Home Novel Islamik Rindu Syahadah-MU
Rindu Syahadah-MU
Raihan Zaffya
14/1/2014 07:50:44
25,307
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Bab 4



Tiga orang pekerja di kedai Motor Tan Cheng sedang sibuk pada hari itu. Beberapa buah motosikal memerlukan pengubahsuaian. Motosikal 2 lejang 125z, LC125 dan RxZ bagaikan kuda liar yang perlu dijinakkan. RxZ yang menjadi kesayangan Dino tidak ubah seperti buah hatinya. 

Seperti nyawanya. Entah sudah berapa kali motosikal itu meredah keheningan sepertiga malam. RxZ hitam itu sudah begitu sinonim dengan laluan di Dataran Merdeka, Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Chow kit dan Jalan Tengku Abdul Rahman.

Blackie pula begitu bangga dengan LC125 yang telah dimiliki lebih dari setahun. Chor juga memiliki motosikal yang sama seperti Blackie. Hanya warnanya yang berbeza. Kedai Motor Tan Cheng menjadi pilihan tiga anak muda penyewa di rumah sewa Qistina.

“Bro, tak boleh kenanglah malam tadi. Makan asaplah mamat dari Ular Tedung kan. Dia ingat aku takut nak gempur litar berani maut tu. Akrobatik aku bro.” 

Dengan rasa bangga Dino bercerita. Bukan mudah mahu berlumba di laluan Jalan Raja Laut. Tidak ada laluan pintas untuk melarikan diri jika pihak polis melakukan serbuan. Hanya mereka yang berhati kering sahaja sanggup melalui litar itu. Lebih-lebih lagi polis dan JPJ selalu sahaja mengintai-intai dan bersedia membuat serbuan pada bila-bila masa.

“Aku pun salute dengan ko la bro. Rugi malam tadi aku tak turun. Ibu akulah asyik pok pek pok pek. Tension aku, bro. Sudahnya aku masuk bilik buat tahi mata. Aku rasa nak chaw je dari rumah aku yang membahang tu.” 

Blackie bercakap dengan penuh perasaan. Sesekali dia menjeling ukiran tattoo kebanggaan yang terlakar pada lengannya.

“Apa yang ibu ko bebelkan?” sampuk Chor yang sedari tadi begitu asyik memerhatikan pekerja Tan Cheng yang sedang mengubahsuai motosikal yang menjadi satu-satu miliknya. Chor anak jati Teluk Intan telah berhijrah ke Kuala Lumpur tiga tahun lalu dan kini tinggal bersama Dino di Seremban.

“Sebab benda nilah. Dah seminggu aku kena leter. Tak senang hidup aku. Nak makan pun aku dah tak lalu tapi kalau mak aku keluar berjual aku belasah jelah apa yang ada bawah tudung saji.” 

Selepas itu Blackie ketawa dengan kuat. Lucu dengan kata-katanya sendiri. Dino membaling Blackie dengan kotak rokok yang dipegang sedari tadi. Chor turut ketawa melihat gelagat Blackie.

“Aku tak salahkan ibu ko bro. Betullah bebel dia tu. Tattoo tu haram kan dalam Islam. Adalah aku tanya ustaz masa zaman sekolah dulu. Biar kita jahat bro tapi yang tak boleh jangan buat.” 

Chor mulai berkhutbah. Dino dan Blackie saling berpandangan. Mereka bertukar senyum. Sudah sedia maklum, Chor adalah mat rempit yang ala-ala seorang ustaz.

“Hmm, tahlah bro. Aku dah ‘ter’. Tak boleh nak patah balik. Benda ni bukan boleh main cuci dengan klorox je.” Keluh Blackie lalu melihat pula tattoo di lengan Dino. Dengan warna dan corak yang sama. Kuku Helang.

“Alaa, sudahlah! Nanti-nanti kalau kita rasa nak buang, kita jumpalah pakar tattoo. Tu pun kalau bolehlah,” ujar Dino selamba.

Dino, Balckie dan Chor adalah tiga anak muda yang mewakili anak-anak muda yang kehilangan jati diri. Perubahan zaman dan arus kemodenan banyak melalaikan mereka. 

Bukan kemodenan itu yang menjadi punca tetapi nipisnya pegangan hidup yang bakal membawa malapetaka. Mereka masih muda jadi mereka mahu sentiasa gembira. Tidak kira bagaimana mahu memperolehinya. Itu semua tolak ke tepi. Yang penting hati muda mesti diturutkan.

“Tukar topik boleh tak?” Saran Dino sudah yang mulai bosan.

“Wokeeyy! Bila kita nak gegar Nilai. Poket dah menipis ni. Dapat sebiji Kriss pun dah kira cantik. Satu Kriss, Tan Cheng sanggup bagi rm200-1500 hooo. Dapatlah duit poket sementara menunggu hari gaji.” 

Rancangan nakal Chor pun bermula. Itulah mata pencarian sampingan mereka. Memadai untuk membeli makan minum harian dan membayar harga rokok yang semakin mahal.

Lucu sekali. Bagi Chor tattoo itu haram tetapi dia tidak sedar mencuri itu juga berdosa. Mungkin juga Chor masih sedar, hanya nafsu yang menguasai diri membuat dia terlupa. Ah! anak muda memang sukar dijangka. 

Dino mengangkat sebelah kening. Memberi isyarat kepada Blackie sebagai tanda bersetuju dengan cadangan Chor. Ketiga mereka selalu bersatu hati walaupun anggota Kuku Helang melebihi 20 orang jumlahnya. Hanya mereka yang akrab. Anggota selebihnya sekadar on off sahaja.

“You semua hati-hati ma, jangan bikin ini kedai polis aim. Nanti susah ma.” Dari kaunter pembayaran kedengaran Tan Cheng memberi amaran.

“Macam tak biasalah boss, pandailah kami. Berapa banyak untung boss dah dapat dari kami?” sahut Dino sambil melangkah menghampiri Tan Cheng. Mereka selalu berurusan dengan Tan Cheng sebelum berpindah ke Seremban lagi.

“Banyak untung arr,” sahut Blackie dengan pandangan mata tertumpah ke wajah Tan Cheng yang tersengih.

“You jangan banyak bunyi boss. Nanti kami cari lain tempat, siapa rugi?” Ugut Dino keras. Dia telah pun melabuhkan punggungnya ke kerusi kayu di hadapan kaunter pembayaran.

“Ok, ok. You bikin you punya kerja senyap-senyap. I bikin I punya kerja baik-baik. I untung, you semua pun untung ma.” 

Agak kendur nada suara Tan Cheng kali ini. Dino melempar senyum ke arah kedua rakannya. Blackie dan Chor mengangkat ibu jari sebagai tanda menyokong. Ada rasa lucu ketika melihat Dino menakut-nakutkan Tan Cheng. 

Bagi Blackie dan Chor, mereka mengaggap Dino sebagai ketua kumpulan walau pun tanpa pengetahuan Dino sendiri. Hanya kurangnya Dino kerana dia tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pengubahsuaian motosikal.

“Boss, berapa lama lagi motor kami boleh siap? Malam ni kami test line panas.” Ujar Chor dengan nada suara agak tinggi.

“Mau tip top you kena sabar. Tak mau bising-bising. I nak bikin I punya kerja. You semua pergilah makan-makan minum-minum sana kedai makan.” Jawab Tan Cheng tanpa memandang ke wajah Chor.

“Gang, jom blah!” Dino mendahului yang lain mahu beredar dari kedai motosikal itu.

“Chaw dulu boss.” Ucap Chor kepada Tan Cheng.

“Pergi, pergi.” Sahut Tan Cheng sambil menggawangkan tangan kirinya.

‘Budak-budak Melayu memang banyak teruk. Hari-hari mau bunuh diri. Gua apa peduli, wang masuk gua layan budak Melayu baik-baik.’ Melihat langkah seiring ketiga-tiga anak muda yang tiada hala tujuan itu.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Raihan Zaffya