Home Novel Keluarga BUDAK PANTAI
BUDAK PANTAI
Miko Yan
6/3/2019 11:54:14
79,473
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 20

Di LOBI, kelihatan Ima menumpukan perhatian kepada skrin telefon tangannya di sofa tetamu. Namun itu kepura-puraannya semata-mata. Sebenarnya, sudah lama dia memerhati gerak-geri Putra dan Jessica di persisir pantai. Menyedari Putra dan Jessica menuju ke arah lobi, cepat-cepat dia buat leka dengan gajet kesayangannya itu.

              Putra menghampirinya, kemudian melabuhkan punggung betul-betul bertentangan dengannya. Ima masih dengan lakonannya, buat-buat tidak menyedari kehadiran Putra. Jessica sudah menghilang ke biliknya.

             “Asyik nampak, dah lama balik ke?” Sapa Putra.

             “Eh, Abang Putra. Ingatkan siapa tadi, hampir 15 minit dah,” balas Ima pura-pura terperanjat. Putra yang tertipu itu tersengih menampakkan gusinya yang kemerahan, tidak seperti gusi pemuda-pemuda yang suka merokok. Barisan giginya juga bersih tanpa daki nikotin.

            “Macam mana dengan bos?” Soal Putra yang bersarang  juga sedikit rasa bimbang selepas Kamarul tiba-tiba mengadu sakit kepala petang tadi.

            “Ayah okey, cuma darahnya naik sedikit,” balas Ima. Kelincahan jemari buat-buatnya berhenti. Matanya menangkap wajah Putra. Walaupun kulit muka Putra makin dibahang mentari, namun anak matanya masih dapat menjejak kekacakan Putra. Hatinya terusik nakal. Sejak beberapa hari lalu lagi hatinya diusik begitu.

           “Oh begitu, Ika dengan budak bandar itu mana? Tak nampak batang hidung pun.” Putra bertanya lagi.

           “Ada di dapur, ayah ajak berbincang sekejap.” Ima menjelas dengan matanya kembali memandang skrin telefon, cuba menyembunyikan gelojak perasaannya.

           “Berbincang? Bincang apa?” Soal Putra yang sedikit tertanya.

           “Entahlah, ayah kata nak bincang soal pembangunan Blue Inn ini."

           “Oh, pasal tu.” Senyuman singgah di bibir Putra. Dapat dia mengagak Kamarul barangkali mahu membentangkan idea yang diusulnya siang tadi. Ika selaku Pengurus Blue Inn dan Amran pula mempunyai pengalaman dalam bab pengurusan sememangnya layak untuk diajak berbincang hal itu.

          “Ima buat apa? Macam sibuk saja dengan benda tu.” Putra mengubah topik. Urusan pembangunan Blue Inn biarlah Kamarul mencari kata putus dengan Ika dan Amran. Berbual dengan Ima juga sebenarnya satu perkara yang menyenangkannya.

           Gadis yang melewati usia 23 tahun itu sudah menunjukkan kematangandi matanya. Ima telah banyak berkorban untuk keluarganya. Terpaksa menolak tawaran belajar ke menara gading untuk menjaga ayah dan adiknya demi memberi laluan kepada kakaknya menghabiskan pengajian. Kematangan diperolehinya secara semulajadi ketika dia memikul tanggungjawab besar itu. Sepanjang lima tahun kakaknya di universiti, dia jugalah yang berhempas-pulas memastikan Blue Inn terus bernyawa, walaupun hanya nyawa-nyawa ikan. Rumah tumpangan itu akan terus dipertahankan. Itulah azamnya sejak bertahun sudah.

          “Tak ada apa, sekadar melayari muka buku,” ungkap Ima bersahaja .Putra mengerut dahinya,  pura-pura tidak mengerti maksud Ima itu.

          “Facebook,” letus Ima kembali. Nyata dia tertipu dengan lakonan Putra itu.

          “Lah, ingatkan apa tadi, Facebook rupanya.” Di hujung ungkapan itu dia menambahkan  kepura-puraanya dengan  gelakan kecil. Dia tahu, alih bahasa itu menjadi popular selepas lagu Cinta Muka Buku nyanyian Najwa Latif meletup di radio suatu ketika dahulu.

         “Abang ada FB?” Soal Ima.

          Putra pantas menggeleng kepalanya.

         “Biar betul?” 

         Pasti tiada siapa akan percaya jawapan Putra itu. Zaman ledakan teknologi IT sekarang, boleh dikatakan setiap lapisan usia masyarakat memiliki akaun laman social itu.

        “Betul,” Jelas Putra dengan riak wajah bersungguh.

         Dulu sememangnya dia pernah ada akaun laman sosial itu, namun telah dipadamkannya. Bukan hanya laman itu, malah laman-laman sosial yang lain. Sungguh nekad sekali dia menghapuskan jejaknya.

        “Takkanlah, Ima tak percaya.” Ima masih ragu. 

        “Betul, abang tak tipu. Handset pun tak ada, macam mana nak melayari FB macam Ima.” Putra terus berusaha meyakinkan Ima.

         “Takkanlah, abang ni ke…”

         “Apa? Ima nak katakan abang ketinggalan zaman kan?” Belum sempat Ima menghabiskan ayatnya, Putra memotong.

         “Tak, Ima nak cakap abang ini tak up to date,” balas Ima. Di hujung ayatnya itu ada kekekan tawa.

         “Samalah tu.” Putra ikut ketawa.

         “Apalah abang ni, zaman sekarang budak sekolah rendah pun dah ada FB. Boleh katakan, semuanya ada laman Facebook sendiri. Bukan FB aje, boleh katakana orang zaman sekarang juga ada laman-laman sosial yang lain seperti Ig, Twitter,WhatsApp, WeChat dan Skype,” ujar Ima lagi sambil membilang jemarinya.

         “Abang mana lah tahu pasal-pasal teknologi IT ni, belajar pun setakat mana saja,” balas Putra dengan sengihan. Lakonan bersahajanya cukup tulen sekali.

         “Belajar setakat mana itu bukan soalnya bang, Facebook ni bukan susah pun, Arwah nenek Ima yang hanya tamat darjah enam dulu pun ada. FB ini dah jadi macam satu keperluan hari ini. Selari dengan peredaran zaman, cara komunikasi juga haruslah berubah. Takkan nak berutus surat lagi. Bak kata Dato’Hattan dan Waris dalam lagu sedang berkumandang ini, zaman dah berubah!” olah Ima panjang lebar. Secara spontan juga dia menjadikan bait lirik lagu Gadis Jelebu yang sedang disiarkan di stesen radio Era sebagai penyokong hujahnya.

         Putra makin lebar sengihannya, macam kerang busuk. Seperti dia sengaja menampakkan kebodohannya. Dalam masa yang sama, tercuit juga hatinyabila melihat kesungguhan Ima memberi hujahnya.

        “Nak Ima buat untuk abang satu ke?” Aju Ima kemudian.

        “Tak payahlah, abang kan tak ada handset.” Putra cuba menolak.

        “Alah, abang guna ajelah komputer di kaunter itu kalau abang nak buka facebook nanti.” Ima tak mengalah.

         “Hmm… tak menyusahkan Ima ke?” Putra masih lagi cuba mengelak. Dia sedikit bimbang, takut-takut orang-orang sedang mencarinya dapat menjejak dirinya berpandukan akaun lama sosial itu.

        “Apa pulak menyusahkan? Tak susah pun. Okey,  Ima buatkan sekarang, jom kita ke kaunter,”balas Ima. Bersungguh dia memujuk dan mengajak Putra.

       Putra mahu tak mahu membuntuti Ima ke kaunter. Ima membuka komputer dan jemarinya mula lincah memandu tetikus dan papan kekunci. Putra buat-buat memerhati dengan penuh minat walaupun sebenarnya hatinya sedikit resah. Kelincahan jemari Ima membuatkannya sedikit rasa kagum. Memang jelas Ima seorang hantu gajet.

       “Okey, dah hampir siap. Tapi sebelum itu kita perlukan satu gambar untuk jadikan gambar profil. Cepat, buat pose paling macho, Ima nak tangkap gambar abang,” pinta Ima selepas beberapa ketika menaip sambal bersedia dengan telefon bimbitnya. Putra menuruti saja arahannya itu. Namun, dia membuat pose menutup mulutnya, sekadar menampakkan separuh hidungnya ke atas.

        “Betul-betullah, bang. Takkan nak letak gambar separuh muka aje, macam mana orang nak kenal abang nanti. Nanti tak ada orang add abang,” keluh Ima.

        “Itu seni fotografi namanya. Nampak lebih kreatif,” balas Putra dengan sengihan. Pastinya dia tidak mahu mendedahkan rupa sebenarnya.

        “Suka hati abanglah. Okey, gambar dah settle, sekarang nak letak nama apa ni?”

         “Hmm…” Putra mengetuk-ngetuk dahinya dengan jari, cuba memerah otaknya. Lama dia berfikir mencari satu  nama penyamaran yang sesuai.  Perlakuannya itu cukup menggelikan hati Ima.

        “Cepatlah, abang berfikir macam nak buat keputusan kahwin sahaja Ima tengok,” sindir Ima dengan bibit-bibit tawa.

        “Memang pun,” balas Putra, cuba menempelak kembali sendaan Ima itu.

        “Memang apa?” Ima tidak mengerti.

        “Fikir nak kahwin,” Putra meneruskan niatnya selepas Ima termakanumpannya.

        “Dengan siapa?” Ima makin terjerat dengan perangkap usikan Putra.

        “Dengan gadis depan abang inilah, dengan siapa lagi?” balas Putra dengan muka selambanya.

        “Hisy, abang ni. Ada-ada sajalah. Eh, yang kita tiba-tiba masuk ke topic lain apa pasal pulak ni?” Ima jadi malu sendiri. Merah padam mukannya diusik begitu. Hakikat sebenarnya, hatinya juga berbaur bahagia diusik sebegitu. Sudah beberapa hari satu rasa telah berdetak di ruang paling dalamnya itu. 

        Putra menderai tawa, sakatannya berhasil mengusik Ima.

       “Abang ni jahatlah,” ungkap Ima bersama senyum simpul setelah menyedari Putra telah mempermainkannya. Putra makin kuat  ilai tawanya.

       “Ketawa-ketawa jugak, dah ada ke namanya?” Ima membawa mereka kembali ke titik asal.

       “Okey, abang nak guna nama ini… Beach Boy!” Putra menyatakan buah fikirannya.

       “Beach Boy? Okey, Ima pun rasa nama itu sesuai dengan abang.” Ima pantas menaip pada skrin komouter.

       “Sekejap! Rasanya abang nak tukarlah nama itu,” pintas Putra secara mendadak.

       “Nak tukar? Dah sedap nama itu, kenapa nak tukar? Nak tukar apa?”Soal Ima bertalu.

       “BUDAK PANTAI! Barulah menyahut seruan Cintailah Bahasa Kebangsaan,” balas Putra dengan penuh semangat.

        Ima tersenyum sendirian sambil menggeleng-geleng kepalanya, cukup tercuit dengan perilaku Putra itu. Jemarinya segera menyudahkan urusan pendaftaran itu. Putra yang juga fokus pada skrin komputer buat-buat keriangan.

        Selesai urusan pendaftaran itu, Ima menerangkan lebih lanjut lagi cara-cara untuk melayari laman sesawang itu. Putra terus berlakon mendengar dengan tekun. Sesekali  dia mengangguk buat-buat dia memahami tunjuk ajar itu.

        “Apa yang rancak sangat tu? Sampaikan ke dapur kami dengar gelak tawanya.” Ika yang tiba-tiba muncul bersama Amran di ruang itu menyapa.

        “Along dengan Abang Am mesti tak percaya,” sambut Ima.

        “Apa yang tak percayanya?” Soal Ika lanjut.

        “Abang kita seorang ini, laman Facebook pun tak ada,” jawab Ima dengan senyuman yang sengaja disumbingkan. Putra memberi reaksi dengan mengukir sengih. Ternyata lakonannya tidak nampak kayu. Malah lakonannya itu lebih baik daripada seorang hero drama slot tayangan jam 7 petang TV3.

       “Biar betul?”

       “Kan Ima dah cakap, Along tentu tak akan percaya."

       Ima menderai tawa. Pasti juga tawanya itu disambut Amran yang merasakan peluang untuknya membalas dendam terhadap Putra yang selalu menyakatnya

       “Tapi sekarang abang kita ni dah ada Facebook, Ima baru buat untuk Abang Putra,” jelas  Ima di hujung tawanya.

       “Apa namanya? Nanti bolehlah Along add,” sambut Ika.

       “BUDAK PANTAI!” Jawab Ima dan Putra serentak.

        “Budak Pantai? Hmm, sesuai dengan orangnya,” ungkap Ika.Hatinya juga tercuit dengan situasi itu.

       “Jangan lupa add ya, sekarang baru ada seorang sahaja kawan saya.” Ujaran Putra itu membuatkan suasana di ruang makin pecah berderai. Nyata Blue Inn semakin mewah dengan keriangan walapun ada cubaan untuk mengugat rasa itu.



Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan