Home Novel Keluarga BUDAK PANTAI
BUDAK PANTAI
Miko Yan
6/3/2019 11:54:14
79,597
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 7

AMRAN tidak kelihatan sepanjang hari itu. Dia berkurung di dalambilik sahaja. Dia malu dengan kelakuannya malam tadi. Dia sendiri tidak pasti mengapa dia berkelakuan sebegitu. Dia cubamengingati kembali apa yang terjadi malam tadi. Apa yang diingatinya, selesai saja makan malam dia masuk ke bilik inapannya. Rasa sunyi dan bosan yang bertamu membuatkan terlintas di hati untuk mengaktifkan semula telefon bimbitnya.

             Tiba-tiba sahaja fikirannya berkecamuk selepas mendapat satu pesanan WhatsApp daripada Fariz. Adiknya itu telah mengirimkan kepadanya beberapa keping foto yang cukup mengganggu emosinya. Masakan tidak terganggu, andainya teman wanita sendiri sedang berfoya-foya di sebuah kelab malam di saat-saat dia kehilangan segalanya. Berfoya-foya pula dengan musuh ketatnya. Makin menghangatkan lagi hatinya apabila sekeping foto itu jelas kelihatan Sharmine nyenyak tidur di pangkuan Fariz di sebuah bilik hotel. Seperti Fariz sengaja mahu menambah sakit dihatinya. Sungguh juga dia tidak menyangka, di saat dia memerlukan sokongan daripada Sharmine, gadis itu menunjukkan sikap sebenarnya.

            Tanpa berfikir panjang dia menuju ke Samudra Bar dengan menunggang sebuah skuter. Dia tahu di situ menjadi tempat pelancong-pelancong asing berhibur dan minum. Tiba di bar itu, dia meneguk minuman keras semahu-mahunya seperti hero dalam filem Hindustan yang ditinggal kekasih. Akhirnya, dia benar-benar jadi hilang akal. Selepas itu, dia tidak ingat apa-apa lagi. Sedar-sedar, pintu biliknya diketuk dan Putra di muka pintu dengan membawa sarapan untuknya. Sedar-sedar juga bibir dan bingkai matanya rasa berdenyut.

            Hatinya sedikit kesal akan kegilaan sikapnya itu. Dia malu kepada semua warga Blue Inn. Dia tahu, pasti Putra, Ima dan Ika yang membawanya pulang ke Blue Inn  malam tadi. Oleh sebab itulah dia berasa malu untuk keluar dari biliknya sepanjang hari itu. Tengah hari juga Putra menghantar makanan ke biliknya.

           Hari kini menjelang senja. Putra kembali sibuk di ruang dapur. Namun, kerjanya itu sedikit ringan apabila Ima turut membantu. Malam itu, Putra memasak menu yang lebih istimewa. Niatnya untuk memulihkan semula semangat Amran.Selepas menunggu beberapa ketika, akhirnya Amran muncul di ruang itu.

           Malam itu mereka menikmati makan malam dengan hati yang riang seolah-olah masing-masing meraikan satu kemenangan. Amran sudah reda rasa malunya selepas didorong oleh Putra tengah hari tadi.  Rasa  senang terhadap sikap ambil berat setiap warga Blue Inn kini menggamit ketenangan ke daerah sepi hatinya. Indra juga sudah mahu bergaul. Dia seperti paling terkesan dengan kejadian malam tadi. Selama ini dia kurang peduli hal-ehwal keluarganya. Namun kejadian malam tadi menyedarkannya betapa dia perlu bersama-sama dengan keluarganya. Lebih-lebih lagi berkaitan perihal maruah keluarga. Di wajah dan mulutnya kini sudah ada senyum yang melirik berselangkan dekah tawa.

           Paling gembira melihat suasana itu pastilah Ika dan Ima. Sinar kegembiraan jelas terpancar di wajah mereka berdua. Dari saat itu mereka berdua mula terbayangkan sebuah keluarga. Namun begitu, kedinginan Jessica terhadapPutra masih jua tidak berubah.

           Putra tidak sedikitpun mengambil hati. Dia sedar betapa dia tidak boleh membuat semua orang suka kepadanya. Baginya, keikhlasan itu tidakmemerlukan timbal balik. Yang jelas, satu kepuasan telah terpancar di wajahnya kerana usahanya semakin menampakkan hasil. Semangatnya juga jadi makin berkobar untuk mencipta lebih banyak lagi keriangan di situ.

           Selesai makan malam itu, masing-masing menghilang diri ke bilik tidur.Putra masih di ruang dapur itu. Tangannya tekun membilas pinggan mangkuk yang menimbun di dalam singki. Tiada sedikitpun rungutan di hatinya. Malah dia rasa bahagia. Dalam kesepian itu, fikirannya teringatkan kisah-kisah lalunya. Wajah riangnya sekelip berubah muram. Entah mengapa kemudian, langit matanya bergenang. Lamunannya itu tiba-tiba tersentak apabila dia menyedari kedatangan seseorang ke ruang itu. Jarinya segera menyeka air jernih yang hamper tumpah ke lantai pipinya.

           “Encik Amran hendak minuman ke?” Soalnya cuba berlagak biasa selepasmelihat Amran menarik sebuah kerusi bar.

            Amran mengangguk.

           “Sekejap ya, saya ambilkan,”

           “Tak apa, aku boleh ambil sendiri,” balas Amran sebelum bingkas bangun semula.

           Dia menuju ke peti ais dan menarik pintu peti itu. Dua tin Coca Cola diambilnya. Satu tin untuknya, manakala satu tin lagi disuakan kepada Putra. Seolah dia ingin mengajak Putra berbual. Dilabuhkan punggungnya ke kerusi bar semula, betul-betul mengadap Putra. 

          Perlahan-lahan dia membuka penutup minuman itu dan meneguk beberapa teguk. Sebatang rokok kemudian disuakan ke mulutnya. Putra menghulurkan satu bekas abu rokok kepada Amran walaupun dia kurang senang dengan tabiat itu. Bau asap rokok kemudian menyelusup rongga hidung. Putra yang selesai kerja mencuci di singki turut melabuhkan punggung pada satu kerusi.

          Amran segera menghulurkan kotak rokok kepada Putra.

         “Terima kasih, saya tak merokok,” balas putra dengan ukiran sedikit senyum.

         “Masakan kau sedap.” Amran bersuara, memecah molekul sepi.

         “Terima kasih,” balas Putra bersama senyum pendek.

         “Kau baru kerja kat sini kan?”Aju Amran lagi.

         Putra sekadar mengangguk.

         “Kenapa kau datang ke sini. Di KL kan banyak kerja? Kalau kau mohon kerja di hotel atau di restoran, senang-senang aje kau dapat,” Amran memberi satu pernyataan. Lebih kepada cadangan sebenarnya.

         Putra tidak segera menjawab pertanyaan itu. Sebaliknya satu lagi senyum terukir di bibirnya. Kali ini senyuman itu melirik panjang. Dengan tenang tangannya mencapai tin minumannya yang belum dibuka.

         “Jom ikut saya.” Satu ajakkan kemudian keluar dari mulutnya. Langkah kakinya tampak menuju ke arah pantai. Amran yang sedikit kebingungan segera bangun dan menuruti saja ajakannya itu. Bukan Amran saja yang berbuat demikian, tetapi juga Ika. Rupanya dia yang kebetulan mahu ke dapur telah mencuri dengar perbualan dua pemuda itu. Cepat-cepat dia bersembunyi di satu sudut bila melihat Putra dan Amran menapak ke arahnya.

         Putra dan Amran melewati pintu utama Blue Inn dan menuju ke arah pantai. Tiba di lantai pasir, Putra melabuhkan punggungnya sambil mengarah pandangannya ke  lautan luas. Amran juga menuruti perlakuannya, tetapi dengan 1001 tanda tanya.

       “Sebab dia,” cetus Putra  sambil meluruskan jari telunjuknya ke arah lautan luas.

       “Laut?”

       “Ya, sebab laut itu.”

       “Aku tak faham.”

       “Lautan luas itu memanggil aku ke sini.”

       “Kenapa?”

       “Sama seperti kau, mencari satu kedamaian.”

        Penjelasan itu membuatkan Amran tersentak. Rupanya, Putra sudah dapat membaca kisahnya. Ika yang mengekori mengambil tempat di belakang sepohon kelapa tidak jauh dari dua pemuda itu berdiskusi. Dia mahu mencuri dengar apa yang ingin diluahkan oleh Putra. Hatinya cukup tertanya-tanya siapakah sebenarnya Putra itu? Namun, fikirannya menjadi semakin bingung tatkala mendengar penjelasan Putra itu. Terlalu abstrak jawapan yang diberi oleh Putra dirasakannya.

       “Bagaimana kau tahu aku sedang mencari kedamaian?” duga Amran. Jelas dia rasa tercabar dengan kenyataan Putra sebentar tadi.

        “Orang macam Encik Amran, daripada gerak geri pun saya dah tahu yang Encik Amran sekarang ada masalah. Orang yang datang ke tempat seperti ini ada dua jenis saja. Satunya mahu berehat,  satu jenis lagi melarikan diri daripada masalah. Bahasa mudahnya, hendak menenangkan diri. Jadi saya rasa, pilihan Encik Amran ke sini adalah tepat. Tapi, kalau Encik Amran datang ke sini sekadar untuk mengurung diri dalam kamar tidur dan meratapi kekecewaan, ia takkan membantu apa-apa. Old ways won’t open new doors! Jangan dikenang lagi kisah-kisah melankolik semalam. Cari jalan baru. Encik Amran harus keluar meneroka dan menghayati segala apa yang mata Encik Amran lihat sekarang. Keindahan yang tuhan cipta ini ada tujuannya dan saya jamin Encik Amran akan jumpa sesuatu nanti. Saya percaya dalam kesedihan seumpama air laut yang melata dan membiru itu, tetap akan ada keriangan seumpama butir-butir pasir pantai yang memutih ini. Mari kita mencipta keriangan untuk meluputkan kesedihan!”

        Amran terpanar. Kata-kata Putra itu cukup menampar dirinya. Egonya yang selama ini tebal, sedikit demi sedikit menipis. Hati kecilnya mula menjejak asas kata-kata Putra itu. Putra bukan pemuda kolot yang difikirnya sebelum ini.

        Ika juga kini mula memahami sesuatu. Hampir dua jam juga Putra dan Amran berbual di pinggir pantai itu sebelum mereka kembali ke bilik tidur masing-masing. Banyak kata-kata falsafah yang diberi oleh Putra. Sebenarnya, kata-kata itu bukan sahaja untuk memulihkan semangat Amran yang hilang, tapi juga untuk membangkitkan kekuatan kepada mentalnya sendiri.


MALAM kian larut, tapi Ika masih belum dapat melelapkan matanya. Isi perbualan Putra dan Amran tadi mengganggu fikirannya. Jika dilihat kepada Amran, memang dia dalam keadaan bermasalah. Tapi, Putra di matanya tidak dalam keadaan sedemikian. Apakah maksud sebenar Putra tentang mencari satu kedamaian? ApakahPutra sekadar berlakon di depan mata semua orang? Fikirannya kian berperang. Kata-kata Putra juga seakan menempelak dirinya. Selama ini, dia menganggap lautan luas yang dipandang sejak kecil itu tidak memberi apa-apa makna kepadanya. Selama ini juga, dia menyalahkan laut itu kerana memisahkan dirinya dengan keseronokan yang terdapat di tanah besar. Sudah banyak kali juga, dia menjual kata-kata betapa dia ingin meninggalkan pulau itu suatu hari nanti.

          Amran juga seperti Ika belum dapat melelapkan matanya. Dia juga masih memikirkan kata-kata Putra. Walaupun kata-kata Putra itu tajam menghiris egonya, dia akur akan kebenarannya. Kata-kata itu bagaikan menyentapnya dari lena yang panjang.

         Dia sedar dan insaf, betapa dia tidak lagi boleh hidup dengan masa lampaunya. Dia harus mencipta kehidupan baru.

        Old ways won’t open new doors!

        Kata-kata semangat itu bergema lagi dalamkotak fikirannya.


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan