Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Cantik?
Bab 30

Bab 30

 

 

Mak Jah terasa letih apabila diekori ke sana ke mari oleh Rima. Sufiah gelihati melihat telatah adiknya yang kadang-kadang masih keanak-anakan. Entah apa lagi yang mahu diluahkan oleh Rima. Sudahnya Mak Jah duduk di muka pintu supaya angin dari luar dapat menyegarkan badannya. Rima turut melakukan perkara yang sama.

“Maksu, nak duduk tengah.” Fina menguak sedikit badan Rima supaya Rima beralih ke tepi. Fifi pula terjengah-jengah mencari ruang. Bila tidak ada ruang yang besar, Fifi berpatah balik mendapatkan Sufiah.

“Alaaa, budak kecik tak payah sibuk sini. Pergi kat umi Fina sana.” Rima menolak badan Rima ke belakang. Fina menjelirkan lidah lalu Rima membalasnya.

“Maksu kedekut!...Fifi, jom kita main kat bawah. Kita jangan kawan maksu.” Fina menarik tangan Fifi, Fifi hanya mengikut tanpa banyak soal. Rima mencubit perlahan paha Fina. Fina menjelirkan lidah sekali lagi. Rima ketawa kuat.

“Nenek...nak lalu.” Pinta Fina. Mak Jah angguk lalu ke tepi sedikit.

“Nenek...nak lalu.” Ajuk Rima.

“Isyyy...macam budak-budak kamu ni adik. Kamu tu cikgu, kan...janganlah macam tu,” tegur Mak Jah. Rima tersipu.

 “Adalah benda penting adik nak cakap tu bu, semacam aje.” Teka Sufiah yang sudah duduk di belakang Mak Jah.

 Rima memaut lengan Mak Jah. Dia sedang memikirkan kata-kata yang sesuai untuk meluahkan persoalan di hatinya. Pendapat ibu dan kak longnya mesti diambil kira. Maklumlah sudah banyak garam yang mereka makan berbanding dirinya. Mereka lebih tahu untuk membezakan di antara garam laut dan garam gunung. Sudah tentu masinnya tidak sama.

“Bu, kak long...adik kan...ishhh, nak cakap macamana ya bu?”

“Cakap ajelah.” Sahut Mak Jah.

 “Ada orang nak pinang adik, bu...kak long.” Jelas Rima malu-malu suka.

“Ya ke adik?...tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba aje. Bila masa pulak kamu ni berkawan dengan budak lelaki? Kamu bercinta ke adik?” Bertubi-tubi pertanyaan yang keluar dari mulut Mak Jah. Dia tidak menyangka sama sekali, Rima yang anti lelaki tiba-tiba ada orang yang mahu meminangnya.

“Siapa orangnya?...kak long kenal tak?” soal Sufiah pula.

Serentak dengan itu menjelma lagi muka Sulaiman. Biarpun hanya sekali dua mereka terserempak di gerai ABC gunung tapi entah kenapa Sulaiman yang melekat di hati. Seperti ada gam kuat yang melekatkan Sulaiman di hati Rima. Empat tahun tanpa ada khabar berita di antaranya dan Sulaiman sudah cukup untuk memberi ruang kepada Sulaiman untuk berubah hati.

Hakikat yang berlaku bukan begitu. Walaupun mereka tidak nampak seperti orang yang sedang bercinta tapi masing-masing telah cuba untuk setia pada suatu perkara yang belum pasti. Seperti ada sesuatu yang mengikat hati mereka. Mungkin itulah yang dinamakan pertalian hati. Bercinta? Perkara yang satu itu Rima tidak pernah pasti. Suka itu samakah dengan cinta?...entahlah. Sudah tergadaikah pendirian dan prinsipnya?...hmmm, tidak juga. Mungkin sudah tiba masa untuk semua itu kerana umurnya sudah dewasa. Dewasa?...mungkin! Kalau itulah cinta...wahhh, manis rasanya. Indah!

“Mulalah angan-angan tu...penat kak long dan ibu tanya, dia dok senyum sorang-sorang. Dah angaulah tu.” Sufiah menepuk bahu Rima yang sedang melamun. Mak Jah menggeleng melihat anak kesayangan yang seorang itu. Rima ketawa.

“Tak angan-anganlah...tiba-tiba teringat aje.” Dalih Rima.

“Siapa budaknya, adik?” soal Sufiah lagi yang teruja mahu tahu.

“Sulaiman.” Ujar Rima suka.

“Sulaiman aje?...siapa Sulaiman tu? Tinggal mana? Siapa mak ayahnya? Kerja apa? Umur dia berapa?” Berjela-jela soalan Sufiah. Mak Jah angguk-angguk setuju. Mereka perlu tahu itu semua. Rima gelisah. Serba tidak kena. Betul juga kata mereka, siapa sebenarnya Sulaiman? Haaa...galau!

“Errr...ha,ah, kak long. Nama dia Sulaiman...yang lain-lainnya adik tak tau.” Jawapan Rima membuat Mak Jah dan Sufiah berpandangan.

“Sulaiman kata, kalau adik setuju dia akan masuk meminang.” Tambah Rima ragu-ragu.

“Adik...adik...mana boleh nak bertunang cuma dengan tau nama dia. Sekurang-kurangnya kena tau juga kat mana dia tinggal, atau siapa keluarganya.” Nasihat Mak Jah.

“Hmmm...macam tu ke bu?...tapi dulu ibu tak kenal ayah pun masa nak kahwin dengan ayah.” Terlintas di kepala Rima tentang situasi ibunya pada waktu itu.

 “Iya...kami memang tak kenal tapi atuk nenek ayah dan atuk nenek ibu saling kenal. Mereka yang jodohkan kami.” Mak Jah menjelaskan. Kasihan pula Sufiah melihat Rima. Sudahlah dia tidak mudah untuk sukakan kaum Adam, bila sudah suka ada pula yang tidak kena. Tentu Sulaiman sangat istimewa pada mata Rima, kalau tidak masakan Sulaiman boleh bermukim dalam hati adiknya itu.

“Alaaa, susahnya bu,” keluh Rima.

 “Nak satukan dua keluarga memanglah susah, adik. Bukan macam buat jemput bilis. Mana tau dia dah ada isteri ke...adik nak ke jadi nombor dua?” usik Mak Jah.

 “Ibu niii...takut-takutkan adik aje...kak long, adik suka dialah.” Akhirnya terluah juga rahsia hati Rima. Sufiah tumpang gembira tapi dia juga risaukan Rima yang tidak tahu banyak perkara lagi tentang Sulaiman. Sufiah tidak mahu Rima terpedaya. Dalam dunia ini macam-macam perkara boleh terjadi.

 “Adik fikir habis-habis dululah. Ambik tau sikit siapa keluarganya. Ini tidak, umurnya pun adik tak tau. Kan kelakar tu.” Komen Sufiah pula.

“Alahai...kan adik dah pening dah,” keluh Rima.

 Dari halaman depan rumah kedengaran suara Juki memberi salam. Mak Jah segera membalas salam lalu memberitahu Juki mereka sedang duduk di muka pintu dapur. Mendengar suara Juki, Rima terasa mahu beredar dari situ. Malangnya hajat hatinya tertahan-tahan. Akhirnya punggungnya tetap melekat di situ.

“Nek ngah, mak long, adik...sihat ke semua?” tanya Juki lalu duduk di atas pangkin di tepi tangga.

“Semua segar aje ni...kamu tak kerja ke Juki?” jawab Mak Jah lalu bertanya Juki pula.

“Ambil cuti tahun, nek ngah.”

 “Wah, semakin handsome mak long tengok kamu ni Juki. Mesti senang hati, dahlah gaji besar.” Usik Sufiah. Juki ketawa. Rima buat-buat tidak dengar.

 “Alhamdulillah mak long...adalah sikit-sikit. Kalau nak kahwin dah kira lepaslah. Cuma tunggu persetujuan masuk meminang aje.” Mendalam sungguh kata-kata Juki. Matanya menjeling Rima sebentar. Tersentap Rima. Baru dia teringat semula janji Juki yang akan meminangnya selepas habis pengajian. Alamak, apa hendak jadi? Dug dan dug dag dada Rima. Tidak berani untuk dia memandang Juki.

“Dah ada calonnya ke?” soalan Mak Jah untuk Juki membuat telinga Rima yang agak capang terasa panas. Terasa bergerak-gerak.

“Yang tu kena tanya adik.” Balas Juki selamba. Kuuu semangat, kali ini Rima terasa mahu melompat dari tangga dan menumbuk muka Juki kuat-kuat. Nasib baik zaman kenakalannya sudah berlalu, kalau tidak mahu setengah pengsan Juki diajarnya. Sedap-sedap saja dia berkata begitu. Tapi...huuu, dia pernah berjanji akan cuba memberikan hatinya pada Juki. Janji di bawah pokok pulasan. Sudahnya Rima jadi serba-salah.

 “Siapa, adik?” pertanyaan beralih kepada Rima. Rima menjeling Juki dengan tajam. Sempat juga Juki bermain mata.

“Apa pulak tanya adik...manalah adik tau. Juki ni pandai-pandai aje!” Mujur Suhana tidak ada, kalau tidak akan terbongkarlah rahsia.

 “Kalau adik malu nak cakap, Juki yang cakap ya nek ngah.” Tanpa Rima duga, Juki sudah seberani itu. Apalah yang hendak dikatakan oleh Juki? Rima semakin tidak tentu arah. Hal dengan Sulaiman belum selesai, Juki pula mahu mencari fasal.

“Suspen mak long dengar...cakaplah cepat, nak tau ni.” Sufiah beria-ia hendak tahu.

“Juki...Juki suka Rima...kalau boleh nak ambil Rima jadi isteri Juki.” Biarpun nampak berani, tersekat-sekat juga suara Juki. Maklumlah perkara itu bukan satu perkara kecil. Mak Jah ternganga. Sufiah terlopong. Rima seperti mahu berpencak silat supaya dapat mematah-matahkan tulang-tulang Juki. Kenapalah Juki tidak berbincang dengannya terlebih dulu? Bukankah janjinya untuk ‘cuba’ memberi hati? ‘Cuba’ itu bukan tanda setuju!

Mak Jah dan Sufiah sama-sama merenung Rima. Dari atas ke bawah, dari bawah ke atas. Mereka jadi pening. Siapa sebenarnya yang Rima suka? Dengan siapa Rima mahu bertunang? Boleh tahan juga Rima, dalam tidak sukanya berkawan dengan lelaki tiba-tiba ada dua lelaki yang mahu meminangnya.

“Janganlah pandang adik macam ni...adik tak salah pun!” rengek Rima. Terasa mahu menangis pun ada juga. Kemudian Mak Jah dan Sufiah memandang Juki pula. Juki hanya tersenyum suka. Dia tidak tahu Rima sedang mahu menelannya. Kalau boleh mengunyahnya hidup-hidup.

“Kamu ni main-main ke betul-betul Juki?” Sekali lagi Sufiah bertanya, dia tidak puas hati. Takut Juki sekadar main-main. Pandangan Sufiah dan Mak Jah tertumpu kepada Juki.

“Takkan Juki nak main-main dalam perkara macam ni.” Tegas Juki.

“Kamu adik?” soalan beralih kepada Rima pula dan pandangan mereka pun tepat ke muka Rima.

“Apa pulak adik! Adoi!...apa ni? Kan adik dah kata adik tak tau apa-apa.” Tidak tahu lagi apa yang Rima mahu katakan. Kepalanya sudah pusing. Kenapalah Juki mahu lakukan perkara yang sama seperti apa yang Sulaiman mahu lakukan. Sudahlah begitu, waktunya juga sama. Rima hanya ada seorang. Tidak boleh dibelah atau dibahagi kepada dua bahagian.

“Biasalah nek ngah, mak long...adik malu tu.” Ujar Juki dengan yakin. Mak Jah dan Sufiah terangguk-angguk. Seperti kena pukau. Spontan saja.

‘Jukiii!..geramnyaaa!” jerit Rima dalam hati.

Penat sungguh mahu berdepan dengan Juki lebih lama lagi. Bukan dia tidak menghargai Juki tapi caranya tidak kena. Boleh sakit jiwa Rima dibuatnya. Hendak dimaki, kasihan pula. Sejak kecil Juki sukakannya, itu bukan salah Juki. Setelah remaja pun Juki masih suka, itu juga bukan salah Juki. Sekarang ini setelah bekerja Juki tetap suka, masih juga bukan salah Juki. Soal hati bukan urusan manusia. Ia sukar difahami. Bila rasa sayang itu sudah disalurkan ke hati, ia akan terus melekat dan susah untuk dihumban lagi.

“Juki...” Akhirnya Rima bersuara juga. Mak Jah dan Sufiah ternanti-nanti apa yang Rima mahu katakan. Adakah ia selari dengan apa yang sudah Juki ucapkan.

“Ada apa, adik?”

“Kita ke laman kejap...adik nak cakap sikit. Jom!” Rima menuruni tanggan, menyarung selipar lalu berjalan ke halaman depan rumah. Juki mengekori perlahan. Sekali lagi Mak Jah dan Sufiah berpandangan. Mereka bingung memikirkan apa sebenarnya yang sedang terjadi di antara Rima dan Juki. Mereka tidak pernah tahu Juki telah begitu lama menyimpan hati terhadap Rima.

“Juki...susah adik nak cakap.”

“Kenapa adik? Adik tak suka ke apa yang aku cakap tadi?” tanya Juki dengan rasa tidak sedap hati. Kerut muka Rima saja sudah membayangkan satu perkara yang tidak disenangi Juki akan disuarakan oleh Rima.

“Juki, adik terkejutlah jugak bila tiba-tiba ko cakap gini kat ibu. Patutnya ko bincanglah dulu dengan adik. Benda ni bukan hal kecik, tak boleh buat main-main.” Tegur Rima. Juki tunduk dengan sedikit kecewa.

“Engkau masih tak dapat terima aku ke adik?” Kekecewaan Juki jelas kedengaran.

 “Haaa...ermmm...adik sayang ko macam sayang sorang adik kat abang dia. Bukan adik tak cuba...dah cuba dah tapi perasaan adik tetap sama. Cubalah lupakan adik. Juki bukan tak lawa, kerja pun bagus, baik lagi. Tentu ko akan jumpa jugak perempuan yang sesuai dengan ko nanti.” Pujuk Rima dengan lembut. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu Juki berkecil hati.

Daripada berdiri Juki terus bertinggung di bawah pokok Ciku. Badannya lemah tiba-tiba. Setelah empat tahun menanti, jawapan dari Rima masih tetap sama. Ia sakit untuk didengar dan perit untuk ditelan. Terlalu susahkan untuk Rima mengubah hatinya, daripada sayang sebagai saudara kepada sayang sebagai kekasih? Mata Juki mulai panas. Inilah satu perkara yang paling Juki tidak suka apabila berdepan dengan Rima. Tiba-tiba saja dia akan bertukar menjadi lelaki yang cengeng. Padahal selalunya dia sangat kedekut dengan air mata.

“Adik! Kenapa buat aku macam ni? Aku tak dapat terima. Aku sayang sangat kat engkau.” Getaran suara Juki jelas kedengaran. Hanya air matanya yang sedang dikerah supaya jangan keluar. Amaran otak kepada air mata, usah beri malu kepadanya.

Rima diam. Dia hanya mampu memandang tanah. Ada air mata di penjuru kedua belah matanya. Ayat terakhir Juki amat menyentuh hatinya. Hilang lenyap rasa marahnya terhadap Juki sewaktu di tangga tadi. Tidak berbaki walau sedikit. Rima terharu dan rasa kasihannya muncul lagi.

Apa yang harus dilakukan? Kalau dia bersetuju untuk peminangan Juki, bagaimana dengan Sulaiman? Juki sudah dikenali sejak kecil dan Rima amat kenal Juki. Sulaiman pula hanya baru sekali berjumpa secara tidak sengaja dan masih belum diketahui asal-usulnya...tapi Sulaiman mampu setia.

‘Adik sayang Sulaiman!’ desis Rima. ‘Sayang?...adik ke yang kata tu?’ bisikan hatinya sendiri telah mengejutkan Rima. Hatinya telah mengakui bahawa dia sayangkan Sulaiman. Semuanya semakin rumit.

“Kita lupakan dulu soal bertunang ya Juki. Kita beri masa pada diri masing-masing untuk kerjaya kita. Macam yang Juki tau, kan adik baru mengajar. Gaji bulan pertama pun belum rasa lagi. Banyak benda adik nak buat. Nak senangkan ibu, ayah, nak beli motosikal pink. Nak jadi cikgu yang berjaya.” Hanya itu dalih yang mampu Rima beri. Dia tidak mampu untuk memikirkan alasan yang lebih baik lagi.

“Alasan...,” sungut Juki tanpa sengaja dek hatinya yang sedang galau.

 “Jukiii...janganlah macam ni. Adik nak balas jasa mereka. Lagi satu, pasal motosikal pink tu...dari kecik adik dah tergila-gilakan benda tu. Ko pun tau kan.” Ulang Rima.

“Dah kahwin pun masih boleh balas jasa mereka. Aku pun suka sebab mereka tu bukan orang lain, saudara aku jugak. Motosikal tu pulak...aku boleh belikan untuk engkau. Kalau engkau nak, sekarang ni aku boleh beli.” Balas Juki agak beremosi.

Sudahnya Rima melepaskan keluhan panjang. Dia selalu mati kutu bila berdepan dengan Juki. Sekarang ini Juki agak sukar untuk menerima pakai alasannya berbanding empat tahun dulu. Mungkin sebab sudah lama Juki bersabar dengan setiap alasan yang Rima beri.

‘Adik ni bukan cantikkk! Carilah orang yang lebih cantik dari adikkk! Adik dah pening niii!’ Rima hanya mampu menjerit-jerit dalam hati untuk melepaskan tekanan dalam diri.

‘Adik...bukan aku tak cuba untuk lupakan engkau tapi aku gagal. Kenapa engkau tak nak pergi dari hati aku? Kalaulah engkau tau, dah puas aku halau tapi engkau degil...masih jugak nak duduk dalam hati aku!’ bisik Juki pula. Juki tidak pasti siapa yang sedang dimarahi. Dirinya sendiri ataupun Rima. Akhirnya dia juga pening, seperti peningnya Rima.

“Aku balik dulu.” Tiba-tiba Juki mengambil keputusan yang difikirkan wajar. Tidak guna untuk berada lebih lama di situ kalau masih tidak mendapat apa-apa keputusan daripada Rima.

“Jukiii...” Rima serba-salah tapi dia tidak berupaya menahan. Juki terus berlalu tanpa menoleh ke arah Rima lagi.

 Dari sebalik daun pintu empat pasang mata yang asyik memerhati Rima dan Juki sejak awal tadi turut beredar dari balik pintu. Mak Jah dan Sufiah telah mencuri-curi dengar walaupun suara Rima dan Juki hanya kedengaran tenggelam-timbul. Sudahnya mereka masih tidak dapat memahami apa-apa.

“Maksu!” Fina dan Fifi yang asyik bermain di halaman menghampiri Rima. Rima senyum kelat lalu memimpin kedua-dua anak kecil itu. Mereka naik ke atas rumah semula.

Previous: Bab 29
Next: Bab 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.