Home Novel Seram/Misteri TARANTULA
TARANTULA
23/4/2015 07:57:25
6,424
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 12

ZAFRIZAN sedang leka membelek kameranya dengan penuh khusyuk sambil duduk di anak tangga rumah kayu itu. Angin malam yang menyapa lembut badannya, menyejukkan rasa hangat badan yang sedang berpeluh.

Harap-harap di sini aku dapat merakam tumbuh-tumbuhan yang pelik-pelik untuk diabadikan dalam kajian aku nanti. Aku nak jadi orang pertama menemui pelbagai jenis tumbuhan yang belum pernah dilihat, detik hatinya sambil mengelap-ngelap lense kameranya.

Tiba-tiba cuping telinga Zafrizan menangkap bunyi seperti orang meminta tolong. Dia memacu pandangannya ke arah hutan di tepi rumah kayu itu. Tercari-cari arah suara yang sayup-sayup kedengaran.

Eh! Tu macam suara orang mintak tolong! Hatinya berkata-kata.

Namun selang beberapa minit suara itu hilang bersama angin lalu. Zafrizan memancingkan telinga untuk mendengar lagi. Bimbang, malam-malam begini, macam-macam boleh jadi. Di waktu-waktu beginilah, makhluk di alam satu lagi aktif melakukan kerja-kerja harian mereka.

Zafrizan mengecilkan kelopak matanya untuk melihat dengan lebih jelas lagi ke arah serumpun pokok renek yang sedang beralun dihembus angin. Jantungnya berdebar kencang. Dup! Dap! Dup! Dap! Hatinya mula rasa tidak sedap.

Betul ke suara tadi, suara orang mintak tolong? Atau ada sesuatu terjadi? Desis hatinya sambil bingkas bangun dan melangkah beberapa tapak ke hadapan.

Zafrizan rasa tak puas hati. Sekali lagi dia meninjau-ninjau ke arah pokok renek itu. Tapi yang dilihatnya hanya hembusan angin malam yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Tubuhnya terasa sejuk dijamah angin itu.

Betul ke aku ada dengar suara orang mintak tolong tadi? Diulangnya lagi ayat itu.

Langkahnya dimajukan beberapa tapak lagi ke hadapan. Tapak tangannya diletakkan di belakang telinga kanan dan cuba menangkap bunyi panggilan itu lagi.

Atau aku yang berangan terdengar suara jeritan itu? Padahal itu hanyalah mainan perasaan, hatinya tertanya-tanya.

Zafrizan mula ragu-ragu dengan keupayaannya. Mungkin suara itu hanyalah bawaan dari angin yang lalu sahaja. Dia masih lagi berdiri di situ untuk beberapa ketika. Kalau-kalau suara itu kedengaran lagi. Namun ianya tidak kedengaran. Keadaan menjadi senyap-sunyi. Dikerlingnya jam di tangan.

Oh, patutlah, dah larut malam. Baik aku masuk tidur, detik hatinya.

Lantas Zafrizan melangkah masuk namun hatinya masih rasa tak sedap. Suara manusia ke atau suara dari alam dari satu yang cuba menguji keberaniannya. Waktu-waktu lewat begini ada yang cuba menyesatkan manusia yang leka dan terlupa. Kelopak mata Zafrizan berkelip-kelip memikirkan kejadian itu.

Semua penghuni rumah kayu itu sudah lama dibuai mimpi. Hanya Zafrizan saja yang masih lagi bersengkang mata dengan kameranya. Sebaik sahaja masuk ke dalam rumah kayu itu, Zafrizan mengunci pintu. Jika dikenang-kenangkan suara tadi, tak logik pula.

Siapa yang berani merayau-rayau dalam hutan di tengah-tengah malam buta macam ni? Hisy! Seram batang tengkok aku, gerutu Zafrizan.

Badannya direbahkan di sebelah Ikmal. Setelah membaca Surah al-Fatihah dan tiga Qul, barulah dia memejamkan mata. Kemudian badannya diereng ke kanan. Itu petua, untuk pengaliran darah dari jantung ke seluruh badan agar lancar. Dengkuran Ikmal yang kuat langsung tidak mengganggu lenanya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.