Home Novel Seram/Misteri TARANTULA
TARANTULA
24/4/2015 19:49:43
2,007
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 16

SEKALI-SEKALA Andy menoleh ke arah gadis yang sedang duduk di sebelahnya. Tiba-tiba saja lidahnya kelu untuk berkata-kata.

Masakan tidak, gadis di sebelahnya ini seorang yang genit lagi ayu pada pandangan mata nakalnya. Kulit wajahnya sangat mulus, putih kemerahan. Dia nak bersuara pun terasa malu-malu.

Tapi kalau tak tanya, ke mana pula dia nak hantar gadis genit ini pulang? Hendak tak hendak, dia kena tanya juga. Pergi jahanamlah dengan rasa malu yang tidak bertempat tu, getus Andy di dalam diam.

“Err... saudari tinggal kat mana, ya? Saya rasa, saudari bukan asal sini, kan?” Andy mula bersuara.

Amani Sofea tidak sedikitpun menoleh ke arah lelaki itu. Pandangannya hanya ke arah jalan raya. Sebenarnya, dia takut kalau-kalau lelaki itu nak mempermain-mainkan dia. Lagipun pemandangan di luar, hanya terdapat deretan pokok-pokok getah tua di kiri kanan jalan. Tidak terdapat satu pun rumah. Suasana begini amat menakutkan bagi gadis bandar seperti dia.

“Betul tekaan saya kan? Awak bukan orang sini?” tanya Andy lagi, cuba berbasa-basi dengan gadis itu.

Andy tahu gadis itu mungkin tak selesa dengannya. Dia cuba menyakinkan gadis itu.

“Oh ya, lupa nak kenalkan diri. Saya, Andy Sulaiman. Penduduk asal kampung ni. Boleh panggil saya Andy saja. Siapa nama saudari?”

Bila mendengar kata-kata lelaki itu yang dia penduduk asal kampung ini, barulah Amani Sofea berani bersuara.

“Nama saya Amani Sofea tapi lebih mesra dipanggil Amani. Pertama kali datang ke sini. Tak sangka pulak stesen minyak jauh sangat,” beritahu Amani Sofea, berbasa-basi dengan lelaki itu.

“Harap-harap cik selesa dengan saya. Saya tak ada niat jahat. Saya ikhlas nak bantu. Lagipun saya memang orang kampung sini. Saya dalam perjalanan balik ke rumah orang tua saya,” jelas Andy panjang lebar bagaikan tahu apa yang akan ditanya gadis itu.

Namun gadis itu bagaikan tidak memberi sebarang respons positif.

“Err... kalau tak keberatan....” Andy teragak-agak untuk bersuara.

Amani Sofea mula bosan dengan sikap Andy.

Nak tanya, tanyalah. Ni teragak-agak, bebel Amani Sofea di dalam hati.

“Hmm... apa dia?” tanya gadis itu dengan nada tinggi.

“Tak ada apa-apalah.”

“Maaflah kalau cara saya ni nampak macam sombong. Tetapi saya tidak kenal saudara Andy. Lebih-lebih lagi di tempat asing macam ni. Harap saudara Andy faham,” jelas Amani.

Sebenarnya, Amani Sofea berasa serba-salah. Ada juga rasa was-was, takut lelaki ini ada maksud yang tersembunyi. Tapi kalau difikir balik, tak baik buat orang macam itu. Orang sudi berbudi dengan kita.

Mahu tak mahu, seulas senyuman dihadiahkan kepada lelaki itu tanda menebus rasa bersalahnya. Suasana di dalam kereta itu tidak lagi tegang macam mula-mula tadi. Kali ini Amani Sofea cuba bersikap lebih terbuka dan menjadi peramah setelah yakin dengan kejujuran Andy.

“Encik Andy nanti turunkan saya di chalet depan tu ya. Terima kasih kerana sudi bantu saya,” ujar Amani Sofea.

“Tak payahlah nak berencik-encik dengan saya. Panggil Andy sudah. Rasa janggal pulak,” ucap Andy.

“Baiklah, saya panggil Andy saja. Dan awak boleh panggil saya, Amani.”

Perbualan mereka mati di situ saja. Masing-masing hanya melayani kepala sendiri. Tiada topik perbualan yang dapat mereka kongsi dan perkatakan bersama. Kereta itu diselubungi dengan kesunyian.

Hanya deruan enjin kereta saja yang kedengaran. Di kiri kanan jalan, hanya hutan dan sekali-sekala ada sebiji dua rumah penduduk kampung yang mereka lintasi.

Lima belas minit kemudian, Amani Sofea ditinggalkan betul-betul di hadapan chalet tempat dia menginap. Pasal kereta Amani Sofea yang tersadai tu, Andy telah berjanji akan membelikan petrol.

Esok, dia sendiri akan turun bersama Amani Sofea untuk mengambil kereta gadis itu. Setelah mengucapkan terima kasih, Amani Sofea melangkah lesu menuju ke chalet bernombor 575.

Pencariannya menemui jalan buntu lagi.

MATAAmani Sofea tidak berkelip memandang syiling. Seketika kemudian terdengar dia mengeluh. Lain yang dicari, lain pula cerita yang muncul.

Fikirannya semakin serabut. Hatinya resah gelisah. Kereta Kelisa kesayangannya tersadai di tepi jalan yang sunyi itu. Macam-macam boleh terjadi. Harap-harap selamatlah kereta aku tu, doa Amani Sofea di dalam hati.

Sudah berkali-kali dia menguap namun matanya tidak mahu lelap. Akhirnya, Amani Sofea mengereng badannya ke kanan dan mula membaca ayat-ayat al-Quran untuk melindungi dirinya.

Pertemuan Amani Sofea dengan Andy, lelaki yang membantunya sebentar tadi, langsung tidak membawa kesan kepada memorinya. Ingatan terhadap lelaki itu lenyap bersama mimpi malamnya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.