Home Novel Thriller/Aksi INDIGO
INDIGO
Miko Yan
30/3/2020 12:34:45
63,642
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 10

MENGOTAKAN janji sebelum menutup perbualan malam tadi, Megat bertemu dengan Alicia sekali lagi pada hari itu. Satu pencapaian juga kepada dirinya, dua hari berturut dia dapat mengatasi rasa janggalnya. Bermakna juga, dia tidak lagi sekadar memerukkan diri di rumah. Tiada yang lebih rasa gembira, melainkan kakaknya bila melihat dia kini mula pandai mengisi minit sosialnya.

              Bagi Alicia pula, pertemuan itu ibarat pucuk dicita ulam mendatang.Namun, jenuh juga dia mencari alasan untuk diberi kepada Jenny dan Jess.Katanya, dia mahu menziarahi sepupunya yang baru menimang cahaya mata baru di Serdang. Maka terpaksalah juga dua pembuli itu mengeluar belanja sendiri dan mengambil perkhidmatan Grab untuk keluar berhibur. Hujung-hujung minggu sebegitu, pasti mereka akan jadi seperti cacing kepanasan andainya adrenalin remaja mereka tak terlepas bebas.

            “Hai,” sapa Alicia saat Megat membuka pintu kereta.

            “Hai,” balas Megat dengan lagak biasanya.

            Alicia kemudian melambai-lambai tangannya kepada Puteri Kamila yang menghantar Megat ke pintu pagar. Puteri Kamila melambai-lambai balas dengan senyuman. Kemesraan makin terjalin antara mereka.

            Kereta panduan Alicia seterusnya memasuki jalan raya.

            “Kita mahu ke mana?” Soal Alicia dengan wajah girang. Walaupun pertemuan itu sekadar pertemuan biasa, namun perasaannya tika itu seperti keluar berdating.

            “Err, ke mana-mana aje.” Ternyata Megat tiada idea dalam bab itu. Amatur katakan.

            “Okey, kita ke TheCurve, boleh?” Alicia memberi satu cadangan. Walaupun dia sendiri tiada pengalaman, namun rasa terujanya menutup kekurangan itu.

            Megat terus mengangguk, bersetuju.

            Lokasi itu sememangnya cukup popular di Lembah Klang kerana lokasinya yang strategik, ibarat segi tiga emas. Terbina betul-betul bersebelahan dengan Ikea dan Cineleisure. Ada juga di sekitarnya sebuah pasaraya Tesco dan Bentley Music, gedung menjual peralatan muzik yang kadangnya juga menjadi lokasi gig dan konsert band-band tempatan dan antarabangsa. Di situ juga terletaknya Kidzania. Boleh katakan, Mutiara Damansara sebagai sebuah lokasi lengkap untuk seisi keluarga berhibur.

            Dua puluh minit menempuh perjalanan yang tak berapa lancar kerana banyak kenderaan di jalan raya, mereka tiba di lokasi yang dimaksudkan.

            “Awak pernah ke sini?” Tanya Alicia saat mereka menapak memasuki lobi utama pusat membeli-belah itu. Dia cuba memancing Megat sebenarnya. Risau juga dia, takut-takut perlu bersaing dengan mana-mana gadis lain. Hatinya benar-benar sudah tertawan dengan persona Megat.

            Begitulah juga di pihak Megat. Walaupun Alicia berperwatakan seperti seorang gadis geek, mata hatinya dapat melihat sisi sebenar Alicia.

            “Err, tak pernah.Hanya pernah sampai ke Ikea sahaja sebelum ini.” Megat menjelas dengan sejujurnya.

            “Pergi Ikea dengan siapa?” Pancing Alicia lagi.

            “Kakak,” balas Megat perlahan. Mula datang rasa kepencilannya.

            Alicia melirik senyum. Seperti lega hatinya mendengar jawapan Megat itu.

            Mereka kemudian melewati pintu Restoran KFC. Selepas mendapatkan tempat duduk, Alicia bangun semula untuk membuat pesanan di kaunter. Namun, cepat-cepat dipintas oleh Megat kerana merasakan peluang untuknya bertindak sebagai seorang gentleman.

            “Aku yang ajak kau keluar, jadi aku yang patut belanja kau,” ujar Megat. Dalam cuba mengikis kejanggalan, masih terserlah skemanya.

            Alicia akur. Satu senyuman terukir di bibirnya kerana kali pertama dia mengalami situasi itu.

            “Kau nak makan apa?” Tanya Megat kemudian. Nada suaranya seperti selalu. Masih janggal untuk mengubahnya kepada yang lebih lembut.

            “Hmm, apa-apa aje.”Orang dah disimbah dengan rasa bahagia, dah tak kisah lagi soal selera. Apa saja boleh ditelan. Bahana terpanah asmara nombor dua. Nombor satu, rindu. Keseterusnya, akan juga terlihat secara semulajadi kelak.

            15 minit Megat di kaunter, dia kembali semula dengan menantang dulang yang terisi dua set Snack Plate Combo. Nyata dia tiada penglaman dalam hal itu. Apa sahaja terlihat di matanya, dipesan sahaja.

            Alicia menyambutnya dengan lirikan senyuman. Rasa bahagianya makin melata.

            “Thank you,” ucapnya selembut sutera saat disua set hidangan.

            “You’re welcome.”Ayat balasan skema daripada seorang amatur.

            “So, apa maksud awak malam tadi?” Alicia tak berlengah lagi mengajak Megat kepada punca pertemuan itu.

            Megat perlahan-lahan mengeluarkan lipatan sekeping kertas A4 dari poket seluar jeansnya. Kertas yang berlipat itu dihulurkan kepada Alicia. Alicia segera menyambutnya.

            “N.A.I.R.B…” Alicia membaca susunan huruf-huruf yang tertulis pada kertas satu-persatu. Namun, masih ada kerutan di dahinya.

            “Macam mana awak dapatkan huruf B itu?” Soalnya kemudian.

            Megat tidak terus menjawab, sebaliknya dia mengeluarkan telefonnya. Selepas mencari ikon Google. Dia menaip sesuatu di bahagian carian. Kemudian dia menunjukkan hasil cariannya kepada Alicia.

            “Nombor 13 sebenarnya ialah huruf B!” Tergamam Alicia.

            “Ya, rupa-rupanya13 itu sebenarnya huruf B menggunakan Font Stencil,” ulas Megat untuk lebih pemahamannya.

            “So, apa implikasi huruf B itu?” Ternyata belum dapat menangkap maksud sebenarnya.

            Sekali lagi Megat menaip di telefonnya.

            “Susunan huruf-huruf itu jika kita terbalikkan jadi…”

            “BRIAN!” Terbeliak mata Alicia bila melihat apa yang ditaip Megat.

            Megat mengangguk.

            “What the heck!” Akhirnya Alicia terikut emosi Megat saat berjaya menyelesaikan teka-teki itu.

            Sekali lagi Megat mengangguk.Kali ini bersama senyuman. Ada sedikit rasa puas di hatinya, dapat merungkai maksud di sebalik bayangan kombinasi huruf-huruf itu akhirnya.

            “Bermaksud Brian ada kena-mengena dengan kehilangan Emily.” Alicia membuat satu rumusan.

            “Aku jugak percaya begitu,” sokong Megat.

            “Rupanya Emily berjumpa dengan Brian di Retoran Burger King itu.” Makin banyak difahami oleh Alicia.

            “Tapi kenapa dia mahu merahsiakan pertemuannya dengan Brian?” Beberapa saat kemudian datang tanda tanya itu di fikiran Alicia.

             Megat mengangkat kedua-dua bahunya seolah-olah tiada idea, padahal di fikirannya mula merasakan betapa Emily sedang menjalin hubungan secara gelap dengan Brian.

            “Sebelum kehilanganEmily, bagaimana sikapnya?” Megat cuba mencari satu eviden bagi kesahihan gerak hatinya.

            “Err, macam biasa aje. Tapi saya ada dengar dia bertengkar dengan  Alex di telefon beberapa hari sebelum Alex ke Australia?”

            “Bertengkar?”

            Alicia mengangguk.

            “Bertengkar pasal apa?”

            “Entah, tak berapa jelas butiran percakapan mereka. Tapi yang pasti Emily melenting dan menyumpah Alex,” jelas Alicia dengan bersungguh-sungguh.

            Megat jadi terdiam sejenak. Fikirannya ligat beroperasi.

            Apakah Alex sudah mengetahui Emily berhubungan secara gelap dengan Brian? Lalu tercetuslah pertengkaran itu.

            Tapi…

            Takkanlah Emily mahu mencipta masalah dengan Alex? Alex itu sudah terang lagi bersuluh seorang anak hartawan dan bakal mewarisi kekayaan ayahnya. Berapa ramai gadis yang mahu mendampinginya, takkan semudah itu gadis materialistik seperti Emily mahu melepaskannya.

            Apa ada pada Brian? Pasti Emily juga sudah mengetahui dia  membuat kerja part time di restoran Burger King itu dan hanya berlagak seperti anak orang kaya.

            Wait!

            Bukankah cinta itu buta?

            “Kita harus mendapat penjelasan daripada Brian,” ujar Megat selepas beberapa ketika bermonolog dengan hatinya.

            “Ya, betul,” sahut Alicia.

            “Tapi, mahukah  Brian bekerjasama dengan kita?” Kebimbangan itu sekilas muncul di benak Megat.

            “Awak jangan risau.Esok di kelas, biar saya berdepan dengannya.” Alicia memberi satu semangat.

            Megat mengangguk sedikit kepalanya. Walaupun tidak yakin Brian akan memberi kerjasamanya, namun apa lagi yang boleh mereka lakukan? Mereka hanya bersandar kepada klu bayangan mimpinya semata-mata.

            Dalam pada itu, tanpa disedari mereka telah diperhatikan seseorang dari satu sudut pusat membeli-belah itu.

            “Siut! Menziarahi sepupu yang baru menimang cahaya mata konon, bercengkrama kat sini rupanya!”Jenny memuntahkan lava geramnya.

            “Siapa?” soal Jess di sebelahnya.

            “Siapa lagi?  Si Geek gigi berpagar itu ler!” Jenny menjuihkan bibirnya ke arah restoran KFC. Jess segera memanjangkan lehernya.

            “Amboi-amboi, kita ditipu bulat-bulat rupanya!” Jess mengetap geram bibirnya.

            “Makin berani dia melawan kita sekarang! Bukan main baik lagi dia dengan mamat weirdo tu!” rengus Jenny lagi.

            “Jom kita sergah mereka!” ajak Jess yang tak sabar-sabar lagi nak memuntahkan lazer dari mulutnya.

            “Ramai orang katsitu, kita tunggu dia orang keluar dahulu,” tahan Jenny. Tahu pulak dia berfikirsecara rasional.

            Beberapa minit berlalu. Selesai menikmati Snack Plate Combomasing-masing, Megat dan Alicia mula beredar dari restoran KFC itu. Jenny dan Jess segera mengekori mereka. Tiba di satu kawasan yang agak lengang, dua pembuli itu terus menyerbu.

            “Oh, kata nak pergi menziarahi sepupu, tapi sebenarnya jumpa mamat weirdo ini rupanya!”

            Terkejut besar Alicia dan Megat dengan sergahan Jenny itu. Wajah Alicia menjadi pucat kerana tak menyangka dia akan terkantoi sebegitu.

            “Err, so… so…sorry Jenny, Jess.” Terketar-ketar Alicia memohon maaf.

            “Apa sorry-sorry!  Kau tipu kami bulat-bulat ya. Apa dah mamat weirdo ini jampi kau sampaikan sanggup kau menipu kami!” Jess menokok.

            “Memang dasar Si Geek tidak tahu diuntung!” Jenny menambah seranahnya.

            “Kalau kami tak ambil kau join group kami, tak ada siapa pun nak pandang kau, tahu tak! Dasar Si Loser!” Jess seperti biasa menambah perisa.

            Mendengar seranahitu Megat jadi hilang sabarnya.

            “Hoi, Ini negara bebas! Alicia boleh keluar dengan sesiapa sahaja dia mahu! Dan aku tak perlu menggunakan ilmu hitam pun nak ajak Alicia keluar! Siapa sebenarnya tak tahu diuntung? Kau orang berdua yang sebenarnya tak tahu diuntung!Selama ini, bukan ke kau orang berdua yang selalu mempergunakan Alicia. Makan Alicia bayar, pergi ke mana-mana Alicia yang bawak, assignment pun Alicia yang buat. Si Loser sebenar ialah kau orang berdua!”

            Terpana Jenny dan Jess. Selama ini Megat tak pernah menyanggah mereka. Keberanian Megat itu membuatkan mereka rasa kecut.

            “Kau Si Gemuk! Badan dah lah gemuk, nak jadi sotong konon! Nak muntah aku tengok! Tak payah nak jadi Sajat sangat! Kau ingat aku tak tahu apa kau buat dalam tandas waktu rehat kat kolej!” Bertalu-talu lagi peluru makian Megat lepaskan. Kali ini fokusnya menghala tepat ke arah Jess. Geram sangat dia dengan mulut tak ada insurans Si Sotong itu. Rasa macam nak dicili-cilikan aje.

            Tak terkalis lagi Si Jess. Terus terkunci mulutnya. Mukanya juga menjadi pucat lesi. Tak berani lagi dia menentang cerlangan tajam Megat.

            Jenny dan Jess tertunduk malu. Mulanya mereka yang mahu menggertak, tapi akhirnya mereka sendiri yang kena gertak. Padan muka!

            “Jom, Alicia. Kita balik, jangan dilayan Si Loser dua ekor ni!” Megat kemudian menarik tangan Alicia meninggalkan lokasi itu.

             Alicia menuruti sahaja ajakan Megat. Dalam hatinya terus hilang rasa gamam, bergantikan rasa bahagia. Lebih-lebih lagi bila Megat memegang tangannya begitu.

            Selepas meninggalkan pusat membeli-belah itu, kereta Alicia terus menuju pulang. Namun sepanjang perjalanan pulang itu tiada sepatah kata pun yang terucap. Masing-masing seperti berperang dengan perasaan sendiri. Kejadian sebentar tadi itu sememangnya agak menegangkan sedikit perasaan.

           Tiba di hadapan pintu pagar rumah, Megat segera keluar dari kereta. Namun saat dia mahu menutup semula pintu kereta, Alicia menahannya seketika.

           “Awak, terima kasih kerana mempertahankan saya tadi,” ucap Alicia dengan senyuman yang mekar, menunjukkan betapa bahagia hatinya tika itu.

           Megat sekadar membalas dengan anggukan. No big deal baginya. Namun, cuba juga dia untuk mengukir sedikit senyum.

           Walaupun pendek, senyuman itu sudah cukup untuk menambahkan lagi rasa bahagia di hati Alicia.

           “Jumpa esok di kolej, dan sampaikan salam kepada Kak Puteri ya.” Alicia mengakhiri pertemuan itu.

           “Okey,” balas Megat sebelum menghantar Alicia sehingga hilang dari pandangan matanya.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan