Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Cantik?
Bab 14

Bab 14

“Wah bagus result SPM ko ni adik!” slip peperiksaan Rima dibelek lama oleh Ita. Dia kagum. Rima tidak mendengar apa yang diperkatakan oleh Ita. Matanya sedang tertancap pada skrin tv hitam putih yang sedang menayangkan filem Combat.

Tv berkaki dan berpintu itu dibeli oleh Pak Nuar dengan hasil jualan getah sekerap yang duitnya dikumpulkan selama setahun lamanya. Kalau tidak kerana rengekan Rima yang sudah bosan menumpang menonton tv di rumah jiran, sudah tentu sampai sekarang Pak Nuar tidak terfikir untuk membelinya.

Semenjak ada tv hitam putih itu, Pak Nuar yang selalu menjadi mangsa menemani Rima menonton tayangan gambar Hindi yang biasanya dimainkan pada waktu tengah malam. Rima yang penakut akan memaksa Pak Nuar menonton bersamanya. Baru beberapa minit tayangan bermula, Pak Nuar sudah pun terlena.

“Eh adik! Aku cakap dengan ko, ko buat tak tau aje kan.” Ita yang mahu bermalam di rumah Rima pada malam itu menegurnya.

“Ala, adik dengarlah...orang tengah berfikir ni. Kacau ajelah!”

“Apa yang ko fikir? Tiba-tiba je ko jadi orang yang serius.” Soal Ita sambil tangannya mengambil kerepek ubi bersira pedas yang disediakan oleh Mak Lijah untuk mereka berdua sebelum orang tua itu masuk tidur.

“Ita...aku rasa, aku nak cari kerjalah!, nak berdikari.” Satu kejutan dari Rima yang agak sukar dipercayai telah disuarakan. Ita menggaru kepala. Betulkah anak semanja sepupunya itu sudah mahu berdikari? Semakin kuat Ita berfikir semakin laju kunyahan kerepek di dalam mulutnya. Rima menjeling kerepek ubi bersira pedas yang sudah tinggal suku balang.

“Makan tu ingat-ingat sikit kat orang lain, adik belum makan lagi tu.” Tegur Rima. Ita tidak mendengar teguran itu. Dia sedang ligat berfikir. Tolong memikirkan tentang Rima, sepupu yang paling disayanginya itu. Kali ini Rima nampak beria-ia dengan apa yang diperkatakannya. Serius. Kalau dia mahu berdikari, apa yang hendak dilakukannya? Mampukah dia? Huh! Sukar untuk percaya!

 

“Apa maksud ko berdikari tu ya? Kelirulah aku ni.” Gumam Ita lalu menelan kerepek yang

sudah lumat dikunyah.

“Alah ko susah sangat nak fahamlah. Kalau berdikari kan adik akan nampak lebih dewasa. Boleh urus diri sendiri.” Ucap Rima dengan yakin.

Ita ketawa berdekah-dekah. Baginya Rima memang kelakar. Tidak sudah-sudah mengharapkan dirinya menjadi dewasa sedangkan pada hakikatnya Rima boleh saja menjadi dewasa kalau pemikirannya matang selalu. Ini tidak, Rima asyik bersikap kebudak-budakan.

“Dah kenapa dengan ko ni, Ita?” tangan Ita ditolak oleh Rima yang tidak selesa apabila badannya di goncang dengan kuat.

 

“Ko tu yang kenapa. Kalau tak cari kerja maknanya ko tak boleh jadi dewasa ke? Lagipun ko kena sambung belajar lagi, kan.” Rima tidak menjawab. Mukanya berpaling semula ke skrin tv yang sedang mempamerkan adegan tembak-menembak dengan rancak sekali. Hingar-bingar bunyinya. Malangnya ia tidak masuk ke telinga Rima. Ada perkara lain yang sedang mengambil tempat dalam otaknya.

‘Kalaulah ko tau, Ita...macam mana selama ni adik nak sangat jadi dewasa dalam erti kata yang sebenar. Selama ni ko nampak adik ceria...tapi adik selalu rasa ada kekurangan dalam diri adik yang orang lain tak tau. Jiwa adik jadi kecik sebab terlalu manja. Selalu bergantung harap pada orang lain. Sebenarnya...sebenarnya kadang-kadang adik tertekan dengan semua ni. Lebih-lebih lagi bila adik tau adik bukanlah darah daging mereka.’ Bisik Rima tanpa Ita mendengar. Sukar untuk Rima menjelasan kepada orang lain tentang apa yang ditanggungnya. Dalam kegembiraannya, ada setakung kesedihan yang disembunyikan dalam diam.

“Sementara nak sambung belajar ni adik nak ikut kawan sekelas adik jual jagung kat pasar malam. Lepas tu adik nak cari kerja lain jugak. Lepas tu adik nak belajar menaip...lagi...,” satu per satu angan-angannya disuarakan oleh Rima.

“Banyaknya lepas tu, lepas tu...perancangan besar ni!” usik Ita lalu ketawa kuat. Rima hanya tersengih.

“Ita...aku nak tanya ko.”

“Tanya ajelah, bukan kena bayar pun,” sahut Ita. Rima memusingkan badannya. Dia mahu bercakap sambil memandang ke muka Ita. Apabila bercakap sambil memandang tepat ke muka seseorang, ia akan mendatangkan satu kepuasan. Rima akan menangkap dengan cepat reaksi melalui mimik muka yang ditatap.

“Ko tau tak siapa ibu ayah kandung adik?” ada nada mengharap daripada suara Rima yang

perlahan. Ita merenung muka Rima. Muka itu nampak berbeza dari biasa. Ia tidak nampak murung tetapi seperti ada satu kekurangan. Mungkin kekurangan itulah yang sedang cuba ditutupi oleh Rima.

“Manalah aku tau. Kan masa pak ngah ambik ko, aku pun sama kecik macam ko jugak. Aku tau ko ni anak angkat masa aku darjah 4. Aku terdengar abah aku yang cakap. Abah bagi aku amaran, kalau aku cerita kat ko abah akan suruh aku tidur malam kat kandang kambing. Kejam tu, tu sebab aku tak berani nak cakap apa-apa.” Ada sengihan di penghujung kata-kata Ita. Memang lucu bila mengingatkan amaran Pak Seman yang betul-betul telah berjaya menakut-nakutkannya.

“Kelakar jugak pak andak, ya,” ujar Rima.

“Sekarang ni barulah aku rasa kelakarnya. Masa dulu tu aku memang betul-betul takut. Ko bukan tak tau abah aku, garang bukan main. Sekarang ni bila aku fikir-fikirkan balik, takkanlah dia sanggup nak biarkan aku tidur kat kandang kambingnya yang hapak tu.” Mereka sama-sama ketawa.

Serentak dengan itu ingatan Rima pun berputar, teringat semula ketika Pak Seman mengejarnya dengan rotan. Kain pelikat orang tua itu hampir tertanggal apabila tersangkut pada gumpalan dawai yang mahu dipasang pada kandang kambingnya. Rima lari lintang-pukang bila Pak Seman memburunya kerana selalu mengganggu kambing-kambing belaannya.

“Pak andak memang garang, tapi dia ko tu baik hati. Abah ko sayang sangat kat ayah adik.”

“Kalau dah nama adik-beradik memanglah kena sayang-menyayang. Tak bagus kalau gaduh-gaduh.” Balas Ita.

“Adik rasa adik nak cari orang tua adik. Nak sangat tau siapa dia...tak salah kan, Ita?” ada ketidak yakinan dalam diri Rima. Kalau selama ini hidupnya ditatang bagai minyak yang penuh, apa untungnya kalau dia mahu mencari orang tuanya yang sebenar? Ah! Perlukah? Rima betul-betul keliru.

 

“Tak payahlah. Takut lain jadinya nanti. Bukan apa, aku tak nak ko ada masalah. Bagi aku kan...kalau mereka ingat ko, kenapa mereka tak cari ko? Udahlah jangan fikirkan benda-benda berat macam ni lagi.” Nasihat dari rakan sebaya cuba didengari oleh Rima. Mungkin ada benarnya kata-kata sepupunya itu. Ada masanya bernas juga pemikiran Ita yang agak kurang pandai itu.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.