Home Novel Keluarga BUDAK PANTAI
BUDAK PANTAI
Miko Yan
6/3/2019 11:54:14
79,432
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 12

MELEWATI waktu zohor,  Putra memandu sebuah bot pelancong ke arah taman laut ditemani oleh Ima dan Az yang bertindak sebagai juruarah. Mengendalikan bot tidak menjadi masalah kepada Putra kerana dahulu dia seorang kaki pancing yang selalu menjelajah sungai, tasik dan lautan dengan bot seperti itu. Ika pula telah mengambil tugas melayan Remy dan Marissa makan tengah hari di Blue Inn. Tugas menguruskan ayahnya juga diambil alihnya.

                Sepanjang perjalanan ke taman laut, Putra, Ima dan Az telah dipanoramakan dengan keindahan ciptaan tuhan. Laut biru dengan pulau-pulau kecil di sekitarannya cukup mendamaikan hati. Aroma laut dan hembusan angin menambahkan lagi ketenteraman.

                Kira-kira setengah jam menempuh perjalanan yang lancar, bot panduan Putra akhirnya tiba di Taman Laut Pangkor. Amran yang menyedari kehadiran mereka itu segera mendapatkannya di jeti. Dia sebenarnya sudah sekian waktu menahan lapar. Putra yang pertama kali tiba di situ dilanda rasa kagum yang teramat. Belum pernah dia melihat keindahan sebegitu. Ikan-ikan yang berwarna-warni dan berbagai-bagai saiz yang berenang ke sana ke sini jelas di penglihatannya dari atas jeti. Air di situ sungguh jernih sekali. Terumbu karampel bagai warna makin menambahkan lagi keindahan di situ. Begitu juga rumpai-rumpai laut yang meliuk ke kanan dan ke kiri ditolak arus dasar. Ima dan Az yang sudah acap kali ke situ tersenyum panjang tatkala melihat mulut Putra yang terlopong seperti orang jakun. Teringat mereka kepada watak Xi dalam filem The Gods Must Be Crazy.

                “Pasal apa lambat?” Soal Amran sebelum menyambut huluran satu plastik yang sarat dengan bekas makanan polisterin daripada Putra.

                “Lambat ke? Baru pukul 12.00,” senda Putra dengan lagak mendongak ke langit melihat matahari.

                “Banyaklah kau pukul 12.00. Kalau pukul 12.00, matahari tegak atas kepala, sekarang kau tengok matahari ke arah mana?” Balas Amran dengan wajah bengkek.

                “Tegak je aku tengok,” senda Putra lagi, cuba mengapikan lagi  Amran sambil menjadikan tangannya sebagai pembaris untuk mengukur kedudukan arah matahari yang sebenarnya telah sedikit condong ke barat.

                “Aku rasa kau patut pergi jumpa doktor, check mata kau itu!”Amran makin geram dibuatnya. Putra tersengih, puas dengan usikannya yang berjaya membuatkan rakannya itu bertambah panas. Ima dan Az mengekek tawa melihat telatah dua pemuda itu.

                “Kau masak apa hari ini?” Soal Amran lagi kepada Putra yang sudah melarikan semula pandangan matanya ke arah panorama di dasar laut.

                “Aku tanya kau masak apa hari ini?” Ulang Amran selepas tiada reaksi daripada Putra. Sengaja Putra membuat kaku dan bisu. Matanya juga berolok-olok pegun.

                “Hoi! Kau tengok ikan atau kau tengok gadis-gadis sunti itu?” Jerkah Amran yang bengang pertanyaannya tak dijawab.

                 “Apa?” Putra buat-buat tersentak. Amran menukas semula soalannya.

                 “Aku tengok kedua-duanya. Sebab kedua-duanya mengasyikkan dan indah dipandang mata,” balas Putra. Kata-kata nakalnya itu turut didengari oleh Ima dan Az. Langsung mereka mencebik bibir, seolah-olah cemburu akan pujian yang diberi oleh Putra kepada pelajar-pelajar UMT yang sememangnya bertubuh ramping dan seksi itu. Lebih-lebih lagi ketika mereka berada dalam keadaan basah sebegitu, makin terserlah bentuk badan mereka.

                Ima kemudian memperkenalkan Az kepada Amran. Mereka berjabat tangan.

               “Hah, salam tu jangan lama-lama! Nanti tak pasal-pasal pulak dari mata jatuh ke hati. Terganggu tidur aku nak melayan sentimental kau pulak malam nanti,” usik Putra selepas melihat Amran dan Az saling terpegun. Ima meletus tawa tatkala mendengar kata-kata Putra itu. Amran dan Az menjadi malu-malu kucing. Hai, tomboi pun tahu malu! Maksudnya?

              Mereka berempat kemudian menapak ke arah satu tempat makan yangtelah disediakan di bawah pepohon yang rendang di pinggir pantai. Indra sudahmenanti di situ.   

              Putra kemudian berlari ke arah gigi air sambil melambai-lambai ke arah pelajar-pelajar UMT yang sudah mesra dengannya. Cuma dengan pelajar yang di panggil Tijoh itu aje dia seperti mahu mengelak. Gadis-gadis remaja itu menyedari kehadirannya, lantas mereka melambai balas kepadanya.

             “Makan!” Jerit Putra lagi sambil membuat isyarat tangan. Kelima-lima gadis itu segera naik ke darat.

             “Dah lama ke Abang Putra sampai?” Soal pelajar yang bernama Sofea.

             “Baru saja,” balas Putra pendek.

             “Abang Putra masak apa?” Tanya Aisyah pula, yang bertubuh genit dan paling manis dari kalangan lima sekawan itu.

             “Rahsia, nak tahu kenalah pergi tengok dan rasa.” Putra cuba berahsia.

             “Mesti sedap macam semalam,” celah Luna pula. Putra sekadar mengukir sengih dan pandangan akan cepat-cepat dialih tatkala bertertangan mata dengan Tijoh, seakan dia mahu mengelak daripada gadis itu. Mujur Tijoh tak perasan akan perubahannya itu, kalau tak, pasti sedikit sebanyak gadis itu akan terasa. Kelima-lima pelajar itu kemudian segera menapak ke arah Ima, Az, Amran dan Indra di sebuah pondok. Seakan mereka sudah tidak dapat lagi menahan selera masing-masing. Lebih-lebih dalam keadaan perut yang lapar selepas sekian lama berendam di dalam air.

            Semalam, mereka tidak puas menikmati hidangan yang disediakan oleh Putra. Putra sebenarnya hanya memasak lauk yang ringkas sahaja tengah hari itu kerana mengejar waktu. Walaupun ringkas, tapi tetap menyelerakan. Buktinya,makanan Amran sudah tinggal separuh walaupun baru sahaja dijamahnya. Lahap sekali dia menjamah nasi berlauk gulai ayam resepi Terengganu dan bersayur kobis goreng itu. Lapar benar dia. Indra juga. Ima dan Az segera memainkan peranan menghulurkan bungkusan polisterin kepada setiap pelajar jurusan Maritim dari Universiti Malaysia Terengganu itu.

           Putra tidak menyertai mereka. Sebaliknya, dia meminjam sebuah gogal daripada Aisyah dan berenang bersama ikan-ikan di permukaan air. Keterujaannya tak dapat dibendung lagi. Dia berenang dengan riang sekali. Az kemudian menyertainya. Mereka sama-sama bermain dengan kawanan ikan yang berenang di sekitar terumbu karang yang berwarna-warni itu. 

         “Macam mana, bro? Seronok berada di sini?” Soal Az setelah dia dan Putra naik ke darat semula. Masing-masing melabuhkan punggung di lantai pasir di pinggir pantai itu. Kesejukkan membataskan mereka untuk terus berada lebih lama bersama kawanan ikan dan hidupan maritime yang lain.

         “Bukan hanya seronok, tapi beronok-ronok,” balas Putra. Mereka sama-sama ketawa kelucuan. Mata mereka masih tidak lepas kepada ikan-ikan yang jelas kelihatan di permukaan dan di dasar taman laut separas dada itu.

         “Abang nak ucapkan terima kasih kepada Az.” Putra bersuara selepas masing-masing melayan perasaan sendiri beberapa ketika.

         “Ucap terima kasih apa pulak ni, bro?” Az sedikit kehairanan.

          Putra tidak terus menjawab. Sebaliknya dia mengukir senyum dan mengalihkan matanya tepat ke mata Az. Dia merenung gadis itu seketika kerana karekter gadis tomboi di depan matanya itu tak ubah seperti seseorang yang pernah bertakhta di hatinya suatu ketika dahulu, Perlakuannya itu membuatkan Az mula tersipu malu, dan cuba melarikan arah pandangannya. Menampakkan kefemininannya.

          “Kenapa pandang gua macam itu, bro?” Soal Az dengan wajahyang mula kemerahan. Putra sedikit tersentak. Dia sendiri tidak menyedari sudah berapa lama dia merenung Az.

         “Err, sorry.” Giliran Putra pula berasa malu.

          “Kenapa ucap terima kasih kepada gua?” Az mengulang kembali soalannya yang terdahulu.

          Putra menghela satu nafas pendek, kemudian dilepaskan bersama satu ukiran senyum.

          “Sebab Az, abang diterima bekerja di Blue Inn,” jawab Putra. Senyumnya penuh ikhlas.

          “Itu perkara kecil ajelah, bro,” balas Az.

          “Kecil bagi Az, tapi besar maknanya untuk abang. Pertama kali dalam hidup abang rasa setenang ini.” Mata Putra sekali lagi tepat ke mata Az. Kali ini Az tidak melarikan matanya itu. Mereka saling merenung. Kemudian sama-sama tersenyum.

       Laungan dari Ima selepas itu mengganggu perbualan mereka.

       Hisyy, kacau daun betul lah Ima ni!

       Desisan kehampaan bergema dalam hati salah seorang daripada mereka.

       Lantas mereka bingkas bangun dari labuhan punggung dan beriringan menapak ke arah Ima dan yang lain di bawah pondok.





Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan