Home Novel Komedi/Romantik Komedi SAKITNYA HATI
Bab 4 : Aktiviti Cermin Emosi

Aktiviti yang dijalankan agak menarik. Buat aktiviti yang pertama ini diberi nama Cermin Emosi.

“Cermin emosi merupakan luahan perasaan para pelajar di saat itu. Apa sahaja yang terpamer, itulah emosi mereka. Anda sebagai guru mereka harus bijak mentelaah emosi-emosi yang terpancar pada riak wajah mereka. Sekarang, sila pilih pasangan di dalam kumpulan untuk melakukan aktiviti ini.” Penjelasan serta arahan daripada pegawai yang membimbing mereka pada hari itu.

Aduh! Apa punya malanglah nasib aku. Kenapa aku tak sempat sambar pasangan perempuan aku. Ceh! Sekarang ni aku terpaksa berpasangan ....

“Nampaknya hanya saya dan awak sahaja masih tidak mempunyai pasangan. Jadi, mahu atau tidak, awak terpaksa menjadi pasangan saya untuk aktiviti hari ini.” Fulshan menawarkan khidmat berserta dengan senyuman yang teramat manis.

Oh. Tidak! Aku tak mahu berpasangan dengan dia ... Hendak menjerit pun sudah tidak berguna lagi kerana Fulshan sudah pun duduk menghadap Qisha Mirza. Manakala Nursuzry yang mengintai temannya itu, hanya mengembangkan sengihan sambil mengangkat-angkatkan keningnya menambahkan kebengkakkan hati Qisha Mirza di kala itu.

Sialan kau, Suzry! Perli akulah tu. Memang malang betullah nasib aku dalam kursus kali ni. Cait! Qisha Mirza terpaksa membungakan senyumannya yang kelihatan cukup hambar. Dia tidak tahu bagaimana hendak memaniskan lagi kuntuman bunga yang sedang kembang itu. Hambar sungguh bagaikan bunga tahi ayam.

Pada sesi awal, Fulshan yang harus meluahkan emosinya ketika ini dan Qisha Mirza terpaksa meniru apa yang sedang jejaka itu lakukan pada mimik mukanya. Tergelak-gelak Qisha Mirza apabila diminta oleh pegawai bertukar mimik muka. Kelakar sungguh tapi cukup-cukup enjoy. Langsung tidak membosankan. Dia pasti akan praktikkan apa yang dipelajarinya di sini ketika berada di sekolah nanti. Pasti budak-budaknya akan gemar akan permainan ini untuk merehatkan minda mereka sesudah penat belajar.

Tiba giliran Qisha Mirza pula yang meluahkan emosi menerusi mimik muka dan kali ini Fulshan terpaksa mengikut apa yang sedang dilakukan oleh Qisha Mirza. Yang paling seronok adalah ketika waktu bertukar mimik muka dan Fulshan sering kali terlewat menyedarinya membuatkan mereka tergelak tidak ingat orang di sekeliling. Bukan mereka sahaja yang melalui situasi itu tetapi rakan-rakan yang lain juga turut merasainya dan melantunkan ketawa masing-masing.

“Seronokkan sesi mencerminkan emosi ni? Memang relaks dan enjoy.” Fulshan mengail reaksi Qisha Mirza dan gadis itu hanya mengangguk.

“Pasti budak-budak saya sukakan permainan ni. Tak sabar rasanya nak test power pada mereka.” Qisha Mirza sudah membayangkan bagaimana para pelajarnya akan ketawa sebagaimana diri mereka di sini.

“Haah, sesekali bagi mereka seronok dengan aktiviti yang kita rancangkan buat mereka. Barulah tak stress menghadapi pelajaran.” Sokong Fulshan.

“Setuju. Bukan senang nak handle kerenah budak-budak tu. Macam-macam ragam. Jadi, guru pra sekolah memang kena banyak bersabar. Kalau tak sabar, silap-silap haribulan, kita yang jadi penghuni hospital bahagia.” Qisha Mirza meluahkan apa yang dirasakannya secara tidak sengaja. Sebenarnya dia tidak sedar bagaimana boleh berkongsi rasa dengan jejaka itu.

“Ha ha ha, awak ni, kelakar juga orangnya, Mirza.” Fulshan tidak dapat menahan ketawanya dari terus terluah.

Erk! Suka-suka hati dia saja nak panggil aku Mirza. Ingat aku ni somebody specialkah? Baru kenal tak berapa jam, dah nak guna panggilan asing daripada yang lain. Jual minyak urat betullah dia ni. Qisha Mirza menayang riak wajah yang tidak senang. Mudahnya Fulshan mengoratnya. Tidak ada thrilllangsunglah.

Sabar Qisha, dia belum kenal siapa kau. Biar dia ingat kau senang dihampiri tapi sebenarnya cukup sukar untuk ditangkap. Ha ha ha, baru ada akal. Dia ingat aku ni apa? Barangan cheap sale di Tesco? Boleh jalan. Gerutu hati kecil Qisha Mirza.

Fulshan yang baru tersedar akan perubahan riak wajah Qisha Mirza tidak seriang tadi, mula menggelabah. Dia tahu dia terlalu awal untuk memulakan langkah. Rupanya Qisha Mirza tidak semudah yang disangka. Nampak sangat ketidakselesaan wanita itu.

Alamak! Aku dah tersilap langkahlah. Memang bongoklah kau ni, Shan. Baru nak kenal, kau dah spoilkan apa yang dirancang. Kalau orang lain, cepat saja tergoda dengan aku, tapi dia ni ... pesal lain sangat? Tingkatkan usaha kau, Shan. Jangan cepat mengalah. Pelan-pelan aku tuang air ke atas kerak nasi yang keras ni, Mudah-mudahan akan jadi lembut secepatnya. Fulshan memotivasikan dirinya. Namun pandangannya tidak beralih dari melekat terus ke raut wajah Qisha Mirza yang bagaikan keibuan itu. Dia terpaut pada riak wajah yang cukup ayu, sentiasa tenang dan sedikit kelakar kerana itu mampu membuatnya ketawa dan tersenyum sepanjang berada di samping gadis ini.

“Awak marah saya ya?” Fulshan cuba memujuk setelah sesi pertama selesai dan kini menanti sesi kedua.

“Atas sebab apa saya mesti marahkan awak?” Qisha Mirza masih menayang wajah kelat. Nasiblah, siapa suruh buat sesuatu yang dia tidak suka. Pelik betul hatinya, walhal semalam dia sendiri tergila-gilakan seraut wajah itu tapi hari ini cepat sungguh hatinya berubah. Kenapa ya? Dia sendiri tidak mempunyai jawapan kerana itulah dirinya yang sebenarnya. Gila, kan?

“Sebab saya panggil awak, Mirza. Awak nampak tak selesa.” Fulshan masih tidak putus asa untuk terus mengail perhatian Qisha Mirza.

“Sebab apa awak panggil saya Mirza?”

“Kerana saya suka nama terakhir awak.”

Ya sangatlah tu. Macamlah aku tak tahu, kau nak asingkan panggilan orang lain dan kau pada aku. Kutuk Qisha Mirza lagi. “Terpulanglah.” Qisha Mirza terus bangun dan pantas menghampiri Nursuzry sesudah perlepasan diberikan kepada mereka untuk makan tengah hari. Betul-betul macam lipas kudung, tidak sempat Fulshan menjejakinya.

“Hmm, nampak gayanya tak lama lagi kawan aku dah jumpa dengan peminjam tulang rusuknya. Macam dah terbau-bau nak makan nasi minyak.” Usik Nursuzry. Mencebik Qisha Mirza yang mendengarnya.

“Kau jangan merepek boleh tak? Entah siapa-siapa dia tu, kau nak kenen-kenenkan dengan aku. Takkan baru kenal dah jatuh cinta? Tak logiklah.” Qisha Mirza menjelir lidahnya sambil memasukkan lagi makanan ke dalam perutnya yang masih lapar.

“Eh, cinta pandang pertama. Logik apa? Kau jangan nak menolak apa yang telah ditetapkan.” Nursuzry tidak mahu Qisha Mirza menolak Fulshan mentah-mentah sebelum perkenalan ini berkembang menjadi lebih erat. Kawannya ini bukan boleh diharap, silap-silap haribulan dia tendang Fulshan ke dalam tong sampah yang sudah bertimbun makhluk spesis Fulshan juga.

“Entah-entah dia tu laki orang, tunang orang, pakwe orang. Nanti tanpa berdosa, aku yang dituduh perampas. Tak naklah. Lebih baik mencegah dulu sebelum jatuh sakit dengan parah. Faham?” Qisha Mirza masih tetap dengan pendiriannya.

“Itu sebabnya, aku suruh kau kenal dia dulu. Barulah kau akan tahu dia tu siapa sebenarnya. Kalau benar seperti apa yang kau cakap, chowlah. Tunggu apa lagi.” Nursuzry menuang air penyejuk membuatkan Qisha Mirza berfikir semula. Betul juga apa yang dikatakan oleh sahabatnya itu. Tidak ada salahnya mengenali Fulshan sebelum dia menambahkan lagi dosa kering dengan mengkalungkan pelbagai tuduhan.

“Tengoklah dulu.” Bosan hendak memikirkan tentang lelaki.

“Jangan tengok saja, terus kawan.”

“Huh! Dia pula excited. Suka hati akulah. Dah, jom solat. Kejap lagi ada sesi kedua pula.” Qisha Mirza mengatur langkah dengan laju menuju ke bilik hotel mereka. Dia ingin berehat sekejap sebelum berhadapan dengan Fulshan dan kumpulannya semula.

Sesi kedua berlangsung. Kali ini mereka dikehendaki melukis dan mewarna gambar di atas sekeping kertas kajang, kemudian bercerita mengenai apa kisah yang dilukiskan di dalam Bahasa Inggeris. Menurut kata pegawai mereka, cara ini untuk meningkatkan komunikasi di dalam bahasa itu di kalangan para pelajar pra.

“Saya tak reti lukis.” Qisha Mirza bersuara apabila mereka berada di dalam kumpulan semula.

“Biar saya yang lukis. Tapi kita kenalah bincang cerita apa yang hendak kita persembahkan.” Fulshan menatap wajah seorang demi seorang di dalam kumpulannya tetapi melekap lama apabila tiba pada wajah Qisha Mirza. Hatinya semakin lama memandang gadis ini semakin tertarik. Entah apalah ilmu yang Qisha Mirza pakai sehingga dia melekat terus.

Seketika kemudian, mereka terus berbincang dan memulakan tugas mereka sehingga lewat malam. Pembentangan akan berlangsung seawal pagi. Masing-masing memang komited pada tugasan yang diberikan kepada mereka. Guru mithali.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.