Home Novel Islamik Rindu Syahadah-MU
Rindu Syahadah-MU
Raihan Zaffya
14/1/2014 07:50:44
7,444
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Bab 5



Sebuah lori kecil berhenti di hadapan rumah sewa Qistina. Dino meninjau-ninjau dari muka pintu rumahnya dengan penuh minat. Muatan lori dipenuhi dengan barang-barang keperluan rumah. Pemandu lori masih tidak turun-turun lagi. 

Tidak lama kemudian kelihatan sebuah motosikal Ducati Monster 795 berwarna merah berhenti di belakang lori kecil itu. Wajah penunggang motosikal tidak kelihatan kerana full face helmetnya.

‘Nak sewa rumah sebelah agaknya tu.’ Dino menjangka-jangka sendiri.

“Bro!” laung Dino daripada muka pintu rumah sebaik sahaja melihat penunggang motosikal itu membuka full face helmetnya. Penunggang itu memberi lambaian balas kepada Dino sebagai tanda hormat.

Dino bergegas keluar. Seluar pendek paras lutut dan sehelai singlet hitam terlekat di tubuhnya. Sepasang selipar Jepun berwarna biru tersarung malas di kakinya. 

Lelaki bermotosikal menoleh sebentar ke arah lori. Ada sesuatu yang sedang diperhatikannya. Setelah berpuas hati barulah dia mengarahkan semula pandangan ke arah Dino.

“Hai bro, aku Dino.” Dino memperkenalkan diri.

“Assalamu alaikum, saya Rian Hazriq.” 

Pemuda bermotosikal Ducati Monster 795 itu pula menghulurkan salam perkenalan. Ada senyum di bibirnya. Nampak mesra. Dino tersipu. Terasa diri sudah silap langkah. Seperti ada beza di antara mereka.

“Waalaiku mussalam.” Tenggelam timbul suara Dino. Ada gugup dan sedikit malu.

“Pindah sini ke?” soal Dino menutupi kecanggungan. 

Lirik matanya melihat muatan di dalam lori. Melalui cermin sisi, dia dapat melihat seorang perempuan sedang duduk di sebelah pemandu. Tidak jelas wajahnya. Tidak pasti masih mudakah perempuan itu atau sudah berusia. Yang pasti seperti bertudung litup.

“Ya, ya. Pindah sini,” jawab Rian Hazriq. Masih ada senyum di bibirnya. 

Sekilas lalu dia melihat ke arah lengan Dino yang bertattoo megah lakaran kuku helang. Dia melihat hanya sebentar. Dino sedar gerak mata Rian Hazriq yang menyinggahi lengannya. Dalam hati ada pelbagai rasa. Menyesal hanya bersinglet sahaja. Menyesal juga kerana begitu awal mahu menyapa jiran barunya. Ah! biarlah. Nasi sudah pun menjadi bubur.

“Cantik!” ujar Rian Hazriq masih kekal dengan senyuman. 

Zip jaketnya dibuka perlahan lalu di tanggalkan dari badan. Dino dapat melihat susuk Rian Hazriq yang biasa-biasa. Sepadan dengan ketinggiannya yang sederhana. Lebih kecil sedikit tubuh Rian Hazriq daripada tubuhnya sendiri.

“Apa yang cantik?” Biar pun seperti tahu apa yang diperkatakan oleh Rian Hazriq tetapi Dino masih mahu bertanya. Ingin kepastian. Juga ada rasa kurang senang.

“Err, tak ada apa.” Rian Hazriq mengurungkan niat mahu menyentuh tentang tattoo di lengan Dino. Sesekali Rian Hazriq menjeling ke cermin sisi.

Ada seseorang yang sedang gelisah di sana. Pemandu lori sudah pun turun lalu membuka kanvas penutup belakang lori. Pintu lori sebelah kiri masih bertutup rapat.

“Rasanya tuan rumah kita ni orang yang sama kan. Puan Adura ada cerita awak masuk ke sini seminggu lebih awal dari saya.” Rian Hazriq cuba untuk lebih ramah.

“Ya, baru semalam dia kutip sewa dan dia ada kata engkau akan masuk,” sahut Dino.

“Maaf ya Dino, kami dah nak mula angkat barang-barang ni. Pakcik saya tak boleh nak lama-lama di sini,” ujar Rian Hazriq sebaik sahaja pemandu lori memanggilnya.

“Tak apa, aku boleh tolong. Aku pun tak ada hal nak buat tenghari ni.” Dino mahu menawarkan bantuan.

“Tak membebankan ke? Lagi pun barang kami taklah banyak mana.” Rian Hazriq pula berbasa-basi.

“Aku ok je bro,” lalu Dino melompat naik ke atas belakang lori. 

Rian Hazriq tersenyum sendirian. Sementara Dino membantu pemandu lori yang juga pakcik kepada Rian Hazriq, Rian Hazriq segera mendapatkan Eynna.

“Eynna boleh turun sekarang. Ambil kunci ni dan terus masuk ke dalam rumah. Abang nak angkat barang-barang dulu.”

“Baik bang. Eynna masuk dulu.” 

Anak kunci rumah bertukar tangan. Tanpa menoleh Eynna terus saja berlalu. Ekor mata Rian Hazriq menyoroti langkah kaki Eynna. Dari belakang lori, Dino turut memerhati langkah kaki Eynna yang teratur dan sopan.

‘Menolehlah sekejap, aku nak tengok muka tu. Cun tak?’ Bisik Dino sendirian. Nakal.

Deheman Pak Murad, ayah saudara Rian Hazriq membuat Dino tersipu. Malu. Tidak menduga Pak Murad begitu asyik memerhati semua gerak-gerinya. Cepat-cepat Dino mengambil sebuah beg besar unuk diberikan kepada Rian Hazriq yang menanti di bawah.

“Siapa perempuan tadi?” Tanpa silu Dino bertanya Rian Hazriq.

“Eynna.” Jawab Rian Hazriq pendek.

Jawapan Rian Hazriq membuat Dino bosan. Hmm, Eynna. Hanya itu sahajakah yang mampu diucapkan oleh Rian Hazriq? Untuk apa sekadar tahu gadis itu bernama Eynna. Bukankah yang lebih penting, siapa Eynna? 

Ah! Apalah yang mahu dikisahkan. Eynna hanyalah seorang jiran baru. Hanya seorang gadis bertudung hitam. Dino tidak mahu ambil pusing lagi.

Kali ini langkah Rian Hazriq pula disoroti. Langkah anak muda itu tersusun dan berkeyakinan. Dua beg besar dipikul dengan mudah. Kelihatan bertenaga sekali. Rian Hazriq meletakkan beg-beg itu di luar muka pintu sebelum datang semula untuk mengambil barang-barang lain. Di muka pintu, tidak kelihatan sesiapa. Mana Eynna? Mengapa tidak mengambil beg-beg yang diletakkan oleh Rian Hazriq begitu sahaja?

‘Adeeiii, apa dah kena dengan aku ni? Asyik sibukkan gadis bertudung hitam je. Biol ke apa aku ni? Aku rasa dia isteri mamat nilah.’ Sekali lagi Dino bercakap-cakap sendiri.

“Der kita angkat almari pakaian ni dulu eh,” ucap Dino setelah penat melayan perasaan.

“Betul tu. Almari ni paling berat. Tak mensyusahkan ke?” Sekali lagi Rian Hazriq berbahasa. Agak tidak selesa jika terpaksa menyusahkan orang lain.

‘Lahai rimas lak aku dengan mamat ni. Sopan santun sangat. Tadi dah tanya, ni tanya lagi. Dah orang nak tolong tu kira oklah.’ Kutuk Dino dalam hati. Mulai rasa bosan.

“Jomlah angkat cepat,” ucap Dino. Mahu cepat-cepat menyudahkan kerja dan mahu cepat-cepat beredar.

“Engkau datang dari mana, bro?”

“Saya orang Kelantan tapi dah lama hijrah ke Kuala Lumpur sebab tugas. Sekarang ni terpaksa pindah ke Seremban ni sebab tak lama lagi saya akan bertugas di tempat yang berhampiran.” Rian Hazriq mulai berpeluh.

Almari pakaian empat pintu itu agak berat apabila hanya dua orang yang mengangkatnya. Pakcik Murad menanti di atas lori sambil mengasingkan-asingkan barangan yang besar dan kecil.

“Kerja apa bro?”

“Biasa-biasa je,” balas Rian Hazriq perlahan.

‘Mesti kerja besar tu. Menyesal aku tanya. Minta-minta janganlah dia tanya apa kerja aku. Malu weyy,” bisik Dino yang rupa-rupanya ‘sedar diri’.

“Awak……….”

“Err, aku pun biasa-biasa je.” Belum sempat Rian Hazriq menghabiskan kata-katanya, Dino sudah mencelah.

“Apa yang biasa-biasa? Saya cuma nak tanya, dah lama ke awak sewa rumah tu.”

Diam-diam Dino mentertawakan dirinya. Malu sendiri. Begitulah agaknya perasaan seorang kuli sepertinya. Rasa rendah diri ketika berhadapan dengan golongan elit seperti Rian Hazriq. Bukan dia tiada pelajaran tinggi, hanya agak sukar untuknya mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan jiwanya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.