Home Novel Thriller/Aksi INDIGO
INDIGO
Miko Yan
30/3/2020 12:34:45
63,557
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 15

MEGAT masih belum dapat melelapkan matanya walaupun malam kian larut. Fikirannya masih berteka-teki tentang isi perbualan antara Brian dan Alex di ruang parkir kolej siang tadi.

            Apa maksud Brian sebenarnya?

            Rahsia apakah yang disimpannya?

            Pasti ada sesuatu yang besar cuba disembunyikan oleh Alex sehinggakan dia terpaksa menikus kepada Brian. Selama ini, Brian cukup patuh kepadanya. Ibarat dia itu seorang taiko besar dan Brian itu hanyalah konco sahaja. Namun kini, situasinya telah menjadi terbalik.

            Aduhai, semakin banyak drama pulak yang terjadi! Hati Megat mengeluh sepi selepas beberapa ketika bermonolog.

            Tiba-tiba kedengaran bunyi tone WhatsApp telefonnya, dan terus  menarik dia keluar dari alam sepi itu.

            Dia berpaling ke arah telefon itu. Tangannya kemudian mencapai benda paling penting dalam kehidupan manusia zaman sekarang itu dari atas meja pojok di sisi katil.

            Sudah dia dapat mengagak penghantar mesej itu. Perlahan-lahan kemudian dia bangkit dari baringan dan menyandar badannya ke kepala katil. Jemarinya menekan butang untuk membaca mesej.

            (Hai, awak. Dah tidur ke?) tertera mesej daripada Alicia di skrin.

            (Belum) balas Megat ringkas.

            (Saya pun belum dapat tidur) Alicia menaip balas.

            (Kenapa?) soal Megat pendek.

            (Entahlah… can I call you?)

            (Okey) Megat bersetuju melanjutkan lagi perbualan itu kerana nada suara Alicia memberinya sedikit tanda tanya.

            Beberapa saat kemudian perbualan itu bertukar cara.

            “Kenapa belum dapat tidur? Kau fikir pasal video yang aku tunjuk siang tadi ke?” Soal Megat kembali dengan aturan patah-patah kata yang lebih panjang kerana jawapan terdahulu Alicia seperti tergantung.

            “Saya memikirkan apakah rahsia Alex yang dimaksud oleh Brian itu,” jelas Alicia.

            “Saya pun sebenarnya sedang memikirkan perkara itu.”

            “Bermakna rahsia itu cukup besar kepada Alex,”

            “Yup, kalau tak besar masakan Alex seperti takut-takut kepada Brian, padahal kita semua tahu selama ini, Brian itu cukup menikus dengan Alex. Apa yang diarah Alex, dia turuti saja. Tapi berbeza pulak sekarang.” Megat memberi rumusannya.

            “Saya pun perasan akan hal itu. Kita kena siasat apa rahsia Alex itu sebenarnya? Saya dapat rasakan, rahsia itu ada kena mengena dengan kehilangan Emily.” Alicia bersetuju dengan rumusan yang diberi oleh Megat.

             Megat merasakan apa yang dikatakan oleh Alicia itu seperti ada asasnya.

            “Tapi macam mana kita nak dekati Alex? Diapun sama macam orang lain juga, tak sukakan aku,”ungkap Megat, menyatakan keralatannya.

            “Awak jangan risau,saya pasti dia akan memberi kerjasama kepada kita. Saya yakin dia pun seperti kita, mahu mengetahui di mana Emily berada.” Alicia memberi sedikit kelegaan kepada Megat.

            Suasana tiba-tiba jadi terdiam. Seakan ada sesuatu yang canggung di pihak Alicia. Megat yang tiada apa-apa lagi idea sekadar membiarkan detik saat berlalu.

            “Awak, ada satu perkara lagi yang sedang bermain-main di fikiran saya sebenarnya, dan perkara itu membuatkan hati saya jadi lebih tak keruan malam ini,” selepas hampir seminit membiarkan rasa canggung mengisi ruang kosong, Alicia kembali bersuara.Nada suaranya sedikit lain daripada sebelumnya.

            “Perkara lain? Apa dia?” Megat membalas tanpa sebarang rasa curiga. Dia tidak suka rasa canggung menguasai ruang kosong antaranya dan Alicia walaupun ironinya selama ini, hidupnya penuh dengan ruang-ruang kosong.

           “Err, rasa segan pulak saya nak nyatakannya,” sepayah perasaannya tika itu, payah juga untuk Alicia mengucapkan kata.

           “Apa yang nak disegankan? Kau boleh berkongsi apa saja dengan aku. Mungkin ada apa-apa yang aku boleh bantu,” balas Megat. Dirasakan Alicia kini sudah menjadi sahabatnya. Sebagai seorang sahabat, perlu untuknya mengambil berat.

            “Sebenarnya, saya sedang memikirkan tentang kita.” Selepas terdiam sejenak, Alicia mengucapkan kata-kata itu.

            “Tentang kita?”Pastinya kata-kata Alicia itu menyentak sedikit perasaan Megat. Setiap liang romanya mula dirasakan merembes peluh aneh.

            “Yup,tentang kita.” Perlahan sahaja nada suara Alicia, seperti dia menahan rasa malunya.

            “Kenapa dengan kita?” Megat antara mengerti dan tidak.

            “Saya sukakan awak.” Dengan nada masih malu-malu Alicia menyatakan pengakuannya.

            “Err… kau kawanaku, aku pun sukakan kau.” Megat cuba menyingkirkan rasa janggal yang tiba-tiba menyergahnya. Sudah sekian lama rasa itu tidak menjadi pagar antaranya dan Alicia. Hatinya entah mengapa rasa berdebar-debar. Belum pernah situasi itu melandanya sebelum ini.

            “Saya sukakan awak lebih daripada seorang kawan.” Kali ini Alicia menjadi semakin berani dengan aturan kata-katanya. Biarlah orang nak kata dia perigi mencari timba pun, dia sudah tidak peduli. Dalam dunia zaman sekarang pun, perempuan memikat lelaki itu sudah tidak menjadi perkara luar biasa lagi.

            “Errr… maksud kau?” Megat yang tergamam merasakan jantungnya semakin berdetak laju.

            “Maksud saya, saya mahu jadi teman wanita awak.” Akhirnya pengakuan yang penuh perasaan itu terluah dari mulut Alicia. Sudah tiada rasa malu di hatinya. Malah dia merasa lebih tenang selepas meluah rasa hatinya itu.

            Kenyataan Alicia itu membuatkan Megat jadi  kelu dan beku. Belum pernah dia mengalami rasa seumpama itu selama ini. Barulah dia tahu, begitu rasanya. Fikirannya jadi seperti tergendala seketika. Ibarat komputer yang tiba-tiba hang.

            “Kenapa awak diam? Awak tak boleh terima saya sebagai teman wanita awak ke? Atau awak sudah ada teman wanita?” Ketenangan yang dikecapi Alicia tidak bertahan lama. Hatinya kembali digugah gundah. Perempuan mana yang tak takut dirinya ditolak.

            “Err… okey.” Megat yang masih terawang-awang fikirannya hanya mampu mengungkap kata itu.

            “Okey? Maksud okey itu apa?” Giliran Alicia pula ditekan rasa ingin tahu.

            “Err… aku terima kau… se… sebagai teman wanita.” Dalam nafas yang masih tidak stabil, Megat memberi jawapan balasnya. Terasa pipinya cukup tebal tika itu.

            “Really?” Teruja sekali Alicia mendengar jawapan Megat itu.

            “Yup,” ucap Megat yang masih malu-malu.

            “I’m so happy to hear that,” ucap Alicia yang makin melata rasa gembiranya.

            “Me too,”balas Megat dengan nada suara yang semakin jelas. Hatinya juga mula menyerap rasa bahagia. Walaupun bukan dia yang melamar Alicia, hal itu tidak menjadi perkara besar kepadanya kerana dia masih berpeluang menjadi lebih gentleman untuk fasa seterusnya dalam perhubungan suatu hari nanti.

            “Jadi, secara rasminya kita sekarang dah couple,” ungkap Alicia lagi. Nada suaranya jelas berbunga riang.

            “Okey.” Ringkas sahaja Megat membalas kerana tidak mampu memberi kata-kata yang lain lagi. Orang tengah speechless katakan.

            “Memandangkan kita officially couple, saya ada satu permintaan kepada awak.”

            “Err, pemintaan?” Megat jadi sedikit cemas, takut-takut apa yang ingin diminta oleh Alicia itu tak tercapai oleh akalnya. Drama percintaan Romeo dan Juliet tiba-tiba mengganggu fikirannya. Pastinya dia tidak akan mampu memetik bintang-bintang di langit dan berenang di lautan api.

            “Yup, satu permintaan daripada saya,” ungkap Alicia dengan suara yang jelas menunjukkan betapa hatinya sedang bahagia tika itu.

            “What is it?” Sambil menelan air liur, Megat menyoal.

            “Boleh tak awak jangan berbahasa aku dan kau dengan saya lagi.Tukarnya kepada yang lebih lembut.” Alicia menyatakan permintaanya.

            “Err… okey.” Walaupun permintaan Alicia itu cukup melegakan hatinya,  lambat-lambat Megat membalas. Seperti masih ada sedikit kepayahan untuk dia menjalani norma baru itu nanti.

            “Deal?” Alicia mahu lebih kesungguhan.

            “Deal,” balas Megat dengan lebih berlapang dada.

            “Thank you, awak. I promise I’ll be a good gf to you.”

            “You’re welcome,”

           “Okeylah awak, dah lewat malam ni. Esok ada kelas, kita jumpa di kelas esok ya.” Alicia merasakan perbualan itu perlu ditamatkan kerana isi hatinya sudah diluahkan segalanya dan dia sudah mendapat apa yang diimpikannya.

            “Okey,” balas Megat selepas menghela satu nafas panjang.

            “Have a nice dream,” ucap Alicia dengan suara yang lebih manja.

            “You too,” balas Megat yang semakin bahagia juga hatinya.

            “Bye,”

            “Bye.” Megat menutup perbualan dengan ukiran senyum sendiri.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan