Home Novel Thriller/Aksi INDIGO
INDIGO
Miko Yan
30/3/2020 12:34:45
63,531
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 7

PAGI menjelma. Hari itu hari minggu. Walaupun kebiasaanya pada hari minggu begitu juga, Puteri Kamila akan ke pejabat untuk menyiapkan kerja-kerja yang mendesak, namun hari itu dia tiada urusan kerja kerana kerja-kerja yang mendesak itu telah disiapkan malam tadi. Dia telah merancang mahu meluang lebih masa dengan Megat pada hari itu. Dia tahu adiknya itu tiada rakan untuk keluar bersosial.

              Jam masih dalam lingkungan waktu sarapan. Dua beradik itu sedang bersarapan di meja makan.  Bukan selalu mereka bersama begitu. Puteri Kamila bangun awal pagi tadi untuk memasak nasi lemak resepi arwah ibunya. Ternyata Megat suka sekali masakannya pagi itu.

              “Nanti tengah hari kita makan di luar ya. Kita pergi Giant, akak nak beli barang dapur sikit,” ungkap Puteri Kamila dengan senyuman. Senang hatinya melihat Megat berselera.

               Megat mengangguk bersama senyuman pendek. Ternyata hatinya juga gembira. Tidaklah nanti dia hanya terperuk di rumah.

               Puteri Kamila membalas senyuman itu. Cukup senang hati melihat senyuman di dua tubir bibir Megat kerana jarang-jarang sahaja dia melihat adiknya itu tersenyum sejak kemalangan yang menimpa.

               Seperti dijanjikan, tengah hari itu dua beradik itu mengunjungi Giant Hypermarket yang terletak di kawasan  Jalan PJU 5/1, Kota Damansara. Dari rumah mereka, lebih kurang 1 kilometer sahaja.

              Setiba di ruang parkir pasaraya itu, Puteri Kamila yang memandu melegar-legarkan seketika kereta Honda City putih solidnya untuk mencari petak parkir yang kosong. Hari minggu dan ditambah waktu puncak sebegitu, sememangnya sedikit sukar untuk mencari petak parkir di ruangan parkir berbumbung itu.

              Selepas berpusing beberapa kali, kelihatan sebuah kereta ingin keluar dari satu petak parkir berhampiran sebuah pintu pasaraya. Puteri Kamila cepat-cepat memberi signal keretanya untuk masuk ke petak itu.

              Saat mereka mahu melewati pintu automatik pasaraya, fikiran Megat sekilas diganggu dengan bayangan dari mimpinya malam tadi. Langkah kakinya terhenti. Dia memegang kepalanya dan memandang ke sekeliling. Situasi di sekelilingnya tidak ubah seperti mimpinya malam tadi, ada beberapa orang sedang menolak troli.

              “Kenapa, dik?” Puteri Kamila pantas perasan kelakuannya itu.

               “Err… tak ada apa-apa,” balas Megat. Dia tidak mahu mengundang rasa bimbang kepada kakaknya itu. Lalu dia menyambung semula langkah kakinya. Puteri Kamila yang tidak mengesyaki apa-apa juga meneruskan langkah kakinya.

               Selesai membeli-belah, dua beradik itu menuju kembali ke kereta semula. Namun sebelum mereka melewati pintu, selera Puteri Kamila ditarik ke sebuah restoran makanan segera yang terletak bersebelahan pintu itu.

               “Dik, kita makan di situ boleh?” pinta Puteri Kamila sambil menunjuk ke arah Restoran Burger King.

                “Okey,” Megat pantas bersetuju. Tekaknya sememang haus dan mintasegera dibasahkan tika itu.

                Selepas menolak troli ke tepi dinding kaca restoran, Megat masuk melewati pintu restoran. Puteri Kamila sudah mendahuluinya untuk ke kaunter pesanan. Dia melilaukan pandangannya untuk mencari tempat duduk yangberhampiran dengan tempat letakan trolinya tadi supaya mudah dia mengawasi troli yang sarat itu. Sudah menjadi polisi restoran itu, troli tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam.

                Beberapa saat selepas dia melabuh punggung pada kerusi, sekilas bayangan bunyi minyak panas di dalam kuali dan bayangan seseorang menggoreng sesuatu masuk ke fikirannya. Bayang-bayang itu ulangan kepada sebahagian mimpi yang dialaminya malam tadi. Dia memegang kepalanya, cuba menahan kegilaan itu.

               “Dik, kenapa?” Soal Puteri Kamila yang melihat tingkah Megat itu sewaktu datang menghampiri bersama dulang makanan.

                Kegilaan yang dialami Megat itu terus hilang.

                “Apa kak?” Megat yang kebingungan menyoal.

                “Adik okey? Tadi akak tengok adik pegang kepala adik. Dah dua kali hari ini akak tengok adik macam itu,” balas Puteri Kamila. Fikirannya mula rasa bimbang.

                “Err, adik okey. Mungkin kepala adik rasa pening sikit kut.” Tidak mahu kakaknya bimbang, Megat mencipta satu alasan.

                “Pening kepala?” Kerutan masih terukir di dahi Puteri Kamila.

                 Megat pantas menggangguk.

                Puteri Kamila segera mencari sesuatu di dalam tas tangannya.

                “Dik, makan Panadol ni,” sua Puteri Kamila selepas menjumpai apa yang dicarinya. Dia sememangnya sentiasa membawa bekalan ubat itu ke mana-mana di dalam tas tangannya. Orang yang selalu bergelumang dengan angka-angka sepertinya memang sentiasa bersedia untuk menghadapi sakit kepala.

                Lambat-lambat Megat menyambut huluran itu, dan lambat-lambat juga dia memasukkan dua biji pil itu ke dalam mulutnya.

                “Air.” Puteri Kamila susuli dengan huluran botol air mineral.

                Selepas dua tiga teguk, dua Panadol itu laju menuruni kerongkong Megat.

                Puteri Kamila tersenyum melihat telatah adiknya itu. Maklum sangat dia dengan Megat yang liat makan ubat, dari zaman dia budak-budak lagi.

                Selepas menjamu selera di restoran makanan segera itu, mereka pulang semula ke rumah. Puteri Kamila telah merancang malam nanti dia mahu menyediakan hindangan kegemaran Megat. Tersenyum melirik Megat bila diberitahu tentang itu. Resepi arwah ibunya sememang cukup dirinduinya.

                Lima belas minit perjalanan, mereka tiba di rumah. Selesai sahaja membantu kakaknya memasukkan semua barang ke dalam rak dan peti ais di dapur,  Megat terus masuk ke biliknya. Tubuhnya direbahkan ke katil untuk melepaskan penat. Perlahan-lahan kemudian fikirannya dimasuki ingatan tentang perkara yang dialaminya di Giant Hypermarket Kota Damansara tadi.

               Apakah maksud di sebalik bayangan-bayangan itu?

               Kata tanya itu kembali bermain-main di fikirannya.

               Perlahan-lahan dia memusingkan badannya. Tak semena-mena pandangannya terlempar ke arah novel yang berjudul Natalia di atas meja pojok di sisi katil.

               Wait!

               Rasanya aku pernah melihat huruf-huruf itu dibulatkan dengan pen di dalam novel itu. Fikiran Megat berbisik.

               Pantas tangannya mencapai novel itu dan dia bangun dan menyandarkan tubuhnya ke kepala katil.

              Jemarinya mula membelek halaman demi halaman novel itu untuk mencari. Tiba di halaman ke-13, akhirnya dia menjumpai apa yang dicarinya. Ternyata ada beberapa huruf telah dibulatkan dengan pen merah.

               “N, A, I, r… dan nombor 13!” Megat tergamam. Huruf-huruf dan angka yang telah dibulatkan itu sama dengan huruf-huruf dan angka yang muncul dalam bayangan mimpinya.

               “What the heck?”

                “N, A, I, r, 13… NAIR 13? Apakah maksudnya?

                 Makin banyak das tembakan peluru soalan menembusi kepala Megat. Dia memerah otaknya mencari jawapan bagi persoalan itu. Namun tetap juga dia gagal mencari perkaitan huruf-huruf dan angka itu dengan Emily.

                Demi untuk menenangkan dirinya seketika, dia bangun dan menapak ke arah jendela. Kain langsir ditariknya dan menghantar pandangannya keluar rumah.Tiada apa-apapun yang menarik di luar itu sebenarnya. Dia  sekadar menatap kosong sesuatu yang tak pasti.

                Tiba-tiba telefon tangannya berdering. Dia sedikit terkejut, lantas dia berpaling ke arah telefon yang diletakkan di atas meja belajarnya.

                "Siapa yang menghubungi?" Dahinya berkerut, takkanlah kakaknya yang berada di dalam rumah yang sama menghubunginya. Cukup sekadar  melaung sahaja sekira mahu memanggilnya. Dia terpaku sejenak di jendela itu. Semakin banyak pula persoalan yang bertandang ke fikirannya.

                Deringan itu terhenti. Namun sesaat kemudian, deringan itu berbunyi lagi. Lantas dia menapak ke arah telefon itu dan mengambilnya. Dilihat padaskrin tertulis private number. Semakin berkerut dahinya.

               Dia menekan butang untuk menjawab.

               “Hello…” ucapnya dengan nada perlahan.

               “Hello, ini Megat ke?” Kedengaran soalan itu sebagai balasan.

               “Ya, saya Megat,” jawab Megat dengan fikiran yang masih bertanda tanya.

                “Cam suara saya tak?” Suara di talian terus bertanya.

                “Err… tak, siapa ya?” balas Megat.

                “Alicia,” suara di talian memperkenalkan dirinya.

                “Alicia?” Megat sedikit terkejut.

                 “Yup, Alicia here.”

                 “Err… macam mana dapat nombor telefon?” Makin banyak persoalan hadir di benak Megat.

                 “Oh, saya dapatkan daripada Mr. David. Saya mengganggu awak ke menghubungi waktu-waktu begini?”

                 “Tak adalah mengganggu, err… ada apa ya?”

                 “Saya just nak tanya, hmmm... Awak dah dapat apa-apa klu ke?”

                 “Err… aku tak pasti, tapi ada sesuatu yang aku dapat daripada novel itu,” jawab Megat yang tak mahu menyembunyikan perkara itu, lebih-lebih lagi kepada Alicia yang dirasakan mula mempercayainya.

                 “What is it?”

                  Megat menceritakan segala bayangan yang datang dalam mimpinya kepada Alicia dan apa yang ditemuinya di dalam novel berjudul Natalia itu.

                 “Cerita bayangan-bayangan mimpi awak itu sangat menarik. Saya fikir setiapnya ada maksud tersendiri. Hmmm, boleh saya bersama awak?” ulas Alicia bersama satu permintaan selepas mendengar penjelasan daripada Megat. Nada suaranya ada keterujaan.

                 “Maksud engkau?” Megat sedikit kurang mengerti akan permintaan Alicia itu.

                 “Maksud saya, saya mahu bersama-sama dengan awak mencari jawapan-jawapan kepada setiap bayangan awak itu.” Alicia memberi lebih kefahaman.

                  Megat berfikir sejenak.

                  “Okey,” Mulanya dia merasakan sedikit kekok, namun bila merasakan dia memerlukan seseorang yang boleh berkongsi idea dengannya, dia bersetuju.

                  “I’m so glad to hear that. So, bila kita boleh bermula?” Jelaskedengaran suara keterujaan Alicia di talian.

                  “Err… anytime.” Suatu jawapan yang dirasakan Megat bersesuaian memandangkan dia sendiri tidak pasti.

                 “Okay, kita bermula petang ini. Nanti saya jemput awak dengan kereta saya. Send to me your location.” Alicia yang dilanda keterujaan terus membuat satu rancangan.

                  “Err… kita nak ke mana?” Megat jadi sedikit kebodohan.

                  “Tadi awak cakap bayangan orang menolak troli dan bayangan orangmenggoreng sesuatu itu datang kembali sewaktu awak menemani kakak awak keGiant, saya fikir jawapan untuk bayangan-bayangan awak itu ada di situ.” Alicia memberi buah fikirannya. Gadis geek yang suka membaca sepertinya tentu banyak kefahamannya.

                  Megat sedikit tersentak, mengapalah dia tidak terfikirkan tentang itu tadi? Keyakinan betapa Alicia boleh membantunya juga kian terbina.

                 “Okay, wait  a minute. I send my location,” balas Megat.

                 Beberapa saat kemudian, Alicia menerima hantaran mesej daripada Megat.

                “Okay, I got it. I’ll take you at 5 pm.”

                “Okay,”

                “Bye.”

                “Bye." Megat  menoktahkan perbualan itu.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan