Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Cantik?
Bab 24

Bab 24

 

Diam tak diam sudah sebulan Rima bekerja di gerai makan Rona dan Jazlee. Pada awalnya agak sukar untuk Rima menyesuaikan diri. Semuanya kekok dan tidak selesa. Dengan keramahan dan baik hati Rona, dapat juga Rima mempelajari tugasan yang diberi dengan berdikit-dikit.

Rima selalu cuba mengelakkan diri untuk terlalu akrab dengan Jazlee atau yang berjanggut sejemput dan bermisai jarang. Tidak selesa. Rima mahu menghormati Rona sebagai isteri Jazlee. Rima juga kurang senang dengan kerlingan-kerlingan dan senyuman yang dihadiahkan oleh Jazlee. Selalu saja dia buat-buat tidak pandang.

“Hari ni kakak kamu datang lewat. Dia ke klinik buat pemeriksaan kandungan.” Jelas Jazlee yang datang lebih awal ke gerai makannya. Rima berasa hairan kerana pada kebiasaannya si janggut selalu saja lewat sampai.

“Oh...kalau macam tu saya tunggu Kak Rona ajelah.” Rima duduk di atas pasu besar di tepi gerai yang masih belum dibuka.

“Tak payah tunggu dia. Abang pun boleh bukak gerai ni dulu. Awak bantu abang ya.” Entah kenapa setiap kali Jazlee bersuara, Rima terasa mual. Lenggok suara dan senyumannya selalu saja menakutkan. Kadang-kadang fikiran buruk Rima beranggapan Jazlee seakan cuba menggodanya. Cepat-cepat dihalau perasaan hitam itu kerana tidak mahu berburuk sangka.

“Errr...awal sangat nak bukak gerai, selalu kami bukak pukul 7.30 pagi.” Rima cuba berdalih. Rasa tidak sedap hati dengan kelainan pada hari itu. Lebih-lebih lagi gerai di kiri kanan masih lagi sepi.

 “Tak apalah. Kita buat apa yang patut sementara tunggu Kak Rona. Sapu dalam tu ke...kemas-kemas pinggan mangkuk ke.” Jazlee sudahpun membuka mangga pada pintu gerai.

 ‘Hishhh, terlebih rajin pulak! Selalu tu Kak Rona dah penat bebel baru dia sampai!’ gerutu Rima sendirian.

“Masuklah! Abang dah bukak ni.”

“Abang Jazlee masuklah dulu, saya nak tunggu Kak Rona.” Rima tidak mahu akur. Dia

tidak peduli kalau Jazlee marah.

Jazlee senyum. Rima memandang ke lain. Memang Jazlee dalam kategori lelaki kacak, ditambah lagi dengan kulitnya yang putih melepak, mengalahkan kulit Rima yang seperti mega mendung. Mungkin Rima lahir pada waktu bulan gelap. Sayang, perangainya yang suka tersengih-sengih selalu membuat Rima yang melihatnya berasa penat. Nampak baik! ‘Baik ada makna tu’...seperti dialog di dalam filem Madu Tiga, ejek Rima dalam hati.

“Awak kerja dengan abang kan?” Kali ini suara Jazlee agak tegas. Dia tidak berpuas hati kerana Rima enggan menurut kemahuannya. Rima diam. Bukan dia tidak hormat kepada taukeh tapi hatinya berat untuk melaksanakan arahan yang diberi. Dia membangkang dalam diam.

“Awak nak kerja lagi ke tidak? Belum apa-apa dah naik lemak!” suara Jazlee agak marah. Sabarnya mulai lenyap. Senyuman sudah bertukar menjadi muka semasam tapai basi.

“Saya nak awak masuk dalam dan buat apa yang patut. Saya nak ke kedai runcit sana tu, nak cari rokok.” Setelah memberi arahan kali kedua Jazlee terus berlalu.

Rima melepaskan keluhan panjang. Terasa mahu lari tapi takut pula tidak dibayar gaji. Habislah tenaganya selama sebulan ini akan diberi percuma saja. Dia juga yang akan rugi. Peluh masinnya sudah banyak keluar. Belajar itu ini dengan sungguh-sungguh supaya dia lebih mahir melakukan kerja-kerja rumah nanti. Rima sudah boleh berbangga sebab dia sudah pandai memasak mi bandung, mi hailam dan nasi goreng kampung. Semakin dewasalah dia nampaknya.

Mahu tidak mahu Rima masuk juga ke dalam gerai. Dia berdoa supaya Jazlee lama di kedai runcit itu. Atau Rona akan cepat-cepat datang ke gerai. Di dalam dapur gerai Rima bercekak pinggang sambil mencari-cari apa tugasan yang patut dilakukan. Semuanya masih teratur kerana sebelum gerai ditutup pada petang semalam, ia sudah dibersihkan dan dikemas.

“Ah, baik adik keluar jelah. Bosan pulak tak ada apa yang boleh adik buat.” Rima baru hendak melangkah keluar, bahunya dicuit oleh seseorang. Berderau darahnya. Jazlee sudah berada di belakangnya. Entah bila si janggut sejemput dan bermisai jarang itu masuk, dia pun tidak sedar.

“Rima! Abang suka awak. Lama dah...sejak nampak awak kat kelas menaip tu.” Ujar Jazlee tanpa rasa malu.

“Apa yang merepek ni? Abang Jazlee dah kahwinlah! Sudahlah, saya nak keluar!’ suara Rima sengaja dikeraskan supaya dia tidak nampak lenggok lembutnya.

Tegak bulu roma Rima bila melihat mata Jazlee seperti kucing sedang mengintai ikan selar

goreng di dalam pinggan plastik. Mata Jazlee kuyu dan menggoda. Rima undur selangkah. Niatnya mahu menuju ke arah pintu gerai malangnya Jazlee tegak terpacak di hadapannya dan menyusahkan untuk dia bergerak ke arah itu.

“Awak sedar tak yang awak ni cantik? Hmmm, bukan cantik biasa...susah nak cakap. Awak cute. Kalau saya kahwin dengan awak mesti awak bahagia. Sebabnya kita akan jadi pasangan sama cantik dan sama padan.” Serentak dengan itu Jazlee mengenyitkan kirinya.

‘Arghhh! Bencinya...adik tak cantiklah! Benci! Benciii!” jerit Rima dalam hati.

“Abang Jazlee dah gila ke? Kak Rona tu tengah mengandung tau bang. Lagipun saya ni budak lagilah. Kak Rona tu pandai buat semua kerja, tak macam saya ni.” Rima tidak tahu mahu berkata apa, akhirnya dia belasah saja. Sedikitpun dia tidak ada rasa hormat kepada lelaki yang sebegitu. Apa guna rupa yang lawa dan badan yang sasa kalau digunakan untuk menghkhianati seorang isteri yang setia? Rima menjadi kasihan kepada Rona yang tidak tahu apa-apa.

“Sebab awak mudalah abang suka!” balas Jazlee dengan muka yang bertambah gatal. Mahu saja Rima bantu menggarunya dengan garfu di dapur. Biar sampai calar balar dan berdarah seluruh muka miang keladinya itu.

“Sudahlah! Tepi sikit, saya nak keluar!”

Jazlee mendepangkan kedua tangannya untuk menghalang laluan Rima. Kemudian Jazlee undur ke belakang lalu cepat-cepat menutup pintu gerai. Takut Rima melihatnya. Meremang bulu romanya. Apalah yang mahu Jazlee lakukan terhadapnya? Rima undur untuk mengelak dari telalu hampir dengan Jazlee. Sebaliknya Jazlee melangkah lebih ke depan.

“Rima, awak biasa tak?” soal Jazlee dengan suara menggoda.

 “Biasa apa?” soal Rima semula dengan garang. Memang pun Rima tidak faham apa-apa.

Jazlee mengenyitkan mata kirinya. Mual lagi perut Rima. Terasa isi perutnya sedang meronta-ronta hendak keluar. Ditahan-tahankan juga oleh Rima.

“Biasalah...hmmm, kena pegang?” jelas Jazlee.

Buntang mata Rima. Tidak disangka sejahat itu otak Jazlee, kuning pemikirannya. Seram sejuk badan Rima. Tegak-tegak bulu romanya. Hilang terus rasa hormatnya yang masih berbaki sehama. Kasihan sungguh Rona yang bersuamikan lelaki yang hidungnya berbelang-belang. Kalau belang harimau boleh tahan juga, malangnya Jazlee berbelangkan syaitan bertanduk.

“Hei! Ko ingat aku ni apa hah?” herdik Rima yang mulai hilang sabar. Dia tidak peduli kalau kerjanya tidak diberi gaji sebab melawan. Peduli apa! Apa yang penting dia sedang angin satu badan. Jazlee sedang menghinanya. Memijak-mijak prinsip dan pendiriannya. Cas positif dan negatif mana boleh berhampiran, haru-biru nanti jadinya!

“Alaaa, jangan buat-buat jual mahallah! Perempuan cuma menolak mula-mula je, dalam hati...hmmm, betul tak?” Langkah Jazlee semakin hampir. Darah Rima sudah naik ke muka. Menyirap rasanya. Itulah yang Rima tidak suka, kerana segelintir perempuan yang tidak tahu malu dan tidak tahu menjaga harga diri, senang-senang saja lelaki pukul rata. Mana boleh hendak merosakkan susu sebelanga dengan setitik nila yang tidak tahu dari mana datangnya. Jangan harap!

“Kalau berani dekatlah!” cabar Rima. Sebenarnya Rima tidaklah seberani mana tapi dia tidak mahu hanya mengangguk dan patuh kepada lelaki buruk perangai itu. Separuh dari hatinya sedang menikus.

‘Hoi! Rima! Jangan jadi pengecutlah! Makin ko takut, makin dia berani tau.’ Sebahagian dari dirinya pula cuba menjadi kayu penyokong supaya Rima tidak lembik seperti bubur nasi yang selalu menjadi makanan orang yang sedang sakit. Rima tidak mahu menjadi seperti orang sakit!

“Macam ni yang abang suka! Berani dan garang!” Sengihan Jazlee menambah meluat Rima. Terasa mahu dicarik-cariknya muka Jazlee. Dirobek-robek sampai berdarah. Biar dia tahu rasa.

“Tapi saya menyampah! Meluat! Rasa nak muntah! Macam-macam rasa ada!” jerkah Rima yang semakin hilang sabar. Manalah Rona? Kenapa dia terlalu lewat sampai?

Sebaik Rima mengeluarkan rasa hatinya, muka Jazlee berubah merah padam. Dia tidak menyangka Rima seberani itu. Paling tidak disangka Rima seteguh itu. Tiba-tiba pujuk rayunya sebentar tadi bertukar menjadi marah yang berapi. Bagi Jazlee, Rima telah menolaknya mentah-mentah. Bahkan telah menghinanya!

Jazlee melangkah lebih dekat lagi. Hanya tinggal sekaki jarak yang memisahkan mereka. Jantung Rima terasa mahu tercabut. Mujur saja ia bukan ciptaan manusia. Kalau tidak, sudah tentu tangkai jantungnya sudah terlucut awal-awal lagi. Kejutan yang berlaku pada pagi itu memang di luar jangkaan Rima. Ia sangat mengejutkan.

 Tangan Jazlee mahu menyentuh badan Rima. Mendadak Rima undur lagi. Hanya tinggal beberapa langkah, akan sampailah badannya ke dinding gerai. Tidak ada ruang lagi untuk Rima mudah melarikan diri.

 “Rimaaa...please, sekali ni je,” rayu Jazlee.

 “Pergi mampus! Jangan haraplah binatang!” balas Rima.

Jazlee semakin dekat. Rima mahu pitam. Hanya tinggal beberapa inci saja lagi badan Jazlee akan semakin rapat dengan badannya. Tiba-tiba Rima merasakan sesuatu. Sesuatu yang berlainan. Rima tidak dapat menahan lagi. Membuak-buak rasanya. Semakin Jazlee mendekat, semakin membuak rasa itu. Sebaik sahaja tangan Jazlee mahu menyentuh badannya sekali lagi, rasa itu juga turut menggelodak dalam dirinya. Rima sangat suka. Tentu Jazlee akan menerimanya sebentar lagi. Jazlee merapatkan lagi badannya, hampir rapat ke badan Rima...uweekkk! akhirnya rasa yang menggelodak itu terhambur juga.

 Selepas itu Rima melepaskan satu tendangan. Jazlee terbongkok-bongkok sambil memegang tempat tendangan itu. Berdenyut rasanya, di situlah nyawanya sebagai lelaki.

Jazlee undur bukan hanya selangkah tapi banyak langkah. Mukanya berkerut menahan loya dan sakit. Kemejanya sudah dipenuhi muntah Rima yang busuk. Maklumlah Mak Jah memang suka menyediakan telur rebus sebagai sarapan pagi Rima. Ada juga hikmahnya Rima bersarapan dengan telur rebus. Baru padan muka Jazlee!

“Kurang ajar! Tunggu balasan aku nanti!” jerkah Jazlee yang kelam-kabut dan terbongkok-bongkok menuju ke sinki. Muntah itu mesti dibersihkan sebelum Rona datang. Kalau tidak nahaslah dia.

Cepat-cepat Rima berlari ke pintu gerai. Peluang yang ada mesti digunakan sebaik mungkin. Sebaik pintu dikuak, Rima berasa lega. Dia mahu pergi dari situ secepat mungkin. Biarlah dia dipecat dan gaji bulannya hangus begitu saja. Rima tidak mahu memikirkan itu semua. Setelah beberapa langkah Rima pergi, dia berpatah balik. Hatinya belum puas lagi. Dia mesti meninggalkan sesuatu buat Jazlee.

“Lain kali jangan anggap semua perempuan sama je! Padan muka!” ejek Rima dengan mukanya menjengol di muka pintu. Cepat-cepat Jazlee mengambil sebiji pinggan lalu dilemparkan ke arah Rima. Rima mengelak dengan pantas. Kemudian dia menjelirkan lidah sebelum beredar dari situ. Mendidih darah Jazlee.

Rima berjalan laju dengan hati riang. Walaupun dia tidak akan menerima duit gaji tapi dia berjaya memperolehi suatu yang lebih besar dari itu. Harga diri dan maruahnya masih terpelihara. Apa yang lebih membanggakan, dia telah berjaya meninggalkan buah tangan yang istimewa untuk Jazlee. Muntah berbau dua biji telur rebus yang sudah dihadam bersama makanan yang sudah bermalam semalaman di dalam usus besarnya. Juga tendangan padu yang akan menjadi bahan ketawanya ketika sedang sendirian. Hohoho...padan muka!

Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.