Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Cantik?
Bab 38

Bab 38

Hal dengan Suhana masih belum sudah, Syidah pula muncul di rumah Pak Nuar keesokan harinya. Wanita itu dengan rasminya sudah berpindah ke rumah besar di hujung kampung. Walaupun kedatangan Syidah kali ini masih disambut dengan tidak mesra oleh Pak Nuar dan Mak Lijah tapi tidaklah terlalu dingin. Sedikit sebanyak mereka sudah dapat menerima hakikat Syidahlah ibu yang telah melahirkan Rima.

“Mana Rima, kak?” soal Syidah yang dihidangkan sepinggan lepat ubi dan air kopi. Tangan Syidah sibuk mengoyak daun pisang yang membalut lepat ubi, sesibuk mulutnya yang banyak bertanya itu dan ini.

“Ada dalam bilik, nanti kakak panggil dia.” Mak Lijah beredar dari ruang tamu.

“Ingat Syidah, dia tak macam yang kamu sangkakan. Rima bukan lagi budak-budak. Dia sudah boleh berfikir sendiri. Jangan kamu tunjuk perangai tak senonoh kamu depan dia.”

 Pak Nuar memberi amaran. Sebahagian dari dirinya masih lagi ‘berbulu’ dengan sikap Syidah yang pada pengamatan Pak Nuar masih tidak jauh berbeza dari dulu. Syidah masih memiliki renungan yang liar dan senyuman yang bakal. Mujur tidak digodanya Pak Nuar.

“Saya tahulah bang...dia anak saya.” Jawab Syidah agak angkuh sambil mulutnya herot mengunyah lepat ubi.

“Haishhh...kamu...tak sudah-sudah nak menyombong diri. Memang adik tu keluar dari perut kamu tapi dia anak kami.” Bantah Pak Nuar geram.

 “Sudahlah, aku nak ke kebun...lama aku kat sini pusing kepala aku ni.” Tanpa menunggu reaksi Syidah, Pak Nuar bangun lalu turun ke tanah. Malas hendak bersembang lama dengan Syidah. Hanya akan menyakitkan hatinya saja. Syidah mengekori langkah Pak Nuar dengan sorot matanya.

‘Hmmm...masih tak suka akulah tu. Ah!...yang penting Rima, bukan dia.’ Desis Syidah.

Bunyi lantai rumah dipijak membuat Syidah menoleh. Rima sedang berjalan malas ke arahnya tanpa ditemani Mak Jah. Mungkin Mak Jah mahu memberi peluang kepada mereka untuk kenal dengan lebih mesra lagi. Syidah melempar senyum lebar lalu meletakkan lepat ubi kedua yang hendak dimakannya ke atas pinggan semula. Rima biasa-biasa saja tanpa ada senyuman balas. Berat bibirnya.

Rima menghulur tangan untuk bersalam. Syidah cepat menyambutnya lalu mahu memeluk Rima. Rima membiarkan saja badannya dirangkul kemas sedangkan tangannya kaku ke bawah. Sepertis senyuman Syidah yang tidak berbalas, rangkulannya juga tidak mendapat sambutan. Bukan dia mahu berlagak sombong tapi sedang berusaha untuk menyesuaikan diri.

“Cantiknya anak mama ni. Macam mama masa muda-muda dulu.” Puji Syidah sambil menarik tangan Rima untuk duduk di sebelahnya.

“Puan aje cantik...saya tak secantik mana pun.” Balas Rima perlahan. Mulutnya terasa ketat sewaktu bercakap. Tidak selesa berdepan dengan Syidah.

“Eh, cantiklah! Mata, kening, mulut, seiras masa mama muda...hmmm, panggil mama ya.” Syidah masih berusaha mengambil hati Rima.

Rima mengangkat punggung lalu berdiri di tepi tingkap. Memandang daun-daun hijau dari pokok buah-buahan di kebun Pak Nuar lebih mendamaikan. Sejuk mata memandang. Angin dari luar sedang cuba memujuk Rima supaya bertenang.

“Alhamdulillah, diberi sifat yang sempurna...kalau sekadar muka yang cantik apa gunanya tanpa tingkah laku yang baik. Saya selalu ingatkan diri saya, luaran ni sementara je...tak kekal lama. Kalau cantik, cantik akan hilang. Kalau kaya, satu masa akan ditinggalkan. Bagi saya, yang lebih penting adalah macam mana saya nak mengisi kegembiraan dalam hidup saya.”

Walaupun apa yang Rima katakan akan menyinggung perasaan Syidah, Rima masih tetap mahu menyatakan. Itu adalah hutang tertunggak Syidah kepadanya. Akan Rima tagih untuk masa-masa lalunya. Bohong kalau hatinya tidak sakit setiap kali memandang muka Syidah. Bohong juga kalau dia dapat menerima Syidah dengan mudah. Dirinya bukanlah malaikat yang tidak bernafsu-nafsi. Tidak semudah itu mahu menerima seorang wanita yang telah membuangnya begitu saja.

“Pedih cakap-cakap Rima tu...terasa mama.” Ujar Syidah perlahan. Tunduk.

Rima memandang Syidah sekilas. Menarik nafas panjang dan merenung keluar semula. Rima tahu Syidah sudah tersinggung.

“Saya mengingatkan diri sendiri. Ayah dan ibu dah asuh saya untuk menghargai apa yang saya ada. Biar ia sekecil kuman sekalipun yang diberi, saya perlu hargai. Saya dah dapat kegembiraan hidup dalam keluarga yang taklah semewah mana ni. Saya bahagia kat sini...saya...saya rasa puan faham keadaan saya.”

Ruang tamu senyap seketika. Rima sudah meluahkan perasaannya. Syidah pula sedang mencari-cari perkataan yang sesuai untuk terus cuba melembutkan hati Rima. Memang betul kata Pak Nuar tadi, Rima tidak seperti yang Syidah sangkakan. Di sebalik mukanya yang lembut, rupa-rupanya Rima seorang yang tegas. Jauh berbeza dengan sikap Syidah ketika muda dulu.

“Ermmm...mama beli rumah kat kampung ni supaya dekat dengan Rima. Mama...mama buat semua ni untuk Rima.” Ujar Syidah setelah tidak selesa dengan kebisuan Rima yang lama.

Terdengar Rima ketawa kecil lalu menggeleng lemah. Jari-jarinya bergerak-gerak pada palang jenang tingkap. Nafas ditarik semula dan dilepaskan perlahan.

“Puan tak buat semua tu untuk saya...tapi untuk diri puan sendiri. Sebab puan rasa sunyi bila terpaksa hidup sendirian. Satu perkara yang saya sukar nak lupakan...sikap puan terhadap ayah kandung saya. Kejam!” Rima tidak dapat menahan apa yang sudah disimpan sekian lama. Bukan niatnya mahu berdendam, hanya meluahkan rasa kecewa yang sekian lama terpaksa ditelan.

Dalam waktu yang sama, terngiang-ngiang nasihat Pak Seman beberapa tahu lalu. Teruslah membenci hingga sampai satu waktu yang membuat Rima akan rasa penat. Di samping itu terus berdoa supaya dilembutkan hati untuk menerima Syidah. Jangan tidak-tidak.

‘Ya Allah...benci ke yang ada dalam hati aku? Masih tak penat-penat ke aku? Kenapa setelah sekian lama, hati aku masih belum lembut?’ bisik Rima dengan lemah. Persoalan-persoalan itu masih belum ada jawapannya. Tidak upaya untuk Rima memaksa diri agar bersikap lebih manis terhadap Syidah.

Sedang Rima melamun, terdengar esakan Syidah. Terhenjut-henjut bahunya. Sehelai saputangan dikeluarkan dari tas tangan mahalnya untuk mengesat air mata dan hingus yang mulai meleleh. Tangisan Syidah membuat Rima tidak senang hati. Dia berdiri dengan gelisah.

 “Sampai hati Rima layan mama macam ni,” rintih Syidah sedih. Rima diam. Terus memandang keluar tingkap.

Apa yang pasti perasaan Rima tidak sama seperti ketika melihat tangisan Mak Lijah dan Pak Nuar. Apabila mereka menitiskan air mata, hati Rima turut menangis pilu. Malangnya perasaan itu tidak muncul ketika melihat Syidah menangis beria-ia. Hanya sedikit rasa bersalah kerana telah menyebabkan Syidah berduka lara seperti itu.

“Puan...jangan menangis lagi. Maafkan saya.” Tidak sedap hati untuk terus membiarkan tetamunya terasa hati.

“Cuma itu?” Sebaliknya Syidah merasakan ianya tidak mencukupi. Jauh di sudut hati, dia mahu disayangi oleh anak yang pernah dikandungnya. Malangnya sayang itu masih belum dapat dirasai melalui ucapan dan perlakuan Rima.

“Apa yang puan harapkan dari saya? Saya belum lagi kenal puan. Beri saya masa...maafkan saya sekali lagi.” Balas Rima nekad. Dia tidak ada pilihan yang lebih baik dari itu. Apa yang pasti Rima masih tidak mampu menyayangi orang yang telah melahirkannya itu.

Badan Syidah dihenyakkan ke kerusi yang berkusyen nipis. Kepalanya didongakkan supaya lebih mudah untuk bernafas. Dua ekor cicak yang berkejaran di siling menambah lagi kacau dalam hatinya. Ah! Berbaloikah dia membeli rumah besar di hujung kampung dengan meninggalkan rumah mewahnya di Johor? Hakikatnya walau di mana Syidah berada, masa-masa tuanya tetap akan sepi. Tidak berguna lagi harta dunia yang digilai dan dikejar-kejar selama ini.

Mak Lijah yang sengaja memasang teling dari balik dinding cepat-cepat ke ruang tamu. Dia tahu Rima sedang susah hati. Biarpun kebelakangan ini Mak Lijah lebih memikirkan Suhana tapi dia belum bersedia untuk kehilangan Rima.

“Haa, Syidah...minumlah air tu. Sejuk tak sedap nanti.” Suara Mak Lijah mengejutkan Syidah yang sedang ralit merenung Rima. Rima turut menoleh.

“Dah sudah kak...terima kasih.” Sahut Syidah lemah.

“Saya rasa biarlah saya balik dulu. Kemudian saya datang lagi...hmmm, Rima...kalau ada masa datanglah ke rumah mama. Mama tunggu.” Sambung Syidah yang sudah mahu beredar. Tidak guna untuk lebih lama di situ jika Rima masih bersikap dingin terhadapnya.

“Yalah.” Sahut Mak Lijah. Lega hatinya.

“Mama balik dulu...Rima.”

Rima angguk saja dan membiarkan Syidah terus pergi. Tidak ada hati untuk mengiringi. Hanya Mak Lijah yang menghantar Syidah ke muka pintu. Sebelum menuruni anak tangga, Syidah sempat menoleh ke arah Rima yang langsung tidak memandangnya.

‘Hmmm...benci sungguh dia pada aku.” Bisik Syidah sayu.

Previous: Bab 37
Next: Bab 39

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.