Home Novel Keluarga BUDAK PANTAI
BUDAK PANTAI
Miko Yan
6/3/2019 11:54:14
79,660
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 8

KALENDAR waktu tertanggal lagi. Hari baru terus muncul. Pagi menjelma dengan pantas. Putra bingkas bangun dari lena yang pendek. Tidurnya sedikit terganggu oleh bahang musim panas. Dia menguap panjang. Jam locengnya masih menjerit. Jemarinya segera menutup suis jam. Dia menggeliat sebelum menukarkan seluar pendek dengan lilitan tuala di pinggangnya. Seketika dia membilas dirinya di dalam bilik air.

               Mentari mula menebarkan cahaya dan bahangnya. Musim panas kian berlarutan. Usai solat subuh dan menyiapkan diri, dia memejamkan matanya dan melepaskan satu nafas panjang. Sudah menjadi tabiatnya berkelakuan sebegitu, memberi semangat kepada diri sendiri setiap pagi sebelum memulakan tugas. Langkah kakinya diatur segera ke ruang dapur. Tiba di ruang itu, dia terkejut besar dengan apa yang dilihatnya.

             “Hei, apa yang berlaku ini!” Putra kebingungan. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal  beberapa kali. Bola matanya juga terkebil-kebil.

              “Apa yang kau buat ni?” Soal Putra lagi apabila menyedari dia tidak bermimpi atau berhalusinasi.

              “Sediakan sarapan,” balas Amran dengan lagak seperti tiada apa yang salah dilakukannya.

              “Sediakan sarapan?"

               Amran mengangguk dan terus menyambung kerjanya.

              "Tak pernah lagi berlaku seperti ini dalam industri perhotelan seantero dunia,” ujar Putra, masih menggaru kepalanya yang tidak gatal.

              Amran mengerutkan sedikit dahinya.

              “Customer sediakan sarapan.” Putra merungkai ketidakfahamannya itu.

             “Itu dua tiga hari yang lalu, hari ini aku kerja kat sini,” balas Amran selamba.Terukir juga di bibirnya senyuman bersahaja.

              “Apa?” Kebingungan Putra bertambah.

              “Selamat pagi, apa yang kecoh-kecoh ni?” Ima muncul di ruang itu.

              Putra segera menunjuk ke arah Amran.

             “Hah!”

              Rasa terperanjat pantas berjangkit kepada Ima.

              “Encik Amran buat apa ni?”

              “Sediakan sarapan,” jawab Amran dan Putra seirama, macam atlet renang synchronize.

              “Apa?” Terus Ima diserbu kata tanya itu.

              “Dia dah sailang tugas abang,” jelas Putra sebelum melabuhkan punggungnya pada sebuah kerusi di meja makan. Bingungnya bertukar lucu.

              “Maksudnya?” Ima terus dengan kata tanya, kurang mengerti. 

              “Dia kata dia dah kerja di sini,” jelas Putra lagi. Senyum sumbing mula meniti di tubir bibirnya. Amran tenang seolah-olah perkara itu no big deal baginya.

              “Hah!” Sekali lagi Ima terkejut. Kebingungan di kepalanya dirasakan seperti Tsunami yang melanda Aceh suatu ketika dahulu, datang tanpa memberi amaran. Perlahan-lahan dia menarik sebuah kerusi di sebelah Putra. Mereka berdua kemudian memerhati sahaja setiap gerak geri Amran, melengung dengan hanya bebola mata yang bergerak.

               “Selamat pa….”

               Belum sempat Ika menghabiskan ucapannya,  Putra dan Ima pantas meluruskan jari masing-masing ke arah Amran. Ternganga mulut Ika pula. Selang seminit Indra juga muncul. Giliran dia pula menyertai Putra, Ima dan Ika di meja makan dengan wajah yang bingung. Amran tidak mempedulikan mata-mata yang sedang memerhatinya itu. Tiada sedikitpun rasa janggalnya.

              “Okey, siap. Jom makan,” ajak Adam dengan riak wajah yang pertama kali dilihat oleh semua warga Blue Inn sepanjang empat hari dia menginap disitu.

Semua yang masih kebingungan menuruti saja ajakannya. Masing-masing mula menjamah hidangan sandwich telur yang disediakannya. Walaupun satu set hindangan yang ringkas, tapi nampak menyelerakan.

               “Boleh tahan,” ungkap Ima. Ungkapan itu disambut dengan anggukan setiap kepala yang ada di situ kecuali Putra yang buat-buat tak berselera. Perangai menjengkelkan sengaja diciptanya, dengan niat mahu melucu.

              “Sarapan simple macam ini budak tadika pun boleh sediakan. Dah ler simple,masin pulak tu.” Putra bersuara, dengan lagak angkuh pura-puranya.

              “Hai, kalau masin takkan licin-lincau masuk perut,” Ika mencelah dengan kata berima. Celahannya itu membuatkan semua ketawa.

              Selepas reda tawa keriangan itu, Amran bersuara.

             “Saya nak minta maaf kepada semua atas sikap saya kelmarin. Mungkin,saya sudah menyusahkan semua orang, jadi pagi ini saya mengambil peluang untuk mezahirkan ucapan terima kasih kepada semua dengan menyediakan sarapan pagi walaupun tak seberapa.Sebenarnya, hanya itu sahaja yang saya reti.”

              Suasana sekoyong-koyong jadi hening. Amran menunduk sedikit kepalanya. Daripada riaknya itu ternyata dia benar-benar menyesali ketelanjuran sikapnya dua hari yang lalu.

              “Err… boleh kami tahu apa sebenarnya yang berlaku kepada Encik Amran.” Ima jadi berani untuk mencungkil peribadi Amran.

               Amran lambat-lambat mengukir senyum. Jelas satu senyum yang hambar. Satu nafas panjang dihelanya.

              “Sebenarnya, saya baru saja dipecat dari syarikat tempat saya bekerja. Adik saya sendiri yang memecat saya, selepas dia mengambil alih syarikat daripada ayah saya.  Kelmarin pula, teman wanita saya melakukan perbuatan yang amat menyakitkan hati saya. Dia telah menunjukkan kepada saya dirinya yang sebenar. Curang terhadap saya. Paling memedihkan hati, dia curang dengan orang yang sama merampas jawatan saya.”

             Amran membuka selimut rahsia peribadinya. Dirasakan, semua di hadapannya itu berhak mengetahui apa yang telah dilaluinya.Tiada apa yang perlu disembunyikannya lagi. Sepanjang empat hari berada di Blue Inn, dia merasakan seperti dirinya diambil berat oleh semua, seperti ahli keluarga sendiri. Dia juga sebenarnya, mula senang dengan semua yang ada di situ. Jiwanya terasa tenang sekarang. Terasa seperti beban perasaannya kini telah bebas.

           Semua yang mendengar isi hati Amran itu jadi bersimpati. Kini mereka sedar pergolakan yang dialami Amran selama ini. Memang pedih luka di hatinya. Segagah manapu lelaki itu, pasti menagis bila ditinggalkankekasih. Itu fakta!

          “Ini duit bayaran selama empat hari saya menginap di sini,” Amran bersuara lagi selepas kebisuan mengisi seketika ruang di situ. Beberapa keping not berwarna ungu dikeluarkan dari poket seluar yang diseluknya.

          Ika menerima huluran Amran itu walaupun berasa agak janggal sedikit dengan situasi itu.Lebih-lebih lagi dengan emosi saat itu. Namun, Blue Inn sangat-sangat memerlukan bayaran itu.

          “Dah nak balik ke hari ini?” Soal Ika, cuba menutup kejanggalan itu.

           Amran tidak terus menjawab. Seperti dia mencari olahan ayat yang sesuai. Sempat juga dia menjeling ke arah Putra, Ika dan Indra.

          “Nampaknya begitulah.” Nyata jawapan daripada Amran itu membuatkan Putra sedikit hampa. Rupa-rupanya, kata-kata Amran awal tadi hanya sekadar satu gurauan.

          “Encik Amran dah okey ke?” Entah mengapa Ika mengeluarkan kata Tanya itu. Dia sendiri tidak pasti. Seakan hatinya berbisik supaya memujuk Amran tinggal lebih lama lagi di Blue Inn.

           Amran mengangguk. Satu anggukan yang lemah. Warna-warnu riang pagi itu tiba-tiba jadi pudar. Selera makan masing-masing juga seperti berubah tawar. Mereka sekadar bermain-main saja dengan makanan yang masih bersisa di dalam pinggan masing-masing.

          “Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua kerana memberi layanan yang sangat baik kepada saya sepanjang berada di sini,” ucap Amran lagi.Tiba-tiba sahaja nadanya bertukar liris. Tenangnya mula menjadi sentimental.

          “Err, apa kata Encik Amran tinggal di sini sedikit masa lagi. Sebab saya rasa Encik Amran belum jumpa apa-apa lagi di sini.” Putra bersuara selepas sekian lama juga dia sekadar menjadi pendengar sahaja. Semua mata kemudian memandang kepadanya dan masing-masing mengangguk kepala, bersetuju dengan kata-katanya itu.

          “Betul, Encik Amran belum jumpa apa-apa lagi.” Ika yang cukup mengerti maksud Putra itu pantas menyokong.

           “Saya mahu, tapi duit saya dah hampir habis.” Amran cuba bernada jenaka dengan gelakan kecil. Cukup juga membuatkan semua ketawa.

           “Apa kata Abang Adam kerja saja di sini,” Indra yang sekian lama menjadi pendengar  tiba-tiba mencelah. Semua mata mengarah kepadanya. Kemudian, masing-masing mengangguk sebagai tanda menyokong cadangan Indra itu.

           “Betul ke saya boleh bekerja di sini?” Soal Amran dengan wajah teruja.

           “Err… boleh. Tapi kami tak mampulah nak bayar gaji tinggi-tinggi.” Ika selaku pengurus Blue Inn segera memberi kata putus dan syarat.

            “Saya tak kisah dibayar berapapun, janji ada tempat tinggal dan makan minum dah kira cukup,” ujar Amran dengan wajah riang. Sememangnya dia sudah merasa serasi berada di situ. 

             “Eh, macam pernah dengar aje dialog ini!” Putra mencelah. Ima dan Ika yang mengerti maksud Putra mendekah tawa dan lebih banyak derai tawa yang kedengaran selepas itu.


AMRAN yang masih melekat di hatinya rasa riang tersengih macam kerang busuk ketika membawa semua barangnya ke bilik Putra. Memandangkan dia kini seorang pekerja Blue Inn, dia harus berkongsi bilik dengan Putra.

            Putra yang ketika itu sedang menunggunya bersandar pada jendelabilik sambil anak matanya dihantar ke lautan luas. Dia tersenyum sendirian.Ketenangan lautan biru itu seperti memberi gambaran suasana Blue Inn dihari-hari mendatang. Pintu bilik sederhana luas itu diketuk Amran dengan penuh semangat. Bagaikan nak tercabut pintu itu.  Sebenarnya dia sengaja berbuat begitu, untuk menyakat Putra. Lamunan pendek Putra terhenti dek ketukan menggegarkan itu.

           “Hoi, tak boleh ketuk pelan-pelan ke!” Jerit Putra dari dalam bilik. Amran yang dapat mendengar jeritannya itu tertawa kecil. Pintu kemudian dibuka Putra. Amran pantas mengukir kembali sengihnya.

          “Apa sengih-sengih. Ingat, kau tu junior aku. Lepas ni kena ikut cakap aku,” ungkap Putra sambil buat-buat muka serius. Sudah tiada kata panggilan encik kepada Amran.

           “Amboi, terus hilang pangilan encik!” balas Amran dengan sengihan masih melekat di bibirnya.

           “Status kau itu secara automatiknya telah terlucut. Kau sekarang sama aje tarafnya dengan aku. Eh, silap. Kau itu bawah daripada aku, sebab aku senior.” Putra buat-buat angkuh. Rasa ingin ketawanya ditahan sedaya mungkin.

          “Eleh, belum sampai seminggu kerja sini dah mengaku senior.” Amran menempelak sambil menjuih bibirnya.

          “Jangan nak banyak songeh, itu tempat tidur kau,” ujar Putra lagi sambil menunjukkan ke arah sebuah tilam di atas lantai.

          “Kenapa aku ada tilam saja, tapi kau ada katil?” Amran buat-buat tidak puas hati.

          “Itu menunjukkan pangkat aku lebih tinggi daripada engkau. Aku diatas, engkau di bawah,” balas Putra dengan angkuh buat-buatnya.

          “Banyaklah kau pangkat, gaji pun kongsi sama,” Amran tidak mahu mengalah dalam lakonan berjudul keangkuhan itu.

          “Hai, berperang nampak.” Ima yang entah sudah berpa lama terjongol di muka pintu tiba-tiba menyampuk. Putra dan Amran sedikit tersentak, dan kemudian tersipu malu.

          Ima mengekek tawa melihat telatah mereka berdua itu.

          “Along nak jumpa dengan abang kacak berdua dekat depan,” beritahu Ima di hujung tawanya.

          “Aye, aye, captain!” balas Putra dan Amran serentak sambal mengangkat tabik, menciplak lagak gaya lanun-lanun dalam siri kartun Captain Cook.

         Tiba di lobi, kedua-dua mereka mengukir senyuman lebar. Pantas mereka berlari anak ke arah Ika.

        “Sila bawa semua tetamu kita ini ke bilik ya,” ujar Ika. Di bibirnyamenguntum senyum yang mekar.

        “Baik bos!”

         Putra dan Amran segera menjinjing beg-beg pengunjung tempatan seramai lima orang itu. Pengunjung-pengunjung itu  mengekori mereka berdua.

         “Dari mana semua ni?” Tanya Putra dengan mesra. Lebih-lebih lagi para pengunjung itu semua adalah gadis remaja yang manis-manis.

         “Dari Terengganu. Kami semua pelajar Universiti Malaysia Terengganu. Datang nak buat research hidupan laut dekat sini,” balas salah seorang daripada pengunjung, yang paling lampai sekali.

         “Oh, memang tepat benarlah pilihan saudari-saudari. Di Pulau ini sememangnya sangat sesuai untuk membuat penyelidikan.” Putra terus berkata mesra. Amran sedikit loya dengan sikap lebih-lebihnya di hadapan perempuan itu. Putra tersenyum sinis tatkala melihat wajah menyampah Amran.

        “Itulah harapan kami, dapat sesuatu di sini,” tingkah seorang lagi pelajar, yang manis bertudung ala-ala penyanyi Yuna.

        “Ini adik Yuna ke? Ada iras-iras Yuna lah.” Putra mencipta jenaka, untuk mengambil hati pelajar itu. Semua rakan-rakan pelajar itu ketawa kelucuan tatkala mendengar jenaka Putra itu. Gadis itu sedikit tersipu.

         “Saya bukan adik Yuna, bang. Tapi nama saya memang hampir sama dengan dia. Nama saya Luna.” Gadis itu membalas.

          “Luna? Teringat saya waktu zaman kanak-kanak dulu. Ayah saya pernah beli satu set pensel warna sama dengan nama itu kepada saya.” Putra mencipta jenaka yang baru. Hadir lagi gelak tawa daripada gadis-gadis sunti itu. Cukup terhibur dengan cara Putra mengambil hati mereka.

         “Masih ada lagi pensel warna itu pun sekarang, bang.” Pelajar yang paling rendah dan paling cantik dari kalangan lima pelajar itu pula mencelah. Menambah lagi kegamatan suasana di situ.

         “Okey, kalau yang genit dan cantik manis ini Luna, yang berempat lagi ini siapa namanya?” Putra menunjukkan lebih mesra. Adalah lebih manis mengenali nama seseorang itu terlebih dahulu untuk komunikasi yang lebih mesra. Putra selalu ingat apa yang dibacanya suatu ketika dahulu.

          “Saya Sofea.” Gadis yang paling tinggi dalam kalangan pelajar itu memulakan sesi perkenalan. Lagak gayanya seperti dia mengetuai kumpulan itu.

          “Sofea Jane ke?” Putra melawak lagi.

          “Bukan, Sofea binti Azmi,” jelas Sofea.

           “Jarang gadis-gadis sekarang bernama sependek Sofea. Nama-nama sekarang kalau boleh nak penuh sampai ke halaman belakang IC.” Gadis-gadis itu terus mengekek tawa, cukup tercuit dengan senda gurau Putra. Rasa janggal antara mereka juga makin hilang.

           “Yang bertudung ala-ala bekas awek Fatah Amin ini pula, siapa namanya?” Putra bertanya kepada gadis seterusnya.

           “Nama saya Siti Nur Aisyah Afikah Najwa binti Ismail.” Gadis bertudung ala pengacara rancangan Meletop yang disiarkan di satu saluran Astro itu memperkenalkan dirinya. Senyuman yang hadir di bibirnya cukup manis sekali.Cukup juga untuk menampakkan lesung pipit di pipi kanannya. Secantik namanya juga orangnya. Lekuk lesung pipit itu sekilas juga membuatkan  Putra terimbas kepada seseorang yang pernah dekat di hatinya suatu ketika yang lalu.

           “Hah, baru aje cakap. Dah ada buktinya.” Putra menyakat. Makin gamats uasana di situ jadinya. Gadis bernama Aisyah itu tersipu-sipu malu.

            “Abang nak panggil apa ni? Panjang sangat namanya,” soal Putra kemudian.

            “Panggil Aisyah aje,” Aisyah yang masih malu-malu bersuara balas.

            “Saya Esther,” ungkap gadis berskaf putih pula.

            “Esther tentu asal Sabah?” duga Putra.

            “Ya, betul. Macam mana abang tahu?” balas Esther dengan wajah teruja.

            “Dari telor suaranya,” jelas Putra. Esther tertawa kecil sambal mengangguk-angguk kepalanya.

            “Sudah tidak boleh diubah telornya itu, bah.” Sofea menyampuk. 

            “Esther kalau menyanyi mesti best suaranya. Orang Sabah suaranya sedap-sedap.” Pandai  Putra mengambil hati gadis Sabahan itu.

            “Memang betul, bang. Minah ini selalu menang pertandingan karaoke di kampus kami.”  Sofea yang agak ringan mulut dari kalangan lima gadis itu mencelah lagi. Esther mula kemerahan pipinya disakat sebegitu.

           “Yang ini siapa pula namanya?” Soal Putra kepada pelajar yang paling akhir dalam kumpulan itu.

           “Nama saya Khatijah.”

           “Wow, a classic name. Nak panggil Kathy atau apa ni?”

           “Panggil Tijoh aje, bang. Begitu orang kampung panggil saya,begitulah juga saya mahu kawan-kawan panggil saya. Asal Kuala Berang, segan eh panggil nama macam orang putih.” Khatijah membalas dengan loghat daerahnya yang pekat.

           "Kuala Berang?" Riak wajah Putra sedikit berubah bila mendengar nama tempat itu.

           Tijoh mengangguk kepalanya dengan bersungguh.

           “ Err, okeylah kita dah sampai kita ke bilik saudari semua. Ada dua bilik, saudari-saudari pakat-pakatlah nak bilik yang mana. Bilik ini besar sikit,sesuai untuk tiga orang. Bilik sebelah, untuk dua orang.” Jelas Putra. Nada suaranya kini entah mengapa seperti orang yang tidak selesa. Dia tiba-tiba sahaja jadi seperti mahu cepat beredar dari situ.

           Amran juga mula merasa pelik dengan tingkah Putra yang tiba-tiba berubah itu.  

          "Kalau tak ada apa-apa, kami beransur dulu ya," pinta Putra yang jelas kini seperi mahu segera beredar dari situ.

          "Okey, nama abang berdua siapa?" Tanya Sofea, mahu juga mereka mengenali nama dua pemuda di hadapan mereka itu supaya memudahkan urusan mereka nanti sepanjang berada di Blue Inn.

          "Err... Putra." Putra seperti sedikit payah untuk menyebut namanya.

          "Amran." Amran memperkenalkan namanya pula.

          "Okeylah Abang Putra, Abang Amran. Kalau ada apa-apa nanti kami cari abang berdua," ujar Sofea.

           "Seperkara lagi nak maklum kepada saudari-saudari semua, kita di sini berkonsepkan kekeluargaan. Ibarat macam sebuah keluargalah. Daripada sarapan hinggalah makan malam, kita akan makan sama-sama di ruang makan. Jadi tak lama lagi kita akan makan tengah hari. Lebih kurang satu jam lagi. Nanti adik-adik manis semua terus ke sana ya. Di sana nanti, kami akan maklumkan segala tentang aktiviti dan kemudahan yang kami tawarkan. Senang-senangkan diri dululah ya. ” jelas Amran selepas menyedari Putra tidak memaklum hal itu. Walaupun dia baru sahaja bekerja di situ, namun dia sudah terbiasa dengan polisi Blue Inn itu. 

          "Okey," jawab lima pelajar UMT itu serentak.

           “Have a nice day,” ucap Amran sebelum menoktah perbualan itu.

            Dia segera menghambat Putra yang entah mengapa laju semacam sahaja menapak ke arah dapur.




Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan