Home Novel Keluarga BUDAK PANTAI
BUDAK PANTAI
Miko Yan
6/3/2019 11:54:14
79,623
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 21

MALAM semakin memercikkan dakwat gelapnya. Jam di dinding bilik bujang itu sudah melewati pukul 12.00 tengah malam. Namun begitu, dua penghuni bilik itu masih belum melelapkan mata walupun masing-masing sudah di pembaringan.

           Fikiran Amran masih dilegar-legarkan isi perbincangan dengan Kamarul dan Ika beberapa jam yang lalu. Manakala Putra, asyik dengan novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Kisah novel itu kian menariknya ke alam fiksyen.

            “Bro, idea yang kau beri kepada bos itu memang bagus.” Amran memecah kesunyian itu.

            “Apa?” Soal Putra dengan matanya masih tidak berkalih dari Kisah Zainuddin dan Hayati.

            “Idea-idea yang kau beri kepada bos itu memang bagus.” Amran menukas.

            “Jadi, apa pendapatkau? Boleh proceed ke idea aku tu? Ika dengan bos setuju ke?” Pantas Putra berpaling kerana perhatiannya ditarik.

            “Ika dengan bos setuju. Cuma kita ada satu masalah.” Amran membalas.

            “Masalah?” Putra mengerut sedikit dahinya. Lantas juga dia bangkit dari pembaringannya. Novel karya PakHamka yang sudah separuh dibacanya itu ditutup dan disimpannya di ata smeja di sisi katilnya. Dia kemudian bersandar pada dinding dan mengadap Amran,  bersedia untuk menjadi pendengar yang setia.

            “Kau tahu sebab apa bos tiba-tiba pening kepala tadi?” Amran tidak terus menjawab, sebaliknya memberi satu satu soalan yang lain. 

            “Pasal kos ke?”Putra menduga. Dia tahu idea pembangunannya itu sememangnya memerlukan perbelanjaan.

            “Pasal kos, itu masalah kecil sahaja. Ika sanggup membuat pinjaman. Aku pun boleh membuat sedikit pelaburan dengan duit simpanan aku. Tapi ada satu masalah yang lagi besar,” kata Amran.

            “Masalah apa?”Putra jadi tertanya. Jika soal kos bukan menjadi masalah besar, apa lagi yang boleh menjadi halangan projek pembangunan itu?

            “Siang tadi bos ada jumpa dengan Cik Jessie kan?”

             Putra mengangguk.

            "Kau tahu siapa sebenarnya Cik Jessie itu?”

             Kali ini Putra mengangkat bahunya. Sememang hujung pangkalnya dia belum tahu. Dia cuma tahu Jessica ialah dia seorang peguam yang datang kali kedua ke Blue Inn kerana perlu berjumpa dengan kliennya di pulau itu dan kliennya itu ialah Jamal. Walaupun ada juga sedikit wasangka di hatinya tujuan perjumpaan Jessica dengan Jamal siang tadi, namun dia tidak mahu melulu dengan perasaannya itu. Asasnya perlu dicari terlebih dahulu.

            “Buat pengetahuan kau, Cik Jessie itu sedang mengendalikan satu kes tuntutan berkaitan dengan Blue Inn. Dia itu sebenarnya peguam yang dilantik oleh Jamal.” Amran membongkar siapa sebenarnya Jessica dan perkaitannya dengan Jamal.

            "OMG! Patutlah... " Putra mula mendapat bayangan kenapa Jessica bertanya pelbagai soalan kepadanya sebelum ini?

            Suasana jadi terdiam seketika. Putra berfikir sesuatu. Dia sedar, memang betul kata Amran masalah itu boleh menjadi satu masalah besar kerana sesuatu kes mahkamah  akan mengambil masa yang lama untuk dibicarakan. Dia masih ingat dengan apa yang terjadi kepada seorang kawannya yang terlibat dalam satu kes tuntutan yang hampir sama. Hampir 5 tahun baru kes itu selesai. Sudah pastilah banyak masa akan terbuang nanti dan segala perancangan yang ingin dilakukan juga pasti akan terbantut.

            “Tuntutan itu ada asas atau tidak?” Soal Putra selepas sejenak.

            “Mengikut pemerhatian aku, berpandukan dokumen wasiat yang bos miliki, bos di pihak yang benar.” Amran memberi pemahamannya. Wajah resah Putra kembali ceria bila mendengar jawapan Amran itu. Dia mengukir senyum. Masih ada harapan idea-idea yang diberinya kepada Kamarul untuk direalisasikan. Namun, senyum itu tak sempat meleret.

            “Kalau tak ada asas, kenapa pulak si bedebah itu mahu buat tuntutan?” Soal Putra kembali. Kekamuran itu mengisi kotak fikirannya.

            “Apa dua penyakit kritikal bangsa kita?” Sekali lagi Amran menjawab dalam bentuk soalan.

             “PHD dan tamak haloba,” balas Putra pantas.

             “Betul! Itulah sebab-musababnya.” Amran mengiakan jawapan daripada Putra itu.

             “Penyakit turun-temurun orang Melayu rupanya.” Putra mengeluh, menutup perbualan itu. Novel karya Pak Hamka di pojok meja diambilnya semula sebelum perlahan-lahan dia merebahkan kembali tubuhnya ke tilam. Bab terakhir karya agung itu menggodanya supaya dia segera menghabiskan bacaannya, demi mengetahui pengakhiran kisah Zainuddin dan Hayati. Sebuah kisah yang sama tragik dangan kisah Jack dan Rose dalam filem Titanic. Masih terngiang-ngiang di telinganya dialog epik Jack dan Rose, “you jump I jump!” Amran pula mula menepuk-nepuk bantal, bersedia untuk melelapkan matanya.


 

SATU hari lagi tertanggal dari helaian waktu. Tika itu mentari mula meninggi. Deburan ombak terus menyapa pantai. Hendak memahami maksud kesetiaan tidak susah. Lihat sahaja kepada ombak dan pantai. Itulah bukti kekuasaan Sang Pencipta. Setiap ciptaan-Nya ada pengertian. Angin dari arah lautan pula terhembus lembut. Cuaca agak baik hari ini. 

            Putra menghela satu nafas panjang, sebelum melabuh punggung di lantai pasir. Matanya dihala ke setiap ceruk pantai yang memutih. Senyuman perlahan-lahan terukir di bibirnya. Jiwanya tenang. Sesekali angin sepoi-sepoi bahasa membuaikan rambutnya yang kian panjang. 

            Di udara kelihatan sekawan camar putih mengepak sayap secara berirama, menambahkan lagi ketenangan pagi itu. Sekilas fikiran Putra turut sama melayang.

            Nona Manis… barangkali Nona Manis pernah duduk di hamparan pasir ini seperti Sayang duduk sekarang. Tentu juga Nona Manis telah melihat keindahan yang sama seperti Sayang lihat sekarang. Benar seperti Nona Manis katakan. Suasana di Blue Inn ini sangat mendamaikan. Hati Putra berbisik sepi. Di bingkai matanya mula bergenang air jernih.

           Entah kenapa? Pagi itu hatinya betul-betul dilanda kerinduan. Barangkali kerana malam tadi dia bermimpi tentang tragedi yang menimpa dirinya di Jepun dahulu. Satu tragedi menyayat hati yang meragut nyawa kekasih hatinya, Ayumi. Potret gadis itulah yang terpaku di dinding dapur Blue inn yang selalu ditatapnya sepi setiap hari. Gadis berbangsa Jepun itu telah meninggalkan dunia buat selamanya.  

            Semoga Nona Manis tenang di sana.’ Hatinya berbisik lagi. Perlahan-lahan dia  mengusap parut di tangan kirinya. Seperti masih dapat dirasainya pedih luka akibat kecelakaan jalan raya itu.

            Berselang kemudian dia terkenang pula wajah Liana, gadis sebaya yang sempat menjadi tunangnya beberapa minggu sahaja. Sama seperti Ayumi, Liana juga telah pergi buat selama-lamanya. Perginya akibat menanggung kanser yang tak disedarinya. 

            Dengan kehilangan berganda itulah dia beranggapan dirinya telah disumpah oleh satu badi. Dia berfikiran dia tidak boleh berhubungan dengan seseorang gadis. Kerana itulah dia mahu menjauhi Dhea Azlina. Walaupun peluangnya untuk memiliki Dhea kini telah kembali terbuka, namun dia tidak mahu Dhea ditimpa nasib yang sama seperti Ayumi dan Liana.

            Maafkan aku, Dhea…    

            “Abang Putra!"

            Belum sempat imbauan sepi itu berpanjangan, Putra kembali ke alam nyata selepas dikejutkan oleh satu jeritan dari arah halaman Blue Inn. Pantas dia berpaling ke arah itu. Kelihatan Ima melambai cemas ke arahnya. Dia segera bingkas bangun.

           “Kenapa Ima?” Soal Putra saat dia mendapatkan Ima.

           “Abang Am sedang berkelahi dengan Jamal dan pak ciknya di pekan,” jelas Ima yang masih dengan wajah cemasnya.

           “Abang ke sana sekarang. Ima tunggu saja di sini,” kata Putra. Dia tahu Amran mengiringi Kamarul, Ika dan Jessica berjumpa dengan Jamal di sebuah restoran di pekan Pangkor pagi itu. Perkara sebegitu sudah dikhuatirinya akan berlaku. Walaupun dia ada menawar diri untuk menemani mereka ke sana tadi, namun ditolak oleh Ika. Alasan Ika tidak mahu mencetus rasa kurang senang kepada Jamal.

          Putra memecut Volkswagen Kombi ke arah pekan Pangkor. Walaupun usia kenderaan itu sudah hampir menjangkau 50 tahun, namun kudratnya masih seperti sebuah kenderaan baru. Barangkali kerana van itu dijaga rapi oleh Kamarul dan arwah ayahnya dahulu.

           Indra yang baru pulang dari berjumpa dengan Din berselisih dengan van panduan Putra itu di tengah jalan. Melihat situasi van yang memecut laju dan memberi isyarat lampu kepadanya, Indra berpatah semula untuk mengejar. Dia sedar pasti ada sesuatu yang berlaku.

           Akhirnya, Putra tiba di perkarangan sebuah restoran. Dari jauh dia sudah dapat melihat orang berkerumun di hadapan restoran itu. Suara orang menjerit supaya menghentikan pergaduhan jelas kedengaran.

         Putra tanpa sempat mematikan enjin van terus meluru keluar dan berlari ke arah orang ramai itu. Dilihatnya Amran dibelasah oleh Jamal dan konco-konconya. Suara tempikan Ika yang minta pergaduhan itu dihentikan juga semakin jelas kedengaran. Kamarul pula kelihatan memegang dadanya sambil dipapah oleh Jessica. Tanpa berlengah terus Putra terbang melayan kakinya ke arah pemuda yang paling sasa dalam kalangan tiga pemuda itu. Impak dari tendangan itu menyebabkan Jamal tersembam ke lantai tar.

         “Hah! Ini lawan kau yang sebenar!” Jerit Putra. Kekuda silat gayong yang pernah dipelajari di kampungnya dahulu sudah dipasangnya. Dia bersiap siaga untuk menerima serangan balas.

         Melihat kemunculan tiba-tiba Putra itu, Zaki dan Adli berundur.Seperti mereka ada rasa sedikit gentar untuk berdepan dengan Putra. Lebih-lebih lagi bila mereka melihat Indra juga telah tiba di situ. 

        “Berundur buat apa? Seranglah balik!” Jerit Jamal yang berang. Sudahlah dia tersembam mencium lantai tar, makin berang hatinya bila melihat sikap pengecut dua konconya itu.

         Mahu tak mahu Zaki menerpa juga ke arah Putra. Pantas Putra menyaut tangan Zaki dan menguncinya ke belakang. Zaki meronta-ronta cuba melepaskan dirinya. Namun kunci kilasan itu kejap sekali. Melihat Zaki yang terperangkap, Adli cuba membantu dengan mengayun  penumbuknya ke muka Putra. Namun belum sempat penumbuknya singgah di muka Putra, Indra menerajangnya. Adli jatuh berguling-guling.

       “Sial!”  Melihat situasi itu, Jamal menjadi semakin bengang. Dia bingkas bangun dan meluru ke arah Putra. Melihat Jamal meluru ke arahnya, Putra segera bertindak melepaskan kilasannya dan menolak Zaki sekuat hati. Tersungkur Zaki yang hilang imbangan. Jamal mengayun kakinya tinggi untuk meyepak kepala Putra. Namun, Putra yang telah siap sedia dengan mudah dapat mengelak serangan itu.

        Jamal mengayun penumbuknya pula. Sekali lagi Putra tangkas menangkis serangan itu dan sempat juga dia mengayun satu penumbuk balas. Tumbukan itu tepat menemui sasaran di muka Jamal. Akibat tumbukan padu itu, Jamal berasa mukanya basah dan kemudiannya menjadi perit. Sakit yang teramat. Dia meraba-raba mukanya. Tangannya kemudian basah dengan darah.

        Melihat anak buahnya telah ditewaskan,  pantas lelaki bermisai tebal yang dijumpai Putra di jeti beberapa hari lalu cuba masuk campur dengan buku limanya. Namun, ternyata dia juga bukan lawan yang setara dengan Putra. Mudah-mudah sahaja tangannya dikilas oleh Putra. Seperti juga Jamal dan Zaki, dia dihumbang ke lantai tar.

        Seorang lagi lelaki yang berambut ekor kuda, tidak jadi masuk campur tatkala melihat rakannya dengan mudah sahaja ditangani oleh Putra. Dia sekadar berani  mengacah-acah Putra sahaja.

        Melihat ruang itu, Ika segera mendapatkan Amran dan memapahnya ke arah Kamarul dan Jessica dengan dibantu oleh Indra.

       “Celaka kau! Kau siapa nak masuk campur!” bentak lelaki yang dipanggil penduduk pulau sebagai Rani Misai itu. Wajahnya menyinga, berang seberang-berangnya. Barangkali kerana malu mudah dihumbang oleh Putra dan ditontoni oleh orang ramai di situ. Jatuh air mukanya. Kredibilitinya sebagai bapak samseng di pulau itu juga telah tercalar.

       “Aku Abang Long dekat Blue Inn!” Bentak Putra dengan bengis bak seekor singa jantan. Sengaja dia mencipta kata panggilan itu demi menakut-nakutkan lelaki itu.

       “Kalau kau Abang Long Blue Inn, aku pulak abang besar di Pulau Pangkor ini!” bentak Jamal yang sekali lagi bangun dan cuba  mengayun tangannya. Namun, ayunannya itu sekadar menumbuk angin. Sempat juga Putra melepaskan satu tendangan padu ke perutnya. Jamal sekali lagi jatuh terjelepok dan memegang perutnya yang senak.

        “Hoi, orang luar! Jangan masuk campur urusan kami!” Rani Misai yang menyedari situasi sudah tidak memihak kepada mereka menjerit kepada Putra. Wajahnya kini lebih garang daripada seekor bapak singa yang lapar.

        “Kalau kau tak nak aku masuk campur, kenapa konco-konco kau belasah kawan aku! Tak boleh ke bincang elok-elok!” Putra membalas tanpa gentar. Rani Misai terbungkam bila dijerkah balas oleh Putra. Belum pernah ada orang dipulau itu berani mencanggahnya. Jamal sendiri pun cukup menghormatinya. Sekarang baru dia tahu kehebatan sebenar  Putra. Malunya kini bertimpa-timpa. Terasa kulit mukannya lebih tebal berpuluh inci.

        “Sudah-sudahlah tu, bawa bincang elok-elok.” Mula kendengaran suara-suara yang memberi nasihat.

        “Mari kita pergi dari sini! Sebelum polis datang, baik kita beredar!” Rani Misai yang tak mahu hal itu berpanjangan sampai ke balai polis memberi arahan. Jamal yang  menahan senak bingkas bangun dan segera menuruti arahan bapa saudaranya itu. Walaupun hatinya masih membengkak rasa amarah, dia tidak mahu membantah arahan Rani Misai yang terkenal dengan sikap panas baran itu. Selepas ayahnya meninggal, bapa saudara dari sebelah ayahnya itulah yang mengambil alih tampuk kumpulan samseng di pulau itu.  Jamal dan konco-konconya yang menikus menuruti sahaja arahan lelaki berwajah bengis seperti Paul Teutul Sr, pengasas Orange County Choppers yang terkenal sebagai pembuat motosikal kustom itu di AmerikaSyarikat itu. Zaki, Adli dan Zaman juga mematuhi arahan yang diberi oleh Rani Misai.

        “Kau ingat Kamarul, aku takkan berdiam diri!” Laung Jamal kepada Kamarul.

         Kamarul memandangnya dengan hati yang kesal. Kesal dengan sikap anak saudaranya sendiri yang tidak boleh menerima kenyataan. Lebih dikesalinya, Jamal sedikitpun tidak menghormatinya.

         Melihat Jamal, Rani Misai dan konco mereka beredar, Putra segera menghampiri Kamarul, Ika, Amran, Indra dan Jessica.

        “Bos tak apa-apa?” Soal Putra yang sangat risaukan keadaaan Kamarul yang dilihatnya tadi memegang dada. Kamarul sekadar mengangguk kepalanya.

        “Kau pulak macam mana Am? Okey?” Soal Putra kepada Amran pula. Amran hanya juga mengangguk, namun tangannya masih memegang pipi. Bibirnya juga kelihatan sedikit berdarah. Putra mengalih pandangannya kepada Jessica pula. Berbekas juga rasa marah kepada peguam muda itu.

        “Kenapa sampai hilang kawalan begini?” Soal Putra. Matanya tepat kewajah Jessica  yang nyata turut tergamam dengan situasi yang berlaku tadi.

        Jessica hanya terdiam, kerana gagal mencari alasan untuk membela walaupun dia seorang peguam.

        “Sepatutnya awak menenangkan klien awak,” kata Putra lagi, nyata dia kesal dengan apa yang telah berlaku.

        “Cik Jessie dah cuba haling mereka tadi, tapi mereka tetap berkasar.” Ika mencelah cuba membela Jessica. Sememangnya Jessica telah berusaha sedaya upaya menenangkan Jamal. Namun, kemunculan Rani Misai bersama Zaki, Adli dan rakannya yang berambut ekor kuda itu telah mengapi-apikan lagi Jamal menjadikan situasi jadi lebih tegang. Dia sendiri telah ditolak kasar oleh Jamal hingga jatuh.

       “Saya cadangkan pihak Blue Inn membuat laporan polis sebagai langkah keselamatan dan supaya kejadian seperti tadi tidak berulang. Laporan polis itu juga nanti boleh mempertahankan Blue Inn jika kes ini berpanjangan ke mahkamah.” Jessica  memberi satu candangan. Perjumpaan yang diaturnya hari itu sebenarnya satu usaha dilakukannya demi mencari satu penyelesaian di luar mahkamah kerana dia mengetahui tuntutan Jamal itu tidak akan membawa kemenangan. Sungguh dia tidak menyangka begitu pula jadinya.

        Semua warga Blue Inn di situ saling berpandangan satu sama lain. Sungguh mereka tidak menyangka, Jessica seperti berpihak kepada mereka padahal dia merupakan peguam dari firma yang dilantik oleh Jamal.

        “Jom kita ke balai buat laporan.” Ika bersuara. Fikirnya, cadangan Jessica itu ada benarnya dan dia merasakan Jessica telah menjalankan tanggungjawabnya dengan jujur dan berintegeriti tanpa memihak sesiapa dalam kejadian pergaduhan tadi.

        Mereka kemudian bergerak ke arah van. Ika kemudian memandu Daihatsu Lite Ace ke arah balai polis. Putra dan Indra mengiringi mereka dari belakang namun tidak masuk ke perkarangan balai. Mereka hanya menunggu di luar pagar sahaja. Ikutkan hati Putra tidak mahu mengiringi mereka ke balai polis yang sememangnya mahu dijauhinya. Namun, bimbang Jamal dan konco-konconya kembali datang menggangu, dia akur.

         Ika mengetuai yang lain membuat laporan, termasuk Jessica yang jujur menceritakan perkara yang sebenar. Namun begitu, laporan-laporan itu dibuat bukan bertujuan meminta pihak polis mengambil tindakan menangkap Jamal, Rani Misai dan rakan-rakan mereka. Tetapi, sekadar sebagai bahan sokongan dan langkah-langkah keselamatan. Juga sebagai langkah bersedia mereka jika kes tuntutan tidak berasas itu dibawa oleh Jamal ke mahkamah.

         Kamarul masih ada hati perutnya. Boleh sahaja dia membuat dakwaan jenayah terhadap Jamal, Rani Misai, Zaki, Adli dan Zaman kerana mereka telah bertindak kasar dan mencederakan Amran. Namun, mengenangkan Jamal itu anak saudaranya dia tidak mahu memanjangkan lagi hal itu. Amran juga bersetuju untuk tidak membuat dakwaan. Dia tidak mahu menyusahkan Putra yang sudah diketahuinya mahu mengelak daripada pihak polis walaupun dia juga sebenarnya tertanya-tanya tentang konfrontasi sebenar antara Putra dengan pihak berkuasa itu. Jika dia membuat dakwaan, pasti Putra juga akan dipanggil ke balai polis.

        Usai membuat laporan, mereka meninggalkan balai polis dan kembali ke Blue Inn.

 


Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan