Home Novel Komedi/Romantik Komedi SAKITNYA HATI
Bab 1 : Seminar

Bosannya pegawai pendidikan ni membebel. Tak ada ke pegawai yang agak-agak muda sikit. Barulah bersemangat. Ni, old stock, mana tak mengantuknya aku. Qisha Mirza menguap seketika setelah berkata di dalam hati. Matanya betul-betul sudah tidak tahan hendak terkatup. Bagai hendak diletakkan sahaja biji matanya di atas meja. Itupun kalau boleh diletak.

Kenapa panjang sangat mukadimahnya? Kalau terus ke agenda tak bolehkah? Macam atuk-atuk bila dah mula membebel. Qisha Mirza berusaha dengan lebih keras untuk menyengkangkan matanya dari terus tertutup rapat. Tiba-tiba dia membayangkan pegawai yang berada di hadapannya bertanduk dua, muka berwarna merah, gigi bertaring, perut buncit ke hadapan, tidak berbaju hanya bercawat dan tangan bagaikan sang kelembai sambil memberi taklimat. Qisha Mirza terlepas gelak yang agak-agak kuat dengan imaginasi terlampaunya.

Semua yang berada di dalam dewan itu diam membisu termasuk pegawai yang sedang memberi taklimat. Berpasang-pasang mata sedang menghala pandangan ke arahnya. Dari tergelak kuat, terus Qisha Mirza menikus. Gerun pula dirasakannya apabila mata-mata itu memandangnya terutama sekali daripada pegawai yang tadinya rancak menerang itu dan ini.

Alamak! Kantoi aku. Macam mana boleh terlepas gelak ni? Qisha Mirza menelan air liurnya.

Mati aku! Itulah kau Qisha, bayang lagi yang bukan-bukan. Sekarang siapa susah? Aku juga ... Qisha Mirza menayang wajah darurat minta simpati daripada mereka.

“Hah, awak ... siapa nama? Sila bangun.” Arah pegawai yang masih berdiri di hadapan mereka.

Air liur yang banyak pun mampu menjadi kering apabila disergah begitu di hadapan orang ramai. Dalam takut-takut, Qisha Mirza bangun juga dari terus melekat di kerusi. Riak mukanya benar-benar cemberut.

Aduyai! Memang menempah nahas dengan sengajalah kau, Qisha. Sempat lagi dia berdiskusi di dalam hati.

“Nama saya Qisha.” Janganlah pegawai ni memalukan aku. Aku tak malukan dia pun. Aku malukan dia dalam imaginasi aku saja, tak salahkan kau orang? Qisha Mirza bermohon di dalam hati. Dia tidak sanggup menjadi tontonan ramai di kala itu. Macam terlebih glamour pula dirasakannya.

“Kenapa awak ketawa tadi? Apa yang lucu sangat?” Pegawai itu masih menghala bebola matanya ke arah Qisha Mirza dan kali ini lebih serius.

“Arrr .... errr .... sa .. saya ...” Aduh! Kenapa susah sangat aku nak jawab ni. Dah nak terkencing aku ni walhal taklah sejuk sangat pun. Qisha Mirza tergagap-gagap hendak bersuara. Mata-mata yang memandangnya kini sudah mula mengukir senyuman nakal.

“Saya apa? Mesti awak bayangkan yang bukan-bukan tentang saya kan? Nama saja pendidik tapi tak ada tokoh langsung.” Marah pegawai itu.

Ek’eleh ... mengada betul pegawai kepala botak ni. Mentang-mentanglah pangkat dia lebih tinggi daripada aku. Entah-entah dia dulu lagi teruk dari aku. Siapa tahu, kan ... “Mana ada tuan. Saya bukan macam tu. Tak baik tau tuan tuduh saya tanpa usul periksa. Saya guru cemerlang di sekolah selama tiga tahun, takkanlah saya nak berperangai macam tu.” Qisha Mirza membela dirinya sendiri.

“Saya tak tanya pun. Sudah ... sudah ... duduk dan jangan ulangi perbuatan tadi. Ketawa semasa orang sedang memberi taklimat sungguh kurang sopan.” Pegawai itu malas lagi hendak memanjangkan pertelingkahan yang tidak berapa besar sangat itu.

Qisha Mirza membuat muka sebelum duduk. Ketika hendak duduk, sempat lagi dia menebarkan pandangannya ke seluruh dewan dan ternyata mata-mata mereka masih lagi memandang ke arahnya dengan senyuman sinis. Tiba-tiba pandangan Qisha Mirza terhala ke arah seorang guru lelaki yang berbadan tegap, berkulit putih kuning langsat, berkumis nipis dan di pandangan matanya cukup kacak. Cikgu lelaki itu juga sedang tersenyum memandangnya. Qisha Mirza membalas senyuman itu walaupun hatinya masih sebal.

Selama ni aku berkursus, kenapa tak nampak pun cikgu lelaki tu? Walhal, cikgu pra bukannya banyak sangat pun. Ke aku saja yang buat-buat tak nampak? Boleh tahan kacaknya. Body tu ... buat aku tak tahan. Sila-silap haribulan boleh meleleh aku. Ha ha ha .... Qisha Mirza berbalas kata di dalam hatinya. Wajahnya berseri-seri tatkala terbayangkan guru muda yang agak kacak itu.

Ish ... mengucap Qisha ... mengucap. Apalah yang mengarut ni. Entah-entah orang punya. Baru meleleh sakan kau. Bukan meleleh air liur tapi air mata. Adeh! Qisha Mirza beristighfar panjang di dalam hati. Sudah tersasar jauh dia ini, gara-gara taklimat yang cukup membosankan.

Sebaik sahaja diumumkan waktu rehat bermula, Qisha Mirza terus meluru keluar. Perutnya sudah bergendang lagu rock n roll dan harus diisi. Macam orang kebuluran sahaja lagaknya disaat ini. Walhal, tiap-tiap hari perutnya diisi. Entah apa punya spesis manusia pun tidak tahulah. Part makan jangan dibuat main. Boleh mati katak kalau tak diisi dengan cepat (katak juga yang jadi mangsa. Kalau katak tahu, mahu dia mengadakan persidangan antarabangsa untuk katak-katak sedunia. Kah kah kah). Boleh menggeletar satu badan. Teruk betul manusia bernama Qisha Mirza ini. Mungkin lebih teruk daripada manusia-manusia lain.

“Amboi! Kalau dah makan tak toleh kiri kanan dah. Macam kebulur aku tengok kau ni. Cuba makan perlahan-lahan sikit.” Nursuzry menegur Qisha Mirza yang sememangnya kuat melantak. Apa sahaja di hadapan mata semuanya dicapai. Tapi badannya tetap maintain tidak naik-naik juga. Pelik betul dan itu yang membuatkan Nursuzry sedikit musykil.

“Rezeki depan mata, tak baik dibiarkan. Lebih mulia kalau semuanya digolekkan ke dalam perut.” Balas Qisha Mirza sambil tersengih.

“Ceh! Cakap sajalah yang kau tu kuat melantak.” Nursuzry tidak puas hati.

“Suka hati akulah. Ingatkan kau tak datang kursus ni.” Qisha Mirza mula membuka mukadimahnya.

“Gila tak datang. Karang kena bebel macam-macam dengan pihak pengurusan.” Nursuzry juga enak menikmati hidangan yang disediakan.

“Hehehe ... tulikanlah telinga kau tu, habis cerita.” Qisha Mirza selamba.

“Kau cakap senanglah. Yang tanggung aku, bukan kau.” Begitu juga dengan Nursuzry. Sengih lagi Qisha Mirza.

“Tak sangka semua daerah datang kursus kali ni ya.” Qisha Mirza menukar bentuk perbualan.

“Kau ingat cikgu-cikgu pra ni banyak sangatkah sampai nak pilih-pilih daerah? Sekali kursus semuanya diangkut sekali arung, senang kerja.” Nursuzry masih menyuapkan makanan ke dalam mulutnya. Lagi sengihan daripada Qisha Mirza.

Apabila perut Qisha Mirza sudah betul-betul kenyang dan tiada lagi mendengar sebarang irama muzik yang berkumandang, lehernya pula semakin dipanjangkan ke serata dewan makan itu. Dia ingin mencari kelibat seseorang kerana selama ini bagaimana dia boleh terlepas pandang pada raut wajah itu. Semakin dicari semakin susah pula untuk ditemui. Qisha Mirza sedikit hampa. Namun, dia tidak berputus asa dan pencarian itu bermula semula. Pantang sungguh dia jika perkataan ‘putus asa’ bertandang di dalam dirinya. Dia tidak akan membenarkan.

Nursuzry pelik melihat tingkah Qisha Mirza yang sedikit di luar alam itu dari kebiasaannya. Apa yang dicari? Nampak bersungguh benar. Ermm .... mesti cari stok baru ni. Aku rasa aku tak salah mentafsir sahabat aku seorang ini. Lagu hati Nursuzry berkumandang di dalam hati.

“Kau cari stok barukah dari tadi aku tengok panjang saja leher kau ke sana ke mari?” Panah Nursuzry yang sememangnya tepat mengena batang hidung Qisha Mirza.

Aik? Macam mana dia tahu ni? Ah, Suzry memang cepat belajar. Teori-teorinya dalam ilmu psikik ni tak pernahnya silap. Qisha Mirza mengembang senyuman walaupun tanpa bicara.

“Betulkan, kau cari stok baru? Apa jadi dengan stok-stok lama kau? Dah buang kesemuanya?” Nursuzry masih tidak puas hati selagi soalannya tidak berjawab. Faham benar Qisha Mirza dengan sikap sahabatnya seorang ini.

“Stok-stok lama mana ada dalam simpanan lagi. Semuanya aku dah tendang terus masuk ke dalam bakul sampah. Menjengkelkan saja. Tak nak aku.” Qisha Mirza menayang wajah yang cukup erotik pada waktu itu.

Tergelak Nursuzry dengan perangai pelik sahabatnya ini. Jika berkawan dengan lelaki tidak pernahnya bertahan lama. Kalau lama pun adalah dalam dua bulan lebih. Kemudian, semuanya dihumban ke dalam bakul sampah. Apa dia ingat mereka semua itu anak kucing yang boleh dibuang sesuka hati? Tapi itulah Qisha Mirza, asalkan dia rasa tidak serasi, mulalah dia menunjukkan sikapnya yang cukup-cukup menjengkelkan. Lelaki yang tidak boleh tahan dengan sikap Qisha Mirza akan terus mengangkat kaki. Yang buat-buat tahan pula tidak akan lama. Itulah kehebatan gadis yang bernama Qisha Mirza. Entah bilalah dia akan menemui peminjam kepada tulung rusuk yang sedang diguna pakainya ketika ini. Nursuzry hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya sahaja.

“Mereka tu kenapa?” Soal Nursuzry lagi.

“Mereka semua tu suka mengambil kesempatan. Ada yang berlagak alim taik kucing. Ada yang kaki pengikis dan macam-macam kaki lagilah sampai naik muak aku. Dari aku terperangkap dengan lelaki jenis tu, lebih baik aku cabut awal-awal. Hati pun tenang setenang air di lautan.” Nah! Kalau Qisha Mirza sudah marah, maka ayat-ayat yang diaturkannya akan mulalah panjang lebar bagaikan tidak cukup kertas.

“Dah! Jangan nak mula mukadimah sastera kau tu. Jom solat. Sekejap lagi ada taklimat yang terakhir akan diberi.” Nursuzry yang sudah selesai mengisi perut terus mengajak Qisha Mirza ke bilik mereka untuk mengejarkan solat (kebetulan mereka ditempatkan di dalam satu bilik. Bersorak rianglah Qisha Mirza apabila mengetahui rakan sebiliknya itu. Alhamdulillah).

Mereka beriringan naik ke bilik hotel Bayu Beach Resort yang terdapat di Port Dickson.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.