepatutnya aku bersyukur, bukan merungut. Nanti kalau DIA tarik balik, haa... aku jugak yang gigit jari. Ya ALLAH, ampunilah aku. Qisha Mirza beristighfar setelah tersedar daripada kesilapannya.

“Haa... cikgu teringatkan pakwe ya?”

Tersentak Qisha Mirza menerima teguran secara tiba-tiba itu. Dia ingatkan semua anak muridnya sudah pulang, tetapi entah bagaimana Hafinas boleh tersesat dan masih belum pulang. Aduh! Malunya dia dengan Hafinas. Mana hendak diletakkan mukanya? Entah berapa lama Hafinas melihat keadaannya begini. Ya ALLAH, kenapa semua ini harus berlaku pada aku? Qisha Mirza cuba tersenyum sambil memandang si cilik yang comel.

“Hisy, kenapa cakap macam ni? Macam mana Finas tahu yang cikgu teringatkan pakwe?” soal Qisha Mirza, melayan kerenah anak muridnya.

“Hmm...” ujar Hafinas, berfikir seketika.

Gelagatnya itu mengundang senyuman di bibir Qisha Mirza.

“Kakak saya selalu termenung macam cikgu. Lepas tu, dia mesti tengok handphonedan senyum seorang-seorang. Bila saya curi-curi tengok apa yang dia tenung dalam handphone, rupa-rupanya ada gambar pakwe dia. Sebiji macam gaya cikgu,” ujar Hafinas, membuka rahsia kakaknya.

Tergelak Qisha Mirza mendengarnya. Budak-budak zaman sekarang memang cepat matang. Malah kalah orang dewasa.

“Cikgu beritahulah saya, cikgu teringatkan pakwe cikgu kan?” desak Hafinas, ingin tahu.

Hafinas bukanlah seorang budak yang cepat mengalah. Dia akan terus menagih jawapan sehinggalah dia berpuas hati. Begitu juga di dalam kelas, dialah yang paling banyak bertanya dan kadang-kadang pening juga kepala Qisha Mirza untuk membentuk ayat.

“Hisy, cikgu mana ada pakwe. Cuba tengok handphonecikgu ni. Kan dah buruk. Cikgu tengah fikir sama ada nak tukar handphonebaru atau tak,” ujar Qisha Mirza, berdalih.

Tidak mungkin dia akan berkongsi perasaannya dengan si cilik yang baru berusia enam tahun.

Berkerut wajah Hafinas, cuba mencerna apa yang dikatakan Qisha Mirza. Benarkah cikgunya berfikiran begitu atau ada benda lain yang mengganggu hati cikgunya itu?

“Betul ke cikgu tengah fikir nak tukar handphoneaje? Bukan teringat pakwe?” soal Hafinas, masih tidak puas hati.

“Betul. Lagipun, cikgu mana ada pakwe. Dah, jangan nak merepek. Cikgu tak suka dengar Finas cakap macam ni lagi. Cikgu tak ajar Finas cakap macam ni. Nanti ibu bapa Finas salahkan cikgu pulak,” tegas Qisha Mirza sambil membelai wajah Hafinas.

Hafinas hanya mengangguk.

“Saya mintak maaf, cikgu. Saya janji, lain kali saya takkan cakap macam ni lagi,” ujar Hafinas sambil mengangkat tangan, seolah-olah sedang melafazkan janji.

“Baguslah macam tu. Cikgu bangga dengan Finas. Balik rumah nanti jangan lupa ulangkaji pelajaran. Barulah apa yang Finas belajar kat sekolah, Finas takkan lupa semasa balik rumah. Cikgu sayang Finas,” ucap Qisha Mirza, memberi nasihat.

“Saya pun sayang cikgu,” ucap Hafinas lantas memeluk Qisha Mirza membuatkan gadis itu tersentak untuk kali kedua.

Apa kena pulaklah dengan anak murid aku yang seorang ni? Macam-macam betul. Qisha Mirza tidak dapat mentafsirkan perasaannya ketika itu. Terharu, sedih, semuanya bercampur-baur.

“Finas!” laung Puan Shima, ibu Hafinas.

“Saya balik dulu, cikgu. Assalamualaikum,” ucap Hafinas, kemudian mencium tangan Qisha Mirza.

Qisha Mirza membalas dengan melayangkan ciuman di dahi Hafinas.

“Waalaikumussalam. Hati-hati dan jaga diri baik-baik,” pesan Qisha Mirza.

“Baik, cikgu. Bye,” ucap Hafinas sambil melambai-lambaikan tangan.

Qisha Mirza tersenyum. Alangkah bahagianya jika dia juga mempunyai anak seperti Hafinas. Qisha Mirza memejamkan mata seketika apabila keinginan itu singgah di sanubarinya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.