Home Novel Thriller/Aksi INDIGO
INDIGO
Miko Yan
30/3/2020 12:34:45
1,330
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 17

KERIANGAN di wajah Alicia terus berpanjangan. Ada dua kebahagian mengisi hatinya tika itu. Pertama, permintaannya telah Megat penuhi. Tiada lagi bahasa aku dan kau dari mulut Megat antara mereka berdua, bergantikan kata ganti nama yang lebih lembut. Keduanya, sudah pastilah rasa riang itu bereflekskan kepada penyiasatan mereka yang kembali melewati terowong gelap.

            Seri kegembiraan Alicia itu pastinya menjadi jerlingan kepada Jenny dan Jess..

            “Gembira aje kami tengok kau hari ini, Alicia. Apa yang gembira sangat tu?” Jess sememangnya tak boleh menyimpan lama-lama rasa ingin tahunya.

            “Err… tak ada apa-apala.” Alicia sedikit tersentap dengan pertanyaan itu. Riak wajahnya juga cepat-cepat buat cover. Namun, riak covernya itu tak mampu menipu  Jess dan Jenny yang kritis.

            “Masakan tak ada apa-apa? Dari tadi kami lihat kau senyum memanjang.” Jenny menokok rasa curiga.

            “Betul, tak ada apa-apa.” Alicia masih cuba menafikan.

            “Tak payah nak sorok-sorok sangatlah, cepat cerita kepada kami.” Jess mendorong lagi.

            Alicia makin jadi serba-salah.

            “Err… err… aku dengan Megat sebenarnya dah official.” Dengan muka merah padam, Alicia berterus-terang jua.

            “Official apa?” Jess pura-pura tidak mengerti walaupun sebenarnya dalam bab itu, akalnya cepat tangkap.

            “Couple,” jawab Alicia perlahan.

            “What?”Jenny dan Jess sama-sama terkejut. Walaupun mereka berdua sesekali tidak merestuinya, namun terpaksa juga mereka hadam akan hal itu.

            Alicia sekadar mengukir sengih. Sudah dapat diagaknya, Jenny dan Jess pasti akan disergah rasa itu.

            “Really?”Jess pura-pura mahu lebih kepastian.

            Alicia mengangguk.Riak wajahnya kembali berbunga, seperti sudah hilang rasa malunya.

           Jess dan Jenny saling berpandangan. Satu isyarat mata kemudian berlaku antara mereka.

           “Congrats, Alicia. Kami tumpang gembira mendengarnya.” Dengan ukiran senyum di bibir, Jenny mengungkap kata itu.

            Jess juga mengukir senyum seumpama Jenny.

            Realitinya, senyum itu sekadar muka-muka daripada mereka berdua. Pastinya, mereka tidak dapat merestui perkara itu terjadi. Never!  Kerana rasa menyampah mereka terhadap Megat tak pernah surut. Namun, terpaksa jua mereka berdrama di depan Alicia.

           “Tadi kami lihat kau dan Megat berbual dengan Alex, kau orang berbual apa?” Tidak mahu rasa menyampahnya berlarutan, Jenny segera mengubah topik perbualan. Apa yang dilihat itu sebenarnya lebih mengundang rasa ingin tahu kepadanya.

           “Oh, kami sekadar berbual kosong aje dengannya.” Alicia yang masih segar dengan ingatan daripada Alex membalas.

           “Serius semacam, takkan berbual kosong aje?” Ternyata Jenny tidak berpuas hati dengan jawapan Alicia. Sudah tentu ada kerisauan di hatinya, takut-takut rahsianya dengan Alex telah terbocor. Pastinya, dia akan menjadi orang dicurigai kerana cinta tiga segi selalunya akan mengundang motif cemburu. Macam plot dalam drama-drama Melayu siaran tv pukul 7.00 malam.

           Rasa gelisah mula menebak Alicia. Tahu benar dia dengan sikap mendesak dua rakannya itu, terutamanya Jess. Takut nanti tanpa disedarinya, terlanjur pula dia bercerita.

“Betul, kami hanya menyapanya untuk bertanya khabar. Dia kan tengah bersedih, jadi kami mahu menunjukkan sokongan kami kepadanya.” Mujur terlintas alasan itu di fikirannya untuk dia melepaskan diri.

           “Oh ya ke?” Jenny mula mengendurkan tekanannya. Seolah-olah hatinya juga lega dengan jawapan Alicia itu.

            Alicia mengangguk kepalannya bersertakan satu senyuman. Giliran dia pula memberi kepalsuan kepada Jenny dan Jess.  Selega hati Jenny, lega juga hatinya saat itu kerana dia sudah tiada idea untuk menangkis seandainya Jenny dan Jess terus menekan.

           Perjalanan  menuju pulang mereka selepas itu tanpa apa-apa dialog lagi. Masing-masing melayan perasaan sendiri sambil menikmati lagu-lagu dari corong radio kereta.

 

SEMENTARA itu, Megat masih menunggu kakaknya di hentian bas di hadapan kolej. Dia tidak perlu menaiki bas untuk pulang ke rumah kerana kakaknya pulang sedikit awal pada petang itu. Jadi dia boleh menumpang kakaknya. Dalam dia mengisi waktu menunggu itu dengan mendengar lagu-lagu dari seleksi playlist telefonnya, sekilas dia teringat akan gambar Emily yang ditunjuk oleh Alex tadi. Ingatan itu didorong oleh satu ingatan yang lain sebenarnya. Dia segera menyemak gambar itu dalam telefonnya. Alex sudah menghantar gambar itu kepadanya.

            Pantai? Hatinya seperti terilham sesuatu.

            Bukankah seminggu yang lalu aku ada bermimpi Emily berada di tepian pantai? Hatinya terus bermain dengan tanda tanya.

            Apakah ini satu klu daripada Emily?

            Andainya ianya satu klu, mengapa Emily tidak mendatangiku lagi? Sudah seminggu juga dia tidak muncul dalam mimpiku. Hmm, mungkin satu kebetulan aje kut. Akhirnya dia memberi konklusi kepada hati sendiri.

            Tak lama kemudian, sebuah Honda City berwarna putih solid berhenti di hadapan hentian bas itu. Megat segera bangkit dari labuhan punggungnya.

            “Dik, kita terus ke Giant ajelah ya. Kita solat Magrib dan makan malam di sana. Along nak beli barang sikit,” sambut Puteri Kamila saat Megat melabuh punggung di sebelahnya. Lokasi itu sememangnya menjadi tempat kebiasaan untuknya membeli barang-barang dapur kerana lokasinya tak berapa jauh dari rumah.

            “Okey,” balas Megat tanpa mahu banyak bicara.

             Kira-kira sepuluh minit selepas kereta Honda City panduan Puteri Kamila menderu di jalan raya semula, mereka tiba di lokasi yang dituju. Seketika mereka berlegar-legar mencari parkir di perkarangan pasaraya itu. Sedikit sukar untuk mereka mencari satu petak parkir kerana kelihatan banyak kereta di situ.

            Sekilas Megat terpandang kepada seseorang yang kelihatan sedang menapak ke arah sebuah kereta. Lehernya jadi memanjang  mengekori pemuda itu.

            “Kenapa, dik?”

            Perlakuan Megatpantas mendapat perhatian daripada Puteri Kamila.

            “Errr, tak adaapa-apa. Macam ada orang nak menuju ke keretanya.” Megat membalas walaupunsebenarnya bukan kerana itu yang telah menarik perhatiannya.

            “Mana?” Soal Puteri Kamila dengan memusing kepalanya untuk meninjau.

            “Kita dah melepasinya, Along kena pusing balik sekali lagi,” jelas Megat dengan satu satu cadangan. Fikirannya makin disergah rasa teruja tika itu kerana ada sesuatu yang  cukup menarik perhatiannya.

            Puteri Kamila cepat-cepat menekan pedal minyak. Takut pula dia terlepas petak parkir yang bakal ditinggalkan kosong oleh pemuda itu. Selepas berpusing, mereka tiba semula di petak parkir yang menjadi sasaran mereka itu.

            Nasib mereka cukup baik kerana belum ada kereta lain yang menunggu di situ untuk mengambil petak parkir itu. Puteri Kamila segera memberi signal keretanya.

            Soal petak parkir itu sudah tidak menjadi perkara yang penting lagi kepada Megat, tapi pemuda tadi yang lebih menjadi sasaran matanya. Mengapa pemuda itu lebih menarik perhatiannya? Sebab pemuda itu ialah Brian, rakan sekelasnya yang kini juga menjadi suspek utama kepada penyiasatan dia dan Alicia.

            “T-shirt yang dipakainya sama macam t-shirt Emily,” tercetus perihal itu dari mulutnya. Walaupun cetusan itu bernada perlahan, namun cukup untuk ditangkap ke liang telinga Puteri Kamila.

            “Apa dia, dik?” Soal Puteri Kamila yang tiba-tiba jadi tertanya.

            “Errr, tak ada apa-apa.” Tersentap sedikit Megat tatkala mendengar soalan kakaknya itu.

            “Tadi Along dengar adik ada sebut pasal t-shirt budak lelaki tu,” kata Puteri Kamila kembali.

            “Oh… t-shirt yang dipakai budak lelaki tu cantik design gambarnya.”Megat mencari helah untuk mengaburi kakaknya. Bukan niat dia nak berbohong, tapi terpaksa dia melakukannya. Bukan apa, dia tak mahu kakaknya itu fikir yang bukan-bukan andainya dia berterus-terang pasal penyiasatannya. Fikirnya, lebih baik perkara itu dirahsiakan daripada pengetahuan kakaknya.

            “Oh, ya ke.” Puteri Kamila mempercayai jawapan Megat. Dia tahu, Megat selaku seorang pelajar di jurusan Reka Grafik pasti akan tertarik denganapa-apa sahaja grafik yang dilihatnya.

            Megat mengangguk dengan sedikit senyum. Nafas lega juga ditariknya.

            Selepas kereta dipandu Brian berlalu, Puteri Kamila segera mengambil alih petak parkir itu.

 

PULANG sahaja dari Giant, Megat merebahkan tubuhnya ke tilam. Dirasakan tubuhnya itu memberat sekali. Namun, menyedari dia perlu membersihkan diri dan belum solat Isyak, dia bangkit semula dan mencapai tuala dari galang aluminium yang melekat di dinding berhampiran pintu bilik air kamar tidurnya.

            Usai mandi, terus dia kerjakan solat empat rakaat. Beberapa minit kemudian, selepas memberi salam dan melipat sejadah dia merebahkan semula tubuhynya ke katil. Kelopak matanya dirasakan seberat tubuhnya jua, makin meluyut. Sekilas baringannya berubah mengiring dan matanya tak semena terpandang novel Natalia di atas meja pojok di sisi katil. Melihat sahaja novel itu, kelopak matanya terbuka kembali.Fikirannya lantas teringatkan kepada peristiwa di parkir pasaraya Giant beberapa jam yang lalu.

            Andainya peristiwa tadi bukan sekadar kebetulan, Emily pasti akan memberi aku jawapannya. Hatinya berbisik sepi. Serentak dengan bisikan itu juga, tangannya mencapai novel milik Emily itu. Novel itu kemudian dipeluk dan dibawa ke dadanya. Selang beberapa minit kemudian, kelopak matanya tertutup sepenuhnya.

            MEGAT….

            Mendayu suara itu memanggil namanya. Perlahan-lahan kemudian kelibat Emily muncul dari balik kabus.Cuaca kelam itu beransur-ansur cerah. Kedengaran kini deburan ombak dan kicauancamar yang mengepak sayapnya mengikut ritma angin, aerodinamik semulajadi seekor unggas.

            Megat…

            Sekali lagi kedengaran suara mendayu itu.

            Emily?

            Megat cuba menahan silau dari wajah Emily dengan tangannya. Dalam samar-samar itu dapat juga dia mengecam Emily. T-shirt yang dipakai Emily kemudian menjadi sasaran matanya. Membulat anak matanya bila dapat menangkap visual itu.

            Emily selepas itu perlahan-lahan berpaling dan menapak untuk pergi.

            Emily!

            Megat cuba menahanEmily, namun bayang Emily hilang begitu sahaja.

            Emily!

            Megat terjaga dari lenanya.

            “Astaghfirullahaladzim, aku bermimpi rupanya,” keluhnya sambil mengusap muka kamurnya.

            “Brian sememangnya ada kena mengena dengan kehilangan Emily!” Satu keyakinan kemudian hadir dalam fikirannya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan