Home Novel Islamik Rindu Syahadah-MU
Rindu Syahadah-MU
Raihan Zaffya
14/1/2014 07:50:44
25,358
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Bab 3



Sepulang dari sekolah, Qistina terus ke kamar tidur. Berganti pakaian dan membersihkan wajahnya. Malas mahu mandi. Rutinnya selepas itu ialah membuka buku panduan solat dan membelek-belek untuk entah yang ke berapa kali. Selain Ustazah Sharifah dan televisyen, buku-buku agamalah sebagai tempatnya mempelajari tentang tuntutan hidup beragama.

Dalam hal ini Adura tidak dapat diandalkan. Akan ada pelbagai alasan yang diberi seandainya Qistina mahu merujuk tentang sesuatu yang berkaitan dengan kemusykilan agama. Jauh di sudut hati Qistina sering mencemburui Leena yang terasuh dan kuat pegangan agamanya. Amat beruntung kerana dapat bersahabat dengannya.

Sewaktu di kelas Ustazah Sharifah ada mengingatkan bahawa rangkaian solat fardu yang satu dengan solat fardu yang lain itu menjadi tebusan bagi dosa-dosa yang terjadi di antara kedua-duanya selama dosa-dosa besar itu dijauhi.

Solat yang menjadi tiang agama jika tidak dilakukan bererti sedang meruntuhkan agama Islam itu sendiri. Ngeri sekali ketika Qistina mendengar penjelasan guru agama itu tentang balasan yang amat pedih di sediakan oleh ALLAH seandainya meninggalkan solat dengan sengaja.

“Ya Tuhan! Jahilnya aku!’, keluh Qistina dengan dada sebak.

‘Sudah terlalu lama aku melewati akil baligh tapi tak ada lebihnya aku daripada kanak-kanak tadika. Semua benda aku tak tau.’

Sebuah keluhan dilepaskan dengan payah. Terasa mahu menangis namun tidak mampu untuk Qistina menitiskan air mata. Hanya sebak dan sarat yang menghuni dada.

Sayup-sayup azan Zohor dari masjid berhampiran mulai kedengaran. Qistina menyimpan semula buku panduan solat itu ke dalam almari kecil. Dia bingkas bangun untuk menyempurnakan wuduk. Kata Ustazah Sharifah lagi jangan suka melengah-lengahkan solat kerana mereka akan termasuk dalam kalangan orang-orang yang lalai.

‘Tuhan, bantulah aku! Aku ingin menjadi hambaMU yang tahu diuntung dan aku mahu taat padaMU. Aku jahil, aku bodoh maka bantulah aku,’

Setiap kali mahu menunaikan solat setiap kali itu juga hati Qistina berkelana. Sukar dipujuk. Kalaulah dia dapat meluahkan segala-galanya kepada Adura, betapa bahagianya dia. Sayang sekali Adura bukan orangnya. Dia kurang berminat untuk membicarakan hal-hal sebegitu.

“Ah! macam tu ke cara berdoa? Tuhan dengar ke?’ Seringkali persoalan seperti itu akan muncul. Kurang yakin pada diri sendiri.

Solat Zohor pun didirikan oleh Qistina, di antara khusyuk dengan tidak. Qistina sedang bermain tarik tali, di antara keyakinan dan perasaan was-was. Pelbagai bisikan dan berbagai ingatan mulai muncul satu per satu.

Kisah-kisah yang bertahun ditinggalkan juga mulai jelas kembali ke dalam memori. Segalanya bertandang tanpa dipinta. Aneh, pada setiap kali bersolat itulah yang terjadi.

“Adoi rasa dapat penat je macam ni. ALLAH terima ke solat aku ni. Nak nangis rasa. Kenapalah kepala ni asyik teringatkan yang bukan-bukan bila solat. Tensionlah aku! Nak nangis. Nak nangisss!!!!!!” usai solat dan tidak sempat bermunajat, Qistina seakan mahu menangisi kualiti solatnya. Sedih.

“Ini ke kerja syaitan?” Qistina masih bicara sendiri.

Dengan permainan syaitan yang licik akhirnya Qistina telah teralpa untuk bermunajat, memohon keampunan, belas dan simpati. Malaikat Jibril menyatakan bahawa: “Engkau ya Muhammad dan umatmu akan mendapat sebaik waktu bagi sesiapa berdoa memohon kebaikan pada hari itu pasti ia akan mendapatnya.”

Kekesalan tindih menindih dalam sanubari Qistina. Begitulah ia selalu mendatangi setiap kali usai bersolat. Kesal itu akan menghilang selepas dia tidak mahu memikirkannya dan muncul kembali pada seusai solat dalam waktu yang lain. Ia adalah suatu yang menjengkelkan dan memenatkan.

“Dah solat, sayang?” Qistina segera menoleh.

Adura muncul di muka pintu dengan rambut tidak terurus. Mungkin baru bangun dari tidur. Kuapan yang tidak dapat ditahan telah meyakinkan Qistina bahawa jangkaannya itu benar. Setiap kali pulang dari sekolah, sudah pasti Adura sedang berada di dalam kamarnya. Sama ada dia ketiduran atau sedang asyik berfb.

“Mama?”

Qistina tidak perlu menjawab pertanyaan Adura kerana Adura dapat melihat dengan jelas tubuhnya yang masih berbungkus kain telekung. Dia menyoal Adura kembali kerana amat yakin wanita di hadapannya itu belum melakukannya lagi. Adura hanya menangguk.

‘Ish, ya ke mama dah solat?’ Ada curiga di hati Qistina namun diusir jauh-jauh. Berdosa bersangka buruk terutama terhadap orang tua sendiri.

“Adoi! Qistina dah lupa nak doa!” barulah Qistina tersedar.

“Tak apalah tak berdoa. Bukan Tuhan boleh makbulkan esok hari pun,” ujar Adura bersahaja.

“Astaghfirullah! Mama! Tak baik kata macam tu. Tu namanya bersangka buruk terhadap ALLAH. Ustazah kata tak baik tau ma,” tegur Qistina yang hampir tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Ia keluar daripada mulut orang yang paling dihormatinya. Rasa jengkel cuba dihumban jauh-jauh. Cuba menahan diri agar tidak meluahkan sesuatu yang bakal menyakiti perasaan Adura.

Qistina membiarkan Adura berdiri di muka pintu sambil memerhatikan setiap gerak-gerinya. Kain telekung dibuka dan dilipat kemas. Sejadah berbulu tebal disangkutkan ke tempatnya. Meja solek berbingkai warna emas segera dihampiri. Qistina mahu merapikan rambutnya yang kurang kemas.

Sekilas lalu dia melihat rambut Adura dari cermin solek. Amat berbeda dengan warna rambut miliknya. Adura sedar lirikan mata Qistina dan dia juga dapat membaca apa yang sedang bermain dalam benak anak remajanya itu. Seringkali persoalan yang sama, mengapa rambut mereka berbeda warna.

“Qistina dah kenal dengan orang yang menyewa di rumah sewa kita?” soal Adura dengan tujuan fokus Qistina akan berubah arah. Tidak lagi akan memikirkan tentang warna rambutnya.

“Tak lagi ma. Hmm, lelaki kan ma. Tak kenal pun tak apalah, bukan penting sangat pun,” sahut Qistina tidak menunjukkan minat.

“Kena ambil tahu juga sayang. Itu rumah Qistina.”

“Rumah mama. Mereka dari mana ma?” Soal Qistina sambil menyikat rambut kuning bulu jagungnya.

“Dari Kuala Lumpur.”

“Kuala Lumpur?” Spontan pertanyaan itu yang terpacul dari bibir mungil Qistina.

“Kenapa? Terkejut je.”

Untuk seketika bola mata Qistina merenung kosong ke cermin solek. Perlahan-lahan muncul wajah dua insan yang usianya sedang merangkak ke senja. Wajah lelaki tua itu tersenyum ramah dengan pandangan menggamit. Sedangkan wajah wanita di sebelahnya begitu mendung tanpa senyum. Suram dan lesu.

“Teringat tok dan tok wan, ma. Rindu.” Wajah Qistina berubah suram, sesuram bayangan wajah tok wannya di cermin solek sebentar tadi.

“Call je,” malas Adura mahu melayan. Satu perkara yang Adura kurang senang adalah ketika Qistina merindui Puan Harlina dan Tuan Adam. Kesal. Jarang benar kedua orang tua Yusuf mahu menjengah satu-satunya pewaris mereka.

“Alaaa, tak naklah ma. Biar tok wan yang rindukan Qistina. Qistina nak tok wan yang call Qistina.”

“Berapa orang yang menyewa rumah kita ma?” tambah Qistina kembali ke topik asal.

“Dua orang tapi seorang lagi kawan mereka selalu juga datang ke rumah tu. Rumah sebelah tu pun dah ada yang nak sewa, sayang. Mama dengar dia seorang doktor muda. Bolehlah kenenkan dengan Qistina nanti,” ujar Adura lalu tersengih.

“Mama ni kan! Tak naklah Qistina. Ma, mama tau tak?”

“Apa dia?”

“Qistina nak kahwin dengan orang soleh. Macam ustaz ke, hafiz ke, yang penting orang yang alimlah.” Ada tawa kecil di hujung kata-kata Qistina. Yang pasti itulah angan-angannya. Dia sedar kekurangan diri yang tidak bijak danterlalu dangkal ilmu agama.

Adura menjuihkan bibir. Qistina hanya tersenyum melihatnya. Bagi Qistina, Adura sengaja mahu mengusiknya. Telahan Qistina ternyata meleset. Pada Adura semua lelaki sama, tidak kira mereka itu ustaz, orang alim atau yang biasa-biasa.

Nafsu tidak mengenal apa sahaja gelaran mereka. Lelaki adalah sama. Di ruang hatinya hanya dihuni sebuah nama, Yusuf dan Yusuf. Hakikatnya Yusuf hanya tinggal nama sedangkan tubuhnya telah bersemadi di pusara 19 tahun lamanya.

Wanita di awal 40an itu tidak bisa memahami akan sekeping hati. Biarpun dari awal lagi Yusuf telah menolak cintanya dan berpaling dengan menyintai Raihana namun kasih Adura tidak pernah padam. Itukah yang dinamakan cinta sejati? Adura sendiri tidak pasti. Kenyataannya perasaan yang aneh itu tidak pernah mati.

“Mama suka tak kalau Qistina kahwin dengan orang-orang macam tu. Husband Qistina nanti boleh bimbing Qistina.” Remaja berusia 19 tahun itu masih tenggelam dalam anganannya. Dia mengharapkan ia akan menjadi satu kenyataan suatu hari nanti.

“Bukan lelaki semua sama ke? Hah! Bosanlah mama nak cerita pasal lelaki, dah jelak. Semuanya nak seronok dan suka-suka,” bidas Adura keras.

“Tadi mama juga nak Qistina dekat dengan doktor muda yang nak sewa rumah kita tu, sekarang ni dah lain pula. Mama dah anti lelaki dah,” sengihan terlihat di wajah Qistina.

“Haisshh! Tu mama saja-saja je.”

Qistina telah masak. Setiap kali berbicara soal kaum Adam, akan begitu sikap Adura. Qistina tidak dapat menghidu mengapa Adura begitu dingin terhadap kaum lawan jenisnya. Mungkin kerana kisah-kisah lalunya. Tidakpernah terlintas untuk Qistina bertanya untuk mendapatkan jawapannya.

“Esok lusa doktor muda tu akan masuk ke rumah sewa tu, boleh tak Qistina serahkan kunci pada dia?”

“Mama jelah ma. Malulah Qistina. Qistina kan anak dara mana boleh macam tu. Jatuhlah saham nanti. Tak dapat kahwin dengan ustaz, rugilah Qistina.” Qistina ketawa kuat. Sengaja dia berbuat begitu agar wajah Adura yang serabut akan ceria kembali. Qistina paling tidak suka melihat Adura tidak ceria.

“Gatal!” dengus Adura.

“Tak gatallah ma, ni namanya merancang masa depan. Takkan Qistina nak jadi Andalusia. Tak bestlah!” Qistina tersengih seperti kerang busuk.

“Andalusia?”

“Anak dara lanjut usia, ma.”

Terpamer senyuman di wajah Adura. Ada sedikit lucu di hati melihat kenakalan Qistina. Senyuman Adura sudah memadai buat Qistina biarpun tiada tawa seperti yang diharapkan.

Sebagai seorang anak, Qistina amat memahami akan gelombang, pasang-surut dan aliran perasaan Adura yang selalu tidak menentu. Ketika musim-musim perubahan itu Qistina juga perlu bijak melayani Adura mengikut setiap musim yang melanda.

“Nakal!”

“Anak mama kan,” lalu Qistina mengucup pipi Adura dan kali ini wanita itu tersenyum lebih lebar lagi. Senang Qistina melihatnya.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.