Home Novel Komedi/Romantik Komedi SAKITNYA HATI
Bab 6: Umi, Qisha dah balik

“Umi! Ucu dah balik.” Laung Qisha Mirza sebaik sahaja dia menjejaki dataran lantai rumahnya.

Rumah dua tingkat milik mereka sekeluarga yang berlokasi di Shah Alam ciptaan walidnya sebelum meninggal dunia akibat serangan jantung secara tiba-tiba. Walid Qisha Mirza sememangnya mempunyai citarasa yang tinggi, almaklumlah seorang arkitek, jadi tidak hairan dia boleh mencipta mahligai seindah ini. Sesungguhnya mereka adik beradik kagum dan bangga dengan bakat unik yang dikurniakan buat walid mereka. Namun sayangnya usia walid mereka tidak panjang dan mereka kehilangan walid yang tercinta sejak usia mereka masih remaja lagi. Pada saat itu memang agak teruk keadaan mereka untuk menerima kenyataan ini, namun berkat kesabaran umi mereka, alhamdulillah mereka adik beradik berjaya mengharungi liku-liku kehidupan ini dengan jaya. Syukurlah.

“Yea ... yea ... mak ucu dah balik.” Si kembar Hawariyen dan Halwani (masing-masing berusia lima tahun) menyambut kepulangan Qisha Mirza pada hari itu.

Baru sahaja Qisha Mirza hendak mendepa tangannya agar dia boleh memeluk mereka, tiba-tiba terpancut keluar sebuah ayat penyata dari bibir comel si kembar itu.

“Mak Ucu, mana hadiah kami?” tanya mereka serentak. Hmm, sudah nama pun kembar, hampir kesemuanya hendak sama. Nasib ... nasib ....

Terjegil mata Qisha Mirza memandang mereka berdua. Sakit hatinya bukan kepalang lagi.

“Cis! Apa punya teruklah anak-anak saudara aku ni? Emak saudara balik penat-penat bukannya nak tanya khabarkah, nak ambik air segelaskah, boleh pula mereka minta hadiah. Ini boleh mendatangkan marah.” Qisha Mirza menghempas beg pakaiannya dan terus menggomoli si kembar berdua itu. Terkekeh-kekeh mereka apabila diagah dan dibuli oleh emak saudara mereka yang agak brutal. Nasib merekalah dikurniakan emak saudara yang sebegini.

“Janganlah mak ucu. Gelilah.” Hawariyen melarikan dirinya dengan menyembunyikan diri di belakang Aina Rahizan yang merupakan kakak kepada Qisha Mirza dan anak kedua di dalam keluarga itu.

“Hah! Muncul pun emak budak-budak nakal ni. Ingatkan pergi meronda dengan meninggal anak-anak dia kat sini.” Qisha Mirza terus menyerang Aina Rahizan. Bercekak pinggang Aina Rahizan mendengar leteran yang keluar dari bibir Qisha Mirza satu persatu. Cukup menyakitkan hatinya.

“Cis! Bertuah punya adik. Bukannya nak peluk cium kita, terus ditembaknya kita dengan peluru kata-kata.” Aina Rahizan juga tidak kurang hebatnya dalam mencantikkan lagi medan peperangan jika sudah tercetus.

“Kak Rahiz tak pandai didik anaklah. Qisha balik bukannya mereka nak tanya khabar, pau Qisha lagi ada. Ini satu pembelajaran yang tidak elok.” Qisha Mirza sudah mula menjadi cikgu di dalam rumah itu.

“Haa ... sudah ... sudah .... jangan nak jadi cikgu pula dalam rumah ni. Cukup di sekolah saja.”

“Dah memang betul, macam mana Qisha nak menyangkalnya. Agaknya bukan budak-budak ni yang harus disekolahkan tapi emaknya dulu harus disekolahkan semula.” Qisha Mirza masih tidak mahu keluar dari medan peperangan itu.

“Umi! Tengoklah Qisha ni. Suka-suka hati saja cakap Rahiz tak pandai jaga anak.” Aina Rahiza mengadu pada Puan Nazrah sekiranya dia sudah kalah di medan peperangan apabila bertarung dengan Qisha Mirza.

“Hmmm .... dah kalahlah tu. Umi takkan membantu Kak Rahiz dalam dunia persekolahan Qisha. Lepas makan nanti masuk kelas. Ada faham?” semakin galak Qisha Mirza mengusik Aina Rahizan. Mencuka masam wajah kakaknya itu.

“Boleh jalanlah.”

“Memanglah Kak Rahiz kena jalan. Takkan Qisha nak kendong kut masuk kelas. Qisha bukan Abang Shaidin tau.” Qisha Mirza menayang sengihan nakal.

“Weh, sudahlah tu.” Aina Rahizan kelihatan agak bengang sangat dengan adiknya di kala itu.

“Mana boleh sudah, selagi Kak Rahiz tak ajak anak-anak kakak menghormati emak saudara mereka yang comel ini.” Berbangga diri pula si Qisha Mirza.

“Hee ... gedik betullah. Ikut perangai siapalah dia sorang ni. Macam-macam pelik ada.”

“Umi! Tengoklah Kak Rahiz kutuk Qisha.” Giliran Qisha Mirza pula melaung nama Puan Nazrah. Begitulah meriahnya rumah batu dua tingkat apabila semua anak-anak Puan Nazrah sudah berkumpul semula dan ditambah pula dengan kehadiran cucu dan menantu lagi meriah dibuatnya. Usik-mengusik sudah menjadi agenda apabila pertemuan di antara mereka berlaku. Kadang-kadang pening kepala Puan Nazrah hendak menenangkan anak mahupun cucunya.

“Astaghfirullahalazim ... apalah kau berdua ni macam budak-budak tak cukup umur. Malulah sikit depan Awa dan Riyen. Ya Allah, kau berikanlah kesabaran buat aku dalam menangani kerenah anak-anak aku ni.” Sampai begitu sekali Puan Nazrah beristighfar sehingga terlucut senyuman di bibir Aina Rahizan dan Qisha Mirza.

“Umi apa khabar? Rindu kat Qisha tak?” Qisha Mirza memeluk Puan Nazrah sesudah puas bergaduh dengan Aina Rahizan.

“Mestilah rindu. Mana boleh tak rindu dengan anak umi yang nakal dan pelik ni. Qisha apakhabar? Bagaimana dengan kursus kali ni?” Puan Nazrah mencium pipi Qisha Mirza bertalu-talu.

“Aih, kutuk nampak? Qisha baik-baik saja di sana. Seronok tau kursus kali ni umi, macam-macam yang Qisha belajar untuk memantapkan lagi pengajaran di sekolah nanti. Kalau Kak Rahiz masukkan umi, confirm dia tak mahu keluar dari kelas Qisha.” Dalam diam-diam sempat lagi Qisha Mirza mengenakan kakaknya itu.

“Aih, pekena aku lagi. Memanglah budak bertuah sungguh. Hmm ... tak jumpa sesiapakah dalam kursus tu?” Melayang satu pertanyaan yang agak nakal dan ekstrem. Tersengih-sengih Aina Rahizan memandang Qisha Mirza. Manakala Qisha Mirza pula menjeling geram. Adatlah bila diri masih bujang memang pertanyaan itu akan terlucut dari setiap bibir puaka. Macamlah sudah tidak ada soalan lain. Teruk betul masyarakat kita ni kan? Hee .. geram sungguh hati Qisha Mirza di kala itu.

“Haa ... mak ucu dah jumpa pak ucu ya?” Halwani pula mengambil giliran Aina Rahizan dengan mengangkat-angkat kening dan mimik wajah yang cukup melucukan. Tergelak Aina Rahizan dan Puan Nazrah memandang ke arah si kecil itu.

Handsome tak pak ucu kami tu? Tunjuklah gambar dia mak ucu. Janganlah sembunyi-sembunyi.” Hawariyen pula mengambil tempat.

Bercekak pinggang Qisha Mirza memandang anak-anak buahnya yang semakin nakal itu. “Amboi! Dah mula nak menggatal pulak ya? Siapa yang ajar ni? Mesti mak kau orang kan? Bukannya dia orang nak hafal ABC tapi menghafal benda lain pula. Elok sangatlah Kak Rahiz ajar anak-anak macam ni.” Tempelak Qisha Mirza.

“Eh ... eh ... sekejap ya. Kak Rahiz tak ajar mereka tau cakap macam tu. Mereka belajar dari tv agaknya.” Aina Rahizan membela dirinya.

“Alah, mak ucu ... kami dah lama nak tengok pak ucu. Tunjukkanlah.” Rengek Hawariyen.

“Mana ada. Mak ucu belum jumpa pak uculah. Teruk betullah cucu umi ni. Dah ... dah .. siapa nak hadiah? Jom ikut mak ucu.” Qisha Mirza cepat-cepat tukar topik. Nasib baik dia sudah menyediakan umpan, jika tidak akan berpanjanganlah ayat penyata yang tidak mempunyai kesudahannya ini. Baru berumur lima tahun tapi sudah berlagak macam orang dewasa. Huh!

“Amboi umi, kalau masuk bab pakwe, cepat saja dia tukar tajuk. Pandai pulak tu dia sediakan umpan awal-awal.” Aina Rahizan mengadu pada Puan Nazrah.

Puan Nazrah hanya tersengih kerana dia faham benar akan sikap Qisha Mirza yang akan mengelak apabila soal jodoh diutarakan. Bukannya anak bongsunya itu tidak cantik tetapi tidak tahulah di mana silapnya sehingga Qisha Mirza sukar untuk mendapat jodoh yang serasi. Ada sahaja alasan yang diberikan untuk menolak lelaki yang baru hendak bertapak di dalam hatinya. Puan Nazrah hanya mampu berdoa agar suatu hari nanti Qisha Mirza akan bertemu dengan lelaki yang secocok dan yang telah dijanjikan buatnya oleh Allah swt sejak dia dari dalam rahim lagi.

“Nak hadiahkan tak nak? Kalau tak nak tak apa, Qisha bagi semuanya pada Kak Isfa.” Qisha Mirza sedikit mengugut.

Aina Rahizan menayangkan mimik muka tidak puas hati apabila bahagiannya hendak diberikan kepada kakak iparnya Isfaten iaitu isteri kepada abang sulung mereka yang bernama Fariq Hazen. Minggu ini Fariq Hazen belum menampakkan mukanya lagi. Mungkin akan datang dalam sehari dua untuk menjenguk Puan Nazrah dan si nakal Qisha Mirza.

“Buruk perangai. Kak Rahiz naklah.” Aina Rahizan terus menyerbu ke ruang tamu di mana Qisha Mirza sedang mengagih-agihkan hadiah yang dibeli ketika berkursus di Port Dickson. Begitulah Qisha Mirza yang tidak pernah sunyi dari membeli buah tangan jika dia keluar berkursus di mana-mana.

Sambil membahagikan hadiah, sambil mulut becok Qisha Mirza bercerita mengenai kursus yang dihadirinya. Namun nama Fulshan terus tersimpan kemas di dalam sudut hatinya. Belum confirmmana boleh cerita banyak-banyak.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.