Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Cantik?
Bab 7

Bab 7

Rima mengunci pintu dari dalam. Malam itu dia hanya terperap di dalam bilik tanpa ada hati untuk duduk-duduk di atas pangkin bawah rumah seperti biasa. Makan malam berlaukkan sup ketam kegemarannya juga gagal menarik minatnya untuk sama-sama makan bersila dengan Pak Nuar dan Mak Lijah di atas tikar mengkuang yang terhampar di lantai dapur.

Rima melompat dari atas katil menuju ke cermin muka yang tersangkut pada dinding papan di bilik tidurnya. Ditelek mukanya beberapa kali. Rima menggeleng dan mengangguk-angguk sendiri. Serius. Dia cuba mencari keistimewaan di dalam dirinya. Tidak nampak. Kata-kata Asmah dua hari lepas masih terngiang-ngiang di telinganya. Bila nak jadi dewasa? Huh!

“Macam mana nak jadi dewasa? Kena panjangkan rambut ke? Hari-hari pakai baju perempuan? Atau mesti pandai masak dan buat kerja rumah?” dia bertanya pada dirinya sendiri yang sedang berada di dalam cermin.

 “Susahnya! Kak long dan kak ngah boleh buat, kenapa adik tak boleh? Agaknya semua orang tak suka adik.” Rima masih mengajak cermin muka itu bercerita. Malangnya tidak ada sahutan. Gerakan tubuh dan mimik mukanya serta bayangan di dalam cermin masih sama. Rima menarik nafas. Kecewa.

“Ita pun belum dewasa jugak tapi kenapa tak ada orang yang kisah? Hmm, agaknya sebab Ita tak nakal macam adik. Ita tak suka memanjat dan tak susahkan orang lain.” Andaian demi andaian dibuat oleh Rima.

“Adik! Bukak pintu ni! Kenapa tak keluar makan? Ibu ada simpan sup ketam dalam almari lauk tu! Bukak pintu ni adik!” suara kuat Mak Lijah telah mengejutkan Rima. Imej di dalam cermin pun turut terkejut. Rima tersengih melihat cermin yang tidak memahami apa-apa itu.

“Tak nak makan, bu!” sahut Rima tanpa membuka pintu.

“Kenapa? Sakit perut tu nanti. Adik suka sup ketam, kan?”

 “Adik sibuk ni bu!” ujar Rima lagi.

“Sibuk apanya tu adik? Macam-macamlah.” Ada sengihan di bibir Mak Lijah. Gelihati dengan jawapan Rima. Belum pernah Rima sesibuk itu sehingga tidak terliurkan sup ketam

kesukaannya.

 “Adik tengah berfikirlah bu.”

 “Fikir apa tu? Keluarlah, cerita kat ibu. Nanti ibu fikirkan sama-sama,” ujar Mak Lijah.

Rima duduk semula di birai katil. Kaki yang berjuntai digoyangkan ke depan dan ke belakang. Rima melihat pada dadanya. Tidak lagi rata seperti waktu dia di sekolah rendah. Mak Lijah telah melarangnya dari hanya mengenakan singlet sebagai baju dalam. Malu! Kata ibunya. Itukah tandanya dia sudah dewasa? Fikir Rima lagi.

“Takkan itu sebab untuk adik jadi dewasa? Ita punya pun dah nampak jugak tapi dia masih tak pandai masak, sama macam adik. Kak Asmah tak marah pun, padahal Ita tu kan adik dia.” Ada geram dalam hati Rima. Baginya Asmah memang tak adil. Berat sebelah. Salah dirinya, Asmah boleh nampak tapi salah Ita, dibiarkan saja.

“Kenapa cakap sendiri tu, adik?” Mak Lijah segera menegur. Dia dapat mendengar suara Rima walaupun kurang jelas biji butirnya.

“Susahlah nak cakap, bu. Adik ada masalah besar ni.”

 “Yalah, yalah...besar ke, kecik ke, keluarlah dulu. Ibu tolong selesaikan masalah adik ya,” pujuk Mak Lijah.

 “Tak boleh bu! Besar masalah adik ni. Ibu tak faham nanti. Biar adik yang fikir ya bu!” ujar Rima yang masih menggoyang-goyangkan kedua kakinya. Bola matanya tegak memandang dua ekor cicak yang sedang berkejaran di atas kayu pengepit atap rumbia yang menjadi bumbung rumah.

“Apa saja yang awak terconggok depan pintu bilik adik ni, Lijah? Mesti buat hal lagi.” Pak Nuar yang baru naik setelah bersantai di atas pangkin bawah rumah menegur Mak Lijah.

“Saya ajak adik makan tapi dia tak nak. Ada masalah besar katanya,” jelas Mak Lijah.

“Ada-ada je halnya kalau si adik tu.” Pak Nuar ketawa lalu beredar dari situ. Malas masuk campur hal remeh-temeh seperti itu.

Sedang Mak Lijah memerhatikan langkah Pak Nuar, kedengaran bunyi Vespa dari bawah rumah. Wanita itu kenal benar akan bunyi Vespa yang sudah sinonim dengan telinganya. Apa halnya Vespa itu datang pada malam hari?

 Mak Lijah berjalan laju ke muka pintu untuk menyambut tetamu yang datang. Pak Nuar yang baru melangkahkan kaki ke bilik tidur, mengurungkan niat. Dia keluar semula untuk melihat siapa yang bertandang. Kedua warga tua itu menuruni anak tangga lalu berdiri di anak tangga paling bawah.

Kelihatan Daud sedang menongkat Vespa kelabunya. Mak Lijah gembira melihat kedatangan Daud walaupun agak hampa kerana anak sulungnya tidak turut pulang ke rumah. Sesudah menongkat Vespanya, Daud menghampiri Mak Lijah dan Pak Nuar sambil membetulkan jambulnya.

Biarpun pada waktu malam, Daud tetap nampak bergaya dengan seluar kembang bawah dan kasut bertapak tingginya. Kemeja lengan pendek belang-belangnya bergosok tegak dan nampak kemas. Itu semua adalah hasil kerajinan Sufiah, anak sulung kesayangannya.

“Bu! Ibu sihat? Ayah?” menantu sulung bersalaman dan mengucup tangan kedua mertuanya.

 “Alhamdulillah, sihat,” balas Mak Lijah sementara Pak Nuar hanya mengangguk menandakan dia juga dalam keadaan yang baik-baik.

“Apa mimpi kamu balik malam-malam ni Daud, kenapa Sufiah dan cucu ibu tak ikut sekali?” soal Mak Lijah tidak sabar-sabar lagi.

“Memang saya balik sendiri, bu. Si Sufiah tu yang nak saya ambik adik, rindu katanya,” jelas Daud tersenyum.

“Malam-malam ni? Tak boleh tunggu esok ke?” soal Mak Lijah bertalu-talu.

 “Orang mengandung, bu. Puas saya pujuk untuk datang esok je tapi dia berdegil jugak. Sebenarnya lusa saya kena kerja luar daerah bu, tu sebabnya Sufiah nak adik temankan dia.”

Pak Nuar terbayang wajah Sufiah. Sudah 3 bulan Sufiah tidak menjenguk mereka di kampung. Walaupun perjalanan satu setengah jam tidaklah lama tapi keadaan Sufiah yang semakin memboyot perutnya amat menyukarkan untuk anak sulungnya itu membonceng Vespa Daud.

“Sudah-sudahlah awak tu Lijah. Biarlah menantu kita ni naik ke atas dulu. Penat dia tu.”

“Naik, Daud.” Ajak Pak Nuar lalu dia mendahului mereka berdua naik ke atas rumah.

“Mana adik, yah? Senyap je.”

“Adik ada masalah besar katanya. Budak tu memang macam-macam hal.” Pak Nuar ketawa kecil mengenangkan sikap Rima yang kadang-kadang menggelikan hati. Daud turut ketawa. Dia juga sudah masak benar dengan kerenah adik iparnya yang masih tidak matang dalam segala hal.

“Masalah apa yang besar sangat tu yah?”

“Entahlah. Sampai tak nak keluar bilik, makan pun tak. Dah tak pandang sup ketam yang dia suka.” Pak Nuar duduk bersandar pada tiang tengah dapur. Mak Lijah beredar untuk menyediakan sesuatu.

 “Makan, Daud?”

 “Tak usah bu. Saya nak cepat ni. Lambat bergerak, jauh malam baru sampai rumah nanti. Minum je bu.” Pinta Daud.

 “Yalah, ibu bancuh kopi.”

 “Bang, bolehlah suruh adik siap-siap. Sementara Daud minum bolehlah dia kemas baju masuk dalam beg.” Mak Lijah mengingatkan Pak Nuar. Pak Nuar berlalu tanpa banyak soal.

 

Bilik tidur Rima senyap sunyi. Entah apa yang Rima sedang lakukan. Mungkin dia masih berusaha keras mencari jalan penyelesaian bagi masalahnya yang sangat besar dan rumit. Atau mungkin dia sudah berdengkur dan bermimpi sedang bertenggek di atas pokok rambutan atau pokok jambu susu kepunyaan pak andaknya, Pak Seman.

“Adik! Dah tidur ke? Abang Daud datang tu, nak bawak adik ke rumah kak long. Boleh main dengan Fina kan.” Daun pintu bilik diketuk bertalu-talu oleh Pak Nuar.

“Wah, seronoknya. Dapat naik Vespa Abang Daud ni. Kejap, kejap...adik masukkan baju dalam beg ya, yah.” Mudah saja Rima membuka pintu. Tak perlu Pak Nuar memujuknya beria-ia. Pantang dengar perkataan Vespa, laju saja dia. Tak dapat tunggang motosikal merah jambu idamannya, memadailah sekadar membonceng Vespa kelabu abang iparnya.

“Laju bukan main dia,” tegur Pak Nuar sebelum ke dapur semula. Rima tidak endah. Dia terus membuka almari pakaian buruk yang sudah berpaku di sana sini. Beberapa helai pakaian dimasukkan ke dalam beg sekolahnya. Cukuplah untuk dua hari di sana. Sudah tentu hari Isnin dia terpaksa ke sekolah semula.

“Ada adik bukak pintu, bang?” soal Mak Lijah sebaik melihat Pak Nuar muncul semula di dapur.

 “Apa ke taknya...dengar je Vespa, terus nak masuk baju dalam beg,” sahut Pak Nuar. Daud tersenyum.

“Minum, yah.” Pelawa Daud.

 “Minumlah Daud, ayah kenyang betul malam ni. Betul kamu tak nak makan? Sup Ketam ada lagi dalam almari tu.”

“Terima kasih yah. Bukan menolak rezeki tapi takut lambat nanti,” jawab Daud perlahan.

Kedengaran bunyi tapak kaki berjalan menghampiri mereka. Rima sudah bersedia dengan beg sekolah yang berisi pakaiannya. Sebaik melihat Rima, Daud ketawa mengekek. Pak Nuar menggelengkan kepala berkali-kali. Mak Lijah ternganga.

 “Ya Allah dah kenapa dengan muka kamu ni adik? Dah macam tepung gomak je abang long tengok. Celak tu, biarlah berpada sikit gunanya,” tegur Daud dicelah ketawanya. Mak Lijah juga mahu ketawa tetapi cuba ditahankan. Takut Rima akan merajuk dan membatalkan niatnya untuk ke rumah Daud.

 ‘Kenapa dorang ketawa? Isyyy...kalau nak jadi dewasa kenalah pakai make up sikit. Macam kak long, macam ibu,’ getus hati Rima agak jengkel. Biar pun Mak Lijah menyembunyikan rasa gelihatinya namun raut mukanya tidak menyenangkan Rima. Apatah lagi dengan muka Daud. Huh! Sakit hati.

“Kenapa abang long ketawa, bu? Tak cantik ke adik?” soal Rima geram.

“Adik memang cantik, tak payah solek-solek pun dah cantik. Hissh, malam-malam ni kalau muka adik putih melepak macam tu, terkejut bila kak long tengok dalam gelap nanti. Silap-silap bersalin terus kak long kamu tu,” jawab Mak Lijah berterus-terang. Bertambah kuat Daud ketawa. Pak Nuar hanya tersengih macam kerang busuk.

“Alaaa, ibu ni kan. Kak Asmah kata adik tak dewasalah bu. Adik tak suka bila dia cakap macam tu.” Ada rajuk dalam nada suara Rima. Mukanya masam kelat macam asam keping

.“Sebab kamu dah pecahkan pasu dia, kan adik?” Pak Nuar mengambil peluang menegur Rima.

“Mana ayah tau?

“Adik, adik...tiap kali kamu buat nakal mesti ayah akan tau jugak. Memang patut Kak Asmah kamu cakap macam tu. Itu kerja budak kecik tu,” tegur Pak Nuar lagi. Rima beralih ke belakang Mak Lijah. Duduk diam tidak bersuara. Mahu saja Rima menekup telinganya supaya tidak mendengar apa-apa lagi.

“Laaa, ya ke yah? Tak berubah lagi rupanya adik ya yah?”

“Entahlah Daud. Dah naik tebal bibir ni asyik meleter hari-hari. Belum campur bebel ibu

kamu lagi. Masih sama jugak feelnya.” Pak Nuar menjeling Rima yang mengintai dari belakang Mak Lijah. Daud ketawa lagi. Meluat Rima melihatnya. Dia mencebek dan menjelirkan lidah. Nasib baik tidak ada yang nampak. Puas hati Rima dapat melepaskan rasa geramnya.

 “Eh, dah terleka saya. Baiklah ayah, bu, saya kena gerak sekarang ni. Nanti lewat pulak sampai ke rumah.” Daud sudah bersedia untuk pergi. Rima selamba, malahan dia berlunjur kaki. Rima mahu protes kerana Daud banyak mentertawakannya.

Daud sudah berjalan ke muka pintu. Pak Nuar mengekori di belakang. Sampai di muka pintu Daud menoleh memandang Rima. “Adik! Cepatlah. Abang long dah lambat, lama kak long tunggu kat rumah tu.”

 “Adik tak jadi ikut, malas!,” sahut Rima selamba.

 “Rima! Tak kesian kak long ya?” agak tinggi suara Pak Nuar.

“Cepatlah adik, tak payah nak buat perangai,” tambah Mak Lijah.

“Tadi adik memang nak ikut, sekarang tak jadilah. Banyak kerja sekolah nak buat.” Rima berdalih.

Daud membiarkan ayah dan ibu mertuanya memujuk Rima. Kalau dia masuk campur tentu akan menambah angin Rima. Bukan mudah untuk memujuk adik iparnya yang satu itu. Degil. Daud duduk sebentar di atas anak tangga sementara menanti rajuk Rima reda.

 “Adik! Dah semakin malam ni!” menggeletek hati Pak Nuar mahu memarahi Rina tetapi cuba ditahankan juga. Mujurlah dia tidak ada darah tinggi. Kalau tidak, mungkin sudah berkali-kali dia dikejarkan ke hospital akibat tekanan darah yang naik tiba-tiba.

“Ala ayahnya, budak dah tak nak jangan dipaksa-paksa. Ingatkan dah dewasa, dah boleh fikir untuk orang lain. Dahlah bang, biarkan dia.” Mak Lijah mencari pendekatan berbeza. Mana tau dengan kata-katanya itu Rima akan rasa tercabar.

Rima gelisah. Dia tidak suka bila Mak Lijah mengatakan dia seorang budak. Bukankah dia sudah besar sekarang? Sudah dewasa. Uh! Susahnya untuk menjadi macam orang dewasa! Perlu fikirkan tentang orang lain.

“Baiklah, adik ikut abang long je. Balik nanti baru buat kerja rumah.” Rima bangun dengan malas. Mukanya masam kelat. Dalam hati, memang dia hendak sangat ke rumah kak long. Dapat tunggang Vespa kelabu dan dapat bermain dengan si comel Fina. Cuma, dia berasa geram bila Daud telah banyak mentertawakannya.

“Oh, dah besar rupanya anak kita ni, bang.” Dalam hati Mak Lijah, dia berasa hendak ketawa tapi tidak dipemarkan. Takut Rima akan berubah hati lagi.

“Yalah Lijah, adik bukan tak berfikir orangnya. Mesti dia fikirkan kak longnya tu.” Pak Nuar menambah bumbu. Biar besar hati Rima. Kembang macam kembang semangkuk.

 Di atas anak tangga pula Daud sedang tersengih-sengih sambil menahan tawa. Kalau ketawanya pecah, habislah semuanya. Rima akan marah padanya lagi dan membatalkan niat untuk mengikutnya pulang.

Rima cepat-cepat mengambil beg yang berisi pakaiannya lalu berjalan laju ke muka pintu. Lalu di sebelah Daud dengan selamba. Tiba di anak tangga paling bawah, Rima menyarung kasut merah jambunya. “Ibu, ayah, adik pergi dulu ya. Nak adik sampaikan salam pada kak long tak?” soal Rima tanpa menghiraukan Daud. Bengkak hatinya terhadap Daud masih belum hilang lagi.

“Ya, ya, hati-hati atas Vespa nanti. Duduk elok-elok. Sampaikan salam kami pada kak long, ya.” Mak Lijah berpesan. Pak Nuar angguk-angguk. Daud pula segera bersalam dengan kedua orang tua itu. Dia turun sambil mengerling Rima dengan hati yang masih menahan ketawa. Rima buat-buat tidak nampak.

‘Hihi, bestnya dapat naik Vespa!’ hati Rima gembira bukan kepalang. Hanya wajahnya sahaja yang masih masam. Tidak mahu Daud tahu dia sangat seronok dapat membonceng Vespa kelabu abang iparnya itu.

Rima meletakkan beg yang berisi pakaian di tengah-tengah, di antaranya dan Daud. Dia tidak mahu badannya tersentuh badan Daud. Rima tidak suka. Geli! Daud mengangkat tangan sebagai tanda minta diri. Mak Lijah dan Pak Daud segera membalasnya. Rima melambaikan tangan berkali-kali sebelum vespa bergerak perlahan.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.