Home Novel Fantasi Pengembaraan ke Dunia Watika
Pengembaraan ke Dunia Watika
15/9/2013 20:35:16
13,703
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Misteri Buku Berbaldu Biru Tua

BAB 3

Sungguh ramai orang di Mid Valley ketika itu. Amani terpaksa berjalan bersusup-sasap dicelah-celah orang ramai untuk bertemu dengan kawan-kawannya di tempat yang telah dijanjikan, Golden Screen Cinema di tingkat tiga Mid Valley tersebut. Dihantar oleh ibunya puan Qaseh, Amani telah berjanji akan menelepon ibunya sekiranya perjumpaannya telah selesai nanti. Dari kejauhan Amani terlihat kelibat Monika dan Hazim yang sedang berdiri berhampiran tiang di satu sudut kawasan itu.

“Hai! Monika! Hazim!” Amani memanggil nama kawannya sambil melambai-lambaikan tangannya. “Wah! Dah lama ke korang sampai?” Amani sedikit tercungap bila dia telah sampai di hadapan Monika. Perasaannya gementar bercampur gembira. Dia terasa sedikit kaget ditengah-tengah orang yang begitu ramai. Bag sandang merah jambu digenggamnya erat bagi mengurangkan perasaan gementarnya.

“Hakim pun dah sampai tadi tetapi dia pergi tandas sekejap. Danial dan Shin masih dalam perjalanan. Sekejap lagi sampailah tu..” Hazim menerangkan sambil wajahnya sentiasa tersenyum manis. Tak sampai beberapa minit menunggu akhirnya Danial dan Shin pun sampai dan mereka terus ke kaunter beratur untuk membeli tiket. Tinggal lagi lima minit saja lagi tayangan akan bermula.

“Saya suka sungguh dengan watak Hermaine, dahlah cantik, bijak dan rambutnya pun panjang macam rambut saya ni...” cerita Monika akan watak kegemarannya. Hazim dan Shin yang berhampiran mendengarnya hanya tersenyum dan sedikit mencebik. “Hah! Hah! Jangan nak mula ye...nanti saya cubit awak berdua karang baru tahu..” Monika memberikan amaran.

“Tak..tak kami takan berani.....” Shin tersenyum menafikan. Selalunya dia, Hazim dan Danial akan bersama-sama mengusik atau sengaja membuli Monika yang lembut dan pendiam itu. Saja suka-suka nak mengusik kawannya yang manis lawa itu. Bak kata orang-orang tua, usik-mengusik membawa bahagia. Gurauan-senda pengerat ikatan. Mereka berenam selalu tak sunyi dari gelak-tawa dan gurauan pengerat persahabatan. Yang selalu menggamatkan suasana tentulah mereka bertiga tu. Shin, Danial dan Hazim. Mereka berenam beratur masuk ke dalam panggung yang sudah mula gelap itu. Monika berpimpinan tangan dengan Amani. Amani membontoti Hakim yang mengepalai kumpulan mereka. Hakim mencari nombor F2 untuk tempat duduk mereka. Setelah menjumpai tempat duduk masing-masing, mereka pun mula menonton dengan penuh khusyuk.

Hari berikutnya mereka berenam telah merancang untuk ke perpustakaan sebelah stesen keretapi lama tersebut. Amani, Monika, Hakim, Hazim dan Danial sedang menunggu kedatangan Shin yang agak lewat dari jadual yang telah dirancang. Dia terlupa pada hari tersebut dia ada kelas piano, jadi Shin mungkin akan lewat dalam tiga puluh minit. Sementara menunggu Shin, mereka berlima berjalan-jalan melihat sekeliling. Kawasan tersebut bertentangan dengan Galeri Seni Lukis Negara tak sampai beberapa meter dari perpustakaan. Hanya mengambil masa selama sepuluh minit dengan berjalan kaki. Mereka berlima menuju ke sana. Hakimlah orangnya yang paling gembira dan teruja sekali memandangkan dia minat melukis. Semua lukisan yang ada di sana datangnya dari pelukis-pelukis dalam negara dari semua negeri dan sedikit saja dari luar negara. Walaupun Amani, Monika dan Hazim tak berapa memahami beberapa makna lukisan-lukisan yang ada di situ, tetapi mereka masih boleh menjiwai kecantikan dan kehalusan yang dihasilkan oleh pelukis-pelukis itu. Mereka benar-benar ralit dengan lukisan-lukisan yang ada di Galeri tersebut sehinggakan mereka terleka dengan perjalanan waktu. Terasa bagai waktu berjalan terlalu pantas. Tak sangka mereka telah terlewat lima belas minit dari Shin!

Mereka berjalan dengan pantas menuju ke perpustakaan. Dari kejauhan kelihatan Shin sedang mencekak pinggangnya dan wajahnya sedikit masam kerana telah ditinggalkan oleh kawan-kawannya.

“Amboi! Pergi ke sana tak ajak kita...” rajuk Shin. Mukanya ditarik masam.

“Alaaah! Sorrylah Shin. Sebenarnya kami secara tak sengaja telah pergi ke sana..bila dah masuk terleka pula. Lukisan-lukisan di sana semuanya cantik-cantik belaka. Lain kali kita pergi lagi sama-sama ye? Eik! macam berpantun pula aku..” pujuk Hakim serentak tangannya dirapatkan mengakui kesalahannya dan kawan-kawan yang lain. Mereka semua meminta maaf dengan Shin sambil wajah mereka sayu menunjukkan yang mereka benar-benar minta maaf dan minta dikasihani. Bila melihatkan wajah masing-masing yang macam muka ‘seposen’ tu akhirnya Shin pun tergelak..

“Hahahahaha...” gelak Shin, “Sudahlah korang! Kesian aku tengok muka korang macam ayam nak kena masak je muka tu..” akhirnya Shin kalah dengan reaksi kawan-kawannya yang kelakar itu.

“Dahlah jom.....” akhirnya Shin mengajak kawan-kawannya masuk ke perpustakaan sambil tangannya menepuk bahu Hakim. Mereka berbondong-bondong memasuki ke dalam perpustakaan awam itu. Bau buku-buku dan karpet di dalam perpustakaan awam itu menujah hidung mereka. Hazim dan Hakim terus pergi ke tempat rak-rak buku sains fiksyen, manakala Danial dan Shin mereka terus ke tempat komputer untuk melayari internat yang ada di situ. Monika dan Amani terus ke bahagian yang sama dengan Hakim dan Hazim setelah meneliti keadaan sekeliling. Buku-buku yang banyak bertingkat-tingkat di susun kemas di rak-rak tersebut telah membuatkan perasaan Amani seperti di awangan. Dia amat sukakan buku-buku. Terasa bagaikan tak cukup satu hari tu, untuk dia menghabiskan semua buku yang ada. Rasanya bagaikan dia nak bertunggu-bertangga saja di situ. Amani mula berkhayal, kalaulah dia boleh bermalam di situ dan dapat menghabiskan membaca separuh dari rak buku itu alangkah seronoknya!

“Hei! Amani, buat apa tu?” Monika menyapa mematikan khayalan Amani. “Hah! Berangan ye.... dah berkerut dah tu dahi awak yang luas tu..” Monika mengusik sambil menjentik lembut dahi Amani serentak memberikan senyuman manisnya memandang wajah Amani. Merona merah wajah Amani, malu sendiri dengan khayalannya yang tak masuk akal itu.

“Dahlah Monika jom, kita pergi cari buku untuk kita baca...” lekas-lekas Amani mengubah topik perbualan bagi menghilangkan malunya sambil menolak belakang Monika dengan lembut menghala ke rak-rak buku.

Masing-masing telah dapat buku kegemaran pilihan masing-masing untuk dibaca. Mereka duduk semeja yang menempatkan lapan orang. Amani mengambil buku sains fiksyen mengenai makhluk asing yang datang ke Bumi. Hazim dan Hakim membaca buku ala-ala penyiasatan dan Shin pula buku pengembaraan masa. Danial mengambil buku berkenaan kanak-kanak yang bercita-cita ingin menjadi saintis muda manakala Monika pula buku mengenai planet-planet di cakerawala Bimasakti ini. Mereka layan buku masing-masing sehinggakan tak perasan masa telah berlalu dengan begitu cepat dan mereka belum makan tengahari lagi. Mereka makan di restauran makanan segera yang behampiran dengan kawasan perpustakaan. Cepat-cepat mereka menghabiskan makanan mereka kerana tidak mahu membuang masa yang sangat berharga. Mereka hendak menghabiskan buku cerita mereka dengan cepat dan menikmati suasana yang aman di perpustakaan tersebut.

Ketika mereka sedang berjalan menuju ke meja bacaan mereka, tak semena-mena Danial mencuit lengan Hakim, “Cuba dengar tu.....” Danial menunjukkan jari telunjuknya di bibir, isyarat diam dan berikan perhatian.

“Ada terdengar sesuatu yang ganjil tak? Macam bunyi angin sedang bertiup..?” bisik Danial ke telinga mengarahkan Hakim agar membuka cuping telinga lebih lebar lagi bagi mendengarkan bunyi yang asing di dalam kawasan itu. Hakim meletakkan tapak tangannya di belakang cuping telinga kanannya, cuba mendengar. Seperti desiran angin sepoi-sepoi di salah satu rak-rak buku di seksyen cerita dongeng Asia. Mereka berdua berjalan masuk ke dalam lagi ke rak-rak buku tersebut. Semakin mendekati rak di tengah semakin jelas bunyi desiran angin tersebut bertiup! Jantung Danial dan Hakim berdegup kencang, sesuatu keganjilan di luar jangkauan fikiran logik. Mana ada saluran angin di sini. Mata Hakim meliar memandang atas dan sekeliling, kalau-kalau ada lubang angin atau bunyi pendingin udara. Bukan. Jadi Danial mendekati rak-rak buku tersebut. Ingin membuat kepastian. Terlihat sebuah buku berbaldu biru tua, bunyi seakan datang dari arah situ, detik hati Danial. Danial menarik lengan Hakim agar mengikutnya ke arah buku yang dia nampak itu dan semakin kuat bunyi desiran itu. Mereka berpandangan sesamasendiri.

“Mana Hakim dan Danial ni?” Amani bertanya kepada Monika setelah agak lama mereka tidak muncul semula selepas makan tadi. Sedangkan sebentar tadi semasa masuk ke perpustakaan mereka berjalan di belakang kumpulan mereka. Monika hanya menggelengkan kepalanya, terasa seperti terganggu dengan pertanyaan Amani. Cepat-cepat Monika menyambungkan pembacaannya tanpa mempedulikan kehilangan Hakim dan Danial. Amani meneruskan pencarian, matanya melilau ke segenap arah mencari kelibat Hakim dan Danial. Masih tak kelihatan, mana mereka telah pergi ni? Amani tak puas hati, dia tak dapat nak meneruskan pembacaan bukunya selagi tidak pasti akan keselamatan kawan-kawannya.

“Mungkin mereka ke tandas tak?” Shin cuba memberikan alasan untuk mengurangkan rasa bimbang di hati Amani itu. “Janganlah awak risau tak bertempat...” Shin tersenyum, Hazim yang duduk di sebelah Shin juga menganggukkan kepalanya. Tersenyum kepada Amani. Lima minit sudah berlalu, Amani tak sedap hati, lalu dia bangun dan berjalan menuju ke rak-rak buku untuk melihat jikalau mereka ada di sana....telahan Amani membuahkan hasil. Kelihatannya Hakim dan Danial seperti melihat sesuatu yang ‘ajaib’ di atas salah-satu rak di situ. Amani berjalan menuju ke arah mereka senyap-senyap, tak mahu mengganggu konsentrasi mereka berdua...semakin Amani mendekati sahabatnya itu, telinga Amani juga dapat menangkap bunyi yang Hakim dan Danial sedang dengari itu, bunyi desiran bayu sepoi-sepoi sedang bertiup! Bunyi angin? Di dalam perpustakaan? Amani juga menjadi hairan. Dengan perlahan-lahan tangan Amani menyentuh bahu Hakim yang sedang asyik mendengar bunyi itu, Hakim tersentak, “ Amani! Hish, terperanjat saya...janganlah buat begitu lagi, boleh lemah jantung saya dibuatnya tau,” Hakim memberikan amaran namun, wajahnya tersenyum.

“Korang buat apa ni?” tanya Amani penuh dengan perasaan ingin tahu.

“Shyyy! Cuba awak dengar tu? Bunyi macam bunyi anginkan?” Danial yang menyedari kemunculan Amani mengajaknya mendengar bunyi ganjil tersebut. Amani menghulurkan telinganya dan cuba mendengar dengan lebih teliti lagi, “Yelah! Macam bunyi anginlah.” Amani memandang ke atas kalau-kalau ada pendingin udara berdekatan. Tidak ada.

“Datangnya dari buku itu.” tuding Danial buku yang dimaksudkan dengan jari telunjuknya.

“Mana?” Amani bertanya masih kurang pasti.

“Itu...yang berkulit baldu warna biru tua tu..” Danial bersuara dan Hakim mengiakannya dengan anggukan kepala. Debaran jantung Amani semakin kuat dan terasakan bagai debaran itu menembusi telinganya. Kini mereka bertiga pula, perlahan-lahan mendekati buku berbaldu biru tua itu. Danial yang lebih tinggi dari mereka bertiga menyuakan tangan untuk mengambil buku tersebut. Mula-mula tu, Danial seperti teragak-agak ingin mengambil buku itu. Tetapi setelah di berikan sokongan moral oleh Amani dan Hakim, Danial menjadi berani. Dengan pantasnya dan tanpa teragak-agak lagi Danial mencapai buku tersebut! Mereka bertiga merapatkan diri ke buku itu. Danial menyelak-nyelak helaian buku, terasa tangannya bagaikan sejuk dan ditarik-tarik oleh buku itu! Begitu juga Hakim dan Amani. Mereka dapat rasakan tiupan angin yang datangnya dari buku itu. Mereka seperti ditarik-tarik masuk ke dalam buku tersebut! Akhirnya Danial tak dapat bertahan lagi, kerana dia yang paling dekat dan yang sedang memegang buku itu, dia disedut masuk ke dalam buku! Diikuti oleh Hakim dan seterusnya Amani. Terasa bagaikan badan mereka melayang dan terawang-awang di udara. Mereka bertiga menjerit sekuat hati kerana takut terjatuh dari tempat tinggi.

“Aaaaaaargh! Jeritan mereka bertiga tidak dapat di dengari oleh sesiapa pun, hatta kawan-kawan mereka yang berada tak berapa jauh dari tempat mereka itu pun! Apa yang telah terjadi sebenarnya? Dapatkah Hakim, Danial dan Amani menyelamatkan diri mereka dari terus jatuh? Apakah kehilangan mereka akan disedari oleh seseorang?

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.